Sahabat Purnama

Isnin, 24 Mei 2010

Nasib SUPP selepas kalah di Sibu


Subky Latif   
SUPP atau Parti Rakyat Bersatu Sarawak yang mewakili Barisan Nasional yang kalah dalam pilihan raya kecil Parlimen di Sibu pada pertengahan Mei lalu bukanlah parti yang asalnya diasaskan menjadi parti kerabat Barisan Nasional.


Bahkan ia diasaskan bagi membebaskan Sarawak dari penjajahan British dan apabila Sarawak merdeka melalui Malaysia, ia kekal sebagai sebuah parti pembangkang yang menentang gabungan Perikatan yang berkuasa di Sarawak.


Ia adalah parti yang tidak tertarik dengan gagasan pembetukan Malaysia kerana sebelumnya ia mempunyai hubungan langsung dan tidak langsung dengan perjuangan Shaikh Azahari, pemimpin Partai Rakyat Brunei bagi membentuk sebuah Negara Kesatuan Kalimantan Utara yang menggabungkan Brunei, Sabah dan Sarawak dengan Sultan Brunei sebagai Rajanya.


Politik SUPP sebagai parti pembangkang di Sarawak selepas berada dalam  Malaysia dulu adalah sama dan sealiran dengan pembangkang di Semenanjung seperti Gerakan, PPP di bawah Seenivasagam bersaudara di Perak dan DAP. Ia parti yang rata-rata dikuasai oleh masyarakat Cina yang dikira anti UMNO dan sekutu-sekutunya dalam Perikatan.


Ia adalah sebuah parti yang besar pengaruhnya dan ikut berpandangan bahawa parti-parti dan individu di Sarawak yang menyokong Malaysia adalah pihak yang menjadi boneka kerajaan pusat dan parti Perikatan yang berkuasa. Sekalian mereka yang cenderung menyokong Kuala Lumpur dan Perikatan tidak begitu popular di Sarawak.


Dalam pilihan raya awal tahun 70an bagi menentukan pengaruh Stephen Kalong Ningkan, Ketua Menteri Sarawak yang pertama selepas pembentukan Malaysia, SUPP adalah parti pembangkang yang penting.


Kalong Ningkan dipercayai orang lebih cenderung dengan politik Lee Kuan Yew dan tidak senang dengan penyingkiran Singapura dari Malaysia. Tidak dipastikan pendirian SUPP dengan pemimpin Singapura itu. Yang nyata keduanya tidak sekata dalam pembentukan Malaysia. Lee Kuan Yew pro pembentukan Malaysia menakala SUPP tidak tertarik dengannya.


Dalam pilihan raya bagi menentukan kerajaan Sarawak yang tidak berbelah bagi kesetiaannya kepada Kuala Lumpur, SUPP yang paling ketara menentang orang-orang yang diberi sokongan penuh oleh Kuala Lumpur seperti Abdul Rahman Yaakub dan Abdul Taib Mahmud.


Perdana Menteri Tun Razak mengirim Menteri Pelajaran Abdul Rahman Yaakub bagi menjadi calon Ketua Menteri bagi menggantikan Ketua Menteri Tawi Seli yang tidak lagi bertanding dalam pilihan raya itu.

Keputusan pilihan raya itu tidak memberikan majoriti yang jelas kepada parti-parti yang bertanding. Kira-kira  seperti yang terjadi  di Britain dalam pilihan raya Mei lalu.

Dalam kebuntuan itu, seperti yang Tun Datu Mustapa, Ketua Menteri Sabah ketika itu kata kepada saya, bahawa beliau bersama Perdana Menteri Tun Razak mengadakan pertemuan dengan pemimpin SUPP, Ong Kee Hui rakannya semasa belajar di Maktab Pertanian Serdang dulu.


Tun Mustapha memintanya membentuk kerajaan campuran dengan Abdul Rahman Yaakub sebagai Ketua Menteri. Ong Kee Hui tidak dapat membuat keputusan tanpa persetuan Setiausaha Agung SUPP Stephan Yong. Tun Mustapha memintanya memanggil Stephan.


Kedua mereka didesak bersetuju membentuk kerajaan dengan Perikatan. Stephen Yong kata mustahil kerana mereka baru berkempen menentang parti yang dipimpin oleh Abdul Rahman Yaakub.


Menurut Tun Mustapha,  dia minta Tun Razak menyerahkan kuasa Perdana Menteri kepadanya satu jam. Tun Razak dikatakan tidak berhalangan.


Dengan kuasa Perdana Menteri itu, Tun Mustapha memberi kata dua kepada kedua pemimpin SUPP supaya bersetuju membentuk kerajaan dengan Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri. Jika menolak kedua mereka akan dikenakan Tun Mustapa tindakan ISA.


Kata Tun Mustapha mereka bersetuju dengan tekanan itu. Kuasa Perdana Menteri dipulangkan semula kepada Tun Razak. SUPP bersetuju membentuk kerajaan bersama Abdul Rahman Yaakub.??sebagai kerajaan campuran tetapi ialah kerajaan Perikatan.


Penyertaan SUPP dalam Perikatan yang peranannya dimainkan oleh Abdul Rahman Yaakub membuka jalan kepada Tun Razak melebarkan Perikatan kepada apa yang dinamakannya Grand Alliance atau Perikatan Raya membawa Gerakan pimpinan Dr. Lim Chong Eu di Pulau Pinang dan PPP di Ipoh bersamanya.


Tun Razak melobi PAS menyertai Perikatan yang besar itu tetapi Datuk Asri, Menteri Besar Kelantan tidak bersetuju gabungan itu dikekalkan dengan nama Perikatan tetapi boleh menimbangkannya menggantikannya dengan nama lain.


Tun Razak dan Datuk Asri bersetuju nama baru itu Barisan Nasional. Maka berakhirlah Perikatan yang diganti oleh Barisan Nasional.


Tetapi pembuka jalan kepada Perikatan yang lebih besar tadi dimulakan dengan persetujuan SUPP. Sejak itu SUPP tidak lagi dikenali sebagai parti yang radikal tetapi terus menjadi kerabat Barisan Nasional yang setia.


Sibu yang menjadi kubunya sejak ia dibentuk kekal menjadi kubunya sekalipun menjadi komponen BN hampir 40 tahun. Tetapi pilihan raya kecil pertengah Mei lalu didapati SUPP tidak dapat mempertahankan kerusinya dan Sibu seperti kembali ke zaman ia sebelum menyertai Perikatan/BN dulu.

Apakah ia akan mengalami nasib yang telah menimpa Gerakan dan PPP?_harakahdaily.net

Azizan selar media sekongkol dengan BN

Mohd Shubihi Zain   
ALOR SETAR, 24 Mei: Media yang bersekongkol dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) menyebarkan spekulasi kononnya beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Kedah akan berpaling tadah ditempelak Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar).
Menurut Azizan, media-media tersebut telah dipergunakan oleh Umno dan BN untuk membuat andaian dan spekulasi tentang ketidakstabilan politik di negeri ini hingga menimbulkan keresahan rakyat.
"Apa yang berlaku adalah disebabkan BN tidak boleh menerima hakikat kekalahan, mereka tanpa segan silu terus menyalahgunakan media-media bagi kepentingan politik mereka.
"RTM diperlakukan seperti harta benda mereka dan dipergunakan untuk menghentam pentadbiran kerajaan Negeri Kedah, wartawan jangan jadi bodoh macam RTM," tegasnya semasa menyampaikan ucapan di himpunan berhubung spekulasi pembubaran Dun Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota sarang Semut, malam semalam.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri turut menyelar peranan media yang berterusan memainkan isu-isu ciptaan Umno dan BN yang terdesak untuk merampas pentadbiran negeri dengan cara tidak bermaruah seperti yang berlaku kepada kerajaan PR di Perak.
"Bermula dengan isu Arumugam (bekas Adun Bukit Selambau) yang dipaksa melepaskan jawatan, selepas itu isu surat layang kononnya salah seorang Exco memaki raja, diikuti isu masalah air semasa musim kemarau, dan yang terbaru, isu soalan dewan yang dikatakan mempertikai kuasa raja.
"Media memainkan isu-isu tersebut sampai rakyat jadi pening, sepatutnya mereka melihat dulu ketulenan dan nilai sesuatu berita sebelum ianya disebarkan," katanya menasihati media yang hadir membuat liputan pada himpunan tersebut.
Perhimpunan itu menjadi tumpuan puluhan ribu rakyat  termasuk sebahagian besar petugas-petugas media yang tidak senang duduk dengan spekulasi pembubaran Dun Kedah sejak kebelakangan ini.
Sementara itu, keempat-empat Adun PR yang dikatakan akan meninggalkan parti, tampil menamatkan spekulasi itu.
Kesemua mereka, Tan Show Kang (Sidam), S.Manikumar (Bukit Selambau), Lim Soo Nee (Kulim) dan Lee Guan Aik (Kota Darul Aman) berikrar akan tetap bersama PR dan terus menyokong kepimpinan Menteri Besar.
Mereka diberikan ruang waktu untuk menyatakan pendirian masing-masing dalam himpunan yang dianjurkan PAS berikutan khabar angin ada di antara mereka yang akan berpaling tadah hingga mengakibatkan berlakunya pembubaran Dun Kedah.
Masing-masing dalam ucapan mereka melahirkan rasa tidak senang apabila terpaksa melayani panggilan-panggilan telefon yang inginkan kepastian berkaitan khabar angin yang disebarkan melalui media, blog dan sistem pesanan ringkas (sms).
Sehubungan itu, kesemua mereka berharap tidak lagi diajukan dengan soalan berhubung perkara tersebut selepas penjelasan itu dan sekiranya ada, ianya tidak akan dilayan.
"Jika ada media yang telefon dan tanya sama ada saya akan lompat, saya akan letak telefon. Tak perlu banyak kali saya nak cakap yang saya tak akan lompat.
"Saya berjanji akan sentiasa berdiri teguh menyokong kepimpinan MB (Ustaz Azizan) dan PR dan tidak akan melompat," kata Tan (Sidam) yang dilantik menganggotai barisan Exco baru-baru ini.
Manakala, Manikumar (Bukit Selambau) pula berkata, media sering memutar belitkan kenyataannya sehingga dilihat kononnya beliau kurang senang dan tidak berpuas hati dengan pucuk kepimpinan parti dan kerajaan Negeri Kedah.
"Memang terdapat percanggahan pendapat tapi dapat diselesaikan secara rundingan kolektif dan kekeluargaan, saya tetap sehaluan dalam perjuangan dan tidak ada langsung perbalahan seperti yang digembar-gemburkan.
"Saya tidak akan lupa jasa rakyat dan pengundi yang mengangkat saya sebagai wakil rakyat, saya akan terus bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong kerajaan PR di bawah kepimpinan Ustaz Azizan dan saya berharap media jangan ulangi lagi soalan berkenaan," katanya.
Lim (Kulim) yang mengambil giliran seterusnya pula menjadi tumpuan mereka yang hadir dan sebahagian besar petugas media apabila secara terbuka menegur kepimpinan parti dan kerajaan negeri.
"Saya merasa sedih bila dua orang rakan kita mengambil keputusan meninggalkan PR, tapi kepimpinan parti dan kerajaan tidak buat 'post-mortem' untuk mengkaji sebab mereka berbuat demikian.
"Kita kena kaji, mungkin ianya berpunca dari kesalahan kita sendiri hingga mengakibatkan mereka bertindak meninggalkan kita," katanya._harakahdaily.net

Menunggu tsunami ke II PRU ke 13


Setiap pagi Ahad, selain mendapatkan perkembangan berita-berita semasa di akhbar tempatan, saya akan beri perhatian kepada tulisan para pengulas dan penganalisa politik di akhbar-akhbar berkenaan. Sudah pastilah kumpulan pengampu dan propogandis paling ramai di akhbar-akhbar media perdana berbahasa Melayu.

Di situlah para penulis cari makan akan mengagung dan mendewa-dewakan pimpinan mereka, semuanya suci bersih dan geliga belaka, manakala lawan mereka semuanya kotor, hodoh dan dungu. Kesian contoh akhbar Utusan Malaysia, dari Utusan Melayu bawah teraju Said Zahari satu ketika dahulu yang berani, tegas dan benar, kini menjadi tekukur, mengangguk dan menyanyi-nanyi menurut petikan jari tuannya.

Satu ruangan yang seakan wajib saya baca dan telaah adalah INSIGHT yang dikendalikan oleh penulis veteran Joceline Tan. Memang dalam blog ini sepanjang 6 tahun lalu, Joceline sering menjadi bahan saya jika beliau berlebihan menyondol PAS, tetapi saya kena akui beliau seorang yang tajam dalam membuat analisa walaupun kadangkala tidak tepat dan tersasar.

Apa pun saya kenali beliau terutama semasa menjadi Setiausaha Akhbar Presiden PAS dahulu dan masih menjalin hubungan sebagai rakan sehingga kini.

Hari ini Joceline menulis berkenaan pengundi Melayu di bawah tajuk “Greater shift in the Malay vote” http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/5/23/focus/6306114&sec=focus
dimana beliau membongkar bahawa dalam pada kita memperkatakan darihal lonjakan sokongan pengundi Cina khasnya terhadap Pakatan Rakyat, sesungguhnya para pengundi Melayu pun sebenarnya sudah mula melangkah beralih kepada PR samada disedari ataupun tidak.

Kebetulan saya rasa inilah “point” yang cuba saya hujahkan dalam posting saya yang lalu bertajuk “Jangan perlekeh keupayaan orang Melayu” di blog ini: http://n32.blogspot.com/2010/05/jangan-perlekeh-keupayaan-orang-melayu.html

Kata Joceline peralihan sokongan orang Melayu ini paling ketara jika dilihat pada lonjakkan sokongan yang diterima oleh PAS. Undi PAS bertambah lebih tiga kali ganda dari tahun 1990 apabila ia hanya menerima 376,000 undi kepada 1.1 juta dalam tahun 2008.

Ini bermakna cara politik lama sudah tidak termakan atau semakin ditolak oleh orang Melayu. Politik kain batek, politik subsidi,politik janji dan wang ringgit semasa kempen pilihanraya semakin memakan diri berbanding dengan memberi sokongan kepada BN sebagaimana satu waktu dahulu.

Orang Melayu sebagaimana rakan-rakan-rakan mereka orang Cina juga mahukan pimpinan yang berkualiti. Pemimpin yang boleh dipercayai, yang memperjuangkan nasib mereka secara tulus dan ikhlas, tidak rasuah, bermoral tinggi semuanya kulaiti yang semakin asing dan jauh dari barisan pimpinan Umno pada hari ini, samada diakui ataupun tidak.

Kerana itu kita jangan sekali-kali menghukum pengundi Melayu sebagaimana orang-orang Umno menghukum pengundi-pengundi Cina bila menolak mereka di Hulu Selangor dan Sibu. Jika tepatlah analisa dan bacaan Joceline bermakna pengundi Melayu berpotensi bangkit sekali secara menyeluruh menolak Umno, syaratnya kita kena berusaha dan bekerja kuat menawan hati mereka.

Saya ambil contoh di Sibu. Semasa DAP bersendirian dahulu,sukar bagi mereka masuk dan berinteraksi dengan para pengundi Melayu khasnya di DUN Nangka. Tetapi dalam tempoh 10 hari, dengan kehadiran para petugas PAS dari seluruh negara, mereka berkampung di DUN Nangka, orang-orang Melayu/Melanau di sana mula membuka pintu pada PR.

Walaupun pintu itu belum lagi dibuka seluas-luasnya namun kesannya dapat dilihat. Di Daerah Mengundi Illir Nangka walaupun BN menang di semua peti undi, namun dengan kehadiran PAS undi DAP bertambah lebih 10 peratus. Ia mungkin kecil tetapi ia suatu petanda yang sangat positif. Illir Nangka adalah daerah mengundi jauh di Sibu, ia bukan Seri Serdang atau Taman Templer di tengah-tengah bumi Selangor!

Orang Melayu memang sudah bangkit menolak BN dalam PRU ke 12 lalu, cuma tahap lonjakkannya berbeza-beza dari satu daerah ke satu daerah dan dari satu negeri ke satu negeri. Dalam erti kata lain belum betul-betul menyeluruh. Di Selangor sahaja buktinya Dato Dr Hasan Ali menang di DUN Gombak Setia yang majoriti pengundi Melayunya 80.3 peratus dengan kelebihan 2,797 undi (calon BN dahulumenang dengan majoriti 2,728). Di DUN Sabak yang majoriti pengundi Melayunya 79.7 peratus,Ustaz Sallehen Mukhyi dari PAS tewas dengan majoriti 117 undi (calon BN dahulu menang dengan majoriti 2,256 undi).

Kesimpulannya pengundi Melayu memang telah bangkit dan insyallah berpotensi bangkit lebih besar lagi kerana mereka peka danmelihat apa yang berlaku di sekeliling mereka. Kata Joceline pakatan antara PAS,DAP dan PKR kelihatan lebih meyakinkan rakyat. Masing-masing bertolak-ansur dan boleh bekerjasama dengan baik demi kepentingan rakyat.

Bagi saya pengundi-pengundi Cina telah memberikan paku terakhir buat keranda MCA dan Gerakan. Mereka tidak kelihatan akan mahu memeluk kembali BN dalam waktu terdekat ini. Keberkesanan kepimpinan kerajaan PR di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan terus meyakinkan mereka.

Begitu juga para pengundi Melayu. Mereka dapat melihat kesungguhan PAS dalam memperjuangkan nasib dan masa depan Islam dalam negara selain menjadikan PR sebagai wadah terbaik untuk memimpin dan memperjuangkan nasib dan kebajikan umat Melayu yang berbeza sama-sekali dengan”style” dan kaedah Umno.

Saya yakin bahawa sedikit demi sedikit para pengundi Melayu akan semakin sedar dan celik. Tidak mustahil tsunami yang lebih besar akan melanda dalam PRU ke 13 nanti, dan ianya sumbangan dan bikinan tangan orang-orang Melayu selain rakan-rakan bukan Melayu yang lain._roslan sms corner