Sahabat Purnama

Selasa, 1 Disember 2009

Perak akan ikut pendekatan doa hapuskan kezaliman

IPOH, 1 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat bersetuju kaedah yang telah dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menghapuskan kezaliman dengan doa.

Menteri Besar Kelantan semasa berkhutbah Hari Raya Korban telah berdoa supaya Allah Taala palingkan hati Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia supaya memberi royalti petrol kepada Kelantan.

Sekiranya Datuk Seri Najib enggan berbuat demikian, katanya beliau (Datuk Nik Aziz) tidak akan teragak-agak untuk mendoakan agar Datuk Seri Najib dan kerajaanya dimusnahkan Allah Taala.

"DPPN Pk akan terus menyokong usaha ini dan terus menggunakan kaedah yang sama sebagai Umat Islam terutamanya rampasan kuasa oleh UMNO di Negeri Perak ini.

"Malah DPPN Pk juga telah meminta semua Ahli PAS agar mendoakan supaya Allah Taala juga memalingkan hati Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang tidak sah agar menyerahkan kembali hak rakyat Perak bagi menentukan siapakah kerajaan yang sah.

"Jika sebaliknya perkara yang sama juga dituntut kepada seluruh rakyat supaya Datuk Seri Zambry dan pakatannya akan dimusnahkan oleh Allah Taala," kata Salman Salleh (gambar), Naib Ketua Pemuda PAS Perak dalam satu kenyataannya.

Beliau menegaskan bahawa senjata utama Umat Islam adalah berdoa kepada Allah Taala bagi memastikan kezaliman dapat dihapuskan dan keadilan dapat ditegakkan.

Oleh yang demikian, Pemuda PAS Perak meminta supaya seluruh rakyat meneruskan doa yang telah di ajar oleh Islam bagi memastikan hak rakyat negeri Perak ini dikembalikan segera.

_harakahdaily.net

Perak akan ikut pendekatan doa hapuskan kezaliman

IPOH, 1 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat bersetuju kaedah yang telah dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menghapuskan kezaliman dengan doa.

Menteri Besar Kelantan semasa berkhutbah Hari Raya Korban telah berdoa supaya Allah Taala palingkan hati Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia supaya memberi royalti petrol kepada Kelantan.

Sekiranya Datuk Seri Najib enggan berbuat demikian, katanya beliau (Datuk Nik Aziz) tidak akan teragak-agak untuk mendoakan agar Datuk Seri Najib dan kerajaanya dimusnahkan Allah Taala.

"DPPN Pk akan terus menyokong usaha ini dan terus menggunakan kaedah yang sama sebagai Umat Islam terutamanya rampasan kuasa oleh UMNO di Negeri Perak ini.

"Malah DPPN Pk juga telah meminta semua Ahli PAS agar mendoakan supaya Allah Taala juga memalingkan hati Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang tidak sah agar menyerahkan kembali hak rakyat Perak bagi menentukan siapakah kerajaan yang sah.

"Jika sebaliknya perkara yang sama juga dituntut kepada seluruh rakyat supaya Datuk Seri Zambry dan pakatannya akan dimusnahkan oleh Allah Taala," kata Salman Salleh (gambar), Naib Ketua Pemuda PAS Perak dalam satu kenyataannya.

Beliau menegaskan bahawa senjata utama Umat Islam adalah berdoa kepada Allah Taala bagi memastikan kezaliman dapat dihapuskan dan keadilan dapat ditegakkan.

Oleh yang demikian, Pemuda PAS Perak meminta supaya seluruh rakyat meneruskan doa yang telah di ajar oleh Islam bagi memastikan hak rakyat negeri Perak ini dikembalikan segera.

_harakahdaily.net

Isu Bala antara akan dilapor ke JSJK

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dilaporkan akan membuat suatu laporan rasmi kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM di Bukit Aman Khamis ini.

Laporan tersebut berhubung pengakuan Penyiasat Persendirian P. Balasubramaniam yang mendakwa menerima sejumlah sogokan wang daripada seseorang proksi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka turut akan melaporkan kes rasuah yang melibatkan Setiausaha Politik bagi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Shafie Abdullah dan kes penyeludupan wang negara yang didakwa melibatkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pengerusi SAMM Badrul Hisham Shaharin petang tadi melahirkan rasa yakin bahawa Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan akan mengambil tindakan positif dalam kes-kes yang tidak melibatkan ahli politik dalam kerajaan.

"Yang tidak ada kaitan dengan Umno BN, KPN sendiri menunjukkan minat komen kes tersebut dalam media,ini kami sambut dengan baik," jelas Badrul.

Beliau yang juga ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) PKR secara peribadi menganggap laporan terbabit sebagai medan menguji integriti PDRM sendiri.

"Apa yang lebih penting lagi, kita letak PDRM dan KPN sendiri di medan ujian kerana bagi kita tidak kira pemimpin Pakatan (Rakyat) atau sesiapa saja yang bersalah perlu disoal siasat dan didakwa," jelasnya.

"Kita akan hadir, bukan saja untuk membuat laporan, tapi ada beberapa bukti yang kita yakin cukup untuk Polis memulakan siasatan."

Beliau turut menjelaskan bahawa segala laporan itu tidak akan dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita telah bakar logo SPRM dan gambar Pesuruhjayanya Januari lalu, sijil kematian SPRM pun masih ada dengan saya...kerana kita anggap suruhanjaya itu sudah hilang peranan kepada masyarakat."

Beliau berkata, suatu penjelasan akan dibuat kepada media dan peserta sekitar jam 9 pagi, sebelum delegasi mereka masuk membuat laporan rasmi.

Tambahnya lagi, pihak Polis turut mengalu-alukan delegasi mereka demi kepentingan rakyat dan negara. _harakahdaily.net

Saya sudah lali dengan desakan letak jawatan- Nik Aziz

Faqih & Salmah Mat Husain   
KOTA BHARU, 1 Dis: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu sudah lali dengan desakan supaya beliau meletakkan jawatan.

Tindakan sama sebelum ini katanya pernah beberpa kali dibuat pemimpin Umno negeri itu malah berpendapat tidak perlu melayan perkara tersebut.

"Kalau sebelum ini Tan Sri Annuar Musa yang membuat desakan seperti itu dan sekarang pemimpin Umno lain pula.

"Kalau hendak diikut dengan desakan mereka tidak boleh buat kerjalah kita.  Saya sudah lali dengan desakan seperti itu," katanya ketika mengulas demonstrasi pagi tadi.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, tiada sebab kenapa beliau harus tunduk kepada desakan tersebut kerana ianya datang dari Umno dan bukannya dari PAS sendiri.

"Saya ini pemimpin PAS dan bagaimana pula mereka (Umno) desak saya letak jawatan. Lainlah kalau PAS desak saya barulah saya boleh berhenti. Ini pemimpin parti lain yang tidak ada kena mengena," katanya lagi.

Malah kata beliau perhimpunan mendesaknya meletak jawatan diadakan bertujuan menutup banyak kepincangan lain yang berlaku termasuk pergolakan Umno di Terengganu, dua kerajaan di Perak dan perpecahan MCA serta PPP.

"Bagi melarikan perhatian rakyat terhadap isu tersebut maka dibuat perhimpunan di sini dengan harapan rakyat tidak ingat lagi terhadap isu yang lebih besar berlaku," ujarnya..

Memorandum itu diserahkan Setiausaha Politiknya Haji Anual Bakri Harun selepas menerima daripada Timbalan Ketua Umno Pasir Mas, Che Johan Che Pa.

Lebih 50 penyokong Umno berhimpun di hadapan pintu masuk ke Kota Darulnaim bagi mendesak Tuan Guru Nik Abdul Aziz meletak jawatan.

Desakan itu dibuat ekoran kenyataan Menteri Besar yang mahu mendoakan supaya Datuk Seri najib dibuka pintu hati dan mengembalikan royalti kepada rakyat Kelantan, namun sekiranya masih enggan dipohon dikenakan bala kepadanya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga meminta penyokong PAS membaikot akhbar yang sengaja yang mengapi-apikan isu di Kelantan bagi menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

"Baik tak usah baca suratkhabar terbabit yang sengaja menjadi kesalahan PAS dan kerajaan negeri," ujarnya.

Demontrasi yang didalangi Umno bermula jam 10.25 berlarutan sehingga 11.35 pagi. Pada awalnya mereka enggan bersurai biar pun diminta berkali-kali oleh pihak polis. Namun hujan lebat yang turun kemudian menyebabkan mereka beredar.

Perhimpunan terbabit difahamkan diketuai Che Johan dan kemudian menyerah memorandum kepada Setiausaha Politik Menteri Besar.

Selepas menyerah memorandum itu yang dinamakan atas Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan JRPK, mereka diminta bersurai oleh polis dan hanya seorang wakil sahaja dibenarkan berucap.

Namun mereka tetap berdegil biar pun pegawai polis mengarahkan mereka supaya bersurai dengan alasan ingin mendapat jawapan dari Menteri Besar.

Ekoran itu kira-kira jam 10.40 pagi Ketua Polis Kelantan, SAC 1, Datuk Abdul Rahim Hanafi hadir dan meminta mereka supaya bersurai kerana perhimpunan tersebut tiada permit.
Lebih 30 anggota polis dilihat mengawal keadaan.
"Polis terpaksa meminta mereka supaya bersurai segera dalam tempoh setengah jam memandangkan perhimpunan mereka tidak mempunyai permit.

"Walaupun penganjur memohon permit malam tadi namun kami tidak dapat meluluskan perhimpunan ini.

“Mana ada jabatan yang memohon malam tadi, pagi ini boleh luluskan. Sekurang-kurangnya kena tiga hari. Kena ikut prosedur," katanya kepada pemberita selepas itu._harakahdaily.net


Tindakan Nik Aziz gambarkan ikhlas dan jiwa besar- Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyanjung tinggi keputusan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru datuk Nik Abdul Aziz Nikmat yang telah meminta menantu beliau Ir. Abdul Ariffahmi Abd Rahman meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Abdul Hadi dalam satu kenyataan menyifatkan keputusan tersebut sebagai tanda keikhlasan dan jiwa besar yang ditunjukkan Nik Aziz dan keluarga beliau yang bersedia menerima keputusan parti.

Sikap yang diperlihatkan itu jelasnya sangat berbeza dengan konsep kronisme yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang tidak dihapuskan.

"Sifat berjiwa besar ini juga ditunjukkan oleh seluruh ahli keluarga beliau yang bersabar dengan ujian yang dan ini sangat berbeza dengan konsep kronisme yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang tidak boleh dirombak dan dirungkaikan," jelasnya.

Perlantikan Ariffahmi sebagai CEO PMBK sebelum ini katanya dibuat secara ikhlas dan sepanjang 19 tahun mengetuai pemerintahan Kelantan juga katanya, Nik Aziz dan keluarga tidak pernah mengambil peluang dari jawatan yang diamanahkan.

"Kita dapati Tok Guru selaku Pengerusi PMBK telah menjalankan pelantikan yang ikhlas," katanya lagi.

Apa yang menghairankan katanya, mereka yang ghairah menyerang Nik Aziz dilihat berdiam diri terhadap kesalahan dan ketidakadilan yang dilakukan pimpinan Umno BN terhadap rakyat.

"Kita mengharapkan agar mereka yang suka menyebarkan api kebencian agar segera bertaubat," katanya.

Beliau turut menyeru seluruh Ahli PAS bersama-sama teguh menyokong kepimpinan Nik Aziz apatah lagi berdepan ujian fitnah media dan musuh yang mahu menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan.

____
Kenyataan Penuh Presiden PAS

Keputusan yang diambil oleh Tok Guru Mursyidul Am PAS dengan meminta menantu beliau Ir. Abdul Ariffahmi Abd Rahman untuk meletakkan jawatan dari kedudukan sebagai CEO PMBK adalah jelas merupakan satu tanda keikhlasan dan jiwa besar yang ditunjukkan oleh Tok Guru  yang bersedia menerima keputusan parti.

Sifat berjiwa besar ini juga ditunjukkan oleh seluruh ahli keluarga beliau yang bersabar dengan ujian yang dan ini sangat berbeza dengan konsep kronisme yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang tidak boleh dirombak dan dirungkaikan.

Kita juga berhadapan dengan undang-undang manusia yang seringkali menjatuhkan hukuman dengan tidak adil – iaitu hukuman telah dijatuhkan sebelum maklumat sepenuhnya diperolehi dari sumber yang amanah dan benar.

Benarlah keadaan yang digambarkan oleh Rasulullah saw “Akan berlaku di akhir zaman keadaan yang celaru, orang amanah dikatakan khianat, orang khianat dikatakan amanah, orang benar dikatakan bohong dan orang bohong dikatakan benar”.

Kita dapati Tok Guru selaku Pengerusi PMBK telah menjalankan pelantikan yang ikhlas.

Apa yang kurangnya ialah mereka yang bertugas di sekeliling yang tidak memberi nasihat perundangan dan politik yang betul kepada Tok Guru.

Kita dapati bahawa selama 19 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, Tok Guru selaku Menteri Besar dan ahli keluarganya tidak pernah mengambil peluang dari jawatan yang diamanahkan ini.

Seluruh ahli PAS menjunjung tinggi keikhlasan Tok Guru dalam menjalankan amanah yang sangat besar dan berat ini.

Kita juga sangat hairan dengan sikap orang yang menyerang Tok Guru ini kerana mereka berdiam diri pula dengan membiarkan kesalahan dan ketidakadilan terhadap rakyat yang dilakukan oleh para pimpinan UMNO dan BN sewenang-wenangnya.

Kita berharap agar Tok Guru dan keluarga bersabar dengan ujian masyarakat yang tidak memahami keadaan sebenar yang berlaku.

Kita mengharapkan agar mereka yang suka menyebarkan api kebencian agar segera bertaubat kerana sabda Rasulullah saw  “Barangsiapa yang bermusuh dengan orang-orang yang mentaati perintahku maka aku mengisytiharkan kemurkaan yang sekeras-kerasnya”.

Saya juga menyeru seluruh ahli PAS agar berbangga dengan keputusan Tok Guru beserta ahli keluarganya yang bersedia menerima keputusan parti, dan marilah kita bersama-sama dengan Tok Guru dalam menghadapi ujian fitnah media yang tidak putus-putus dan cubaan musuh untuk meletakkan kerajaan PAS di Kelantan dalam keadaan tidak tenteram.

Marilah kita sama-sama mempertahankan kerajaan yang telah dibina di atas dasar amanah Allah ini dengan seluruh tenaga yang kita ada.

Presiden PAS
Abdul Hadi Awang

_harakahdaily.net


Royalti: Kelantan minta pertemuan dengan pihak JPM

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 1 Dis: Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan Datuk Husam Musa hari ini menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai respon berhubung persetujuan Najib berunding dengan kerajaan negeri Kelantan.

Surat tersebut antara lain memohon pertemuan segera antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan tuntutan royalti negeri itu.

Ekoran itu, Husam yang juga exco kerajaan negeri juga telah bertemu dengan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan memohon agar satu pertemuan diatur di antara wakil kerajaan Kelantan dengan Jabatan Perdana Menteri JPM.

"Oleh kerana perdana menteri semalam telah menyatakan persetujuan untuk berunding, saya bagi pihak kerajaan negeri Kelantan selaku Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan yang dilantik oleh exco telah menghantar surat kepada perdana menteri hari ini,"

"Tadi juga saya telah berjumpa Ketua Penerangan Umno Malaysia Datuk Ahmad Maslan mohon jasa baik supaya diatur perjumpaan dan perundingan di antara wakil kerajaan negeri dengan Jabatan Perdana Menteri sendiri dalam isu tuntutan royalti ini," katanya dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi tadi.

Beliau turut menjelaskan mengenai 'doa' Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menurutnya telah dimanipulasi oleh media arus perdana dengan mengambil sebahagian sahaja daripada ucapan Nik Aziz.

"Doa Tok Guru (Nik Aziz) bukan terus minta jatuhkan hukuman ke atas perdana menteri tetapi mengenai supaya perdana menteri berbesar hati untuk berunding dan mempertimbangkan bayaran royalti terhadap kerajaan negeri.Jika selepas satu masa beliau masih enggan (berbuat demikian) barulah tok guru minta supaya Allah letakkan bala kepada perdana menteri,"

"Tetapi media telah ambil sebahagian sahaja daripada ucapan tersebut dan telah memanipulasikan bahagia terakhir ucapan itu untuk menggambarkan Menteri Besar Kelantan hanya sukakan konfrantasi dengan perdana menteri," jelasnya.

Jumaat lepas, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata beliau akan berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Najib dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.
Nik Aziz juga dilaporkan telah menjelaskan kenyataannya itu.

Husam dalam sidang media yang sama memberitahu, beliau melalui peguamnya memberi tempoh selama sepuluh hari kepada News Straits Time Berhad (NSTP) untuk membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung salah lapor akhbar berkenaan.

Beliau turut menuntut bayaran saguhati daripada NSTP di atas salah lapor berkenaan.

Akhbar berkenaan baru baru ini, Husam dilaporkan akan meletak jawatannya sebagai exco kerajaan negeri.

"Saya telah meminta peguam saya menghantar ‘Letter Of Demand’ kepada NST dan NST telah pun menjawab kepada peguam saya.Mereka meminta satu tempoh sebelum tindakan lanjut diambil ke atas mereka.Saya menganggap ini perkembangan yang positif,"

"Saya beri tempoh kepada NST 10 hari lagi untuk apa-apa penyelesaian.Surat dihantar pada 23 november dan NST jawab pada 26 november," jelasnya.

Beliau akan memfailkan saman malu ke atas NST jika tiada permohonan maaf itu tidak dibuat dalam tempoh yang ditetapkan kerana mendakwa laporan berkenaan telah menjejaskan reputasinya sebagai exco.

"Berita ini telah menjejaskan saya dengan teruk sekali.Di Kelantan hampir saban hari perbincangan mengenai isu ini berlanjutan dan sudah tentu komen-komen, telefon, sms, emel, dan macam-macam lagi perkara telah menyebabkan satu gangguan yang tidak sepatutnya berlaku," tegasnya.

Muka hadapan Mingguan Malaysia juga sebelum itu telah melaporkan kononnya HUsam akan meletakkan jwatan sebagai exco dan telah dinasihatkan bercuti selama lima hari untuk menenangkan fikiran.

"Alhamdulillah fikiran saya masih tenang, saya rasa tak perlulah suratkhabar meletakkan saya kononnya dalam keadaan kurang tenang fikiran," katanya._haharakahdaily.net

Siswi jadi hamba seks bomoh, foto bogel dirakam

Dis 1, 09 4:43pm
Kerana ingin mengubah nasibnya, seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Kuala Lumpur menjadi mangsa hamba seks seorang bomoh lelaki sejak April tahun ini.

Ketua Jabatan Aduan dan Khidmat Awam MCA Datuk Michael Chong berkata mangsa yang dikenali sebagai Loh, 21, mengenali bomoh itu, 50, ketika sedang bercuti bersama rakan dan keluarganya dua tahun lepas.

"Bomoh itu menilik tapak tangan mangsa dan mendakwa mangsa akan mengalami nasib malang berpanjangan termasuk meninggal jika berkahwin atau menjadi isteri kedua jika tidak diubati.

"Mangsa yang naif dan tidak tahu apa-apa itu kemudian mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling daripada bomoh itu sehingga mula bertemu secara serius April lepas," katanya pada sidang media yang turut dihadiri mangsa di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata bomoh yang telah berkahwin itu mendakwa mangsa yang turut menghidap penyakit diabetes boleh diubati jika menjadi rakan perniagaannya dan meluangkan masa bersamanya.

Chong berkata kerana terpedaya dengan nasihat bomoh yang dikenali ramai itu, mangsa bersetuju untuk menjalinkan hubungan seks sejak April dengan suspek dalam usaha mengubah nasibnya.

Beliau berkata sepanjang hubungan itu suspek telah mengambil gambar mangsa ketika dalam keadaan bogel dengan mendakwa sebagai ritualnya untuk membantu mangsa.

"Setelah sedar yang dirinya ditipu, mangsa cuba mengambil gambar suspek namun dipukul dan ditampar sama ada di rumah suspek atau hotel di bandaraya ini," katanya.

Beliau berkata mangsa yang mengambil jurusan pemakanan itu mendakwa hasil pemeriksaan doktor, dia turut didapati dijangkiti penyakit kelamin (STD) sepanjang menjalin hubungan seks sebanyak 12 kali dengan suspek.

Suspek mengugut mangsa supaya tidak melaporkan kejadian malang itu kepada keluarganya atau berdepan dengan tindakan penyebaran gambar bogelnya di Internet, katanya.

Chong berkata bimbang akan perkara yang lebih buruk berlaku, mangsa mendapatkan khidmatnya bagi tujuan keselamatan dan pihaknya sedang meneliti bukti dan maklumat bagi membawa suspek ke muka pengadilan.

Katanya, tujuh kes membabitkan sindiket bomoh penipu direkodkan sepanjang tahun ini yang membabitkan penipuan wang sebanyak RM433,000 dilaporkan kepada pusatnya berbanding RM260,000 dan lapan kes tahun lepas. BERNAMA _malaysiakini bm

Kes liwat Anwar didengar Januari 2010

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 25 Januarai tahun depan sebagai tarikh memulakan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijadual berlangsung selama sebulan sehingga 25 Februari.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohd Zabidin Mohd Diah selepas menolak permohonan Anwar untuk mengenepikan kes tersebut.

Hakim memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk mengetepikan tuduhan tersebut tetapi Anwar harus membuktikan dakwaan bahawa wujud niat jahat dan konspirasi politik di pihak pejabat Peguam Negara terhadapnya.

Hakim juga memutuskan hanya melalui perbicaraan penuh dapat memastikan seperti dalam pertuduhan sama ada berlaku atau tidak penetrasi pada dubur pengadu kes, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dan terserah kepada pihak pendakwaraya untuk membuktikan wujudnya unsur panetrasi pada dubur pengadu.

Anwar, didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Jika didapati bersalah, Anwar bakal berdepan hukuman penjara 20 tahun.

Pada perbicaraan pertama 23 November lalu, peguam mewakili Anwar berhujah tuduhan liwat tersebut berniat jahat dan tidak boleh diterima kerana tiada bukti perubatan berlaku panetrasi pada dubur pengadu.

Menurut peguam R.Sivarasa, untuk melakukan dakwaan liwat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, penetrasi merupakan perkara utama dan teras._harakahdaily