Sahabat Purnama

Selasa, 23 Mac 2010

Apa orang kata, PAS dan DAP bertaut juga

Subky Latif   
MACAM-macam orang kata: PAS sudah diperalat DAP; PAS telah menggadai  prinsipnya kerana bersekutu dengan DAP; tiada lagi PAS dihormati oleh muafakatnya dengan DAP; bahkan dengan persefahaman itu PAS dikatakan tiada lagi memperjuang Islam dan kepentingan orang Melayu.

Tiada dihirau oleh PAS. Bertambah kerap gambar kelihatan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang  bersama Lim Kit Siang. Dan Tok Guru Nik Abdul Aziz pula menolak berpecah PAS dan DAP sekalipun beberapa wakil rakyat PKR meninggalkan Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Kelantan itu sangat gembira dengan hubungan yang ada kerana ia membuka ruang dakwah orang bukan Islam, malah beliau merasakan DAP sudah tidak sensitif lagi dengan pandangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Jalinan yang ada itu mulanya justeru politik yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bolehlah dikatakan peranan dan kebijaksanaan Anwarlah yang merapatkan kedua parti itu boleh berada di bawah satu bumbung.

Dikenang kejadian lampau, seolah-olah tiada lorong bagi kedua parti pembangkang itu untuk bekerjasama malah untuk berdekat-dekat.

Pernah bertempur PAS pusat dengan Dewan Pemuda PAS pusatnya atas isu kemungkinan kerjasama PAS dan DAP. Di hujung kepimpinan Datuk Asri, pernah beliau menyebut kemungkinan kerjasama kedua parti itu apabila soalan itu ditanya wartawan.

Pemuda menolak sekalipun kenyataan  Datuk Asri itu berlandas kepada teori kemungkinan. Bagi kumpulan popular PAS masa itu, teori kemungkinan tidak terpakai dalam isu itu. Bahkan ia dikatakan suatu yang mustahil.

Malah DAP sendiri tidak boleh dilihat bersua dan bertemu PAS. Akan payah ia menghadapi situasi apabila masyarakat Cina menempelaknya sudah bersekongkol dengan PAS.

Dalam majlis keramaian pemimpin DAP menjauhi pemimpn PAS dan pemimpin PAS mengelak dari berdekatan dengan DAP. Pemimpin kedua pihak hanya boleh berada dalam satu pentas forum di universiti saja.

Apabila Tengku Razaleilgh Hamzah yang memimpin S46 mengadakan hubungan dengan PAS dan DAP, Ku Li mengadakan pertemuan yang berasingan.

Hubungan yang seperti itu pun menyebabkan PAS dan DAP terpaksa memahamkan orang ramai bagi menjernihkan keadaan. Terpaksa PAS mengeluarkan kenyataan menyamakan keadaan itu seperti hubungan diplomasi antara Malaysia dengan Singapura.

Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel. Singapura ada hubungan itu dengan Israel. Tetapi ia tidak menghalang Malaysia meneruskan hubungan dengan Singapura.

DAP juga membuat penjelasan yang sama tetapi yang digunakan ialah hubungan Malaysia dengan Amerika. Boleh Malaysia mengadakan hubungan dengan Amerika sekalipun Amerika bersaudara dengan Israel.

Itulah situasai politik yang disusun oleh UMNO selama-lamanya. Tetapi ia sudah berubah. Kedua-duanya sudah  bersama dan ziarah menziarahi. Adalah politik yang menimpa Anwar membuka medan baru bagi kedua PAS dan DAP.

Dengan hubungan yang ada, kalau ditakdirkan PKR tidak ada seperti yang diinginkan oleh UMNO, maka sudah boleh keduanya tidak menggunakan khidmat pihak ketiga.

Sekalipun yang terjadi pada Anwar itu satu musibah yang perit bagi Anwar dan ia satu tragedi kepada Malaysia, tetapi ia seperti memberi rahmat kepada PAS dan DAP. Jika Anwar tidak dibuang Dr. Majathir dari UMNO dan kerajaan, maka tidak diketahui     apa yang memungkinkan PAS dan DAP berkawan seperti abang adik?

Apa yang ditunggu bagi mendekatkannya sedang gandingan antara DAP dan PAS itu adalah satu tuntutan yang penting bagi politik Malaysia untuk keluar dari kuasa politik satu parti?

Tidak tahu apa yang ada dalam otak Dr. Mahathir, dia membuang Anwar dari kumpulannya dan menyimpannya di Penjara Sungai Buluh. Apabila Anwar ditahan serta beberapa orang lagi penyokongnya, Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS ketika yang berada di Jalan Pahang, Kuala Lumpur bersama Mahfuz Omar (kini datuk) memanggil saya.

Perintahnya supaya kami memanggil parti-parti politik dan individu yang terkemuka dalam masyarakat termasuk DAP. Datang Lim Kit Siang dalam satu perjumpaan di Markaz Taman Melewar. Perjumpaan itu membentuk GERAK bagi menyatakan tentangan terhadap tindakan ke atas Anwar.

Geraklah yang menggerakkan permulaan hubungan antara DAP dan PAS. Markaz Tarbiyah itulah yang memainkan peranan tempat pertemuan kedua pihak dan nasib malang Anwar yang menemukan mereka.

Tempoh berbulan madunya tidak lama. Probokasi Dr. Mahathir dan UMNO menyebabkan muafakat Barisan Alternatif PAS-DAP itu tidak lama. Tinggallah Barisan Alternatif dengan PAS, KeADILan dan PRM sedang Anwar terus terbelenggu di Sungai Buluh.

Setelah beberapa tahun mahkamah membebaskan Anwar. Apabila Anwar berada di luar penjara, dia memainkan peranan membawa semula DAP dan PAS dalam satu jalinan baru bersama KeADILan yang sudah menjadi PKR.

Kerjasama ketiganya memukul terus Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 8 Mac, 2008 hingga BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, ia gagal menawan Kelantan dan ia merudum pula di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Ia juga kecewa di Wilayah Persekutuan.

Ia masih tiga parti tetapi tidak berlawan sama sendiri dalam pilihan raya. Lepas itu baru mereka membentuk parti kumpulan kedua yang dinamakan Pakatan Rakyat dan menjadikan Anwar sebagai ketua pembangkang pemimpin de fakto Pakatan itu.

Anwar cuba dibinasakan lagi sebagai usaha membinasakan Pakatan Rakyat. Peranan Anwar itu penting dan masih penting. Teori UMNO ialah jika Anwar binasa, PKR binasa dan Pakatan Rakyat juga binasa. Tetapi peranan Anwar itu sudah merapat kukuh muafakat PAS dan DAP.

Jika ditakdir Anwar dibinasakan, ia tidak lebih dari pemimpin boleh datang dan boleh pergi. Kit Siang, Ustaz Hadi, Tok Guru Nik Aziz juga boleh pergi, tetapi PAS, DAP dan PKR sudah berada pada rel yang selesa._harakahdaily.net
 

Kewibawaan Ahmad Awang sebagai ulama

Subky Latif   

SEORANG Mufti kanan dan beberapa ulama yang pernah dan sedang berkhidmat dengan kerajaan Barisan Nasional menegur cadangan bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang yang sedia menganjur solat hajat terhadap AP Bagan Serai yang keluar dari PKR.

Kiranya Anggota Parliman yang khianat pada partinya dan pengundinya yang memenangkannya dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008 tidak rojok kepada partinya atau tidak mengosongkan kerusinya dalam masa tujuh hari, Ahmad Awang mahu menganjurkan solat hajat tujuh hari atau tujuh malam.

Maka beberapa ulama rasmi memberi ingatan keras kepada anjuran solat hajat itu. Seolah-olah solat hajat itu berhajat buruk. Tidak boleh solat hajat yang berhajat buruk.

Ada benar hukumnya, solat hajat tidak boleh untuk tujuan buruk.

Apakah Ustaz Ahmad Awang tidak tahu hukum itu?

Adalah wajar mufti dan sekalian ulama mengingatkan hukum itu. Apabila ulama rasmi mengeluarkan ingatan keras itu, tentunya mereka tidak menujukannya terhadap orang jahil tetapi ia ditujukan kepada Ahmad Awang, seorang ahli ilmu Islam yang ada kelayakan juga untuk menjadi mufti.

Tidakkah amat rendah pandangan mereka itu terhadap ilmu dan wibawa Ust. Ahmad Awang?

Sebagai manusia Ahmad Awang ada kelemahan dan ada kekuatannya. Tetapi beliau bukan orang jahil yang layak diberi amaran oleh mufti dan ahli-ahli ilmu yang lain.

Adalah benar dalam usia lanjutnya beliau seorang pemimpin tinggi PAS, tetapi beliau sebelumnya adalah Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia sekitar 30 tahun.

Persatuan Ulama itu diasaskan oleh Almarhum Ustaz Mahyudin Musa, seorang ulama yang dihormati yang berkhidmat dengan kerajaan Malaysia. Jawatan terakhirnya dalam kerajaan ialah pegawai kanan agama di Kementerian Pelajaran.

Ustaz Mahyuddinlah Yang Dipertuanya yang pertama dan pertubuhan itu adalah bagi menyatukan para ulama Malaysia tidak kira yang berkhidmat dengan kerajaan dan di luar kerajaan.

Ulama adalah orang yang tahu akan keperluan bersatu, maka itu tempat mereka patut bersatu. Mufti dan apa jua kedudukan tinggi dalam kerajaan dan masyarakat wajar bersatu dan itulah tempatnya.

Kalau ulama termasuk mufti menyeru umat Islam supaya bersatu, maka mereka perlu dulu bersatu dan tempatnya yang paling baik ialah Persatuan Ulama yang diasaskan oleh Ustaz Mahyuddin itu dan tokoh itu adalah orang yang cukup dekat dengan pemimpin-pemimpin kerajaan – Perdana Menteri dan menteri-menterinya.

Apabila Ustaz Mahyuddin meninggal  awal tahun 70an, Ustaz Ahmad Awanglah gantinya baik sebagai ketua PUM bahkan jawatan yang disandangnya di kementerian pelajaran.

Ustaz Mahyudin Musa pernah menjadi tenaga pengajar di Kolej Islam Kelang dan Ahmad Awang adalah antara pelajar pertama di Kolej Islam itu.

Adakah mufti dan ulama yang memberi ingatan keras kepada Ust.Ahmad Awang tentang solat hajat itu pernah menyertai dan menyokong PUM tidak diketahui.

Tetapi itu pertubuhan penting bagi para ulama dan ulama wajar menyokong pertubuhan yang mahu mendaulat dan memartabadkan para ulama dan institusi ulama.

Ulama di seluruh dunia telah ditekan dan ditindas oleh penjajah hingga ulama itu dilihat kecil dan tidak berwibawa. Itu jugalah nasib dan imej ulama di Tanah Melayu setelah dijajah dan selepas dijajah. Tiada orang yang lebih tahu bagaimana ulama perlu didaulatkan selain dari ulama sendiri.

Ustaz Mahyudin telah membuka medan itu dan ia disambung oleh Ustaz Ahmad Awang. Apakah Ustaz Ahmad Awang berjaya dengan PUM tidaklah ditentukan oleh pimpinannya saja tetapi sejauh mana ia didukung oleh para ulama termasuk mufti yang dipandang tinggi oleh masyarakat.

Tanggungjawab mufti bukan sekadar kerja-kerja rasmi jawatannya dalam kerajaan dan di samping menasihatkan sultan, tetapi membuat kerja-kerja Islam di tengah masyarakat dan medannya sudah disediakan iaitu PUM.

Tiada pengecualian bagi berbelas mufti di Malaysia dari menjadi anggota pertubuhan itu kiranya mereka tahu apa tanggungjawab seorang ahli ilmu dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat dan kerajaan.

Dalam apa keadaan, sama ada mufti dan ulama rasmi yang lain menyertai PUM atau tidak, Ustaz Ahmad Awang adalah juru cakap para ulama Malaysia seluruhnya. Sama ada mereka mengakuinya atau tidak, Ahmad Awang adalah amir mereka.

Kiranya beliau ada kelemahan, sekalian para ulama mesti membantunya. Kiranya beliau tiada kelayakan, maka para ulama antaranya para mufti yang ramai itu wajar tampil kedepan menggantikannya. Mungkin ulama tidak mengejar kedudukan. Tetapi mufti wajar tahu kewajaran ulama itu memimpin umat.

Tiada mufti dan ulama rasmi dan tidak rasmi mencabar Ahmad Awang semasa pimpinannya dalam Persatuan Ulama dalam tempohnya yang panjang itu. Beliau melepaskan pimpinan PUM itu kerana mahu bergiat dalam politik. Beliau mahu kebebasan PUM terpelihara.

Mungkin pimpinannya boleh dinilai, akan kelemahan dan kekuatannya. Tetapi tidak terdengar adalah mempertikai ilmu dan keupayaanya menguasai ilmu Islam.

Dengan  ilmunya belum pernah beliau membuat pendapat yang ganjil seperti  biawak itu halal dimakan atau  untung lotri boleh digunakan bagi memajukan Islam atau sekular itu tidak salah.

Apa lagi tentang kewajaran solat hajat bagi mengadili orang yang khianat.

Justeru itu tidak wajar menyamakan beliau dengan ahli-ahli politik yang jahil._harakahdaily.net