Sahabat Purnama

Selasa, 20 Oktober 2009

PAS rancang cabar kemenangan Isa

Jimadie Shah Othman

PAS sedang mengumpulkan bukti untuk memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya kecil DUN Bagan PInang atas dakwaan berlaku penyelewengan undi pos.

Perkara itu sedang diuruskan oleh unit guaman parti tersebut yang dipengerusikan oleh Hanipa Maidin.

Ketua Dewan Pemuda parti itu, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya tidak mempunyai banyak pilihan bagi mengetengahkan dakwaaan berlakunya penyelewengan dalam kaedah pengundian pos di DUN tersebut.

Tambahnya, PAS telah melakukan pelbagai pendekatan berhubung perkara itu, termasuklah demonstrasi, laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Pencegaran Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi tidak mendatangkan hasil.

"Unit guaman kita sedang kumpulan bukti yang kukuh. Kalau tidak ada bukti, tidak guna juga bawa ke mahkamah," katanya.

Selain itu, dakwaan penyelewengan itu akan turut dipanjangkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) esok.

Ia bertujuan mendesak Suhakam mengadakan siasatan awam berhubung dakwaan berlaku penyelewengan undi pos dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Dalam pilihan raya DUN lalu, PAS membuat pelbagai desakan terhadap SPR berhubung prosedur dan pengendalian undi pos yang sering dicurigai pembangkang sebelum ini.

Bagaimanapun, calon BN Tan Sri Isa Samad tetap menang besar dengan jumlah 5,345 undi. Beliau yang mendapat 8,013 undi mengalahkan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar dengan 2,578 undi.

Manakala bagi undi pos pula, BN mendapat 3,521 undi dan PAS mendapat 601 undi.

DUN Bagan Pinang mempunyai jumlah pengundi pos yang sangat ramai, 4,611 daripada keseluruhan 13,664 pengundi. Seramai 4,571 merupakan anggota tentera._malaysiakini bm

Pakatan Hadapi Spekulasi P'raya Perak

Salhan K Ahmad
Okt 20, 09 3:49pm

Analisis Pakatan Rakyat di Perak terus bersedia menghadapi pilihan raya mengejut peringkat negeri – seperti yang mereka tuntut – walaupun tidak sepenuhnya yakin BN berani mengadakannya dalam masa terdekat.

Desas-desus mengenai kemungkinan pilihan raya negeri dipanggil muncul semula susulan perkembangan terkini di negeri ini, antaranya sambutan besar sehingga 50,000 orang di program pelancaran 1Malaysia di Ipoh kelmarin.

Ia diperkuatkan lagi dengan semakan daftar pemilih baru peringkat Perak selama seminggu sehingga Isnin depan, selain kesediaan Pakatan Rakyat menyediakan manifesto baru untuk berdepan dengan pilihan raya mengejut.

Difahamkan, gabungan tiga parti pembangkang itu juga sedang menggiatkan jentera mereka.

Ura-ura lebih 20 ADUN BN sudah mengambil foto terbaru masing-masing menguatkan spekulasi negeri ini bakal menghadapi pilihan raya.

Satu sumber Pakatan Rakyat menyebut, masih tidak jelas tujuan foto itu diambil sama ada untuk dijadikan poster atau sebab-sebab lain.

Krisis politik terus berlarutan di Perak, antara yang penting perebutan jawatan menteri besar antara Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan penggantinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melalui proses mahkamah akan didengar awal bulan depan.

Sementara persidangan DUN untuk pembentangan belanjawan negeri bermula 28 Oktober di tengah-tengah pertikaian siapa Speaker yang sah – sama ada V Sivakumar atau penggantinya Datuk R Ganesan.

Walaupun mengalu-alukan pilihan raya negeri, Mohamad Nizar berkata, perdana menteri tidak seharusnya melihat kejayaan menganjurkan program 1Malaysia sebagai penanda aras sokongan rakyat Perak kepada BN.

"Kalau nak tengok populariti di satu program saja, kalau tengok (keputusan) Bagan Pinang saja tidak boleh kata (BN) boleh menang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

"Kita tahu rakyat masih menyokong Pakatan Rakyat."

BN bagaimanapun, tegasnya, masih perlu menghadapi rakyat untuk mendapatkan mandat sahih daripada rakyat.

"Kalau ia betul-betul yakin dengan persepsi itu, ia kena uji. Ia kena berani menghadap ke bawah duli Tuanku (Sultan Perak) dan mohon untuk adakan pilihan raya," kata ADUN Pasir Panjang.

Mohamad Nizar menambah, Pakatan Rakyat menjangka pilihan raya itu akan diadakan dan telah "lama bersedia" untuk menghadapinya. "Pakatan Rakyat sudah ada manifesto untuk pilihan raya ini," katanya, dengan menjelaskan ia disediakan sejak dua bulan lalu.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham pula berkata BN mungkin akan memanggil pilihan raya berkenaan berdasarkan pemerhatiannya terhadap beberapa tanda awal.

Katanya, beliau difahamkan wakil-wakil rakyat BN Perak telah menjalani satu sesi rakaman foto di sebuah kedai gambar di negeri itu, kira-kira dua bulan lalu.

"Secara tradisinya, apabila wakil rakyat diambil gambar seperti itu, pilihan raya akan diadakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Gambar itu diambil lebih awal kerana ia perlu disunting bagi memastikan muka wakil-wakil rakyat BN tersebut kelihatan lebih menarik apabila dicetak pada bahan kempen, tambahnya.

Jelasnya lagi, DAP negeri membuat persediaan sejak tujuh bulan lalu dengan memberikan latihan berterusan.

Ngeh berkata, BN dipercayai akan mengambil kesempatan untuk mendapatkan sokongan rakyat daripada perkembangan kes Mohamad Nizar-Zambry di Mahkamah Persekutuan, 5 November ini.

"Mereka boleh gunakan keputusan mahkamah untuk tunjukkan kepada rakyat bahawa Zambry adalah menteri besar yang sah dan popular," katanya.

"Tetapi bajet negeri pula akan dibentangkan pada 28 Oktober (oleh Zambry). Jika mahkamah putuskan Nizar sebagai menteri besar yang sah, apa akan jadi dengan pembentangan bajet itu, adakah ia juga sah?"

Katanya, BN hanya akan memanggil pilihan raya jika keyakinan rakyat di negeri itu dilihat memihak kepada parti berkenaan.

"Setakat ini, situasi sekarang menunjukkan mereka akan meneruskan dengan cara sedia ada sehingga wujud keadaan lebih baik. Mereka mesti hendak wujudkan faktor feel good di kalangan rakyat dahulu," katanya.

Walaupun tidak menolak kemungkinan pilihan raya negeri, PKR masih belum pasti BN benar-benar ingin membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya semula.

Naib Presidennya Mustaffa Kamil Ayub berkata tanda-tanda bahawa pilihan raya baru akan diadakan kini masih belum jelas.

"Nak kata 'tidak lama lagi pun, tidak boleh juga', BN sendiri pun nampaknya tidak berapa yakin (untuk adakan pilihan raya)," katanya, yang juga bekas pengerusi PKR Perak, kepada Malaysiakini hari ini.

Seperti Mohamad Nizar, yang juga timbalan I pesuruhjaya PAS Perak, Mustaffa Kamil tidak yakin kempen 1Malaysia pada Ahad lalu sebagai petanda penting pilihan raya dengan menyifatkan ia satu "proses biasa".

Beliau juga tidak pasti sesi rakaman gambar wakil-wakil rakyat BN ke arah mengadakan satu pilihan raya baru.

"Saya fikir (foto) itu proses biasa, mereka perlu juga sentiasa bersiap sedia kerana kerajaan sedia ada masih tidak stabil dan sentiasa dicemuh oleh rakyat," jelasnya.

Beliau mengakui PKR sedang mempergiat latihan kepada jentera parti bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya, antaranya, ejen tempat mengundi. _malaysiakini bm

Makkal Sakti Tidak Jejas Kelab Penyokong PAS

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 20 Okt: PAS tidak melihat penubuhan parti serpihan kaum India yang baru, Makkal Sakti memberi ancaman besar terhadap Kelab Penyokong PAS (KPP) yang dipelopori parti Islam itu sejak dua tahun dahulu.

Malah menjangkakan ianya tidak kekal lama dan bakal senasib parti serpihan kaum india yang lain seperti Parti Progresif Rakyat (PPP), dan Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF).

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasioanal PAS, Dr. Mujahid Yusuf Rawa berkata, Pas lebih melihat pnubuhan parti baru itu untuk jangka masa panjang, di mana parti yang ditubuhkan atas dasar protes dan kecewa tidak akan kekal lama.

"Tidaklah sebesar mana untuk dianggap sebagai ancaman, kita lihat jangka masa panjang, selalunya parti yang ditubuhkan kerana tak setuju khususnya dari kaum India ini tak kekal lama. Tengok PPP berpecah, IPF hampir tak ada. Saya Yakin Makkal Sakti akan temui jalan yang sama," katanya ketika ditemui di lobi parlimen semalam.

Mengulas penubuhan parti itu juga, Mujahid berkata BN sengaja mengatur strategi untuk memadam semangat masyarakat India yang nyata menolak parti berasaskan perkauman samada MIC, IPF ataupun PPP.

ImageJusteru itu, BN terpaksa mencipta parti baru untuk mengembelengkan tenaga masyarakat India agar memberikan kepercayaan kepada parti baru kononnya hasil perjuangan rakyat akar umbi untuk menggantikan parti perkauman India lainnya.

Tetapi Mujahid juga tidak menolak kemungkinan ada di kalangan ahli biasa KPP akan menyertai parti itu memandangkan KPP hanya sebuah organisasi yang bernaung di bawah sebuah lajnah dalam PAS.

Namun beliau memberi jaminan KPP tidak akan terjejas memandangkan kepimpinan tertinggi KPP dan aktivis kelab itu masih bersama PAS.

"Saya tiada maklumat, mungkin sebahagian dari ahli kita (KPP) akan menyertai parti itu (Makkal Sakti), itu hak demokrasi ahli, tetapi saya memberi jaminan pimpinan dan aktivis KPP belum dengar lagi ada yang terlibat dengan Makkal Sakti," katanya lagi.

Beliau juga memberitahu penubuhan parti baru itu juga sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan terhadap ahli kelab tersebut. Bagaimanapun menurut beliau, Pimpinan KPP telahpun memtuskan supaya ahli mereka tidak boleh mempunyai dua keahlian dalam satu masa.

Menurutnya, ahli KPP pada waktu ini hanya diikat berdasarkan ideologi dan keyakinan mereka sendiri terhadap PAS.

Beliau turut mengakui masih belum ada sesuatu yang boleh mengikat ahli kelab ini untuk terus bersama PAS selain daripada menyegerakan penyerapan KPP sebagai sayap PAS berbanding hanya berada dibawah lajnah pada masa ini.

Difahamkan jawatankuasa teknikal yang ditugaskan berhubung perkara ini telah selesai menyiapkan draf mereka dan akan dibentangkan dalam masa terdekat.

"Kita kena segerakan KPP menjadi satu struktur berpelembagaan dalam PAS, diiktiraf dan ada keahlian. Ini akan memberi lebih keterikatan dan kawalan kepada ahli," katanya.

10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib melancarkan parti baru itu dan besedia memberi RM30 juta bagi mengembangkan parti itu.

Bagaimanapun Najib menafikan penubuhan Makkal Sakti itu bagi menggantikan MIC. _

harakahdaily.net

Mohamad Sabu Ketuai Post Mortem PAS

KUALA LUMPUR, 20 Okt: PAS telah melantik AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu untuk mengetuai satu jawatankuasa kajisiasat (post mortem) kenapa calonnya kalah teruk dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Mohamad dilantik berdasarkan beliau tidak terlibat secara langsung dalam jentera pilihan raya kecil tersebut.

Mustafa memberitahu perkara ini ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut petang semalam.

Calon Pakatan Rakyat dari PAS, Zulkefly Mohamad Omar kalah kepada calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad dalam pilihan raya itu dengan majoriti 5, 435 undi berbanding hanya 2,333 undi dalam pilihan raya umum 2008 lalu.

Mustafa dalam pertemuan yang sama menjelaskan pandangannya dengan terperinci kenapa PAS kalah dalam pilihan raya ini.

"Punca utama adalah undi pos yang tidak telus...bukan pilihan raya ini sahaja, proses pengundian undi pos di mana-mana sahaja dalam negara ini tidak telus.

"Bagi saya, inilah punca utama kemenangan besar Umno," kata beliau yang berada di Bagan Pinang sejak sebelum hari penamaan calon lagi.

ImageSelain Bagan Pinang, Barisan Nasional (BN) khasnya Umno sudah dikira menang di mana-mana sahaja kawasan Dun yang mempunyai undi pos melebihi 5,000.

"Selain Bagan Pinang, Umno sentiasa menang di Dun Pangkor (kawasan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir) yang mempunyai 12,000 undi pos dan Sungai Udang yang mempunyai 10,000 undi pos," beritahu Mustafa.

Oleh itu, beliau berpendapat, undi pos perlu dikaji semula bukan kerana dengki kepada Umno tetapi supaya negara ini dilihat mempunyai sistem pilihan raya yang telus.

"Saya cadangkan, undi pos dikekalkan kepada pelajar dan diplomat yang berada di luar negara serta petugas SPR sahaja...yang lain undi biasa.

"Pusat pengundian boleh dibuat di luar pagar kem pun tidak apa, asalkan parti-parti yang bertanding boleh menyaksikan dengan telus proses pilihan raya berjalan," katanya.

Selain faktor undi pos, Mustafa yang juga bekas Pengarah Pilihan raya PAS sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung berpendapat, faktor kelemahan PAS dan Pakatan Rakyat sendiri di Bagan Pinang juga menjadi faktor.

"Bayangkan PAS hanya mempunyai 100 ahli sahaja di sini dengan hanya dua cawangan sedangkan Umno ada 30 cawangan di sini," katanya.

Namun begitu, beliau menolak, masalah yang berlaku dalam Pakatan Rakyat di Selangor sebagai satu punca utama undi PAS merosot di kalangan orang Cina.

"Kalau isu itu memberikan kesan, sepatutnya ia memberi kesan di Permatang Pasir lagi kerana isu di Selangor meletup menjelang pilihan raya kecil Permatang Pasir...kenapa di sana tidak?" soal beliau.

Untuk undi kaum India pula, Mustafa berpendapat, antara puncanya adalah kegagalan PAS dan Pakatan Rakyat untuk menembusinya kerana dikawal ketat termasuk oleh gengster.

Di samping itu, curahan wang dan benda untuk mereka juga memihak kepada BN di samping kelemahan perkhidmatan para wakil rakyat Pakatan Rakyat sebelum ini.

Namun beliau percaya, pilihan raya kecil ini bukan satu batu asas (bechmark) kepada pergerakan politik di negara ini kerana ia bukan satu neraca yang tepat untuk melihat politik Malaysia secara keseluruhannya._harakahdaily.net

KENYATAAN MEDIA : Adakah pembohongan Najib boleh dipercayai dengan nilai RM 10 ?

Perdana menteri 1Malaysia, Najib Tun Razak kembali ke Perak dengan pelancaran 1Malaysia dengan jumlah belanja yang sangat besar. Buat sementara waktu saya meminjam jumlah yang disiarkan oleh berita arus perdana dengan kebadiran 50,000 orang dalam majlsi tersebut, berarti 1/2 juta telah dibelanjakan.

1Perak sudah maklum dan mengetahui bahawa kehadiran mereka dengan makan dan bas percuna serta RM 10 seorang. nasib baik bukannya Rm 1 sahaja sesuai dengan pelancaran 1Malaysia itu. Kalau tidak kosonglah bas dan stadium Perak. Mungkin air liur ada sedikit meleleh kerana sekeping wang berwarna merah, sepuluh ringgit, sepuluh ringgit lah. Inilah mentaliti rakyat yang terus dikerah dengan apa cara demi untuk meramaikan majlis BN.

Alhamdulillah semasa Pakatan Rakyat memegang teraju pemerintahan di Perak budaya lapok dan politik lama itu telah ditinggalkan, seingat saya sebanyak 2 kali penyokong Pakatan Rakyat dikumpulkan di Stadium Perak, alhmadulillah mereka bukannya disogok dengan duit tapi mereka malah menyumbang sehingga hampir subuh wang dikira oleh unit amal.

Maka saya suka untuk memberi beberapa kenyataan pada hari ini :-

1. Saya sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Perak dengan ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan PM 1Malaysia bahawa kehadiran kami ke sidang DUN pada 28 okt ini adalah untuk membuat kacau.

2.Sebaliknya saya ingin tegaskan bahawa BN lah yang membuat kacau dengan "memperkudakan" Ganesan untuk mengadakan sidang yang tidak sah. Tindakan tidak bertamaddun itu adalah datang dari BN dan menambahkan lagi siri perlanggaran undang-undang oleh BN.

3. Sebenarnya yang menimbulkan kekecohan sidang pada 7 Mei lepas adalah "samseng" upahan yang dibawa dari luar dan menceroboh masuk ke dalam dewan yang mulia demi untuk mencapai hasrat jahat BN. Tindakan penceroboh mengangkat keluar Speaker yang sah, V. Sivakumar adalah tindakan yang melanggar undang-undang dan mencabol kesucian DUN Perak.

4. Dengan ini saya mencabar Najib supaya dengan segera memberi laluan kepada rakyat Perak untuk memilih semula dengan pembubaran DUN Perak. Ini penting demi kebaikan rakyat sesuai dengan slogan "rakyat didahulukan".

Sekian, terima kasih.

KENYATAAN MEDIA/ 20 okt 2009.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
Pengerusi Kelab penyokong Kerajaan PR Perak/
Ketua penerangan PAS Perak.

Perubahan Dalam Parti-Parti Dan Tokoh Politik

RAHMAN SHAARI

Ahli-ahli UMNO yang baru bersidang telah pulang ke kampung masing-masing. Mereka amat bersemangat ketika bersidang. Presiden UMNO telah bersuara garang, jauh lebih garang daripada suara presiden sebelumnya. Pujian terhadap pidatonya telah kita dengari.

Ketika ahli-ahli UMNO ketara mempunyai semangat baru untuk bergiat bagi memperkukuh UMNO secara keseluruhannnya, MCA masih terumbang ambing. MCA masih memikirkan siapakah ketua yang terbaik antara yang baik-baik. Ahli-ahli MCA dengan beraninya telah memberikan tanda, biarpun presiden dan timbalam presiden yang sedia ada adalah baik-baik, mereka berdua tidaklah berapa baik untuk membawa MCA ke arah kecemerlangan. Ertinya, mereka berdua itu baik-baik, tetapi masih ada orang lain yang lebih layak dan perlu ditonjolkan bagi tujuan tersebut.

Dalam MIC, kita lihat presiden tidak terlalu aktif kini. Baik MCA, mahupun MIC, tidak kering daripada kritikan atau teguran daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. UMNO juga menerima teguran, biarpun tidak terlalu keras. Terhadap UMNO, Tun mengatakan bahawa retorik tidak cukup. UMNO di desa hendaklah aktif dalam corak yang dapat memikat hati rakyat.

Sekarang tampaknya muncul zaman politik baru. Walaupun tidak begitu baru, rakyat akan dapat melihat sesuatu yang lain. Dalam hal perubahan, semuanya berubah. Tulisan ini tidak akan berjaya melukiskan perubahan dengan rinci, tetapi fakta-fakta yang bertaburan memperlihatkan perubahan.

Perubahan sikap

Yang di atas ialah perubahan sikap yang sedang berlaku dan sedang diharapkan berlaku. Perubahan dalam UMNO diperdengarkan cukup besar, sehingga dikatakan politik wang tidak boleh berlaku lagi. Itu yang diperdengarkan. Walaupun kita tahu setiap peraturan ada saja jalan untuk melanggarnya, namun sekurang-kurangnya telah diperdengarkan cita-cita yang besar untuk berubah. Keriuhan dalam MCA juga ialah keriuhan untuk berubah. Dalam MIC, kekuatan presiden menguasai orang-orangnya tidak menunjukkan perubahan kepimpinan, tetapi kemunculan parti baru yang ditubuhkan oleh kaum India menunjukkan akan berlaku perubahan.

Dalam Pas kita telah mendengar perubahan sikap ketua-ketuanya. Datuk Nik Aziz Nik Mat telah menunjukkan bahawa beliau menerima baik DAP dan Parti Keadilan secara bersungguh-sungguh, dan dengan itu secara tidak langsung soal negara Islam akan tenggelam di tangan DAP. Melalui Karpal Singh selama ini, kita telah mendengar bahawa Malaysia mesti kekal sebagai negara sekular. Bagi DAP, jika negara Islam tidak disebut-sebut, maka perpaduan dalam Pakatan Rakyat akan kekal dan kukuh. Jika negara Islam tidak disebut, pemimpin DAP tidak mengambil kira siapakah yang berpolitik untuk ke syurga, atau tidak ke syurga.

Tokoh politik yang dianggap cukup berprinsip, Datuk Zaid Ibrahim telah merminta cuti daripada mesyuarat biro politik PKR. Dalam tulisan yang lalu, saya telah meminta agar Zaid yang berprinsip itu tidak terlalu cepat keluar daripada PKR. Permintaan saya itu berasaskan bahawa dalam politik selalunya orang yang berprinsip akan tidak bersetuju dengan yang lain. Dalam PKR, bukan mudah untuk seseorang yang berprinsip menyetujui Azmin Ali. Oleh itu, Zaid yang berprinsip telah dengan beraninya melanggar permintaan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak ke Sabah. Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Naib Presiden, ada mengatakan bahawa: “18 leaders of the party’s 23 active divisions in Sabah have signed a memorandum voicing their protest over Azmin’s leadership in the state (Sabah)”. (Sunday Star, 18 Oktober 2009).

Kemasukan Zaid ke dalam PKR telah mengubah sikap ahli-ahli PKR terhadap Anwar. Ertinya, Anwar hendaklah dilihat sebagai penasihat parti itu dalam erti kata yang sebenar-benarnya, bukan presiden yang menentukan segala-galanya. Tian Chua mengatakan bahawa beliau yakin bahawa Zaid akan terus menjalankan tugas yang diberikan kepadanya oleh parti. Ertinya, parti bukanlah Anwar, kerana hasrat parti seperti yang diimpikan oleh para ahli mungkin tidak begitu sama dengan hasrat Anwar. Jika ini merupakan pandangan baru, maka kita katakan perubahan berlaku juga di dalam PKR.

Tidak boleh lama chaos

Perubahan amat dituntut kerana Malaysia tidak boleh terlalu lama berada dalam keadaan chaos politik ini. Keadaan chaos, atau kacau, akan menyebabkan rakyat tidak selesa. Bagi yang tidak matang, keadaan kacau begini memudahkan hadirnya konflik, kerana masing-masing menyangka ketua-ketua mereka betul dan baik belaka. Ketua-ketua dalam parti lawan dianggap serba buruk atau serba durjana. Pandangan lurus bendul ini diakibatkan oleh kegagalan membaca dan mendengar segala yang diperkatakan dengan fikiran politik yang tulen dan berbelit-belit. Pandangan lurus tidak akan dapat menangkap jalan politik yang berbelit-belit, kerana belitan ialah lawan kelurusan.

Dalam keadaan terbaru ini, kita mungkin dapat melihat kesegaran politik balik ke rakyat. Politik Malaysia hanya akan segar jika kerajaan kuat, dan pembangkang berada pada tahap selesa. Jika kerajaan lemah, dan pembangkang mempunyai kekuatan yang hampir-hampir sama dengan kerajaan, keadaan chaos akan kekal. Ini bukanlah bermakna kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan apa pun di Malaysia ini, jika berhadapan dengan pembangkang yang amat kuat, keadaan akan sentiasa kacau. Hal ini demikian kerana kerja pembangkang di Malaysia betul-betul membangkang. Ertinya, jika pihak kerajaan bertukar tugas, (misalnya menjadi pembangkang di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat), kerjanya membangkang juga.

Yang di atas ada pengecualiannya, iaitu jika setiap tokoh politik hanya memikirkan rakyat. Bilakah ini akan terjadi? Jika berlaku, inilah perubahan besar._sinarharian

Pelabur Risau, Internat M'sia Lembab

Syarikat-syarikat Australia yang berhasrat untuk melabur di Malaysia bimbang dengan tahap kelajuan Internet yang tidak memuaskan di negara ini, kata timbalan pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia- Australia, Michael Halpin.

Capaian Internet yang laju adalah penting bagi syarikat-syarikat Australia yang mempunyai dokumen besar untuk dihantar dari Malaysia ke ibu pejabat mereka di Australia, katanya.

"Ada dokumen teknikal yang amat besar dan selalunya kami mendapati ia mengambil masa yang panjang untuk menghantar dokumen-dokumen sebegini akibat kelembapan Internet di Malaysia.

"Capaian Internet di Australia lebih laju daripada di Malaysia.

"Pelabur-pelabur Australia dan Amerika mendapati ini menjengkelkan dan menghalang mereka menjalankan perniagaan dengan sempurna," katanya kepada pemberita selepas memberi ucapan di majlis makan tengah hari dengan pegawai kerajaan negeri Selangor, wakil-wakil majlis perniagaan dan kedutaan asing.

Ditanya jika kelajuan Internet di Malaysia adalah lebih perlahan daripada negara-negara jiran, Halpin berkata:

"Tidak, tetapi adakah Malaysia mahu setaraf dengan mereka? Malaysia adalah pilihan utama sebagai destinasi pelaburan, tetapi perbezaan antara Malaysia, Indonesia dan Vietnam semakin hilang."

Isu lain yang menjadi kebimbangan syarikat-syarikat Australia dan bakal pelabur ialah tahap keselamatan, di mana terdapat banyak laporan berita mengenai jenayah kecil dan ragut di negara ini.

Halpin bagaimanapun berkata beliau tidak menjangkakan bahawa syarikat-syarikat Australia yang sedang beroperasi di sini akan berpindah tetapi keadaan ini mungkin akan menghalang kedatangan syarikat-syarikat baharu ke Malaysia.

"Syarikat-syarikat ini bertanggungjawab ke atas pekerja dan keluarga mereka yang dihantar ke sini. Isteri kepada seorang petugas telah kehilangan begnya dalam kejadian ragut baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri telah mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk memberi bantuan sokongan kepada pihak polis yang mengalami kekurangan tenaga kerja.

Beliau berkata pihak kerajaan negera mengambil berat isu keselamatan dan akan memberi perhatian kepada isu itu dalam bajet negeri 2010.

Mengenai pelabur-pelabur yang lebih menggemari Indonesia, Thailand dan Vietnam sebagai destinasi pelaburan, Khalid berkata mereka harus melihat Malaysia sebagai satu "batu loncatan" kepada pasaran Asia yang lebih besar seperti China.

"Jika mereka ke negara lain, mereka mungkin terpaksa menunggu sehingga empat tahun lagi sebelum prasarana yang diperlukan siap, tetapi di negara ini, kebanyakan kemudahan telah siap sedia," katanya.

Menteri besar berkata banyak syarikat yang pada awalnya ingin menembusi pasaran China, kini beroperasi di Selangor kerana pelaburan di negara lain memerlukan program pembelajaran semula berikutan budaya perniagaan yang berlainan, tambahnya.

Majlis makan tengah hari yang dianjurkan oleh SSIC Bhd itu dihadiri pegawai-pegawai dari Indonesia, Cambodia, Singapura, Brunei, Korea Selatan, Maghribi, Tanzania, Zimbabwe, Lesotho, Papua New Guinea, Mesir, Bangladesh, Maldives, Sri Lanka, Australia dan majlis perniagaan Amerika.

SSIC berkata Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) meluluskan 138 projek pembuatan bernilai RM2.72 bilion di antara Januari dan Julai.

Daripada jumlah pelaburan, RM1.25 bilion adalah dari usahawan Malaysia, manakala baki RM1.46 bilion adalah dari pelabur asing.

Projek-projek tersebut menawarkan sejumlah 8,000 peluang pekerjaan. BERNAMA

PAS Persoal Ke Mana Perginya Slogan PM Terdahulu

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) hari ini mahukan kepastian berhubung fungsi slogan-slogan yang pernah diperkenal perdana menteri terdahulu iaitu gagasan Islam Hadhari, Bersih Cekap dan Amanah serta Wawasan 2020 setelah gagasan 1 Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Presiden PAS bertanya sama ada dengan adanya slogan 1 Malaysia bermaksud kerajaan telah mengenepikan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh perdana menteri terdahulu.

"Setelah kerajaan memperkenalkan seruan baru 1malaysia adakah bermakna Islam Hadhari, Bersih Cekap Amanah, Kepimpinan Melalui Tauladan telah gagal membentuk pemikiran rakyat untuk hidup dalam suasana harmoni dan baik?"soalnya.

Beliau turut mempersoal mengenai penubuhan Institut Islam Hadhari (HADHARI), di Universiti Kebangsaan Malaysia oleh kerajaan.

"Kerajaan telah menerima institut Islam Hadhari. Adakah bermakna dengan peruntukan begitu rupa,adakah ia akan menjadi kenangan setelah adanya 1 malaysia sebagai slogan?"soalnya lagi.

Beliau mengajukan soalan itu ketika bangun mencelah selepas Najib menjawab soalan Datuk Dr. Marcus Mojigoh (BN-Putatan) mengenai sejauh manakah penerimaan rakyat jelata ke atas seruan "Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia-one people" dan jenis program-program yang difikirkan berkesan yang boleh dirangka bagi mencapai hasrat 1Malaysia.

Najib bagaimanapun berkata gagasan 1Malaysia dianggap sebagai kesinambungan dasar-dasar yang diperkenalkan sebelumnya.

"Kita (kerajaan) anggap ini sebagai kesinambungan sebab ia satu perjalanan yang panjang dan lama.Tidak mungkin boleh sampai ke penghujung dalam masa satu penggal hatta empat, lima penggal pun.

"Insyaalah apabila kita melakukan seperti mana yang kita terangkan tadi gagasan 1Malaysia dan nilai-nilai yang mendasarinya yang juga menyokong kepada usaha kita untuk mencapai wawasan 2020,"katanya. _harakahdaily.net

Umno Perlu Diberi Peluang Lagi Untuk Benar2 Berubah?

Umno perlu diberi peluang lagi untuk benar-benar berubah?

Ahmad Lutfi Othman

PENDAPAT

AMALAN rasuah dan Umno memang sudah sinonim, melekat kuat, dan sukar untuk dicerai-tanggal. Bagaimanapun ada pihak melihat bahawa rasuah - kegiatan jenayah yang paling sukar dibuktikan itu - jugalah yang menyebabkan Umno berkembang dan sehingga kini masih berkuasa walaupun digugat hebat dalam pilihan raya Mac 2008.

Melalui rasuah, aktiviti Umno dapat digerakkan secara lebih aktif, terutama untuk 'menggula-gulakan' rakyat, di samping memastikan jentera propaganda parti berjalan licin!

Rasuah yang dimaksudkan bukan sekadar politik wang atau membeli undi semasa pemilihan kepimpinan Umno, seperti yang dihebohkan pemimpin parti berkenaan. Ia meliputi gerak kerja lebih meluas, khususnya dalam setiap kali kempen pilihan raya, tidak kira pilihan raya kecil atau pilihan raya umum.

Hal ini jarang, atau lebih tepat, tidak pernah dibangkitkan pemimpin dan ahli Umno. Yang sering didebatkan hanyalah politik wang semasa memilih barisan kepimpinan parti.

Dana politik

Sedangkan amalan rasuah semasa pilihan raya, seperti ditunjukkan di Bagan Pinang dan mana-mana jua pilihana raya sebelum ini, adalah lebih serius, kotor dan memberikan kesan cukup buruk kepada negara.

Kos projek meningkat berkali ganda bagi menampung "dana politik", malah kualiti diabaikan untuk menjimatkan perbelanjaan. Natijahnya, banyak bangunan runtuh di sana-sini!

Melalui perhimpunan agungnya baru-baru ini, perlembagaan Umno dipinda bagi membolehkan lebih ramai perwakilan akar umbi dapat menentukan barisan kepimpinan parti, kononnya dengan itu meminimumkan amalan rasuah yang sudahpun membarah.

Umno-BN yang hampir tumbang dan hilang kuasa dalam pilihan raya ke-12 seolah-olah nampak serik dan bersedia mengambil tindakan drastik bagi memulihkan semula keyakinan rakyat terhadapnya.

Memang kepada Umno, kuasa adalah segala-galanya. Tanpa bergayut dengan kuasa, Umno sudah lama rebah. Dr Mahathir Mohamad sering mengingatkan apa gunanya menjadi pemimpin kepada parti yang tidak berkuasa lagi.

Jatuhnya Umno di Selangor, Perak dan Kedah (juga Pulau Pinang) pada 8 Mac 2008 cukup memeritkan. Apa juga usaha, termasuk taktik jahat, direncanakan bagi merampas semula negeri-negeri berkenaan dari Pakatan Rakyat. Bertubi-tubi dilancarkan serangan.

Akhirnya Perak dapat direbut semula, Kedah pula digoncang hebat dan Selangor tidak henti-henti digugat. Siapa percaya tiga Adun Pakatan di Perak dan seorang di Kedah mengkhianati perjuangan tanpa sebarang sogokan atau rasuah?

Aneh,parti yang cakap berdegar-degar mahu membanteras rasuah secara sedar dan proaktif membelit dan menyelimuti diri mereka dengan korupsi dan salahguna kuasa.

Ajar cukup-cukup

Umno sebenarnya belum "diajar cukup-cukup" sehingga lumpuh tempat pergantungan dengan sumberkuasa dan punca ekonomi. Pada pilihan raya 1999, Umno mendapat tamparan cukup dahsyat. Pengundi Melayu secara terbuka mempamerkan aksi protes, didahului siri demonstrasi disekitar Kuala Lumpur.

Namun, Umno masih berkuku di luar Kelantan dan Terengganu serta terus ghairah membolot khazanah kekayaan negara. Pelbagai langkah perubahan dilakukan.

Bagaimanapun, apabila menang besar pada 2004, belang Umno muncul kembali, malah ia menjadi lebih angkuh, sombong dan lupa diri.

Tsunami politik Mac 2008 memang memedihkan Umno-BN. Lima negeri hilang, antaranya negeri paling maju. Majoriti dua pertiga di Parlimen dinafikan. Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi terpaksa berundur awal. Perubahan menjadi istilah popular di zaman Najib. Akta-akta menekan dan mengongkong seperti ISA pun khabarnya mahu dipinda.

Umno berhasrat untuk dilihat dekat dengan nurani dan degup jantung rakyat. Semuanya - hanya dengan satu tujuan - untuk mengembalikan sokongan yang telah hilang.

Berdepan masyarakat bukan Melayu, Umno bagai tidak percaya lagi dengan MIC dan MCA, ia mahu berbicara langsung dengan mereka, tanpa melalui parti-parti komponen itu.

Di Bagan Pinang Umno mendapat suntikan semangat baru. Walaupun ia hanya mempertahankan kerusi tradisi - bukan merampas kubu lawan, seperti dilakukan PAS di Kuala Terengganu - namun sudah cukup untuknya berpesta.

Najib Razak sendiri akui kemenangan Isa Samad itu menceriakan suasana perhimpunan Umno dan memudahkan pindaan perlembagaan diluluskan. Mungkin bagi Najib, pengundi masih boleh dikelirukan dengan satu dua azimat palsu.

Perasuah disanjung

Ironinya, ketika Umno mahu memerangi rasuah, tiba-tiba sang perasuah pula disanjung sebagai hero. "Hipokrasi Umno untuk banteras rasuah terdedah. Segala yang dibuat hanya untuk mengelabui rakyat sedangkan perangai Umno tetap macam dulu," kata seorang pemerhati politik.

"Selagi Umno tidak ditumpaskan sepenuhnya, dan merempat sebagai pembangkang di seluruh negara,maka ia tidak akan berubah, percayalah. Usah disambung hayatnya sebagai parti pemerintah jika kita mahu melihat Umno benar-benar berubah!" tambahnya.

Tentunya kepada rakyat, jika Pakatan dan BN berlumba-lumba menjaga kepentingan dan kebajikan mereka, ia menguntungkan semua. Soalnya, untuk kali ke berapa peluang harus diberikan buat Umno-BN?

Ruang 2004-2008 dibazirkan begitu sahaja; tiada perubahan yang menguntungkan rakyat dilaksanakan selain penciptaan slogan demi slogan. Kini Umno merayu kembali agar ia tidak direntap dari puncak kuasa, dengan turut menjanjikan deretan perubahan.

Pengundi pastinya lebih matang menilai. Sambil mengharapkan Pakatan mengotakan janji dan menambah-baik sistem penyampaian di empat negeri, rakyat mahu melihat segala teguran yang disampaikan, misalnya melalui keputusan Bagan Pinang, dipandang berat.

Jangan mengulangi tabiat buruk Umno-BN yang sentiasa dalam keadaan "menafikan". Seperti BN, Pakatan juga dinilai dari dekat dengan kacamata kritikal. Bukankah selama ini yang membentuk dan menyemai sikap kritis rakyat adalah Pakatan sendiri? Pedang yang menusuk musuh, ia juga boleh menikam diri sendiri. _ harakahdaily.net

28 OKTOBER PERANGKAP PEMBUBARAN DUN PERAK

One Malaysia dilancarkan di Perak. Negeri bergelora sejak Mac 2008. Gelora di Perak dirasai tempiasnya seluruh dunia. Pemerhati politik dan wartawan antarabangsa menjadikan Perak sebagai destinasi persinggahan hinggakan pokok yang dah lama bertapa di Medan istana disiar ke seluruh dunia gara gara sidang bawah pokok.

PR telah lama mendesak agar DUN Perak dibubar susulan rampasan kuasa kerajaan Kudeta BN . Kuasa rakyat dirogol dengan ganas tanpa simpati terhadap rakyat. Kerajaan kudeta yang berslogan Rakyat diutamakan itu tahu sengsara rakyat Perak angkara perbuatan rakus mereka namun nafsu serakah gila kuasa telah menguasai mereka. Slogan rakyat diutamakan adalah topeng puaka yang dipakai najib bagi menutup wajah hodoh kerajaan pimpinannya.

Ketika One Malaysia dilancarkan di Ipoh, rakyat keliru adakah ianya anjuran kerajaan atau umNO kerana lambang umNo tertera jelas. Namun wang yang digunakan mustahil milik umNO. 1500 buah bas disewa khas ke pelusuk kampung untuk mengangkut warga Perak. Ketika melalui Tol Ampang saya tersekat gara gara bas yang bersusun walaupun ketika itu maghrib telah masuk. Saya terlepas takbir awal gara gara bas sewa.

Di fahamkan setiap pelajar yang diangkut akan dibayar rm 10 setiap seorang. Saya terlepas detik malam tadi kerana ada dua program yang terpaksa dihadiri. Kalau tidak tentu himpunan raksasa robot upahan akan saya kongsi bersama. itulah yang difahami sebagai gelombang pilihanraya Perak yang akan berlangsung bila bila masa. Ada yang meramalkan melalui mangkuk putih tarikhnya ialah 28 November... Saya juga cuba meramal, namun belalang yang saya cari di padang tidak saya temui...

Mengikut maklumat yang diterima umNo negeri telah bersedia menghadapi pilihanraya yang dituntut. Ketika PR melalak menuntut pilihanraya negeri, umNo buat perangai lembu kenyang. Kita menyangka mereka tak peduli, rupa rupanya mereka merancang dan bekerja. Sebahagian kita sibuk melalak mencabar tanpa kerja namun mereka membina kekuatan. Difahamkan dari senarai terbaru yang dipamerkan SPR, lebih kurang 50 ribu pengundi baru telah di daftar. Hebat!!! Maklumat PR menyatakan kita hanya mendaftar sekitar beberapa ratus orang melalui agen yang dilantik. Siapa yang mendaftar mereka... itulah kerja licik umNO dengan tangan SPR.

Apapun perkembangan ini semakin menarik perhatian. umNO telah mencurah projek dari kerajaan pusat. Belanjawan negeri akan dibentang 28 Oktober ini. PR mesti waspada dengan perangkap 28 oktober.

Saya sangat yakin peristiwa 28 oktober akan dicatur dengan pengarahan terbaik bagi memberi gambaran buruk PR di Perak. Di harapkan PR memberi perhatian persidangan kali ini bukan hanya untuk tunjuk kita berani, tetapi MESTI WASPADA dengan perangkap yang telah sedia di pasang begitu rupa... Percayalah... 28 Oktober akan menjadi detik bersejarah permulaan pembubaran DUN Perak...jikaPR tersalah langkah menangani situasi di hari tersebut.

http://anaksengat.blogspot.com