USIANYA sudah mencecah 84 tahun, tapi lagak politiknya persis orang muda. Orang-orang tua-tua zaman dahulu sering berkata, jika usia sudah berada di tahap extra emas, sepatutnya, banyak masa diluangkan dengan beribadah kepada Allah, sementara menunggu saat dipanggil pulang.
Tetapi berlainan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia. Beliau sudah enam tahun meninggalkan tampuk kuasa dalam parti dan kerajaan, selepas lebih 22 tahun memerintah.
Pada usia sebegini ramai yang sebaya dengannya sudah dimamah tanah. Namun beliau masih giat berpolitik. Mengkritik, memberikan pendapat dan menghentam sesiapa sahaja yang dianggap tidak betul pada pandangannya.
Mahathir menunjukkan bahawa beliau masih mahu 'campur tangan' dalam urusan kerajaan Umno-Barisan Nasional. Sekali gus membukti bahawa Umno-BN masih tidak bebas dari dominasi beliau.
Walaupun sudah dimamah usia dan ditelan zaman. Mahathir tetap tidak mahu berhenti. Beliau masih aktif berpolitik, menulis blog dan sebagainya.
Akhir-akhir ini beliau menjadi semakin 'ganas' berhujah, membangkitkan soal kaum dan ketuanan Melayu.
Kelihatan seolah-olahnya Mahathir mahu memprojekkan beliau sebagai The Ultra Malay (Melayu Ultra) atau Ultra Man (Lelaki Ultra) yang kononnya hebat memperjuangkan semangat kemelayuan. Mudah cakapnya Mahathir adalah seorang 'Ultraman Melayu' atau 'The Malay Ultraman'.
Ultraman Mahathir tidak sama dengan siri fiksyen Ultraman yang diminati ramai kanak-kanak. Beliau di alam realiti, manakala fiksyen tersebut di alam fantasi.
Perbalahan dengan Nazri
Terkini, Melayu Ultra ini rancak berkancah, dalam adengan tuduh menuduh dengan Menteri Di
Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamad Nazri Aziz. Ia merancakkan suasana politik Malaysia yang sentiasa dalam kehangatan.
Perang mulut antara keduanya, antaranya, berpunca daripada pelbagai kritikan Mahathir terhadap dasar kerajaan yang disifatkannya sering tidak konsisten. Mahathir mempertahankan Biro Tata Negara (BTN).
Umum mengetahui BTN dipergunakan sepenuhnya bagi menjayakankan agenda politik Umno-BN sewaktu beliau menjadi PM.
Nazri dan ramai pihak bersetuju BTN dirombak kurikulumnya, yang terlalu cenderung meniupkan semangat perkauman Melayu, yang disifatkan bercanggah dengan konsep One Malaysia, bagaimanapun Mahathir tidak setuju.
Maka berlakulah tuduh menuduh. Nazri cenderung mahukan BTN dirombak, manakala Mahathir mempertahankan BTN, dengan mendakwa tiada salahnya kurikulum BTN.
Mahathir memperli Nazri dengan mengatakan beliau tidak wajar bersetuju merombak BTN (yang disifatkan perkauman) kerana Nazri mewakili parti perkauman Melayu iaitu Umno.
Kemuncak perbalahan dengan gesaan Mahathir supaya Nazri meletakkan jawatan dalam Umno, kerana tidak sehaluan dengan dasar parti yang diwakilinya.
Nazri enggan berganjak, lalu membalas kritikan Mahathir dengan mengelar beliau sebagai father of all rasicm (bapak segala perkauman) kerana menerajui parti perkauman Umno selama lebih 22 tahun.
Bagi orang-orang politik, khususnya dalam Umno, mengetahui bahawa 'konflik peribadi' Mahathir-Nazri bukan perkara baru. Ianya sudah lama, sebelum Mahathir meletakkan jawatan. Konflik antara keduanya berlarutan sehingga kini.
Sewaktu penulis diajak menyertai sembang-sembang petang bersama Nazri dengan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim di lounge Ahli Parlimen, kedua-duanya mengakui 'sejarah' lama krisis Nazri-Mahathir yang sukar diselesaikan.
Dalam sembang-sembang itu sambil tersenyum Anwar mengimbau kisah lama, "I (saya) pun hairan masa (ketika jadi Ketua Pemuda Umno) bagi list (senarai) pelantikan kepada Dr Mahathir (Presiden Umno), semua dia lulus, tinggal nama Nazri seorang sahaja yang sangkut."
"Ha..ha..ha..," hilai tawa Nazri begitu besar menggamatkan suasana.
"Ada satu event (majlis), orang ramai, I (saya) terserempak dengan dia (Mahathir), I terpaksalah bersalam, You (anda) nak tahu, dia bagi takat hujung jari sahaja, pandang pun tak nak," kata Nazri, disambut gelak tawa Anwar dan semua yang berada di situ.
Itulah gambaran hubungan orang-orang politik, ada kala serius mempertahankan ideologi masing-masing, ada masa boleh duduk bersembang, bercerita kisah-kisah lucu orang politik.
Ternyata sembang-sembang kosong di lounge tersebut, membayangkan betapa dinginnya hubungan Nazri dengan Mahathir berlaku sejak sekian lama. Apa sebab musababnya, hanya kedua-duanya sahaja yang tahu.
Apa pun berbeza dengan Anwar, walaupun kedua-dua Anwar dan Nazri berseteru dalam politik, tetapi masih boleh duduk minum kopi bersama.
Tetapi hingga kini, Nazri atau Mahathir, sama-sama tidak boleh bersemuka, apatah lagi minum kopi bersama.
Penulis tidak mahu mengupas lanjut soal 'hubungan dingin' antara keduanya, ataupun menyorot segala kritikan mantan PM itu, terhadap Umno dan kerajaan.
Masih relevankah semangat rasis?
Namun persoalan yang penting untuk diperkatakan di sini ialah soal semangat ultra, semangat perkauman, rasis, nasionalis atau dalam bahasa Arab diistilahkan sebagai asabiyah, yang begitu jelas diperlihatkan oleh Mahathir.
Apakah sifat yang dilabel Nazri terhadap Mahathir iaitu beliau adalah father of all rasicm, atau apakah semangat Melayu Ultra atau perkauman, rasis, nasionalis atau asabiyah ini memberikan faedah kepada orang Melayu dan negara?
Juga, harus dipersoalkan apakah Umno, sebuah parti yang benar-benar memperjuangan untung nasib bangsa Melayu?
Tidak ada sesiapa pun yang mudah membebaskan diri dari semangat bangsa. Sama ada Melayu, Cina atau India, seseorang itu tidak boleh lari dari mengutamakan bangsanya.
Tindakan seseorang individu pemimpin, untuk memberi keutamaan kepada kaumnya memang wajar, tetapi jangan sesekali sehingga kita menindas dan tidak memberikan keadilan kepada kaum-kaum lain.
Bagi orang Islam kita sudah mempunyai panduan dalam memperjuangan soal bangsa, kerana Nabi Muhammad s.a.w dalam hadis baginda menyebutkan antara lainnya bermaksud, "Bukan dari golongan aku, seseorang yang memperjuangkan asabiyah atau mati dalam perjuangan asabiyah."
Justeru kita tanyakan kepada Mahathir, Nazri atau PM Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak atau mana-mana cendekiawan yang cenderung kepada Umno, adakah Umno benar-benar sebuah parti nasionalis yang memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu?
Apakah Umno layak diiktiraf sebagai parti yang mempertahankan maruah bangsa? Layakkah mereka dipercayai sebagai benteng pertahan agama Islam yang dianuti majoriti Melayu? Adakah mereka layak diterima sebagai pendaulat Raja-Raja Melayu?
Terlalu banyak event boleh dan telah disenaraikan sebelum ini, betapa menunjukkan pengkhianatan Umno terhadap bangsanya sendiri dalam segenap aspek.
Sebenarnya beberapa siri kenyataan Mahathir yang dikatakan bersifat perkauman, adalah ditujukan kepada pemimpin Umno. Mahathir mahu menunjukkan kegusaran beliau, bahawa Umno kini, tidak boleh lagi diharap untuk menjadi parti yang memperjuangkan nasib orang-orang Melayu.
Semangat nasionalisme atau kebangsaan pada Umno sudah semakin terhakis dan mengalami kepupusan. Yang tinggal hanya pada nama partinya sahaja.
Fahaman dan ideologi nasionalisme atau asabiyah, sudah amat tidak relevan dalam konteks politik sekarang.
Lihatlah apa sudah jadi pada Umno? Layakkah mereka digelar pejuang bangsa Melayu. Lihatlah kepada MCA, layakkah mereka digelar pejuang kaum Cina. Lihatlah juga kepada MIC, layakkah ia menjadi hero bagi kaum India?
Ketiga-kita parti komponen BN yang ditubuhkan, berasaskan semangat nasionalisme ini, sudah tidak diterima dan ditolak masyarakat.
Persoalan yang harus ditanyakan kepada Mahathir dan semua pemimpin BN ialah, mengapa fahaman nasionalisme mereka sudah tidak diterima?
Sebabnya salah mereka juga. Sebabnya ialah, dasar korupsi, kronisme dan nepotisme yang menjalar dan berakar umbi dalam Umno, MCA dan MIC.
Siapa yang kaya dalam masyarakat? Siapa yang berjaya dan mendapat projek, saham, permit dan pelbagai anugerah?
Pasal apa mereka dapat? Sebabnya mereka adalah pemimpin dan penyokong BN. Kalau Melayu, dia Melayu Umno. Jika Cina, dia Cina MCA, kalau India, dia India MIC. Manakala rakyat yang tidak menyokong BN kebanyakannya disisih dan dianaktirikan.
Mereka yang mendakwa diri mereka sebagai ultra Melayu hanyalah palsu dan pihak yang dituduh mahu merosakkan ketuanan Melayu tidak wujud, hanyalah tuduhan palsu belaka.
Ianya bak fiksyen fantasi kanak-kanak, Ultraman dianggap hero untuk menghapuskan raksasa yang menghancurkan bumi. Sedangkan hakikatnya, ultraman tidak wujud, raksasa juga tidak ada.
Fahaman rasis dijaja Umno, MCA dan MIC buat untuk mengelabui mata rakyat. Fahaman rasis yang dibawa Mahathir juga hanyalah alat propaganda untuk memesongkan fikiran rakyat untuk menyokong Umno-BN sekian lama.
Mereka membohongi rakyat atas nama perjuangan membela kaum._harakahdaily.net
|