Sahabat Purnama

Ahad, 25 Oktober 2009

Jangan Nyalakan Api Fitnah

1. Fitnah adalah satu malapetaka yang membinasakan . Sememangnya Islam memberi perhatian serius terhadap bahaya fitnah sehingga disebut implikasinya lebih buruk dari membunuh.

2. Fitnah secara umumnya adalah pencetus sengketa justeru ia sering membabitkan tuduhan tanpa bukti , pra sangka tanpa asas dan persepsi yang salah . Malah fitnah sering beriringan dengan dendam atau sekurang - kurangnya rasa tidak puas hati terhadap pihak yang lain .

3. Ia juga seperti harimau yang sedang tidur . Sesiapa sahaja yang mengejutkannya dari tidur yang nyenyak hanya membuatkan harimau itu bingkas dan menerkam . Sedikit sahaja percubaan meniup api fitnah , ia akan menyala dan menyambar .

4. Fitnah jua boleh tercetus dalam pelbagai situasi juga dari aneka posisi . Lantaran itu , berhati - hatilah kerana fitnah adalah agenda syaithan yang pastinya ingin melihat para pejuang Islam berantakan sesama sendiri .

5. Semoga kita dipelihara oleh Allah swt daripada kebinasaan ini . Jauhi fitnah malah jangan sekali - kali berjinak - jinak dengan fitnah . Jika ingin membuat tuduhan , pastikan ada bukti yang kukuh dan jelas . Jika mahu mengandai atau menyangka , pastikan andaian atau sangkaan itu baik . Jika mahu membentuk persepsi , bentuklah persepsi yang tepat dan benar .

6. Terlebih wajar sikap itu diambil tatkala kita berhadapan dengan sahabat seperjuangan . Meskipun wujud perbedaan pandangan dan kelainan tindakan dikalangan anggota jamaah , ianya tidak menghalalkan kita mencetus dan menabur fitnah . Fitnah yang dicetus samalah kita menikam dan membunuh sahabat seperjuangan kita bahkan kesannya lebih kejam .

7. Mengelak agar fitnah tidak terus subur menjadi tanggungjawab kita semua dengan memastikan diri kita tidak bercakap dan mengulas dalam perkara yang kita tidak tahu hujung pangkal atau jangan sekali - sekali membentuk sikap dan fikiran semata - mata mendengar dari satu pihak tanpa menilai dengan adil dan memberi peluang kepada pihak lain pula .

8. Padam segera api fitnah dan padam juga semangat dendam yang membara . Tiada siapa yang boleh mengaut keuntungan apabila fitnah ini merebak , sebaliknya jamaah akan binasa , anggota jamaah akan berpecah , masa depan perjuangan menjadi suram dan Allah swt akan murka .

9. Atas nama Allah swt kita bersyahadah , kitab suci al Quran menjadi rujukan bersama dan mendaulatkan Islam adalah matlamat kita , maka saya menyeru semua pihak agar kita bertaut kembali di atas nokhtah yang sama ini . Tiada yang membezakan kita dan tiada siapa yang boleh menjarakkan kita kecuali kita sengaja melakukannya atau kita sengaja membuka ruang kepada agent - agent musuh untuk menyelinap masuk merosakkan jamaah dari dalam .

10. Marilah kita menghayati kembali ruh berjamaah yang berpaksi di atas semangat ukhuwwah fillah yang utuh lagi intim . Jangan pula kita seronok melihat jamaah retak dan hubungan kita rosak . Mungkin banyak perkara terpaksa kita korbankan khasnya perasaan kita agar jamaah dan ukhuwwah kita kembali pulih malah lebih baik dari sebelumnya . Ianya tidak mustahil dan kita boleh melakukannya demi Islam .

Posted by Nasrudin Hassan at Tantawi_http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Kenyataan penuh Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Ustaz Harun Taib

- berkenaan kenyataan Mursyidul Am PAS dalam laman blognya

MARANG - 24 Okt- Ketua Dewan Ulama PAS, yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Ustaz Harun Taib telah mengadakan satu sudang media.

Sidang ersebut telah diadakan selepas majlis perasmian penutup sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pasti Negeri Terengganu di Rusila, disini, petang semalam, 24 oktober, 2009.

Berikut disiarkan kenyataan penuh, soal-jawab beliau dengan para wartawan yang hadir;

Dato’, minta komen kenyataan Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam blognya?

Dato’ Harun Taib: Setakat ini saya masih tidak percaya yang Tok Guru Nik Aziz buat kenyataan seperti itu.

Wartawan: Tapi, dia (Nik Aziz) mengaku?

Dato’ Harun Taib: Saya belum tengok lagi kenyataan (terbaru) dia (Nik Aziz) cuma surat khabar tulis katanya datang dari blog dia (Tok Guru) dan blog dia itu siapa tulis saya pun tidak tahu.

Wartawan: Dato’ ada baca blog itu?

Dato’ Harun Taib: Saya baca (blog) tetapi saya tidak dapat mengesahkan sama ada Tok Guru kata atau siapa kata, saya tidak tahu dan saya tidak percaya Tok Guru kata. Sebab, Tok Guru tidak akan buat kenyataan yang seperti itu dengan tidak ada alasan yang kukuh.

Wartawan: Kenapa, Dato’ rasa bukan Tok Guru yang tulis?

Dato’ Harun Taib: Saya rasa bukan Tok Guru. Sebab, Tok Guru saya kenal dia. Dia tidak buat kenyataan ‘sombrono’ dan dia mesti ada fakta, ada hujah, ada dalil. Takkan Tok Guru hendak buat kenyataan berdasarkan MCA buat macam itu, kita (PAS) juga hendak buat macam itu. Umno buat macam itu, kita (PAS) pun hendak buat macam itu. Mesti ada fakta, kita (PAS) parti Islam.


Wartawan: Jadi, siapa yang tulis jika bukan Tok Guru?

Dato’ Harun Taib: (ketawa)… Sesiapa pun boleh tulis dalam blog Tok Guru. Ini zaman canggihkan.


Wartawan: Jika benar Tok Guru yang tulis. Apa komen, Dato?

Dato’ Harun Taib: Nanti ternyata Tok Guru yang tulis baru saya boleh komen. Saya ada saluran saya untuk mengesahkan sama ada Tok Guru sendiri yang tulis atau tidak.


Wartawan: Apakah benar, ketiga-tiga (Hadi, Mustafa dan Hasan) itu pro-Umno?

Dato’ Harun Taib: Isu ini (kerajaan perpaduan) sudah habis dan sudah tutup buku. Tidak timbul lagi siapa pro-kerajaan perpaduan.


Wartawan: Dato’, ada petanda pergolakkan dalam parti PAS?

Dato’ Harun Taib: Tidak ada..tidak..tidak ada pergolakkan dalam PAS, tidak ada alamat dan tidak ada tanda. Cumanya, sengaja digoyang, ‘pokok digoyang’. Jika berkocak pun disebabkan ada orang yang sengaja menggoyangnya. Pokok itu sendiri tegak, teguh dan bukan sahaja mendapat sokongan dari orang-orang Melayu (Islam) sekarang ini tetapi juga mendapat sokongan dari orang bukan Islam dan bukan Melayu. Itu tanda keteguhan. Jadi, PAS sedang menunggu untuk mengalahkan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya ini.

Wartawan: Dato’, bagaimanakah nanti jika benar kenyataan itu bukan dari Tok Guru tetapi dari pihak tertentu?

Dato’ Harun Taib: Kita serah kepada pimpinanlah dan biar ternyata dahulu. Jadi, saya masih mengatakan bukan blog itu ditulis oleh Tok Guru Nik Aziz sendiri. Siapa yang tulis saya tidak tahu.

Wartawan: Dato’, jika betul?

Dato’ Harun Taib: Jika sah betul Tok Guru Nik Aziz yang tulis, saya akan komen kemudian dan datang jumpa saya. Saya akan buat komen semula._buletinonline

Salahuddin: Mesyuarat khas pusat ganti EGM

Okt 25, 09 6:13pm

PAS tidak akan mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) seperti yang dicadangkan oleh Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini, tetapi sebaliknya hanya akan mengadakan mesyuarat khas PAS pusat bagi membincangkan isu parti.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub memberitahu Bernama hari ini bahawa isu mengadakan EGM sudah tidak berbangkit kerana Nik Abdul Aziz sendiri yang mencadangkan forum itu ditukar kepada mesyuarat khas.

Salahuddin berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya semasa beliau mengadakan pertemuan dengan Nik Abdul Aziz di kediaman Menteri Besar Kelantan itu di Kota Baharu semalam.

"EGM tidak berbangkit lagi. Semalam saya adakan pertemuan dengan Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dan mendengar sendiri komen Tok Guru tentang PAS. PAS akan mengadakan mesyuarat khas PAS pusat dalam masa terdekat. Nik Aziz sendiri yang memberitahu saya ketika pertemuan di Kota Baharu semalam," katanya.

Jumaat lalu, Nik Abdul Aziz dalam blognya, www.bloktokguru.com mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar 'dua tiga kerat' pemimpin parti itu yang bermasalah.

Tiga pemimpin yang dinamakan dalam blognya ialah Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Ditanya sama ada pemimpin yang dikatakan "bermasalah" ada menghubungi beliau, Salahuddin berkata mereka hanya mendiamkan diri.

"Tidak seorang pun menghubungi saya sejak blog itu memaparkan (mengenai EGM)," katanya. _malaysiakini bm

Muktamar khas: PAS pusat nyatakan pendirian esok

Okt 25, 09 5:30pm

PAS pusat akan mengadakan satu sidang media pagi esok bagi menyatakan pendiriannya terhadap desakan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya parti itu mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu "dua tiga kerat pemimpin bermasalah".

Nik Aziz membuat desakan itu dalam laman blognya ekoran kemarahannya terhadap beberapa lagi pemimpin parti, antaranya Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali berhubung isu kerajaan perpaduan.

"Bila mesyuarat agung (Jun lalu) tidak mahu tukar presiden (Abdul Hadi), misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah.

"Begitu juga dengan isu-isu di sekitar Hassan atau Mustafa yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan perpaduan atau UG (unity government)," tulis Nik Aziz dalam blognya.

Nik Aziz berkata, beliau sedia berbuat sesuatu bagi menyelamatkan parti daripada terus menimbulkan tandatanya berhubung cadangan beberapa pemimpin tertinggi parti berhubung isu kerajaan perpaduan sehingga menimbulkan kecelaruan dalam parti.

Sidang akhbar tersebut akan berlangsung di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, di ibunegara pada jam 11 pagi esok.

Sidang media di bilik mesyuarat utama itu, akan di ketuai oleh Mustafa Ali.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata desakan Nik Aziz itu akan dibincang dalam mesyuarat Majlis Syura dan Jawatankuasa Pusat parti itu "dalam tempoh terdekat ini."

Beliau menyatakan demikian dalam kenyataan lima perenggan. Katanya, PAS juga akan mendapatkan penjelasan daripada mursyidul am berhubung pandangannya tentang keperluan mengadakan muktamar khas itu.

"Sama ada muktamar khas luar biasa itu perlu diadakan atau tidak, kita perlu dengar dahulu penjelasan daripada Mursyidul Am," kata Idris kepada Harakahdaily.

Idris juga menggesa pemimpin-pemimpin PAS agar tidak membincangkannya secara terbuka untuk mengelak isu ini dimanipulasi.

"Adalah menjadi satu kewajipan untuk setiap pimpinan dan ahli bertenang dalam menghadapi isu ini serta tidak melatah hingga memberikan peluang kepada pihak luar melontarkan lebih banyak peluru atau prasangka yang boleh memburukan imej parti," tegas kenyataan itu lagi.

Harakahdaily juga melaporkan bahawa sekurang-kurangnya dua pemimpin kanan PAS telah menemui Nik Aziz di Kota Bharu semalam untuk mendengar sendiri pandangan beliau mengenai perkara ini selepas tulisan beliau keluar dalam blognya.

Mereka ialah Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dan Naib Presiden, Salahudin Ayub.
Marilah Sertai AIP Soal Selidik Dalam Talian Dan Menangi Hadiah Lumayan!_malaysiakini bm

Saranan Muktamar Khas Mursyidul Am; Semua Pihak Diminta Bertenang

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad meminta supaya ahli dan penyokong PAS supaya bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang komen berhubung dengan saranan mengadakan Muktamar Khas oleh Mursyidul Am, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata, perkara tersebut InsyaAllah akan diselesaikan dengan seberapa segera, melalui pendekatan lazim yang diambil oleh PAS secara musyawarah, muzakarah atau pertemuan dari hati ke hati.

”Saya mengharapkan supaya semua ahli-ahli diperingkat bawah dan pimpinan diminta bertenang, InsyaAllah perkara ini kita akan dapat diselesaikan tidak berapa lama lagi melalui konsep secara lazim yang kita lakukan, (Klip Video: http://buletinonline.net)

”berdasarkan kepada pertemuan, muzakarah dan berbincang dari hati ke hati, dan InsyaAllah perkara ini akan diselsaikan dengan baik,”katanya yang ditemui ketika menghadiri satu program penerangan, di Chukai, dekat sini, semalam, 24 Oktober.

Beliau turut menyeru supaya sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak kepada media diharap tidak akan mengeruhkan lagi suasana dan keadaan.

Katanya, beliau yakin dengan kekuatan dan kebijaksanaan serta konsep ‘berlapang dada’ yang ada pada pimpinan PAS akan dapat menguruskan sebarang krisis sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.

”Kita penuh yakin kerana kekuatan yang ada pada pimpinan PAS didalam mengatasi pelbagai krisis (sebelum ini) kita berjaya, yang mana ketika menghadapi (isu) ‘Unity Government’ (sedikit masa) dulu,

”kita (dapat) lihat bagaimana suasana yang agak (meruncing seolah-olah) politik dalam PAS ini telah ‘bergoncang’,

”tapi AlhamduliLlah dengan kebijaksanaan, dengan konsep berlapang dada, dan juga konsep musyawarah yang dilakukan kepimpinan kita (PAS), AlhamduliLlah pekara itu dapat diselesaikan dengan baik,”jelasnya.

Menurutnya, tindakan segera yang akan diambil PAS adalah mengaturkan satu pertemuan diantara Mursyidul Am dengan kepimpinan tertinggi bagi mendengar sendiri apakah sebenarnya hasrat hati beliau.

”InsyaAllah kita akan bertemu dengan Tok Guru (Nik Aziz) sendiri, untuk (mendengar) dan berbincang apakah maksud hasrat dihatinya dan pandangan-pandangan yang kita perlukan (daripada) beliau,”ujarnya.

Katanya, beliau yakin dengan kaedah pertemuan tersebut dan percaya, semua pihak akan dapat menerimanya dengan baik.

buletinonline.net

Nasihat Pemuda Pas kepada ADUN Kota Siputeh

ALOR SETAR- Pemuda Pas Kedah ‘menasihatkan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif supaya tidak berasa risau menghadapi tindakan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail yang memohon kepada mahkamah menyemak semula keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan kedudukan beliau.

:Ketua Penerangan Pemuda Pas Kedah, Mohd Nasir Zakaria berkata, jika Abu Hasan berasa dirinya tidak bersalah, beliau tidak perlu gusar untuk berhadapan dengan masyarakat.

“Seorang pemimpin tidak perlu gentar ataupun berasa takut untuk berhadapan dengan masyarakat sekiranya beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan. Jadi apabila Abu Hasan mengambil tindakan mendiamkan diri ini seolah-olah beliau takut berhadapan dengan tindakan yang dikenakan kepada beliau dan ini mampu menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap beliau,” katanya.

Mohd Nasir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, Abu Hasan perlu bersikap terbuka, bukan sahaja kepada rakyat yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk menjaga kebajikan mereka malahan musuh politik.

Menurutnya, dengan bersikap terbuka, ia mampu menyakinkan rakyat bahawa beliau seorang pemimpin yang mempunyai keyakinan yang tinggi dan mengutamakan rakyat di kawasan tersebut.

sinarharian

Pas Perak tunggu penjelasan Nik Aziz

IPOH – Pas Perak tidak mahu mengambil sebarang keputusan mengenai Muktamar Agung Khas (EGM) selagi tidak mendapat penjelasan daripada Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, mereka tidak mahu membuat sebarang spekulasi yang hanya disiarkan melalui media massa.

“Eesok (Ahad) kita ada perjumpaan dengan ahli jawatankuasa Pas Pusat untuk berbincang hal lain, tetapi dalam masa yang sama kita akan tentukan masa dan tarikh sesuai bagi mendengar penjelasan dari Tok Guru.

“Persoalannya di sini sekarang, kami tidak tahu sama ada kenyataan berkenaan adalah sahih atau tidak dari mulut Tok Guru, sebab itulah kami perlu mendengar penjelasan sebenar dari beliau,” katanya, semalam.

Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain pula berkata, mereka tidak mahu campur tangan terhadap cadangan EGM yang dikemukakan oleh Nik Abdul Aziz itu kerana ada agenda yang lebih besar perlu disempurnakan.

“Apa pun keputusan biarlah Pas Pusat yang tentukan (EGM). Kita hanya fokus kepada proses pemulihan demokrasi dan pembubaran DUN Perak.

“Pada kami, inilah matlamat terdekat Pas Perak bagi merealisasikan perancangan untuk mengembalikan hak rakyat serta kestabilan politik negeri,” katanya.

sianrharian

Kemuka bukti sebelum tuduh pro-UMNO

SHAH ALAM – Pihak yang menuduh beberapa pemimpin Pas pro-UMNO perlu mengemukakan bukti yang kukuh sebelum berbuat demikian kerana tindakan itu hanya akan menjejaskan perpaduan dalam parti.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, beliau tidak bersetuju dengan pandangan Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari kerana tidak memberikan bukti yang kukuh dalam hujahnya.

“Beliau boleh memberi pandangan secara umum tetapi tidak boleh melabelkan mana-mana pemimpin parti sebagai pro-UMNO. Apa bukti yang menunjukkan pemimpin-pemimpin berkenaan pro-UMNO?” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mohd Khairuddin berkata, dakwaan mengatakan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai memihak kepada UMNO kerana idea Kerajaan Perpaduan bersama parti itu, adalah tidak berasas sama sekali.

“Saya tidak nampak bahawa Abdul Hadi seorang yang pro-UMNO kerana beliau antara pemimpin yang menjayakan kerajaan pakatan. Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali pula hanya memberikan cadangan untuk menjaga integriti kakitangan awam,” katanya.

Menurutnya, Muktamar Agung Khas (EGM) juga tidak perlu diadakan memandangkan tidak ada isu besar yang perlu dibangkitkan.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hasan berkata, masih ada cara lain untuk menyelesaikan masalah selain mengadakan EGM.

“Pertama sekali mesti balik kepada semangat berjemaah dan bermesyuarat dalam parti. Apa saja keputusan dan tindakan mestilah bersama,” katanya.

sinarharian

Nik Aziz Tetap Mahu Muktamar Khas

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap dengan pendiriannya meminta pimpinan parti itu mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menentukan kedudukan beberapa pemimpin yang menimbulkan masalah dalaman kepada parti.

Katanya, beliau tidak kisah walaupun ada negeri yang menolak cadangan itu, kerana apa yang penting hasrat untuk menyampaikan isi hatinya demi menyelamatkan parti, tercapai.

“Saya dah jawab dan saya tidak nak ulangi. Jawab sekali, dua kali, tiga kali, empat kali buat apa. Jawab dah kelmarin sekali cukuplah. Saya tidak akan tarik balik apa yang telah dinyatakan. Buat apa nak tarik balik kerana ia betul.

“Tak setuju tak apa. Saya hanya keluarkan fikiran (cadangan adakan muktamar khas) saya. Kalau setuju alhamdulillah, tak setuju tak apa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis kenduri doa selamat di Masjid Noor Aini di Pasir Hor, semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah bekas Menteri Luar, Tengku Ahmad Rithaudden yang membiayai pembinaan masjid berharga RM500,000 di kampung itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Tumbuh, Baihaqi Atiqullah.

Menteri Besar kelantan itu berkata, beliau sudah matang dalam politik dan tidak perlu mengikut telunjuk mana-mana pihak.

“Saya tidak mahu buat benda lain (pendekatan lain). Tak ada apa. Tak ada. Saya tak mahu buat benda lain, saya sebut sekali Pas terima Alhamdulillah, tak terima tak ada apa.

“Saya nak jaga Pas saya kerana Pas ini parti yang dihormati oleh masyarakat. Kalau ada orang itu ini, ada orang tulis artikel, saya kena buat sesuatu untuk menyelamatkan parti ini. Tanggapan orang, ikut dialah nak kata apa.

“Saya jawab saya buat dengan ikhlas nak jaga parti saya yang saya telah bajai lama, lama dah mengairinya, pagar pun dah lama. Tiba-tiba kalau ada orang kata begitu kepada kawan-kawan saya, saya sendiri pun terasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataannya mencadangkan parti itu mengadakan satu muktamar khas bagi menentukan kedudukan pemimpinnya, ditolak oleh sesetengah pemimpin Pas peringkat negeri atas alasan cadangan itu tidak perlu kerana tidak wujud pergolakan kepimpinan parti itu sama ada di peringkat pusat mahupun negeri ketika ini.

Semalam, Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan berkata, beliau sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika cadangannya supaya Pas mengadakan EGM boleh mencetuskan perpecahan di kalangan anggota partinya.

Katanya, beliau sedia berbuat sesuatu bagi menyelamatkan parti daripada terus menimbulkan tanda tanya berhubung cadangan beberapa pemimpin tertinggi parti berhubung isu kerajaan perpaduan sehingga menimbulkan kecelaruan dalam parti._

sinarharian