Sahabat Purnama

Isnin, 19 Oktober 2009

Lagi 2 Pilihanraya Kecil di Negeri Sembilan?

Ura-ura mengatakan bahawa 2 pilihanraya kecil akan diadakan di Negeri Sembilan.

ADUN Johol dan Lenggeng akan meletakkan jawatan untuk membolehkan pilihan raya kecil.

ADUN Johol Datuk Roslan Md Yusuf diura-ura akan berbuat demikian akibat mengalami sakit tulang belakang selepas jatuh sewaktu bermain badminton kira-kira dua bulan lalu.

ADUN Lenggeng, Mustafa Salim pula didakwa akan dipaksa meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kerana sedang dibicarakan atas pertuduhan rasuah.

Sama-samalah nantikan kesahihannya -ajijoi

Krisis Perak-Bicara RPK

Raja Petra mendedahkan dalam tulisannya, bahawa baginda Sultan di kedua-dua negeri, Perak dan Selangor sengaja melambat-lambatkan penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat hingga tertunda satu minggu sebelum diperkenan untuk mengangkat sumpah dengan mengenakan beberapa syarat.

Menurut dakwaan Raja Petra lagi, penundaan tersebut telah memberikan ruang masa dan kesempatan bagi kerajaan Barisan Nasioanal untuk memindah dan memusnahkan segala bukti salah laku yang ada.

Penundaan satu minggu itu juga memberikan kesempatan bagi Umno berbincang dengan PAS, bagi tujuan menubuhkan kerajaan UBN/PAS negeri Perak dan Selangor.

Ikuti seterusnya terjemahan tulisan Raja Petra seperti berikut :

Malahan Umno bersetuju melantik Menteri Besar daripada PAS bagi kedua-dua negeri tersebut serta menyetujui untuk melaksanakan undang-undang Islam.

Tetapi PAS tetap setia dengan rakan mereka DAP dan PKR lalu menolak tawaran Umno. Akhirnya Sultan tiada pilihan melainkan bersetuju untuk menerima angkat sumpah Pakatan Rakyat sebagai kerajaan di dua negeri, Perak dan Selangor.

Tetapi, ini tidak menghentikan mereka daripada membuat rancangan disebalik tabir untuk menjatuhkan kedua-dua kerajaan tersebut.

Sultan Selangor lebih bersedia untuk menimbang semula perkara tersebut sebagai ‘a fait accompli’ (sesuatu yang sudah dipersetujui dan tidak boleh diubah). Tambahan pula,Pakatan Rakyat di Selangor mempunyai majoriti yang jelas dan adalah rumit untuk membeli begitu ramai wakil rakyat. Tetapi Perak adalah berlainan sama sekali. Majoriti Pakatan Rakyat di Perak begitu tipis berbanding dengan Selangor.

Sejurus setelah kerajaan baru diperkenankan, Baginda Sultan Perak mula meminta itu dan ini dan sebagainya.Kerajaan Pakatan Rakyat Perak bersedia untuk melayani beberapa permintaan pihak istana Perak demi menjaga hubungan baik dengan istana.Tetapi apa yang di pinta oleh Sultan dan keluarga Baginda tidak dapat ditunaikan dan kerajaan Pakatan Rakyat Perak tidak ada pilihan melainkan berkata ‘tidak’ kepada permintaan Sultan.

Tentunya hal sedemikian amat mendukacitakan Sultan. Maka , apabila Pakatan Rakyat hilang majoriti, Sultan tanpa melengahkan masa, serta merta berkenan menerima angkat sumpah bagi kerajaan baru Barisan Nasional.

Pada mulanya, Sultan tidak begitu pasti samada Baginda patut singkirkan kerajaan Pakatan Rakyat bagi memberi lalauan kepada kerajaan Barisan Nasional. Tatkala Menteri Besar Pakatan Rakyat , Nizar Jamaluddin, mengadap baginda, memohon supaya Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi memberi laluan pilihanraya yang baru diadakan, Baginda bertitah akan memikirkannya terlebih dahulu.

Tetapi secara tiba-tiba selepas sahaja Perdana Menteri Najib Tun Razak, mengadap Baginda dan menggesa Baginda supaya menolak permohonan Pakatan Rakyat membubarkan DUN; Baginda berkenan menerima Barisan Nasional sebagai kerajaan baru.

‘Gesaan’ Najib adalah mudah.Nazrin, anakanda Baginda tidak akan menjadi Raja Muda Perak. Ini bermakna, Nazrin tidak akan ditabal sebagai pengganti Sultan. Dan apabila kelak Sultan mangkat, sebagai mana kepastian yang akan berlaku nanti, kerajaan persekutuan tidak akan menyokong Nazrin sebagai pengganti Sultan Perak . Lihat apa yang berlaku kepada Negeri Sembilan. Walaupun Yamtuan telah melantik anaknya sebagai pewaris tahta, namun itu tidak bermakna beliau menjadi Yamtuan yang seterusnya.

Maka, pewarisan Nazrin terhadap tahta negeri Perak bergantung kepada ‘hubungan muhibbah’ kerajaan pusat ; yang hanya sekiranya kerajaan negeri adalah dibawah Barisan Nasional maka adanya ‘hubungan muhibbah’ ini.Sekiranya Pakatan Rakyat kekal menerajui kerajaan, maka Nazrin dijangka membayar harganya apabila masanya tiba untuk menggantikan ayahandanya.

Tambahan pula, Sultan dan keluarga Baginda telah meminta banyak perkara , kesemuanya telah ditolak.Umno akan memastikan Baginda Sultan dan keluarganya akan memperolehi apa sahaja yang mereka mahu jika Barisan Nasional mengambil aleh kerajaan negeri Perak.

Dan dengan itu, nasib Pakatan Rakyat dimetrai.Sultan menerima Barisan Nasional sebagai kerajaan baru negeri Perak dan Pakatan Rakyat menjadi pembangkang.

Apakah yang Sultan dan keluarga Baginda mahukan yang Pakatan Rakyat katakan ‘tidak’ dan yang Barisan Nasional sekarang katakan ‘ya’?

Ya, jom kita lihat bagaimana dalam masa hanya beberapa bulan sahaja , Sultan dan keluarga Baginda tiba-tiba sahaja menjadi salah satu keluarga diraja yang terkaya di Malaysia, tentunya dengan mengorbankan Pakatan Rakyat.

1. Umno menganugerahkan Sultan sekeping tanah kerajaan lot 183578. Tanah seluas 600 ekar ,lokasinya di Tanjong Tualang, daerah Kinta. Tanah ini didaftar atas nama Mohamed Khaair Johari Hj Osman , proksi Sultan.

2. Umno menganugerahkan Sultan satu konsesi balak seluas 1,000 ekar di sepanjang km-11 lebuh raya Gerik-Kupang di Ulu Kenderong, Gerik, Hulu Perak. Konsesi ini asalnya telah diberikan kepada Universiti Utara Malaysia. Bagaimana pun, ianya di tarik balik dan diberikan kepada Pusat Kreatif Kanak-Kanak yang Pengerusinya ialah Raja Datuk Seri Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Shah.

3. Umno menganugerahkan Sultan tujuh konsesi pembalakan di kompartmen 39, 41, 42, 43, 44, 45 and 49 di hutan simpan Kenderong Hulu Perak. Tujuh lot yang luasnya lebih kurang 600 ekar, adalah dibawah nama dua syarikat proksi Sultan -- Syarikat Zotonjaya Sdn Bhd and Kibaran Wang Sdn Bhd.

4. Umno juga dijangka meluluskan satu cadangan ‘penanaman hutan semula’ (reforestation) melibatkan 10,781 hecta ekar. 5,781 hecta ekar di hutan simpan Gunung Besout , diselatan Perak sementara 5,000 hecta bekar lagi di Pondok Tanjung, di jajahan Larut Matang. Syarikat yang akan mendapat projek besar ini ialah Permatang Utama Sdn Bhd (nombor pendaftaran syarikat 513583-D) yang Pengerusi Eksekutifnya Datuk Seri Ismail Farouk Abdullah, menantu Sultan.

5. Selanjutnya lagi, Datuk Seri Ismail Farouk Abdullah telah di ‘izinkan’ untuk mengambil alih hak kerajaan negeri, Casuarina Hotel Ipoh, dengan harga rundingan ‘kerat leher’ hanya RM43 million; dimana harga yang jauh lebih tinggi boleh diperolehi melalui harga pasaran terbuka. Hotel tersebut terletak di satu kawasan utama Ipoh dan dengan hanya tanah kosong sahaja nilainya akan melibatkan wang yang begitu banyak.

Keluarga diRaja Perak bukan tidak berharta. Tetapi ianya umpama lebih tamak.Raja Datuk Seri Eleena Azlan Shah ialah seorang pengarah syarikat GAMUDA BERHAD dan merupakan orang Malaysia terkaya yang ke 25 dengan aset melebihi RM 773 juta. Ini menjadikannya wanita kedua terkaya di Malaysia selepas Puan Sri Chong Chook Yew, yang menduduki slot angka ke 18 dengan aset melebihi RM 1 bilion.

Gamuda Berhad telah dianugerahi lebih daripada RM10 bilion nilai kontrak.Ia mengawal dan menyelia 230 kilometres lebuh raya plus, adalah sebuah syarikat hartanah dan pemaju bandar dengan empat projek pembangunan bandara yang melibatkan lebih daripada 30,000 rumah.

Oleh itu kamu dah dapat tahu. Orang-orang Perak, terutamanya orang Melayu, bahawa Pakatan Rakyat tidak menghormati Baginda Sultan sebagaimana yang sepatutnya; fikirkanlah. Apa yang mereka tidak tahu ialah; Sultan tidak sepatut mendapat sebarang perghormatan.Dan ramai yang tidak menyedari bahawa kenapa Sultan mahukan Pakatan Rakyat tersingkir keluar dari Perak.

Sekarang, kami harap mereka sudah menyedarinya.

Ibrahim tidak ada nilai kepada PAS: Abd Latif

KOTA BHARU - PAS tidak akan menghalang Datuk Ibrahim Ali untuk menyertai UMNO sebaliknya keputusan itu harus disusuli tindakan berprinsip dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas.

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Abd Latif Abd Rahman berkata, dalam keadaan kini, Ibrahim tidak mempunyai nilai kepada Pas susulan tindakan yang tidak bertanggungjawab kepada parti tersebut.

Katanya, beliau sama sekali tidak terkejut sekiranya bekas Ketua Bahagian UMNO Pasir Mas itu mengambil keputusan tersebut memandangkan tingkah lakunya yang sering mencetuskan kontroversi khususnya pertelingkahan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat.

“Pas telah menyatakan sebelum ini Ibrahim perlu meletakkan jawatan, beliau sering mengatakan bahawa dirinya adalah individu berprinsip, oleh itu sebelum menyertai UMNO adalah langkah yang tepat untuk melepaskan jawatan itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ibrahim bahawa beliau tidak menolak kemungkinan menyertai semula UMNO jika perubahan yang dituntut oleh pucuk pimpinan parti itu berjaya diterjemahkan untuk membela serta melindungi kaum Melayu dan peribumi.

Mengulas mengenai penyertaan Ibrahim bersama Pas sebelum ini, Abd Latif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkebang berkata, ahli Parlimen Pasir Mas itu merayu kepada pimpinan Pas untuk bersama perjuangan parti itu.

“Kita tahu bahawa beliau sering melompat parti, tetapi bila rayuan dibuat, Pas melihat Ibrahim seolah-olah insaf, beliau pernah menyebut bahawa kalau tidak dapat masuk ke rumah Pas tidak mengapa, tetapi cukup berada di tangga.

“Oleh yang demikian Pas mempercayainya, namun sikapnya selepas itu telah menggambarkan beliau sememangnya individu yang tidak berprinsip dengan perjuangannya,” katanya.

Abd Latif berkata, dalam keadaan ini, Ibrahim tidak mempunyai pilihan selain meletak jawatan dan membiarkan rakyat membuat keputusan sama ada masih menerima kepimpinan beliau di Pasir Mas._sinarharian

Pemandu Merangkak Keluar Selamatkan Diri

KOTA BHARU – “Saya sempat membuka pintu kereta dan merangkak keluar dalam keadaan kesakitan sebelum kereta terbakar lebih teruk.”

Itulah gambaran saat getir dilalui oleh Tengku Ahmad Nazim Tengku Azizan, 30, kakitangan Jabatan Perangkaan yang terselamat setelah kereta jenis Persona dipandunya itu terbabas dan kemudiannya terbalik sebelum terbakar sehingga mengakibatkan tiga sahabatnya rentung.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi di Kilometer Dua Jalan Kota Bharu – Kuala Krai, tiga sahabatnya iaitu Wan Nordiana Mohd Kamarul Zaman, 22, dari Ketereh; Tengku Shamsu Tuan Ibrahim, 25, dari Tanah Merah dan seorang warga negara Amerika Syarikat Gonzalez Christoper, 25, rentung setelah kereta yang mereka naiki terbakar.

Tengku Ahmad Nazim yang memandu kenderaan berkenaan melecur di badan, lengan dan kaki itu ditempatkan di Wad Teratai di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dan dilaporkan stabil manakala mayat ketiga-tiga sahabatnya itu dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat.

Menurutnya, dia bersama kawan-kawannya itu pulang daripada makan di sebuah kedai sup belut dekat Jalan Pasir Mas – Salor kira-kira jam 4 pagi.

“Ketika dalam perjalanan saya cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing yang melintas dan kenderaan saya gagal dikawal menyebabkan terbabas.

“Selepas keluar dari kereta saya pengsan dan tidak menyedari apa yang berlaku sehingga menerima rawatan di hospital ini,” katanya ketika ditemui di HRPZ II semalam.

Sementara itu, bapa mangsa Tengku Azizan Tengku Mohamad, 63, berkata anak kelimanya itu keluar rumah sejak jam 10 malam pada hari kejadian.

“Pada awal pagi semalam sebelum saya keluar membeli barangan keperluan di pasar saya mendapati keretanya tiada di garajnya tetapi tidak mengesyaki apa-apa kejadian buruk yang berlaku kepadanya.

“Saya terkejut setelah menerima panggilan telefon daripada isteri saya, Che Zabidah Ibrahim, 66, kira-kira jam 7.30 pagi memaklumkan pihak hospital menghubunginya memberitahu Nazim kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Operasi menyelamat dari Balai Bomba Kota Darul Naim, Ghani Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.13 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera serta 12 anggota.

Ghani berkata, ketika sampai di tempat kejadian pihaknya mencuba untuk menyelamatkan kesemua mangsa yang berada di dalam kenderaan itu tetapi gagal ekoran api sudah merebak dengan cepat.

“Bagaimanapun, anggota mengambil masa 15 minit untuk mengawal kebakaran sepenuhnya dan bomba terpaksa memotong kenderaan untuk mengeluarkan mangsa yang rentung.

“Salah seorang daripada mangsa berada di bawah kereta berkenaan dan sudah didapati rentung,” katanya._sinarharian

Zaid cuti rehat, bukan tekanan: Anwar

KUALA LUMPUR – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan mengatakan Datuk Zaid Ibrahim mengambil cuti enam bulan dan tidak akan menghadiri mesyuarat biro politik parti kerana tekanan dihadapi dalam parti itu.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mahu berehat di samping mengerjakan ibadah haji di Mekah, November ini.

“Zaid bercuti kerana mahu mengerjakan haji dan menyelesaikan urusan peribadi lain,” katanya kepada media selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjuran PKR Lembah Pantai di sini, semalam.

Ketua Pembangkang itu turut menafikan perselisihan faham antara Zaid dengan Naib Presiden PKR, Azmin Ali sebagai satu masalah besar dalam parti, sebaliknya boleh berlaku terhadap mana-mana pemimpin.

Anwar berkata, beliau juga pernah berselisih faham dengan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang lain sebelum ini tetapi disebabkan komitmen tinggi terhadap rakyat, perkara itu boleh diselesaikan secara baik dengan berunding.

“Ini bukan konflik MCA, bukan konflik MIC mahupun peperangan dalam UMNO, perkara ini menjadi besar kerana digembar-gemburkan oleh media yang dikawal UMNO-Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan mengejut Zaid yang mengumumkan ‘cuti politik’ selama enam bulan berkuat kuasa serta merta.

Tindakan Zaid itu bagaimanapun didakwa sesetengah pihak akibat perselisihan faham dengan Azmin.

Menurutnya, PKR sentiasa berpendirian mana-mana pemimpin pusat boleh datang ke majlis anjuran negeri atas pelawaan seperti mana beliau hadir ke rumah terbuka di mana-mana saja.

“Zaid boleh hadir mana-mana majlis atas pelawaan PKR negeri dan ini adalah pendirian kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar menyifatkan UMNO melakukan pindaan Perlembagaan parti semata-mata untuk kelangsungan hidup parti itu dan BN.

Menurutnya, ia dibuat untuk memberi gambaran kepada rakyat bahawa UMNO bersungguh-sungguh mahu membanteras politik wang sedangkan perkara lain seperti sistem kehakiman, polis dan media langsung tidak berubah.

“Walaupun mereka menukar polisi dan agenda parti mereka, bagaimana pula dengan sistem-sistem yang dikawal oleh UMNO-BN, semua ketua adalah dari muka-muka lama, jadi perubahan apa yang mereka cakapkan?

“Mereka sanggup buat apa saja demi kelangsungan hidup UMNO, kelangsu- ngan hidup pemimpin UMNO dan memanjangkan sedikit riwayat hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata, UMNO melakukan perubahan itu kerana perjuangan rakyat yang dibawa oleh Pakatan Rakyat semakin mendapat sokongan akar umbi.

Ditanya sama ada PKR turut melakukan pindaan terhadap parti, Anwar berkata, PKR selama ini jauh lebih telus daripada UMNO. _sinarharian

Perbezaan PAS dan UMNO

Ditulis oleh Webmaster DUPP

Masalah PAS dan UMNO bukan masalah berapa bilangan masjid yang dibina, bukan berapa bilangan sekolah agama yang dibina, bukan masalah institusi kewangan Islam, bukan masalah berapa buah pusat pengajian tinggi Islam yang dibina, bukan berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk membina lapangan terbang, lebuh raya dan lain-lain, bukan berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk pendidikan tinggi dan rendah yang dibelanjakan oleh UMNO atau PAS.

Masalah antara UMNO dan PAS ialah dasar dan matlamat pejuangan yang jauh berbeza. PAS memperjuangkan agar Islam menjadi aqidah Negara Malaysia, samada dari sudut pentadbirannya atau kehakimannya dan lain-lain. Pendek kata, apa yang terkandung didalam dua kalimah syahadah iaitu tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH, Nabi Muhammad S.A.W pesuruh ALLAH itu hendaklah terlaksana dalam kehidupan individu, masyarakat dan Negara.

Adapun pun UMNO sering mencabar tuntutan dua kalimah syahadah itu. UMNO kelihatan melakukan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan puasa bulan ramadhan, mengerjakan haji, menjalankan aktiviti nikah kahwin mengikut Islam. Tetapi pentadbiran dan pemeritahan Negara mencabar Quran dan Sunnah. Sebab itu, dengan rasa senang hatinya, UMNO yang menjadi teras kepimpinan Negara, terang-terang menolak hukum ALLAH didalam bidang pentadbiran, kehakiman, perundangan, pendidikan dan lain-lain.

Oleh kerana itu, Malaysia yang sejak merdeka, yang dipimpin oleh UMNO dan Barisan Nasional menghadapi masalah yang tidak terhitung banyaknya. Masalah keselamatan, janayah, rasuah, penyalahgunaan kuasa, rompakan kecil atau besar, rompakan institusi kewangan, rompakan kaum wanita, warga emas dan kecurian disetiap detik berlaku dinegara ini.

Setelah lebih 50 tahun UMNO memerintah, Islam dan kekuatan orang Melayu terhakis. UMNO menghapus “kuasa imuniti Raja-Raja” yang menjadi salah satu kekuatan institusi Islam di Malaysia. UMNO membenarkan “Riddah” atau murtad berleluasa. UMNO juga mengamalkan budaya “Hendonisme” budaya “akhlak bobrok” melalui agensi-agensi penyiarannya.

Isu penyalahgunaan dadah, isu mat rempit, isu pendatang tanpa izin, isu ISA, ini semua berlaku selepas Malaysia dipimpin oleh UMNO. Puncanya ialah tidak menhayati kandungan ‘LA ILAHA ILLA ALLAH’. Oleh itu, jika pemimpin UMNO masih mengaku mempertuhankan ALLAH, menabikan Muhammad S.A.W, kenapa UMNO boleh sembahyang mengikut ajaran Islam, mengapa tidak boleh mengikut Islam dalam memerintah Negara? Adakah UMNO mengambil konsep beriman separuh kitab dan menolak separuh yang lain.

Kalau hanya bercakap membina masjid, di United Kingdom ada masjid, di Amerika Syarikat ada masjid, di Cina ada masjid, di Singapore ada masjid, di German pun ada masjid. Namun pentadbiran Negara mereka juga tidak mengikut ajaran islam. Oleh kerana itu, status kedudukan pemimpin dinegara barat dan timur yang Sekular, sama dengan kedudukan pemimpin UMNO diMalaysia ini.

Oleh kerena itu, saya rasa amat bertanggungjawab untuk menasihat kepada umat Islam di Malaysia ini, supaya jangan terjebak dengan kenyataan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO khususnya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika berkempen di Manek Urai baru-baru ini (rujuk salah satu akhbar harian Malaysia) tentang UMNO membela Islam dan menegakkan syiar Islam.

Secara peribadi pula, sewaktu Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor, beliau telah mengubah cuti am pada hari Jumaat kepada hari Ahad, sekaligus menjadikan amalan cuti itu seperti amalan orang-orang Nasrani. Apakah ini satu pembelaan terhadap Islam?

Saya ingin membuat contoh yang kecil tentang UMNO mencabar Al-Quran. Antaranya, Al-Quran dengan jelas dan terang mengarahkan supaya orang islam menjauhkan diri daripada arak, judi, berhala, sudi nasib atau tenung nasib, tetapi UMNO yang memimpin Malaysia mengeluarkan lesen arak, memberi lesen judi. Apakah ini satu pembelaan kepada Islam? Untuk satu contoh lain, umpamanya ALLAH memerintah supaya Negara ditadbir dengan ajaran ALLAH, namun UMNO menolaknya.

Oleh kerana itu, jika sekiranya masih wujud benih-benin iman di dalam hati para pemimpin UMNO, maka saya merayu kepada mereka dan kepada orang yang seiringan dengan mereka supaya mereka bertaubat dan kembali kepada jalan ALLAH. Sekiranya mereka mempunyai masalah didalam usaha kembali kepada jalan ALLAH itu, maka Dewan Ulamak PAS Pusat menawar diri untuk memberi khidmat bakti kepada mereka.

Meneruskan Perjuangan Para Nabi

Dato’ Ustaz Haji Harun bin Taib
Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat

http://ulamak.pas.org.my/

Bagan Pinang: Persimpangan Kritikal Buat Semua?

Dr Dzulkefly Ahmad
Sun | Oct 18, 09 | 8:51:08 am MYT

Benar, Tan Sri Isa Samad menang besar di Bagan Pinang. Semua pihak akur yang Isa memang sukar digugat di Bagan Pinang, bahkan di seluruh kawasan parlimen Telok Kemang, yang beliau adalah Ketua Bahagiannya. Menawan kerusi ini dari Isa, semacam hendak merampas Permatang Pauh dari DS Anwar. Bukan senang.

Bukan sahaja pihak lawan, bahkan MB Mohd Hassan dan tidak keterlaluan kalau dikatakan DS Najib, Presiden Umno itu pun tak boleh cabar Isa di situ. Sebab itu hanya dituruti saja kehendak penyokong tegar Isa. Kalau bertanding bebas pun dikatakan Isa akan menang.

Sebab itu, Umno tidak ada pilihan kecuali untuk meletakkan Isa juga, meskipun disanggah kedua-dua mantan Presiden, Tun dan Timbalannya, Ku Li. Mentelahan, setelah kalah 7-0 dalam p/raya kecil di Semenanjung dan 4-0 di tangan PAS, Umno tekad dan desperat untuk menang, walau dengan apa jua cara pun. Persetankan pengkritik.

Formula mereka mengena. Bahkan mereka untung besar. Pimpinan Umno bersorak dan berkokok sekeliling kampung. Lama mana media BN akan mainkan belum pasti.

Umno akan berhenti bersorak ketika mereka sedar bahawa Bagan Pinang, tidak menggambar Malaysia sebenarnya. Kemenangan Bagan Pinang sukar untuk dijadikan ukuran. Yang menang pun, mengikut ramai pundit politik bukan Umno/BN tetapi Isa Samad!

Image Sememang Isa adalah peribadi yang rata-ratanya disenangi banyak pihak. Orangnya mudah bicaranya tidak canggih seperti juga pemikiranya. Namun Umno sendiri tahu bahawa Isa bukanlah tokoh yang hendak di'ikonkan' Umno. Isa adalah sebaliknya dari cita-cita pembaharuan mereka. 22 tahun menjadi MB bukan masa yang singkat. Tapi Isa gagal menjadi mercu-tanda atau lambang kemegahan Umno. Mereka jua tahu dan faham.

Tidak banyak yang mampu dibariskan Umno bagi memperagakan pencapaiannya. Sebaliknya setiap hari kempen menyaksikan jentera penerangan PAS/PR menyenaraikan kepincangan, ketimpangan dan ketidaksudahan kerja tangan Isa. Masih banyak yang berbaki yang tidak sempat didedahkan kempen Pakatan.

Samada kegagalan itu akibat rasuah, kronisme atau pendeknya ketidakcekapan kepemimpinannya atau 'Plainly Incompetent' dalam bahasa inggerisnya, dengan izin. pengundi Bagan Pinang tidak peduli samasekali. Mereka sudah tekad untuk mengundi Isa. Umum kurang faham sebabya.

Kajian sikap dan persepsi menunjukkan pengundi hanya memberikan 8% perhitungan kepada soalan isu-isu kempen, sementara meletakkan 45% perkiraan calon dan 30% kepada parti yang bertanding. Sukar menembusi pengundi seperti ini. Ini kepelikan Bagan Pinang yang penganalisis kerusi empuk atau pengamat maya kurang faham.

Nah, sekarang Najib berdepan dengan dilema besar. Umno dikatakan akan kembali releven kerana kemenangan Isa Samad. Ironisnya Umno semacam mendapat talian hayat dengan Isa. Umno yang mengambil tindakan disiplin menghukum Isa kerana politik wang atau rasuah, kini terpaksa bersandarkan Isa untuk membenteras imej Rasuah parti Melayu terbesar itu. Ini cukup menyeksa Najib dan pimpinan Umno.

Bahkan mungkinkah Najib terpaksa mengintai-ngintai peribadi-peribadi seangkatan Isa. Mungkin mantan Ketua Menteri Melaka, mantan MB Pahang, Perlis dll, andainya berlaku pulak pilihanraya kecil lagi di negeri-negeri Umno/BN ini. Apakah golongan dari orde lama ini yang akan diharapkan menghidupkan Umno kembali seperti yang ditunjukkan di Bagan Pinang? Bagaimana dengan pemunggaran semula Umno?

Masih banyak kerusi-kerusi seumpama Bagan Pinang yang Umno masih boleh menaruh harap untuk menang besar di Negeri Sembilan, Melaka atau Johor. Kemudian berkokok kuat-kuat bahawa rakyat telah kembali kepangkuan Umno/BN. Najib silap dan partinya pun silap membuat ektrapolasi atau rumusan borong seperti itu untuk seluruh negara. Hati kecil mereka tahu bahawa dakwaan mereka tidak dapat mereka benarkan sendiri.

Kemenangan Umno di Bagan Pinang ialah kedudukan 'status-quo'. PAS turun sebagai 'underdog' dan Umno sebagai 'juara menanti' atau 'incumbent'. Macamlah PAS menang di Bukit Gantang, Penanti dan Manik Urai, atau PKR memenangi kerusi Permatang Pauh. Kelainan hanyalah terdapat pada kerusi Kuala Terengganu yang ditawan oleh PAS dari Umno. Itu boleh berkokok kuat-kuat. Itu lonjakan dan prestasi luarbiasa namanya.

Sebaliknya, Najib dan media BN terlalu ghirah untuk meyakinkan bahawa slogan 1-Malaysianya telah diterima rakyat dengan kemenangan Isa. Maka apakah Isa itu 1-Malaysia ke? Apa barang ini 1- Malaysia? 'Maskot'nya Isa Samad ke?

Kini Najib terperangkap dengan kelemahan kepimpinannya sendiri. Umno terlepas peluang di Bagan Pinang untuk memerdekakan ahli, pengundi dan rakyat. Beliau gagal menampilkan orang muda, profesional dan mungkin juga bersih untuk proses penambahbaikan atau 'reengineering' Umno.

Umno mahu terus mencandukan rakyat dengan imbuhan, sogokan dan gula-gula yang mampu ditaja oleh seorang mantan MB yang mewah setelah 22 tahun 'mengemudi' negeri terbanyak itu.

Umno tidak bersedia bermain di pentas 'Politik Baru' �politik berteraskan pengundi yang dibekalkan maklumat, lantas keberanian memilih sesiapa pun yang mereka tanggap mewakili cita-rasa dan harapan mereka.

Image Justeru, Najib gagal meyakinkan rakyat seluruhnya bahawa dia komited untuk memerangi rasuah dan politik wang. Mereka tahu bahawa Isa bukan ikon 'pembenteras rasuah' bahkan sebaliknya. Di satu sisi, nampaknya MCA jauh lebih berani membuat tekad perubahan dalam pergolakan dalaman parti itu mutakhir ini.

Umno telah menggunakan Mesyuarat Agung parti itu untuk menjadi pemangkin proses pemulihan dan rawatan parti itu? Umno masih mahu mencuba. Pindaan perlembagaan parti itu dalam mesyuarat khasnya telah dijadikan retorik terbuka ke atas komitmen tersebut. Hanya masa akan menentukan komitmen mereka terhadap program pembasmian rasuah dan pemunggaran semula Umno.

Apakah keberanian menciplak slogan dan retorik Pakatan yang nyata lebih selesa dengan pendekatan 'Inklusif' dan 'Rentas-Kaum' dalam advokasi tawaran politiknya, seperti mana slogan Pakatan atau PAS contohnya dengan slogan 'PAS Untuk Semua'?

Apakah Umno akan mengendurkan paksi 'Ketuanan Melayu'nya sekaligus terpaksa mengakui kelebihan slogan Pakatan dengan satu yang Inklusif yakni 'Ketuanan Rakyat'. Umno jelasnya tercepit dan terperangkap dengan dogma pemikiran lamanya. Kini kesemua dogma itu menghantui kesinambungan survivalnya dalam arus Politik Baru.

Umno takut untuk membuat perubahan besar meninggalkan paksi lamanya kerana takut kehilangan sokongan tegar Melayunya. Umno tidak pasti akan dapat mengembalikan sokongan India dan Cinanya dengan pendekatan baru ini, tapi yang jelasnya Umno khuatir kehilangan sokongan undi Melayunya, andaikata gagasan ini ditolak oleh pengundi tegar Melayunya bahkan sesetengah pemimpin dan ahli akar-umbinya. Ini dilema Umno dipersimpangan ini.

Mungkin ada yang menelah, apa kurangnya PAS dan Pakatan?

Episod-episod pertentangan samada di antara parti-parti komponen Pakatan atau dalaman mana-mana parti itu sendiri, samada dalam PAS atau PKR, adalah bibit-bibit pencerminan konflik dan dilema yang sedang dilalui Pakatan. Ini pengamatan penulis.

Image Sebaliknya Pakatan jangan bermudah untuk menyembunyikan hakikat ini. Lebih berani Pakatan menangani ini permasalahan ini secara kolektif dan konsisten, lebih baik natijahnya bagi Pakatan. Menyapunya ke bawah karpet hanya akan melengah letupan bomb jangka ini. Ia tetap akan meletup.

PAS dan Pakatan boleh sahaja meletakkan kekalahan di Bagan Pinang kepada masalah Undi Pos atau keganasan pihak lawan sehingga mencetuskan 'fear factor' khususnya di kalangan pengundi Cina dan India di estate- estate. Mungkin ada kebenarannya.

Namun ramai yang mahukan keputusan Bagan Pinang menjadi satu 'wake-up call' atau kejutan dari mimpi enak Pakatan, yang sejak selepas Mac 2008 di perkuatkan dengan kemenangan 7-0 ke atas Umno/BN di Semenanjung.

Mereka mahu PAS dan parti-parti komponen Pakatan, wajar menjadikan PRK Bagan Pinang sebagai satu 'peringatan tegas' bahawa 'Road-Map' ke Putrajaya tidak semudah dan semanis yang dituturkan pemimpin Pakatan.

Kalau benar-benar Agenda Perubahan Besar PRU ke-13 mahu digapai dan direalisasikan, maka tahap kesiapsagaan dan keserasian bekerja sebagai sebuah Koalisi Politik yang bakal menjadi Kerajaan Pusat, semestinya diperbaikki segera. Mereka mahukan Pakatan menunjukkan keupayaannya untuk bertindak sebagai satu Koalisi yang mantap dan kredible. Mereka mahu pertelingkahan titik bengit dan perhitungan kepentingan partisan atau parokial parti-parti komponen Pakatan diselesaikan segera dengan bijak dan cermat.

Percakaran dan perbalahan di antara pimpinan komponen Pakatan khususnya yang menerajui kerajaan negeri atau di Pusat disaran dihentikan segera. Mekanisme mengatasi perbezaan dan pertikaian polisi khususnya yang berunsur ras, kaum dan agama mesti diurus dengan bijak, cermat dan berkesan. Sikap berdolak-dalik atau tidak konsisten dan komited dengan dasar-dasar yang disepakati tidak wajar diberi ruang untuk menjadi cemohan dan modal politik pihak lawan mendakwa kerapuhan perpaduan Pakatan.

Tindakan disiplin terhadap sesiapa pun pimpinan yang tidak mengikut peraturan-peraturan yang disepakati oleh Muafakat Politik di peringkat Majlis Presiden mesti dikuatkuasakan dengan tegas.

Pakatan wajar tahu bahawa PRU ke-13 tidak akan dimenangi dengan hanya kebencian rakyat terhadap Umno/BN. Mereka mahu PAS, DAP dan PKR tidak bercakaran tentang isu agama, perundangan dan kepentingan kaum. Rakyat mahu saksikan formula baru Pakatan. Mana Agenda Ekonomi Baru Malaysia? Mana agenda pemulihan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia di bawah Pakatan? Mana agenda pembangunan yang lebih lestari, mapan dan berteraskan kesejahteraan rakyat? Bagaimana Pakatan akan mendemokrasikan ekonomi negara?

ImageMana agenda pembangunan yang tidak membawa kemusnahan alam sekitar dan kerosakan nilai insaniyah? Mana agenda urus-tadbir yang baik Pakatan yang membezakan kebobrokan Umno/BN? Kesemua ini mesti ditampilkan supaya rakyat mampu menilai Pakatan sebagai kerajaan menanti. Mereka juga mahu Pakatan didaftarkan segera dan tampil sebagai satu Koalisi Politik yang kuat dan kredible.

Bagan Pinang jelasnya adalah hak milik Umno/BN sekali lagi. Isa Samad telah memenangi pertempuran kali ini. Umno/BN berjaya mengekalkan kerusi ini. Namun dalam 3 hari selepas Bagan Pinang, Umno mahu meyakinkan rakyat di seluruh negara bahawa mereka telah berubah. Mereka sudah melalui transformasi.

Yang jelasnya banyak retorik oleh pemimpin yang dilaungkan dan kata-kata molok tentang transformasi dan perubahan. Dalam 3 hari belum ada apa-apa yang di lihat rakyat lagi, cuma kata-kata mereka yang didengari. Kesemua itu telah dilalui dulu. Legasi itu akan berulang lagi. Benarkah seperti kata Timbalan Presidennya bahawa Umno telah bersedia bertempur? Hebat. 3 hari bertempek dan bersorak, Umno telah meyakinkan seluruh dunia bahawa mereka telah berubah, telah merawat segala gejala-sindrom kerakusan kuasa, rasuah dan amaln politik wang pimpinan mereka. Aneh.

Penulis berkeyakinan hanya kelompok yang berjaya membaca kehendak rakyat dan aspirasi pengundi serta mampu menampilkan kepimpinan yang kompeten, berwiba, telus, berani dan beramanah sahaja yang akan bakal memenangi perperangan PRU ke-13.

Pakatan atau BN kah yang memilikki ciri-ciri kepemimpinan ini?

Masa akan menentukan. Allah Lebih Mengetahui.

--------------------

Penulis adalah Pengarah Operasi jentera PAS pilihan raya kecil Bagan Pinang yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor._ harakahdaily.net

Umno Tetap Parti Yang Sudah Lemah, 1Malaysia akan Lenyap !

Monday, 19 October 2009 08:17 SM Noor
E-mail Print PDF

KUALA TERENGGANU – Apa pun perubahan yang mahu dibuat oleh Umno, ia mesti mengakui bahawa ia tetap sebuah parti yang sudah lemah, menghadapi kemunduran kerana telah mengalami kehakisan sokongan dari rakyat Malaysia.

Manakala konsep perpaduan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak hanyalah slogan yang rapuh dan akan mengalami nasib yang sama sebagaimana slogan-slogan yang dikemukakan sebelum ini.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak perlu memberikan komen lanjut tentang apa perubahan yang mahu dilakukan oleh Umno ekoran ’geger’ dalam mesyuarat Agung Luar Biasanya baru-baru ini.

”Terpulanglah kepada Umno untuk membuat perubahan, saya masih tetap menganggap Umno parti yang sudah lemah, satu parti yang sudah mengalami kehakisan (sokongan dan kekuatan),

”dan kekuatannnya (hanya) bergantung kepada ’tongkat-tongkat’ bukan diatas dirinya sendiri, Umno bergantung dengan jentera-jentera kerajaan (untuk menang dalam pilihanraya) bukan dengan kekuatannya sendiri,”ujarnya apabila diminta wartawan memberi komen tentang Umno yang cuba membuat perubahan, sebagaimana kata Presidennya.

Ustaz Abdul Hadi berkata antara tongkat yang menjadi ’tempat bergantung’ Umno adalah Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), satu badan pengendali pilihanraya yang sepatutnya bertindak adil dan saksama.

Namun, katanya SPR digunakan oleh Umno untuk menambahkan undi dalam pilihanraya dan memenangkan Umno dengan undi pos.

”(Umno menang) bukan dengan undinya sendiri, Umno menang dengan undi pos,”katanya, merujuk kepada perkembangan terbaru, dimana dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang calon Umno telah menang besar, majoritinya adalah dari undi pos, melalui undi angkatan tentera.

Justeru kebangkitan PAS melalui agenda ’PAS For All’ dilihat sesetengah lebih berjaya dari slogan-slogan perpaduan Umno, yang mana sehingga kini, tidak mampu menyatukan rakyat Malaysia secara hakiki.

”Kita mempunyai konsep yang lain dari 1Malaysia, konsep kita perpaduan Malaysia, itu yang perlu diujudkan (bagi menyatupadukan rakyat Malaysia),

”kita tidak boleh menafikan hakikat berbagai kaum (dan) berbagai bangsa (yang ada) kerana kaum dan bangsa ini ciptaan tuhan, yang kita tak boleh hapus (kan),

”apa yang penting ialah mewujudkan perpaduan, tidak ada erti dan makna kita kemukakan slogan tetapi dari segi praktikalnya (perpaduan) tidak berlaku,”jelas beliau keketika sidang media semasa Ijtimak Kepimpinan PAS Terengganu, kelmarin.

Menurut Ustaz Abdul Hadi, slogan-slogan yang dikemukakan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional umpamanya slogan ’Islam hadhari’ dan slogan ’Bersih, Cekap, Amanah’ tidak berjaya menyatupadukan rakyat.

”Saya mengaggap itu slogan (1Malaysia) akan mengalami nasib yang sama,”tegasnya.

Ia adalah kerana, katanya, konsep Perpaduan Malaysia adalah satu konsep yang berasal dari Islam dan ia sudah lama diamalkan oleh PAS.

”Konsep (Perpaduan Malaysia) sudah lama yang diamalkan, sudah kita perjuangkan sejak dulu, dimana konsep perpaduan kita (PAS), (yang pertama) perpaduan di kalangan umat Islam, yang kedua, perpaduan dikalangan umat manusia, ini dianjurkan oleh al-quran yang kita terus laksanakan,”ujarnya, yang jelas merujuk kepada kenyataan Allah dalam al-Quran.

Perpaduan yang dianjurkan oleh Allah sesama Islam jelas dinyatakan dalam surah al-Hujarat, ayat yang ke 10;

Yang bermaksud;

”Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Manakala perpaduan diantara kaum dijelaskan oleh Allah dalam surah yang sama, berdasarkan ayat ke 13;

Yang bermaksud;

” Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

buletinonline

Kewajiban Berwasiat, Bertaubat Sebelum Tidur

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Imam Ghazali menyatakan; bahawa doa kebanyakan para nabi a.s., ialah berdoa seperti berikut (yang bermaksud): "Ya Allah Tuhanku, aku minta ampun kepada-Mu daripada sebarang dosa yang aku telah bertaubat, tapi setelah itu aku lakukan semula. Aku minta ampun daripada semua yang telah aku janji dalam hati kepada-Mu tetapi tidak aku laksanakan.

"Aku bertaubat daripada dosa waktu aku ibadat untuk-Mu, tetapi tiba-tiba mencelah sesuatu menyebabkan ibadah berubah kepada kerana yang lain daripada-Mu.

"Aku mohon ampun kepada-Mu kerana nikmat yang Engkau kurniakan itu sepatutnya untuk mentaati-Mu, sebaliknya telah aku gunakannya untuk ingkar suruhan-Mu.

"Wahai Tuhan yang Maha Mengetahui sama ada yang zahir atau yang terselindung, aku minta ampun daripada sebarang dosa yang aku lakukan pada siang hari atau pada malam gelap di tempat tersembunyi, ketika beramai atau ketika seorang diri, ampunilah daku wahai Tuhan yang Maha Lemah Lembut."

Demikian doa dan istighfar para nabi sejak daripada Nabi Adam a.s. hingga ke Nabi Muhammad s.a..w., telah dinukilkan oleh Imam Ghazali yang dimuatkan dalam kitabnya untuk mendapat perhatian dan menjadi amalan umat akhir zaman, yang persoalannya sangat penting dan bernilai tinggi.

Kini akan membincangkan mengenai adab tidur. Meskipun tidur itu sebagai perkara tabiei kebiasaan bagi manusia, sebagaimana makan minum dan naluri lain seumpamanya, semua tuntutan naluri tabiei dan segala gerak-geri itu, boleh dijadikan sumber pahala untuk bekalan ahirat.

Tidur merupakan kesinambungan daripada sifat mengantuk. Sesungguhnya sifat mengantuk itu bukan sesuatu yang dicari atau diusahakan, tetapi ia terjadi setelah tubuh letih akibat aktiviti kerja sepanjang hari.

Islam mengajar manusia sama ada perkara yang diikhtiar atau tidak jika seseorang itu tahu, ia akan jadi bekalan hidup di akhirat.

Tidur setelah didahului rasa mengantuk kurniaan Tuhan, akan menjadikan tubuh rehat dan cergas segar semula. Di akhirat ada habuan bagi manusia itu.

Justeru Islam mengajar peraturan dan adab tidur, supaya tidur menjadi suatu ibadah yang berfaedah kepada manusia di dunia dan akhirat.

Peraturan dan adab yang pertama, ialah bersihkan mulut dengan bersugi (gosok gigi) dan bersuci serta berwuduk.

Islam bukan saja suruh berwuduk ketika hendak menunaikan solat atau membaca al-Quran, bahkan Islam anjurkan berwuduk itu mengajar manusia agar tidur dalam keadaan beribadat kepada Allah SWT.

Seseorang yang berwuduk andainya meninggal dunia semasa tidur, maka matinya dalam keadaan suci bersih. Tiada yang boleh beri jaminan bahawa selepas tidur dia akan bernafas semula untuk meneruskan hidupnya.

Oleh itu apabila seseorang hendak tidur dia hendaklah bersiap, kerana dia sendiripun tidak tahu masih adakah baki umurnya selepas tidur.

Setelah bersugi dan berwuduk mereka dikehendaki bersiap menyediakan air (khusus di tempat yang sukar air) untuk bersugi dan berwuduk selepas bangun pagi esoknya.

Jika dia dikurniakan umur lagi, persiapan itu untuk mengulangi keperluan bersugi dan berwuduk sebagai sunnah Nabi s.a.w.

Sebelum meletakkan kepala atas bantal untuk tidur, hendaklah dia menaruh azam dalam hati dengan niat untuk bangun menunaikan ibadat solat tahajud dan witir juga ibadah selainnya.

Kalau tidur berniat begini akan dipermudah oleh Allah SWT untuk bangun pada hujung malam. Ini kerana tidur dengan hasrat untuk melakukan ibadah sebagaimana kelazimannya, tidurnya tidaklah tidur mati tetapi sentiasa teringat-ingat akan niatnya.

Adab tidur seterusnya ialah bagi mereka yang sepatutnya ada wasiat lantaran berhutang, maka kewajiban mereka ialah menyediakan surat wasiat.

Kewajiban orang berhutang ialah berwasiat kepada keluarganya, supaya tanggungjawab itu dipikul keluarganya jika dia meninggal dunia.

Jika orang yang berhutang itu mati menyebabkan rohnya terseksa, tidak dapat ke mana-mana dan tidak dapat menikmati fadilat syahid. Hutang yang belum dilunaskan jadi penghalang menikmati segala fadilat itu.

Orang yang mempunyai keyakinan mengenai bahaya hutang yang belum dijelaskan, wajib baginya berwasiat kerana seseorang itu tidak selamat daripada diambil nyawanya oleh Tuhan semasa tidur.

Hendaklah sedar bahawa seseorang ketika tidur mempunyai peluang lebih luas untuk mati, berbanding peluang untuk terus hidup.

Ini kerana apabila seseorang tidur rohnya akan beredar meninggalkan jasad, meskipun jantung dan nadi bergerak darah terus mengalir dan nafas keluar masuk.

Hal tersebut terserah sepenuhnya kepada kudrat Allah SWT. Justeru dalam keadaan tidak sedar kerana roh naik ke atas seperti benar-benar telah mati.

b seterusnya apabila bersiap untuk tidur, seseorang itu bertaubat daripada semua dosa, dan tidur dalam keadaan hati suci bersih dengan semua orang Islam. Tiada hasrat di hati hendak menganiaya orang apabila terjaga esok.

Dengan adab itu dunia akan aman daripada segala kemungkaran dan penyelewengan juga keburukan. Jika seseorang tidak menghormati janji sendiri yang dibuat sebelum tidur, lalu bagaimanakah orang lain akan menghormati dirinya. - lanh _

harakahdaily.net

Belajar Tanpa Berguru, Saitanlah Gurunya

Dato' Dr Haron Din

SOALAN: Saya ingin bertanya mengenai perubatan alternatif, sama ada bertentangan dengan syarak atau tidak. Bagaimana jika ada pengamal itu yang mendakwa, dia mendapat ilmu atau petunjuk perubatan melalui mimpi. Contohnya seperti seorang pengamal mengubati pesakit dengan menggunakan dauh sirih. Daripada pemerhatiannya kepada struktur daun sirih selepas membaca mantera (doa), dia dapat memberitahu kepada pesakit tentang keadaan penyakitnya dari segi fizikal, spiritual atau gangguan. Mohon Dato' jelaskan. - INSAN YANG RAGU, menerusi e-mel

JAWAPAN: Ada dua episod daripada persoalan anda. Pertama mengenai perihal pengubat yang mendapat ilmu mengubati manusia menerusi mimpi. Kedua, menggunakan daun sirih sebagai penunjuk untuk mengubati dan mengetahui perkara ghaib, tentang penyakit zahir, batin dan sebagainya.

Perihal ilmu pengubatan melalui mimpi pernah saya jelaskan dahulu dalam ruangan ini, bahawa ilmu itu tidak sabit dari segi syarak.

Dengan lain perkataan, ilmu yang memberi kebaikan kepada manusia, dipelajari dengan cara berguru dengan cara yang betul, memakan masa yang agak lama, perlu diuji dan dipastikan dia boleh memilikinya, bukan sama sekali menerusi mimpi semalaman atau beberapa minit sahaja mimpi itu. Keadaan ini tidak mampu menjadikan seseorang itu sebagai pengubat.

Dalam tasawuf atau tarikat selalu sangat diperkatakan mengenai kaedah mempelajari sesuatu ilmu hendaklah dengan berguru dengan jelas dan nyata, dia berilmu dan beramal dengan ilmunya.

Sesiapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya.

Oleh kerana itu ilmu melalui mimpi, amat diragui siapakah sebenarnya yang menjelma dalam mimpinya itu. Hendak dikata wali-wali Allah (yang telah kembali kepada Allah), mereka semuanya sudah berada di alam barzakh sehingga hari kiamat.

Ruh mereka tidak boleh kembali lagi ke dunia ini untuk bertemu dengan sesiapa. Lebih-lebih lagi untuk menyampai ilmu selepas mati.

Orang yang telah mati, terputus usaha kebaikan atau kejahatan. Sudah tidak boleh lagi menyampaikan ajaran atau petua-petua perubatan kepada mana-mana orang yang hidup.

Firman Allah (mafhumnya): "Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan." Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)." (Surah al-Mukminun, ayat 100)

Dalam kitab tafsir yang muktabar, disebut barzakh dengan huraian bahawa selepas mati, ruh-ruh manusia ditempatkan ke alam baru. Dengan kehidupan baru itu, mereka terputus dari dunia dan tembok-tembok itu menjadi pemisah, tanpa dapat ditembusi untuk pulang ke dunia.

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib (r.a) beliau pernah menyebut (mafhumnya): "Hari ini di dunia adalah untuk beramal tanpa hisab, esok sesudah mati, hanya ada hisab yang menunggu tanpa ada amal lagi."

Jika yang telah mati boleh lagi beramal dengan pulang ke dunia dan memberi petua atau pengajaran untuk perubatan, maka ia bertentangan dengan al-Quran seperti ayat yang saya nyatakan di atas.

Dengan hujah-hujah itu, tidak boleh diterima pakai, atas andaian bahawa ilmu menerusi mimpi adalah dari sumber yang sahih.

Yang berlaku hanyalah tipu daya syaitan dalam mimpi seseorang, mengajar manusia melalui mimpi yang boleh menyesatkan. Berhati-hatilah, kadang-kadang mereka ini kelihatannya seperti betul dan bersesuaian dengan kehendak syarak, tetapi yang tersiratnya adalah untuk mempengaruhi manusia yang bakal membawa ke jalan yang sesat.

Seorang sahabat Nabi s.a.w, Abu Hurairah, pernah menerima ilmu dalam jaganya daripada syaitan, apabila diceritakan ilmu itu yang zahirnya sejajar dalam syariat, iaitu dengan menyuruh Abu Hurairah membaca ayat kursyi supaya beliau melindungi harta yang dijaganya supaya tidak dicuri seseorang, maka Rasulullah s.a.w menyatakan (mafhumnya): "Itu adalah ajaran daripada syaitan, jangan peduli dengannya, lupakan ajaran itu dan ambillah ajaran daripadaku."

Seterusnya Nabi s.a.w mengajar Abu Hurairah, sama seperti yang diajar oleh syaitan tadi.

Mimpi manusia, kebanyakkan daripada perbuatan syaitan, jika ada pun daripada Allah, ianya adalah terlalu sedikit.

Ada pun mengenai pengubat memberitahu pesakit menerusi tilik menilik daun sirih, maka itu adalah pengubat tradisional Melayu, bukan pengubatan cara Islam.

Dalam Islam, tilik menilik dalam semua perkara sama ada menerusi daun sirih atau pun lain-lainnya, adalah bertentangan dengan syarak dan amat dilarang.

Dalam satu hadis Nabi s.a.w. bersabda (mafhumnya): "Daripada Ummul Mukmimin Hafsah dan Aisyah r.ahnuma, bahawa pernah ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan tukang-tukang tilik. Nabi mengatakan bahawa mereka hanyalah temberang dan tidak benar satu pun. Ditanya lagi, "Tukang tilik itu mengkhabarkan kepada kami perkhabaran dalam tilik mereka, maka kami dapati ia benar." Nabi bersabda, "Yang demikian itu dikhabarkan kepada mereka oleh makhluk halus kepada yang berbaik dengan mereka, dengan mencampuradukkan di dalamnya ratusan pembohongan." (Hadis riwayat al-Bukhari).

Dalam hadis lain Abu Hurairah menyatakan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda (mafhumnya): "Sesiapa yang mendatangi orang yang mendakwa mengetahui yang ghaib (arraf) atau tukang tilik (kaahin), lalu mempercayai apa sahaja yang dikatakan mereka itu menerusi tilik menilik mereka, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan Allah ke atas Nabi Muhammad (al-Quran)." (Hadis riwayat al-Hakim dan as-Sahabus Sunan)

Apa yang anda tanya mengenai pengubat tersebut, mengetahui perkara ghaib sehingga secara spesifik menerusi struktur daun sirih sehingga mengetahui jenis-jenis penyakit, sama ada fizikal atau spiritual adalah termasuk dalam perkara yang dilarang syarak.

Firman Allah (mafhumnya): "Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati)." (Surah an-Naml, ayat 65)

Firman Allah (mafhumnya): "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun, - melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redai-Nya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan)." (Surah al-Jin, ayat 26-27)

Saya harap penjelasan saya menjawab persoalan anda, wallahua'lam. - lanh _

harakahdaily.net

Pakatan Rakyat Yakin Pertahan Kerajaan Kedah

Ali Hashim
Sun | Oct 18, 09 | 2:20:54 pm MYT

ALOR SETAR, 18 Okt: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan bahawa Pakatan Rakyat(PR) tidak akan tergugat dengan pindaan perlembagaan Umno.

Menurut beliau lagi, Umno boleh bercakap apa sahaja yang mereka inginkan, tetapi PR akan tetap mempertahankan negeri ini daripada dirampas oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Hanya pilihan raya umum nanti kita dapat tahu jawapan yang sebenarnya siapa yang rakyat inginkan untuk menjadi kerajaan. PR tidak berasa tergugat dengan pindaan perlembagaan yang dibuat oleh Umno baru-baru ini. Itu adalah urusan rumah tangga mereka, kita tidak mahu mencampuri hal ini," katanya.

Azizan yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata jika Umno mahu merampas kerajaan negeri yang ada di negeri Kedah daripada PR dengan pelbagai cara mereka maka PR juga sudah pasti mempunyai strategi untuk mempertahankan negeri ini daripada jatuh ke tangan Umno dan BN.

Umno baru-baru ini telah mengadakan perhimpunan Agong khas parti tersebut bagi meminda perlembagaan parti.

Namun begitu tindakan tersebut dilihat sebagai satu usaha terdesak parti tersebut untuk meraih semula sokongan daripada rakyat yang mulai terhakis selepas berlakunya tsunami politik pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Mengikut pecahan kerusi di Dewan Undangan Negeri Kedah, BN mempunyai 14 kerusi manakala PR 21 kerusi dan Bebas 1 kerusi setelah Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Lunas, Mohd Radzhi Salleh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengisytiharkan diri beliau sebagai Adun Bebas. _ harakahdaily.net