Sahabat Purnama

Selasa, 20 Julai 2010

Pakat masuk PAS, bukan bersatu dengan Umno

Idris Ahmad   
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menolak cadangan Tan Sri Harussani yang hendak menjadi perantaraan antara Pas dan Umno demi perpaduan Melayu di negara ini.


PAS bukan angkuh tetapi itulah hakikat yang berlaku pada hari ini, Umno sudah tidak relevan untuk orang Melayu menjadi tempat berteduh.

Parti yang pernah disebut oleh Tun Dr Mahathir sebagai  parti yang busuk sampai usus.

Sepatutya Tan Sri kena nasihat supaya ahli Umno keluar  beramai-ramai masuk PAS.


Apakah logik PAS  diseru untuk bersatu dengan Umno, sedangkan mereka mengalami penyakit yang berjangkit iaitu penyakit barah rasuah dalaman parti, penyakit khianat kepada amanah rakyat, tidak bertanggungjawab kepada hasil mahsul negara, penyakit hanya memikirkan kepentingan perut semata-mata, penyakit tidak peduli kepada rakyat dengan menaikkan harga barang.


Apa perlu PAS diajak bersama dengan umno semata-mata kerana hendak menghulurkan balang oksigen kepada umno yang semakin kehilangan sokongan terutama Melayu terpelajar dan Melayu yang celik maklumat.


PAS memahami tahap sokongan orang-orang Melayu sudah berubah, maka umno berdendang dengan irama lama iaitu kuasa melayu terancam. Apabila sudah nyawa di hujung halqum, baru Umno sedar PAS, parti melayu. Sebelumnya umno tidak pernah memandang Pas, malah angkuh dengan kuasa untuk menindas sesama bangsa.


PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani sebagai seorang mufti, di antara disiplin mufti kena  rujuk quran, hadis, ijmak dan qias dan mengetahui gambaran masalah yang berbangkit barulah boleh keluarkan fatwa.


Barulah fatwa yang dikeluarkan itu dihormati oleh orang ramai.  Begitu juga dalam hal politik, sebelum beliau hendak mengeluarkan pandangan biarlah buat kajian dahulu, apakah benar kalau PAS dan Umno tidak bersatu kuasa politik melayu terancam.


PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani tolong lihat dulu keputusan pilihanraya 2008, siapa yang khianat kuasa politik melayu? PAS atau Umno. Macam mana kuasa Melayu boleh hilang kuasa sebab semua kerusi melayu, Pas akan lawan umno, kalau umno kalah, Pas menang, Pas melayu juga. Mana sifir kuasa melayu terancam.


Apakah Tan Seri hanya anggap PAS kuda tungangan DAP dan PKR ketika berkongsi kuasa dalam Pakatan Rakyat. Manakah bukti PAS rugi kepada Melayu dan Islam ketika bersama PR. Tapi PAS boleh buktikan banyak tindakan umno bersama rakan-rakan BN merugikan agama dan bangsa.


Tan Seri lupakah yang menutup surau di Sek 8 Shah Alam itu dibuat oleh Umno pimpinan Khir Toyo, lupakah Tan Seri yang halau orang melayu di Kg Berembang dan Kg Plentong Pasir Gudang Johor adalah dibawah umno.


Dato Dr Harun Din, Dato Ismail Kamus, AlMarhum Dato Ishak Bahrum diburu macam penjenayah kerana hendak menyampai agama ketika Selangor di bawah umno. Adakah laporan Lim Guan Eng di Pulau Pinang tutup surau sejak memerintah Pulau Pinang


Hakikat yang berlaku umno yang serah kerusi majoriti melayu kepada bukan Melayu. Contohnya Parlimen Bukit Gantang 2004 Dr Lo Lo Pas lawan Tan Lian Hoe (BN) kemudian tahun 2008 Tan Lian Hoe bertanding di Grik melawan Mohd Noor Abd Rahman PAS, Parlimen Tanjung Malim Mohd Azman Marjohan PKR lawan Ong Ka Chuan (MCA), Dun Pasir Panjang Datuk Seri Haji Nizar PAS lawan Dr S Vasan (MIC).


Malah dalam usaha hendak menambah kerusi Melayu bertambah, maka PAS bertanding di kerusi pengundi melayu kurang daripada 50 peratus di Parlimen Kota Raja yang ditandingi oleh Dr Mariah. Ini adalah sebahagian contoh yang dikhianati oleh parti Umno yang menjadi kekasih Tan Seri Harussani.


PAS menyeru kepada ahli Umno yang ikhlas dan sayangkan agama, bangsa dan negara gunakanlah akal yang Allah berikan untuk buat keputusan supaya keluar Umno dan bersama-sama PAS yang sedang bersama membentuk pemetaan politik baru bersama-sama Pakatan Rakyat.


Ingatlah Islam selamat, Melayu selamat, bangsa lain selamat, negara pun selamat. Kalau Melayu selamat belum tentu Islam dan negara akan selamat._harakahdaily
 

Sistem Perundangan Negara Gagal Jamin Hak Keselamatan Warga

Oleh Fazli Othman
SHAH ALAM 19 Julai - N Surendran, peguam kepada bekas Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia, N Thamendran yang dituduh bersubahat mencuri enjin jet pejuang F-5e milik TUDM menyifatkan sistem perundangan negara ini tidak mampu menjamin  warga daripada ancaman terhadap kebeasan dan keselamatan diri mereka.
Ini jelas terbukti apabila Thamendran memilih untuk berada di dalam penjara daripada diseksa dan dicabul hak kemanusiaannya di bawah TUDM.
Surendran berkata anak guamnya hari ini meminta dirinya dipenjarakan semula di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menolak permohonan beliau untuk mendapatkan perintah perlindungan bagi dirinya.
Thamendran yang gagal dalam permohonan itu berkata beliau lebih sanggup dimasukkan ke dalam penjara daripada diseksa lagi oleh pihak TUDM.
Surendran yang dihubungi Suara Keadilan berkata pihak TUDM ingin 'menahan' anak guamnya dan berikutan itu beliau lebih rela ditahan di penjara.
"Tidak pernah dalam sejarah negara, seseorang yang mendapat jaminan untuk bebas rela masuk balik ke dalam penjara.
"Ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem perundangan negara kita yang menyebabkan Thamendran tidak mahu bebas seperti manusia biasa," tegas beliau.
Menurut Surendran, pihaknya percaya Thamendran telah dikambinghitamkan kerana menurutnya, tidak masuk akal jika dua individu termasuk anak guamnya mampu mencuri enjin tersebut dan menghantarnya hingga ke Uruguay di Amerika Selatan.
Apabila ditanya adakah anak guamnya itu bersalah, beliau berkata Thamendran tidak bersalah dan sebab itu beliau minta dirinya dibicarakan.
Petang tadi, Tharmendran membatalkan ikat jamin terhadap dirinya selepas mahkamah menolak permohonannya untuk mendapatkan perintah perlindungan.
Sebelum itu, permohonan perintah perlindungan difailkan di sebuah balai polis berhampiran.
 Kehadiran dua pegawai TUDM yang berada di perkarangan mahkamah mengusarkan peguam Tharmendran yang bimbang terhadap keselamatan anak guamnya itu.
Berikutan pembatalan ikat jamin itu, Tharmendran akan kembali ke Penjara Sungai Buloh - dua minggu selepas dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000.
Tharmendran dituduh mencuri dan bersubahat mencuri dua enjin jet daripada Pangkalan Tentera Udara Subang pada Disember 2007.
Sementara itu, Surendran mendakwa terdapat cubaan daripada pihak TUDM untuk menangkap anak guamnya itu untuk dibawa balik ke Pangkalan TUDM 16 Julai lalu.
Menurutnya, beberapa kakitangan TUDM yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita muncul di rumah Tharmendran di Seremban Jumaat lalu bertanyakan tentang "lapor diri ke kem".
"Ibu bapanya bagaimanapun berkata mereka tidak tahu di mana anaknya berada selepas meninggalkan rumah akhir-akhir ini untuk menetap di tempat lain.
"Perkara ini serius kerana tertuduh bukan lagi Sarjan TUDM dan sudah meletakkan jawatan 28 Mei lalu," tambah Surendran.
Pihak pendakwaan diketuai oleh timbalan pendakwa raya Ishak Muhamad Yusof.
Mahkamah sesyen menetapkan 6 September sebagai tarikh sebutan kes dan sambungan perbicaraan.
Hadir pada perbicaraan ini adalah tertuduh bersama K Rajandran Prasad, yang diwakili oleh peguam Gobind Singh Deo._suarakeadilan