Sahabat Purnama

Selasa, 27 Oktober 2009

EGM

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Lebih 25 tahun kita dalam PAS hidup aman, selesa dan sentosa selepas hadirnya kepimpinan ulama. Sewajibnya kita mensyukurinya. Keselesaan kita itu telah banyak membantu kita untuk membantu masyarakat mengenali kita secara lebih dekat.

Adakah anda menjangkakan Allah tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang menggugat kestabilan yang kita kecapi itu? Bahkan, ujian Allah tetap berlaku dan tiada siapa tahu dari daerah mana ujian itu datang. Yang pasti, ujian itu datang untuk menukar keamanan kepada perpecahan.

Dalam aman kita lena terbuai. Dalam kocakan kita sedar dan bersedia. Ertinya, ujian itu penuh hikmah. Allah menginginkan kita untuk tidak lena dan sentiasa berjaga – jaga. Siapa lena di dunia ini, dia tidak akan lena di akhirat nanti.

Semakin ujian itu sukar, semakin besarlah kesannya, baik ataupun buruk. Samada kita keluar daripadanya dengan seribu kebaikan atau jika sebaliknya, dengan seribu keburukan.

Pernahkah anda melihat atau mendengar mengenai perselisihan di antara dua kumpulan dalam agama yang mengelirukan sekali. Ditelan mati anak diluah mati ibu? Apatah di sebelah adalah Ali dan di sebelah lagi adalah Aisyah ( radiaLlahu anhuma ). Ia begitu sukar tetapi siapa dapat menjangka ujian Allah?

Yang penting anda mesti kena selamat. Duduk pada kedudukan yang selamat dan diredhaiNya.

Antaranya, 1) Anda mesti ikhlas 2) Anda mesti memohon pembabasan denganNya daripada keburukan fitnah itu 3) Anda mesti adil menilai 4) Anda mesti menjaga adab dengan Allah dan sesama makhluk 5) Anda mesti merujuk kepada sumber yang pertama 6) Anda mesti mendengar daripada semua dan mengambil yang terbaik 7 ) Anda mesti menapis daripada perkhabaran sang fasiq dan munafik 8 ) Anda mesti kepinginkan kesatuan, bukan perpecahan. 9 ) Anda jangan mengambil bahagian atau kacau daun tak tentu pasal 10) Anda jangan berkata dusta, mengejek dan menghuru harakan 11) Anda jangan nak jadi hero.

Diberitakan daripada sumber yang sahih bahawa al Ikhwanul Muslimin di Mesir juga ada kucah dan kacau hari ini. Antara sebabnya adalah dunia blog. Dunia blog hari ini adalah cukup tanpa adab seolah – olah ada lesen daripada ugama untuk tidak berakhlak dalam berblog!

Di mana – mana pun ujian mesti ada dan kena ada. Kerana Allah ada di mana – mana.

Saya melihat sesetengah ahli PAS cukup berani di dalam berblog. Malangnya, mereka hanya berani berbohong, memfitnah dan menyebar semua kata – kata manusia dan peristiwanya. Lebih malang, mereka tidak berani untuk berkata benar, apatah mengakuri pada yang benar.

Jika anda gian sangat nak menulis, menulislah yang kekal baik hingga ke lubang kubur. Yang memberkati anda dan kehidupan manusia.

Adapun isu EGM, saya yakin ianya akan selesai. Ia bukan balah orang jahil. Ia isu orang alim yang disayangi dan yang tidak ingin kecuali kebaikan untuk ummah. Justeru ia mungkin panas di awal, tetapi akan ada penyelesaian selepas ada persefahaman.

Yang payah nak selesai ialah balah orang jahil, payah nak faham apatah nak bersefahaman.

Yang saya takut ialah balah ini sengaja dipanjangkan selepas ianya disurutkan dan diredakan. Saya harap saya dan anda tidak terlibat walaupun saya tak mungkin boleh mengharapkan semua jangan terlibat.

Saya tinggalkan anda dengan sebuah ayat daripada Allah yang maha bijaksana. Hayatinya, ianya sungguh menenangkan.

“Tiadalah terjadi sebarang musibah di bumi dan tiada juga (terjadi) di dalam diri kamu sendiri kecuali ianya telah sedia termaktub di dalam kitab ( di sisi kami ) sebelum Kami lepaskannya. Sesungguhnya itu di sisi Allah adalah teramat mudah. Yang demikian adalah agar kamu tidak berduka cita di atas apa yang telah hilang daripadamu dan kamu tidak pula bersuka ria dengan apa yang kamu perolehi. Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan bermegah – megah.” al Hadid:22,23

Janganlah terlalu gundah dan janganlah terlalu bersuka ria.

_http://nikabduh.wordpress.com

Kenapa Awie melenting pendedahan Akhill Hayy? Macam ada benda yang tak kena je..

Kiriman maliksho07

Awie berkata Akhil perlu mencermin dirinya dulu yang sebelum ini turut terpalit dengan dunia glamor.Awie berkata, kehidupan artis yang menjadi ‘public figure’ memang sentiasa disuluh lampu terang yang semestinya mahu memperlihatkan kecantikan yang dimiliki dalam sinaran cahaya berkenaan.Walaupun mengakui ada artis yang tergelincir (terbabit dengan kegiatan maksiat), Awie mempertikaikan mengapa hanya golongan itu dikaitkan dengan pelbagai kegiatan tidak bermoral, termasuk ajaran sesat.

“Sebagai artis kita fokus terhadap apa yang hendak kita lakukan dan tidak berdiri di pentas ceramah sambil memaki dan mencerca orang lain,” katanya

Awie turut mendakwa penceramah terbabit pernah memperlekehkan lagu Sejati mengikut selera sendiri ketika berada di pentas ceramah.

“Saya meminta penceramah muda ini supaya tidak menilai seseorang itu secara melulu dan melalui ‘kulit’ saja, kerana ada ketikanya ada individu mempunyai ‘kulit’ yang baik, tetapi sebenarnya busuk di dalam.

“Dia baru setahun jagung dalam dunia artis dan terlalu mudah serta sewenang-wenangnya mahu menilai kehidupan artis sekarang kononnya terpengaruh dengan ajaran sesat,” katanya.

>Hanya dakwah, saling mengingati

PUTRAJAYA: “Apa yang saya luahkan (amalan ajaran sesat di kalangan artis) atas dasar dakwah dan saling mengingati sesama golongan artis dan tiada niat untuk menunjukkan saya ini ‘suci’ berbanding orang lain.

“Saya juga manusia dan tidak menafikan ada melakukan kesilapan, tetapi saya mahu melihat kehidupan golongan artis diperbaiki agar berada di landasan sepatutnya,” kata penceramah dan pengacara rancangan ilmiah televisyen, Akhil Hayy, semalam.

Menurutnya, walaupun niatnya ikhlas untuk berbuat kebaikan sesama artis, dia akur jika ada di kalangan penggiat seni sukar dan tidak mahu menerima hakikat cabaran baik dan buruk dalam dunia itu.

Akhil berkata, dia bukan bercakap berdasarkan nafsu, tetapi satu peringatan bukan untuk dirinya, malah untuk rakan artis supaya berwaspada dan tidak tergelincir sehingga membawa kepada jurang kesesatan.

“Sebenarnya, saya tidak menuduh mana-mana pihak tapi berdasarkan kepada pengalaman sepanjang terbabit dalam dunia artis yang penuh cabaran.

“Bagi saya, apabila membabitkan soal akidah, ia bukan tanggungjawab saya saja, tapi juga tanggungjawab semua umat Islam termasuk juga artis yang juga ikon masyarakat.

“Sebagai ikon, kita perlu menunjukkan contoh dan teladan baik supaya mampu melahirkan masyarakat yang memiliki nilai murni,” katanya.

Dia mengulas kritikan penyanyi rock, Ahmad Azhar Othman atau Awie, 42, yang tidak selesa dengan kritikan Akhil terhadap segelintir golongan artis yang kononnya menjadi tali barut ‘guru ghaib’ bagi menyebarkan ajaran sesat.

Akhil berkata, dia tidak mempunyai niat tersirat atau mencari publisiti murahan, tetapi hanya mahu mengingatkan rakan artis mengenai pentingnya memberi perhatian terhadap soal akidah.

Menurutnya, memang kebanyakan umat Islam mengaku Islam, tetapi sebenarnya mereka tidak beriman kepada Allah.

“Jika mereka tidak salah mengapa perlu hendak memarahi orang lain dan saya tetap perlu melakukan kebaikan walaupun terpaksa menghadapi banyak cabaran.

“Saya meminta golongan artis yang terasa `pedas’ dengan `cili’ yang diberikan supaya melihat nasihat itu dengan mata hati dan cuba berprasangka baik yang mungkin boleh membawa kebaikan kepada mereka,” katanya.

Akhil berkata, sebagai umat Islam, dia tidak mahu kehidupan artis masih dibelenggu dengan konsep `lu lu’ dan `gua gua’ yang sebenarnya tidak dianjurkan Islam.

Menurutnya, walaupun tidak menafikan rasa tidak senang segelintir artis, dia mengakui masih ada artis yang celik dan menerima nasihat diberikan dengan hati terbuka.

“Saya masih melihat ada artis yang mempunyai kekuatan untuk melihat kebaikan hendak kita sampaikan,” katanya.

Oleh itu, dia berharap mesej yang cuba dibawa kepada masyarakat artis perlu diberikan perhatian kerana mereka adalah ikon masyarakat yang mempunyai ramai pengikut._tkodaily

Hadi persoal isu pendidikan Islam, Bahasa Arab

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Ahli Parlimen Marang Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempersoal usaha kerajaan dalam meningkankan kebolehupayaan pelajar menguasai bahasa Arab peringkat menengah.

Ianya ekoran Universiti Azhar manarik semula pengiktirafannya terhadap Malaysia, kerana pelajar di negara ini didakwa gagal menguasai bahasa itu dengan baik.

Menjawab soalan lisan di Parlimen pagi tadi, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Dr. Mohamad Fuad Zarkasyi menjelaskan masalah tersebut dibawah bidang kuasa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pun begitu, Menteri Pelajaran tersebut menjelaskan sebanyak RM1.2 juta diperuntukan untuk guru bahasa arab dan penyediaan bahan bantu mengajar (BBM).

Ujarnya lagi, pengenalan bahasa Arab di peringkat sekolah bermula pada tahun 1977, dan berkembang sehingga kini melalui program Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF).

Tambahnya lagi, seramai 1,287,250 murid telah didedahkan tentang pengajaran bahasa Arab di 4467 buah sekolah.

Kerajaan juga telah menubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) sejak 1997, sehingga kini diperkenalkan pula Kelas Aliran Agama (KAA) di sekolah-sekolah kelas harian.

Mencelah kemudiannya, Hadi yang juga Presiden Pas meminta Fuad menjelaskan pula usaha kerajaan menangani Islamphobia melalui pendekatan pendidikan Islam.

Menjawab soalan tambahan itu, Fuad menjelaskan isu Islamphobia adalah cabaran bersama, tanpa mengira warna kepartian Umno atau Pas.

Sebelum menamatkan jawapan lisannya, Fuad sempat mencuit Hadi mengatakan beliau menyokong idea Kerajaan Perpaduan yang dicetuskan Hadi demi kepentingan politik Umno dan Pas sendiri._ harakahdaily.net

Usaha pecah-belahkan PAS, awas 'cyber troopers' Umno!

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Ahli PAS diingatkan agar berwaspada dan sentiasa berhati-hati serta bijak dalam membaca sebaran berita di internet khususnya dalam blog, facebook dan juga media massa lainnya.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, pada waktu ini PAS mendapati semakin banyak tuduhan liar dilontarkan oleh 'cyber trooper' Umno yang menyamar sebagai ahli PAS atau wakil pimpinan PAS di dalam media alternatif ini.

"PAS mendapati mereka mengunakan isu Unity Goverment dan juga cadangan Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat bagi menunjukan bahawa PAS kini berpecah.

"Pemimpin Umno seperti Najib Tun Razak, Muhyiddin Yasin dan Zahid Hamidi bersilih ganti menangguk di air keruh dengan memberikan komen seolah-olah PAS kini sedang berpecah yang mana sebahagiannya mengambarkan seperti ada kumpulan dalam PAS yang mahu bergabung dalam Umno, sebahagian lagi mahu Mursyidul Am dan Presiden letak jawatan,"jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya,dalam ucapan Muktamar yang lepas, telah dijelaskan oleh Presiden PAS bahawa PAS tiada hasrat untuk bergabung dengan Umno dan isu Unity Goverment tidak berbangkit lagi.

"Sehubungan dengan itu, kewujudan fitnah seolah-olah wujudnya pertemuan sulit pimpinan PAS yang Pro Unity Goverment dan Pro-Erdogan wajar difahami ahli sebagai satu gerak kerja saraf Umno untuk memecahkan parti ini kepada dua kelompok.

"Sesungguhnya tiada sebarang pertemuan sulit yang dilaporkan dan belum ada bukti yang diterima diperingkat kepimpinan PAS tentang kewujudan dua kumpulan ini melainkan individu-individu yang berbeza pandangan dengan pimpinan,"jelasnya lagi.

Selain itu katanya,PAS melihat, selain jalan Musyawarah perlu juga Laporan Disiplin dibuat bagi mengesahkan setiap tuduhan yang dibuat untuk memudahkan kita mengetahui asal punca masalah ini.

"Lembaga Disiplin PAS juga membuka ruang yang seluas-luasnya terhadap mana-mana pimpinan dan ahli yang mempunyai bukti mengenai fitnah ini atau mereka-mereka yang menyebarkan berita bahawa terdapat segelintir pimpinan PAS sedang berusaha membawa PAS bergabung dengan Umno untuk membuat Laporan Disiplin. Jika ada laporan dan bukti yang sahih kita akan membuat keputusan, walaupun yang didakwa itu Mursyidul Am, Presiden atau mana-mana pemimpin tertinggi parti sekalipun,"katanya.

Beliau juga yakin kerja-kerja fitnah CyberTrooper Umno dan mereka yang kononnya menjadi ahli PAS tetapi bekerja untuk Umno akan mati dengan sendirinya jika sebarang Laporan Disiplin gagal dibuat dan tiada sebarang pembuktian diserahkan kepada pihak Lembaga.

Oleh itu,tambahnya, PAS meminta ahli bertenang dan tidak membuat sebarang ulasan terbuka mengenai perkara ini dan memberikan ruang kepada pemimpin bermusyawarah bagi mencari punca masalah ini.

"Gunakanlah saluran yang ada (Lembaga Disiplin) bagi mencari kebenaran dan menguatkan Ukhuwah dalam parti.

"Marilah kita bersama-sama melakukan solat hajat moga mereka yang cuba menganiaya parti ini diberikan hidayah oleh Allah untuk menginsafi perbuatan mereka. Kita mohon pada Allah semoga PAS dileraikan dari belenggu fitnah dan perjuangan kita terus mendapat hidayah dari-Nya,"tegasnya._ harakahdaily.net

'Mukjizat palsu media'

Ahmad Lutfi Othman

Media memang dianggap berpengaruh besar, malah ada yang melihatnya sebagai penentu, dalam persaingan merebut kuasa. Dalam konteks politik Malaysia, persaingan itu begitu berat sebelah, terutama apabila media tradisi dikawal dan dikongkong sepenuhnya oleh pemerintah.

Pelbagai akta dan peraturan digubal bagi encengkam pemilik media, seterusnya 'memenjarakan' para wartawan dan editor. Seringkali faktor 3M (media, money, machinery) dianggap membantu BN mengekalkan kemenangan "di padang permainan yang tidak pernah sama rata".

Kemunculan media baru bermula dalam pilihan raya 1999 telah memecahkan hegemoni BN terutama apabila ruang maya menyediakan persaingan yang lebih saksama. Pengenalan internet secara besar-besaran pada 1997, seperti penggunaan emel dan laman web, diikuti kemudiannya oleh blog, youtube, Twitter, Facebook dan seumpamanya, bukan saja memberi peluang rakyat Malaysia untuk akses kepada kepelbagaian sumber maklumat, malah mencabar kedudukan BN yang berdekad lamanya hegemonik dalam membentuk pemikiran dan budaya politik masyarakat.

Bagaimanapun, pensyarah sains politik UKM, Mohamad Nadzri Mohamed Noor (Politik Malaysia di Persimbangan, 2009) mengingatkan, merujuk tiga pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008, "kita dapat melihat jatuh bangun pakatan parti oposisi meskipun mereka menggunakan dan menguasai ruang maya secara konsisten dan lebih menyeluruh berbanding BN, dan BN pula agak ketinggalan dalam penggunaan media online, namun BN tetap berupaya mengekalkan majoriti dua pertiga dalam PRU 1999 dan mencapai kemenangan terbesarnya dalam PRU 2004. Oleh itu, kempen efektif dalam ruang siber semata-mata kelihatan tidaklah memadai dalam menarik pola pengundian yang signifikan ..."

Sengaja saya tekankan hal ini memandangkan ada tanggapan daripada aktivis Pakatan Rakyat bahawa kemenangan mereka untuk pilihan raya akan datang, di zaman langit terbuka ini, agak terjamin disebabkan masyarakat semakin meninggalkan media tradisi seperti akhbar, hatta TV, dan beralih sepenuhnya kepada media baru.

"Jika media benar-benar bebas, atau kita tidak diserang bertubi-tubi oleh media yang dikawal mutlak oleh BN, nescaya rakyat akan menyokong kita," begitulah kira-kira hujah mereka.

Mereka yakin BN jauh ketinggalan dalam usaha memanfaatkan kepesatan teknologi maklumat ini. Dengan itu pengundi akan mendapat maklumat lebih seimbang daripada media alternatif dan tidak mudah tertipu lagi dengan propaganda murahan BN. Mereka juga percaya bahawa sesiapa yang menguasai informasi - kini dilambahkkan dalam media baru - maka automatik ia akan menerajui kuasa.

Maka apabila Pakatan kalah dalam mana-mana pilihan raya misalnya, yang dipersalahkan adalah kegagalan jentera penerangan untuk berfungsi dengan berkesan, terutama bagi menyanggah serangan lawan, sekali gus melakukan pujukan.

Propaganda media BN pula dikatakan begitu berjaya mempengaruhi pengundi seolah-olah mempunyai kuasa luar biasa hebatnya, meskipun parti itu dan calonnya bergelumang dengan rasuah, salahguna kuasa dan terjebak dengan kegiatan tidak bermoral. Tukang spin dilihat berupaya menjadikan "yang hitam itu putih" pada kacamata pengundi dan membuatkan kebenaran terus tertimbus dan tidak dipedulikan.

Tidak dinafikan bahawa media (sama ada tradisi mahupun baru) perlu dikuasai selok-beloknya, bukan saja dari aspek teknikal tetapi juga pengisiannya. Namun yang tidak kurang penting - malah mungkin lebih mustahak - adalah menguasai isu sebenar, merasai penderitaan rakyat, menyelesaikan masalah masyarakat, menjuarai usaha membela golongan bawahan, menampilkan kualiti kepimpinan, serta membentuk keyakinan kita mampu melakukan perubahan dan tidak mengulangi kebobrokan sistem lama. Usah remehkan kemampuan rakyat untuk menilai dan menghakimi pretasi parti dan calon yang telah diberikan kepercayaan dalam pilihan raya lalu.

Benar, politik itu permainan persepsi tetapi media juga semakin sukar memikul tugas sebagai "tukang putar". Hari ini mungkin rakyat terkeliru dan tertipu dengan kelicikan media, namun ia tidak kekal lama. Kebatilan akhirnya terbongkar jua.

Justeru, jika kita tersungkur, ia bukan semata-mata diperangkap media musuh, tetapi juga berpunca dari kelemahan sendiri, yang disaksikan secara nyata oleh pengundi.

Lihat saja pilihan raya 2004 - BN tetap jauh ketinggalan dari segi penguasaan media baru tetapi kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan Dr Mahathir Mohamad berjaya "menyihirkan" tanggapan umum.

Oleh itu, pertama, usah terlalu yakin dengan "sakti" media baru, dan kedua, jangan memandang rendah pihak lain yang cuba mempamerkan diri mereka sebagai "telah berubah".

Malah, dengan dakwaan hegemoni pembangkang di alam siber kian terhakis, ditambah kritikan pengkaji media - merujuk semasa kempen Bagan Pinang - bahawa Pakatan Rakyat gagal memanfaatkan sebaiknya internet untuk menyanggah serangan BN, maka ia menuntut kesungguhan untuk memperbaiki kekurangan dan kealpaan itu.

Sebagai wartawan, saya lebih cenderung untuk mengingati diri tentang kelemahan dalam operasi menjuarai jihad pena ini, selain membetulkan salah tanggap ahli dan pemimpin Pakatan terhadap "mukjizat" media.

"Padang yang sama rata" pun tidak akan membawa kemenangan jika pemain tidak berketrampilan, jurulatihnya tidak kreatif dan pengurus pula tidak hiraukan kebajikan! _ harakahdaily.net

Tanggungjawab ahli gerakan Islam sedarkan ummah

Ustaz Zainudin Hashim

Kedatangan para anbiya di muka bumi ini adalah untuk melaksanakan segala perintah Allah SWT, sama ada yang berupa arahan/perintah-Nya, hukum-hakam yang termaktub dalam al-Quran di mana pada akhir-akhir ini ia hanya jadi bahan bacaan semata-mata tetapi tidak dilaksanakan.

Kesungguhan para anbiya melaksanakan segala titah perintah Allah walau menghadapi segenap bentuk tribulasi adalah menjadi lumrah dalam perjuangan untuk menegakkan agama Allah SWT, atau ia dikenali dengan istilah asam garam dalam berdakwah.

Tujuan dakwah adalah bagi memastikan agar ummah berada pada tahap penerimaan segala ajaran Islam sebaik mungkin, iaitu melaksanakan perintah Allah pada masa yang sama meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya bagi meraih sebenar-benar takwa kepada-Nya.

Kisah perjuangan para anbiya dalam menjalankan tugas sebagai para utusan daripada Allah diabadikan dalam al-Quran agar ia menjadi rujukan dan inspirasi kepada ummah hari ini untuk menjalankan tugas masing-masing sebagai golongan hamba Allah yang berhak meraih pahal sekali gus dijanjikan syurga Allah pada hari akhirat.

Ia diakhiri dengan Sirah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasul terakhir yang membawa kebenaran daripada Allah SWT menghadapi makhluk perosak yang sengan menghalang kemaraan kebenaran dengan pelbagai kaedah dan cara bagi memastikan ia tidak dapat sampai memasuki ruang hati-hati manusia ketika itu.

Sesungguhnya apa yang ditonjol dan ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. adalah satu sunnah dan tanggungjawab yang ditinggalkan kepada ummah ini seperti yang difirmankan oleh Allah menerusi ayat 104 surah Ali Imran yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

Ayat di atas dengan jelas menuntut orang yang beriman menjalankan tugas dakwah dengan menyampaikan ajaran Islam kepada ummah khususnya umat Islam hari ini yang banyak disogokkan dengan unsur-unsur cara hidup yang negatif hingga terdapat di kalangan mereka yang masih belum mengenal Islam dengan baik seperti yang dikehendaki oleh Islam.

Sirah Rasulullah menjadi pegangan dan rujukan kepada golongan pendakwah/dai'e kerana ia adalah sumber pelaksanaan Islam secara praktikal, ia terbukti bagaimana baginda Rasulullah s.a.w. mempraktikkan Islam dalam bentuk pentadbiran sebuah negara Islam di kota Madinah, begitu juga dengan hal-hal yang lain seperti aspek kejiranan, kemasyarakatan, perekonomian, politik dan lain-lain, kesemuanya dibuktikan secara praktikal.

Pada masa yang sama, kerja-kerja dakwah tidak terlepas daripada menerima segala macam ujian bagi mematangkan tahap emosi, tekanan diri, tidak mudah berputus asa, bersedia menerima tohmahan yang direka-reka oleh mereka yang tidak senang dengan Islam walaupun ia datang daripada mereka yang bernama Islam.

Menurut Ustaz Mustafa Masyhur dalam risalahnya bertajuk 'Zad ad-Du'ah' / 'Bekalan para pendakwah' ada menegaskan, bahawa mana-mana individu yang mewarisi kerja-kerja dakwah seperti yang ditampilkan oleh baginda Rasulullah mesti melalui ujian sama ada dilabelkan dengan pemecah belah masyarakat, pengganas dan lain-lain, ia tidak lebih daripada menguji tahap kecergasan minda dan sanubari dan mematangkan kesungguhan untuk terus berdakwah.

Apa yang disebut oleh Ustaz Mustafa ada kebenarannya, kerana untuk meraih syurga Allah SWT bukanlah satu perkara yang mudah, ia terpaksa dilalui dengan ujian yang pernah disabdakan oleh baginda Rasulullah dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: "Golongan paling dahsyat menerima ujian Allah adalah para anbiya dan kemudian golongan yang serupa dengan mereka (para ulama/pendakwah)."

Keadaan ummah hari ini

Apa yang dapat disaksikan pada hari ini ialah, keadaan ummah hari boleh disifatkan sebagai separuh tenat, khususnya dari sudut kefahaman mengenai agama Islam itu sendiri. Terdapat masih ramai lagi ummah yang tidak mengenal Islam pada bentuk yang sepatutnya mereka perlu tahu.

Persoalan majlis perkahwinan yang masih kabur pelaksanaannya, hubungan ipar duai dari sudut aurat dan adab, penglibatan dalam aspek sukan, hiburan melampau dan banyak lagi yang memperlihatkan kecetekan cara berfikir mereka lantaran tidak duduk dalam majlis-majlis ilmu agama. Pada masa sama mereka jadi juara dalam mengendalikan program-program hiburan dengan pengendalian yang cukup mantap, tetapi ia berlaku pada urusan yang bersifat keagamaan.

Remaja-remaja perempuan yang mendedahkan aurat begitu berleluasa khususnya di kalangan anak-anak orang Islam. Ia bagaikan mereka seolah-olah tidak mempunyai kedua ibu bapa yang sepatutnya menasihati mereka, membonceng motosikal dengan penunggang lelaki ke hulu dan ke hilir tanpa matlamat hidup yang jelas.

Justeru, bagi ahli-ahli gerakan Islam, ia merupakan satu tugas besar serta tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Kerahan tenaga perlu digiat dan dilipat-gandakan bagi menyelamat mereka yang telah tersasar matlamat hidup mereka yang sebenar, kelas-kelas fardu ain perlu juga digandakan peranannya dan mencari kaedah bagaimana ummah/masyarakat berminat untuk datang mendengar kuliah, ceramah, forum dan sebagainya dengan menggunakan bahan teknologi terkini bagi menarik perhatian mereka.

Jika tugas dakwah tidak disampaikan, dikhuatiri ummah akan hanyut dalam arus kebendaan yang menjanjikan seribu pembohongan untuk berjaya, kerana kejayaan sebenar adalah menyampaikan 'amar makruf nahi mungkar' seperti dijelaskan dalam ayat di atas.

Sahutlah para pendakwah daripada kalangan ahli gerakan Islam, seruan Allah menerusi ayat 110 surah Ali Imran yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."

Kita tidak akan mencapai status ummah yang baik melainkan dengan menjalankan tugas menyelamatkan manusia melalui program amar makruf nahi mungkar, kerana ia adalah program yang diperakui oleh Allah berbekalkan pengetahuan mendalam mengenai ilmu-ilmu alat seperti Sirah, ulum al-Quran, fiqh, akidah, mantiq, tafsir, hadis dan lain-lain.

Para pendakwah berusaha untuk merintis jalan mempelbagaikan teknik dakwah yang mudah sampai kepada golongan sasaran yang akhirnya meyakinkan mereka bahawa Islam adalah agama yang memimpin manusia ke jalan kebenaran untuk mendapatkan rahmat Allah sekali gus disediakan bagi mereka tempat yang kekal abadi di dalam syurga. -lanh

52 Tahun Umno Memperjuangkan Melayu, 99.08 Peratus Penagih Melayu

E-mail Print PDF

KEMAMAN – Bekas Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan Datuk Kapten (B) Zahar Hashim berkata Umno bukanlah satu parti yang memperjuangkan orang Melayu.

Beliau yang telah menjadi ahli Umno selama 29 tahun tahun dan menjadi Ketua Bahagian selama 20 tahun berturut-turut berkata, kaum yang paling ramai miskin di Negara ini adalah orang Melayu dan penagih dadah paling ramai adalah orang Melayu.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada satu program penerangan PAS DUN Chukai di Gong Limau, kelmarin.

Dakwaan beliau ternyata benar, Umno yang merosakkan orang-orang Melayu apabila Agensi Anti Dadah Kebangsaan mendedahkan laporan terbarunya.

Dalam laporan tersebut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Malaysia berjaya mengesan seramai 2,721 penagih terkumpul di seluruh negara sepanjang tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan AADK Malaysia, Tanasegran Sinnathambi berkata, berdasarkan rekod Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (Nadi), ia menunjukkan penurunan sebanyak 69.32 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, tahun lalu jumlah penagih dadah yang dikesan di seluruh negara ialah 8,870 orang.

”Manakala sehingga Ogos lalu, bilangan penagih baru yang dikesan seramai 1,543 dan ia berkurang sebanyak 61.82 peratus berbanding jumlah penagih baru dalam tempoh sama pada tahun lalu yang berjumlah 4,041 orang.

”Sementara itu, seramai 1,178 penagih berulang dikesan sehingga Ogos lalu dan berlaku penurunan sebanyak 75.61 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu seramai 4,829 orang,”kata Tanasegran.

Justeru, Kapten (B) Zahar Hashim menyeru ahli-ahli Umno supaya meninggalkan Umno dan mengikuti jejak langkahnya, menyertai PAS dalam memperjuangkan orang Melayu dan Ugama Islam._buletinonline