Sahabat Purnama

Selasa, 3 November 2009

KERAJAAN PERPADUAN NAJIB GILA TALAK

Ustaz Idris Ahmad

Najib masih mengigau untuk berbaik dengan Pas, walaupun Presiden Pas sudah tutup buku untuk berunding mengenai Kerajaan Perpaduan dengan Umno/BN (Utusan Malaysia 3/11/09). Kelakuan Datuk Seri Najib tidak ubah seperti orang gila talak, walaupun jandanya tidak mahu berbaik dengan bekas suaminya.

Pas terus memacu ke depan bersama dengan Pakatan Rakyat. Pas ingin menasihatkan Datuk Seri Najib selesaikanlah masalah rasuah dan moral dalam umno dahulu dan parti komponen BN yang semakin kelam kabut. Pas faham bahawa ini adalah strategi pemimpin umno hendak memecah belahkan perpaduan di kalangan Pakatan Rakyat.

Pemimpin umno tidak perlu menangguk di air keruh, kerana pemimpin Pas matang dalam perhitungan politik. Pas adalah parti yang matang kerana dasarnya dan prinsip yang dipegang tidak pernah goyang.

Kerana perhitungan politik Pas berakar kepada dosa dan pahala, syurga dan neraka. Pas ingin menasihatkan Presiden umno, tumpukanlah projek 1Malaysia yang menjadi slogan dan retorik Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kita tida mahu lagi peristiwa runtuhnya jambatan 1Malaysia berulang lagi sehingga mengorbankan 3 kanak-kanak sekolah di Tapah Perak ketika mengadakan perkhemahan 1Malaysia. Jika keadaan ini berterusan satu hari nanti mungkin negara Malaysia di gelar sabagai “Darul Runtuh”._ Episode Sebuah Perjuangan

Tangani Isu dengan Solat & Munajat

1. Selangor terus dihimpit pelbagai isu dan kontraversi yang mencetus rasa resah dan gelisah dikalangan rakyat khasnya muslim .

2. Keadaan terus bergolak dan panas dengan pelbagai isu termasuk Arak , kepala lembu , selcat , kuil dan terkini Dr Asri . Sedikit sebanyak meletakkan kerajaan negeri Selangor dalam keadaan tertekan .

3. Kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertekad ingin mengambil semula Kerajaan Selangor dari Pakatan Rakyat , sekali - kali tidak boleh dipandang ringan .

4. Sebelum ini Kerajaan Kelantan di bawah Kepimpinan YAB Tuan Guru Datuk Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat telah di dera dan dibuli oleh kerajaan pusat [ UMNO dan BN ] . Seluruh penumpuan dan tekanan di jurus kepada kerajaan Kelantan yang bersendirian berdepan karenah kerajaan persekutuan .

5. Namun apa yang menarik ialah cara Kelantan menangani tekanan dan melayan gangguan musuh tidak sahaja bergantung kepada kelicikan politik dan kemahiran berunding tetapi sangat bergantung kepada Allah Azza wa Jalla melalui siri solat hajat dan munajat yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Kelantan .

6. Solat hajat dan munajat ini sangat tinggi nilai dan sungguh dalam kesannya kepada kerajaan dan rakyat negeri Kelantan . Paling minima kesan segera yang boleh dirasai melalui kaedah ini [ solat dan munajat ] ialah ketenangan kerajaan dan rakyat dalam menangani sebarang kemelut yang berlaku .

7. Ketenangan itu pula menghasilkan aqal yang bestari dan jiwa yang budiman . Ianya adalah antara nusrah [ pertolongan Allah ] yang dianugerahkan oleh Allah swt buat hambaNya yang senantiasa mengharapkan pertolongan dariNya .

8. Saya lihat , apa yang berlaku di Selangor mutaakhir ini juga perlu kepada seluruh pemimpin dan rakyat Selangor kembali kepada Allah swt . Sujud dan bermunajat mengharapkan kekuatan , petunjuk dan pertolongan Allah swt .

9. Bukan sahaja di Selangor tetapi sangat wajar bagi semua pendokong dan aktivis PAS di seluruh negara menganjurkan himpunan solat dan munajat memohon pertolongan dari Allah swt agar kerajaan rakyat ini dapat dipertahankan sekaligus melumpuhkan segala perancangan musuh untuk menggagalkan hasrat kita menegakkan syari'at , keadilan dan sekaligus melahirkan sebuah kerajaan yang telus dan amanah .

10. Saya cadangkan kepada Dewan pemuda PAS di semua negeri dapat menganjurkan satu himpunan besar di peringkat negeri masing - masing untuk solat dan munajat agar Allah swt memberi petunjuk dan kekuatan kepada kita untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah rakyat bukan sahaja di Selangor tetapi juga seluruh negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat termasuk Kedah dan Kelantan .

_Nasrudin Hassan Tantawi

Siapa Kaut Untung Pembelian Kapal Layar Piala Monsun ?

KUALA TERENGGANU - Penganjuran Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun di Pulau Duyong merupakan pembaziran wang rakyat yang dilakukan pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) dinegeri ini.

Ia jelas tidak memberi faedah yang banyak kepada rakyat tempatan, samada kepada orang awam ataupun dikalangan pengusaha.

Walaupun pihak penganjur acara tersebut mendapat pelbagai anugerah, penganjuran sukan antarabangsa itu kini tidak lagi menjadi daya tarikan kepada pengusaha tempatan untuk memasarkan produk mereka.

Sebuah akhbar arus perdana melaporkan, Pengarah Pelancongan Negeri, Encik Suhaimi Abu Hassan Shari berkata beliau kecewa kerana pengusaha tempatan tidak menjadikankan ‘simbol’ piala Monsun sebagai strategi pemasaran mereka.

Katanya, dari seluruh pengusaha hotel dan resort, hanya seorang pengusaha ‘home-stay’ yang mengiklankan Piala Monsun, untuk menarik pelanggan bagi menyaksikan kejohanan itu.

Manakala Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Malaysian Association of Tour and Travel Agents - Matta) bagi negeri Terengganu, Encik Esmadee Endut berkata populariti Piala Monsun belum berhasil menarik kehadiran pelancong yang ramai.

"Ahli-ahli persatuan tidak tahu apa atau dimana sasaran segmen pemasarannya kerana penganjur tidak pernah memasukkan kami dalam pelan promosi mereka,”katanya. (Gambar kanan - kapal layar RM14 juta diluar musim, hanya digunakan semasa kejohanan)

Bagi PAS, berjuta ringgit yang dibelanjakan setiap tahun, tanpa pulangan yang pasti dan boleh dilihat, menunjukkan penganjuran sukan yang dikatakan berprestij itu sebenarnya ’gagal’.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata kerajaan negeri banyak membazirkan wang rakyat dalam penganjuran Piala Monsun.

Katanya, pembelian kapal layar yang digunakan untuk kejohanan tersebut adalah terlalu mahal.

"Harga sebuah kapal layar itu RM1.4 juta dan kerajaan negeri melalui SEDC (Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu) telah membeli 10 buah kapal layar dengan kos RM14 juta," jelasnya

Menurutnya, PAS memberi jaminan jika parti itu diberi kepercayaan oleh rakyat memerintah semula Terengganu penganjuran kapal layar tersebut dibatalkan.

"Apa yang rakyat dapat dari perbelanjaan RM14 juta itu dan kerajaan perlu memberi penjelasan kepada rakyat," ujarnya.

Melalui semakan yang dibuat, kapal layar jenis ’Foundation 36’ yang digunakan dalam kejohanan Piala Monsun dibangunkan oleh Western Australian Yachting Foundation.

Kapal tersebut boleh dibeli dengan mudah melalui internet dengan harga AU$115,000 bersamaan dengan RM355,751.35 sebuah. (Gambar bawah - iklan kapal layar Foundation 36 dalam internet)

Bagaimana pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PERMINT – SEDC) membelinya dengan harga RM1.4 juta sebuah?

_ http://www.buletinonline.net

Liow-Chua berebut timb presiden

Datuk Seri Liow Tiong Lai mempertahankan kedudukannya sebagai timbalan presiden MCA walaupun Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini mengiktiraf Datuk Seri Chua Soi Lek kekal memegang jawatan tersebut.

Chua menerima surat dari ROS itu pagi ini sebelum jawatankuasa pusat MCA bermesyuarat untuk membincangkan pelan damai antara beliau dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pusat petang ini, Liow berkata, beliau ada hak untuk merayu terhadap keputusan ROS itu.

Chua dipecat dari jawatan timbalan pesiden pada 26 Ogos. Jawatankuasa pusat MCA kemudiannya membatalkan pemecatan Chua dan sebaliknya menggantung keahlian bekas menteri kesihatan itu selama empat tahun.

Manakala Liow yang dilantik memegang jawatan nombor dua tersebut pada 15 Oktober lalu, dianggap melawan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat selepas kumpulannya mendesak pemilihan baru parti diadakan.

Bercakap dalam satu lagi sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pusat, Tee Keat berkata, mesyuarat hari ini menerima keputusan ROS mengekalkan Chua sebagai timbalan presiden.

Liow memegang jawatan timbalan presiden selama 19 hari.

Berikutan perkembangan terbaru itu, maka usaha terkini untuk menyelesaikan krisis MCA melalui pelan damai, mungkin sekali lagi berdepan dengan jalan buntu.

Liow memberitahu sidang akhbar bahawa "saya masih lagi timbalan presiden".

Katanya, beliau mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan ROS itu atau membawanya ke mahkamah jika perlu.

Liow juga melahirkan rasa terkejutnya dengan tindakan Tee Keat memecat empat anggota CC yang dilantik, yang menyokong menteri kesihatan itu pagi tadi.

Beliau berkata, ia bukanlah satu cara untuk menjayakan pelan damai kerana "keempat-empat mereka menjadi mangsa sebelum pelan itu dapat dilaksanakan".

"Pelan itu mestilah inklusif dan bukannya tindakan drastik seperti pemecatan (mereka)," katanya.

Hadir sama dalam sidang akhbar Liow ialah penyokong kuatnya, termasuk Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong.

Hadir ialah sembilan orang lagi anggota CC yang menyokogn Liow.

Liow memberi tiga sebab mengapa pengekalan jawatan Chua sebagai timbalan presiden adalah tidak sah, iaitu.

1. Jawatankuasa pusat menggantung keahlian dan jawatan Chua sekaligus.

2. ROS tidak ada hak untuk campurtangan dalam keputusan CC.

3. Ia adalah tindakan disiplin dan bukan satu penyingkiran.

Sementara itu, bekas ahli Parlimen Melaka, Wong Nai Chee - salah seorang daripada tiga orang yang mengemukakan desakan diadakan mesyuarat luar biasa (EGM) MCA - berkata EGM itu pastikan akan diadakan.

Beliau yang juga seorang peguam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tee Keat yang menyatakan desakan untuk mengadakan EGM itu bercanggah dengan perlembagaan parti.

Sehubungan itu, Wong berkata, mereka akan menemui setiausaha agung MCA dan ketua biro undang-undang parti itu untuk menyesuaikan kandungan resolusi bagi mengadakan EGM tersebut.

Menurutnya, setiausaha agung MCA perlu mengeluarkan notis untuk mengadakan EGM itu Khamis ini. _ malaysiakini bm

Orang BN, Pakatan dituduh seleweng dana DUN

Jimadie Shah Othman

Ahli parlimen Sabak Bernam, Abd Rahman Bakri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan lapan pertuduhan memalsukan tuntutan berjumlah RM80,000 bagi program yang tidak wujud.

Lapan program itu meliputi bantuan kepada pelajar sekolah, penganjuran forum perdana dan sambutan Maulidur Rasul.

Beliau, ketika itu ADUN Sungai Air Tawar, didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu antara 21 Januari hingga 18 Februari tahun lalu.

Abd Rahman bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan dibenarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Ahli parlimen Umno itu hadir sejak jam 8 pagi tadi di mahkamah tersebut dengan ditemani lapan ahli parlimen BN, antaranya Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong), Datuk Halimah Siddiq (Tenggara) dan Datuk Dr Mohamed Shahrom Osman (Lipis).

Pertuduhan terhadap Abd Rahman dibacakan menjelang jam 1 tengah hari tadi.

Hakim Syafeera Mohd Said menetapkan tarikh perbicaraan pada 14 Februari depan.

Sementara itu, pembantu Abd Rahman, Mohd Rosli Bushra pula didakwa bersubahat dengan majikannya membuat tuntutan palsu itu.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan beliau diikatjamin dengan jumlah RM9,000.

Mahkamah sama turut mendakwa bekas pegawai menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mohd Yahya Mohd Sahri dituduh memperdaya seorang ahli perniagaan sejumlah RM50,000 bagi program sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di negeri itu tahun lalu.

Bekas pemimpin PKR Selangor itu juga dituduh memalsukan dokumen untuk membuka satu akaun parti itu. Beliau mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM10,000.

Naib Presiden PKR Mustafa Kamil Ayub dan beberapa aktivis Pemuda PKR turut hadir memberikan sokongan kepada Mohd Yahya.

Pembantu kepada exco kerajaan Selangor, Wong Chua How (foto kanan), dituduh membuat tuntutan palsu RM2,500 kepada Majlis Perbandaran Sepang berhubung pembelian bendera.

Wong, pembantu Ronnie Liu di DUN Sungai Pelek, juga dihadapkan dengan pertuduhan pecah amanah sekeping cek bernilai RM5,000 bagi penganjuran satu perjumpaan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di kawasan itu pada 19 Feb lalu.

Hakim Syafeera membenarkan beliau diikat jamin RM10,000. Ronnie turut hadir ketika pertuduhan kes itu dibacakan kepadanya.

Wong mengaku tidak bersalah untuk semua pertuduhan. Kes tersebut akan dibicarakan pada 29 Mac depan.

Kecuali Mohd Yahya yang didakwa bawah Kanun Keseksaan, kesemua mereka dituduh di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Keempat-empat tertuduh ini antara enam orang ahli politik dan pembantu mereka yang diseret oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke muka pengadilan berhubung penyelewengan dana kerajaan negeri untuk pembangunan DUN di Selangor.

Sebelum itu Ronnie, sewaktu bercakap di luar mahkamah, berkata SPRM telah menjalankan siasatan terhadap 20 wakil rakyat Selangor dan turut merampas fail-fail daripada mereka.

"Wong adalah yang pertama, tetapi dia mungkin bukan yang terakhir," katanya.

_malaysiakini bm

Hijau akan jadi konsep pelancongan Kedah

Ali Hashim

ALOR SETAR, 3 Nov: Kerajaan Negeri Kedah akan memastikan segala perancangan untuk menjadikan Kedah sebagai salah sebuah negeri pelancongan berkonsepkan hijau akan terlaksana dan menjadi satu realiti.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia dan Hal Ehwal Masyarakat India, S.Manikumar.

Menurut Manikumar lagi bermula pada tahun 2010 negeri Kedah akan menjadi pusat pelancongan yang berasaskan kehijauan apabila kesemua perancangan untuk merealisasikannya selesai.

"Kehijauan yang ada di negeri ini merupakan satu kekuatan bagi pelancongan yang ada di negeri ini.Kita akan mengkaji lokasi yang strategik untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan tersebut.Konsep ini juga tidak akan hanya ditumpukan kepada keindahan floranya sahaja malah ia akan turut memberi tumpuan kepada kawasan sungai yang ada dalam negeri ini.

"Kawasan rekreasi sepanjang Sungai Kedah akan diberi tumpuan kerana ia terletak di pusat bandar.Satu lagi konsep yang akan dibawa ialah dengan menarik pelancong yang masuk ke Langkawi untuk datang melihat sendiri konsep kehijauan yang akan dilaksanakan itu."

Manikumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau berkata, konsep kehijauan ini dipilih kerana sebagai satu daya tarikan negeri Kedah kerana ia bukan sahaja dikelilingi oleh kehijauan sawah padi malah kawasan seperti Gunung Keriang dan Gunung Jerai adalah amat menarik untuk dijadikan sebagai pusat pelancongan yang mampu membawa pendapatan kepada negeri ini. _ harakahdaily.net

ROS tolak pandangan Hishamudin

KUALA LUMPUR, 3 Nov: Tidak sampai seminggu yang lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein berkata, Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak akan campur tangan dalam hal ehwal MCA.

Bahkan, beliau berkata, RoS tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam hal ehwal kerabat Barisan Nasional (BN) itu.

Namun, hari ini RoS memutuskan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek adalah timbalan presiden MCA yang sah.

Pengumuman itu dibuat oleh ROS hari ini ketika jawatankuasa pusat MCA sedang mengadakan mesyuarat di ibu pejabatnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur tengah hari ini.

Surat ROS itu dihantar terus kepada kepemimpinan MCA.

Sebelum ini, Hishamudin berkata, pemecatan Dr Chua dibuat melalui EGM MCA.

"Pemecatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek daripada jawatan Timbalan Presiden MCA dan usul tidak percaya terhadap Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat dibuat menerusi EGM yang sah pada 10 Oktober lalu.

"Selepas EGM yang sah dan setelah merujuk Akta Pertubuhan 1966, kita dapati tiada peruntukan yang membenarkan ROS untuk campur tangan dan membuat keputusan dalam hal tersebut.

"Dalam hal ini kena bezakan kedudukan MCA dan PPP, ini kerana (isu) PPP adalah berkisar kepada kesahihan EGM yang dipanggil oleh Datuk T. Murugiah," katanya dalam sidang media di Parlimen 27 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Hishammuddin menasihatkan supaya MCA menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa membabitkan ROS.

"Tak perlu bawa ROS dalam hal ini kerana kalau betul-betul mereka ikhlas nak tengok barisan MCA dirapatkan, selesaikan sesama mereka di dalam MCA.

"Tak perlu pihak ketiga masuk dalam hal ini, ini banyak bergantung dengan mereka yang terlibat dalam parti MCA," katanya dalam sidang media itu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh ROS bagi membantu menyelesaikan krisis yang berlaku dalam MCA. _ harakahdaily.net

Polis dakwa wakil PAS ada 'rekod jenayah'

Salhan K Ahmad

Ahli parlimen Shah Alam tersepit apabila didakwa mempunyai "rekod jenayah" tetapi sehingga kini gagal mendapatkan penjelasan polis berkenaan perbuatan jenayah yang telah dilakukannya.

Akibat "rekod jenayah" beliau itu, Khalid Samad tidak diberikan tauliah menyampaikan kuliah agama di Selangor walaupun beliau mendapat kelulusan awal daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dalam surat jabatan itu bertarikh 10 Julai 2008, pemimpin PAS itu diberikan tauliah mengikut kategori-kategori D1 (boleh mengajar atau berceramah) dan D2 (mengajar fardhu ain atau berkitab).

Kebenaran itu bagaimanapun dibatalkan olej Jais dalam suratnya 28 Oktober 2008 susulan tapisan keselamatan polis Selangor mendapati Khalid, adik kandung bekas menteri Datuk Shahrir Samad, mempunyai "rekod jenayah."

Setelah Khalid meminta penjelasan dalam suratnya hujung September lalu, polis Selangor berkata semakan polis Bukit Aman mendapati beliau mempunyai "rekod jenayah".

Jenis jenayah yang didakwa dilakukan oleh bekas ahli jawatankuasa pusat PAS itu tidak pula dinyatakan dalam surat ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Selangor bertarikh 27 Oktober 2009 kepada beliau - yang diterima semalam.

Bercakap dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Khalid menulis kepada IPK untuk mendapatkan butiran mengenai "jenayahnya" itu.

"Saya minta mereka jelaskan, apa rekod saya... Tetapi saya difahamkan mereka tidak dapat beri rekod untuk orang perseorangan, walaupun yang minta itu tuan punya badan sendiri," katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan Jais tidak meluluskan permohonannya untuk mendapatkan tauliah "terlalu berbau politik."

"Ini juga mengejutkan sebab (Jais) sebelum itu sudah akui kemampuan saya untuk mengajar agama," katanya lagi.

_malaysiakini bm

8 tuduhan rasuah, Abdul Rahman mengaku tidak bersalah

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Nov:Ahli Parlimen Sabak Bernam, Abdul Rahman Bakri dihadapkan dengan lapan pertuduhan memalsukan tuntutan berjumlah RM80,000 bagi projek yang tidak wujud.

Abdul Rahman mengaku tidak bersalah ke atas lapan pertuduhan rasuah kerana mengemukakan invois mengandungi butiran palsu bagi melaksanakan satu program yang tidak diadakan ketika beliau menjadi ADUN.

Beliau sebelum ini merupakan ADUN Ayer Tawar sebelum menang kerusi Parlimen Sabak Bernam dalam pilihan raya yang lalu.

Hakim Syafeera Mohd Said menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu,bekas pegawai menteri besar Selangor, Mohd Yahya Mohd Sahri dituduh memperdaya seorang ahli perniagaan sejumlah RM50,000 yang didakwa akan digunakan untuk program Pakatan Rakyat tahun lalu.

Bekas pemimpin PKR Selangor itu juga dituduh memalsukan dokumen untuk membuka satu akaun parti itu.

Mohd Sahri mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM10,000.

Selain itu, pembantu kepada exco kerajaan Selangor, Wong Chuan How, dituduh membuat tuntutan palsu RM2,500 kepada Majlis Perbandaran Sepang berhubung pembelian bendera.

Pembantu kepada Ronnie Liu itu dihadapkan dengan pertuduhan pecah amanah sekeping cek bernilai RM5,000.

Wong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan mengemukakan invois palsu kepada Majlis Daerah Sepang tahun lepas.

Invois itu adalah bagi pembekalan 2,500 bendera kereta bernilai RM2,500 sempena program Hari Kemerdekaan tetapi pembekalan itu tidak dilakukan.

Wong, 51, juga mengaku tidak bersalah melakukan pecah amanah berhubung sekeping cek bernilai RM5,000.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor dilaporkan telah menangkap lima orang termasuk bekas Pegawai Menteri Besar Selangor serta seorang anggota Parlimen Barisan Nasional dan akan didakwa hari ini.

Bekas pegawai MB itu ditangkap kerana disyaki menipu dan memperdayakan seorang presiden sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Negeri Selangor bagi tujuan pembiayaan sebuah majlis anjuran Kerajaan Negeri berkenaan.

Nilai yang terlibat adalah sebanyak RM50,000.00, kata satu kenyataan SPRM semalam.

Menurut kenyataan itu, beliau akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pagi ini.

Selain itu, SPRM Selangor juga dilaporkan telah menangkap seorang bekas Adun dan pembantunya atas kesalahan di bawah Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997.

Bekas Adun tersebut yang kini seorang Ahli Parlimen ditangkap atas kesalahan mengemukakan invois-invois yang mengandungi butiran matan palsu semasa beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor bagi melaksanakan satu program yang tidak dijalankan.

Manakala itu, pembantu beliau ditangkap atas kesalahan bersubahat dengan bekas Adun berkenaan dalam membuat tuntutan bagi program yang sama.

Selain mereka, turut ditangkap adalah seorang pembantu Exco kerajaan negeri Selangor dan seorang ahli perniagaan. Kedua-duanya juga akan didakwa.

_harakahdaily.net

Mahfuz pertikai KSN siasat laporan audit negara

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 3 Okt: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mempertikai keputusan kabinet melantik ketua setiausaha negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengetuai jawatankuasa khas untuk menyiasat semula laporan ketua audit negara 2008.

Membahaskan Bajet 2010 malam semalam, Mahfuz menegaskan bahawa perlantikan KSN adalah tidak wajar kerana beliau merupakan penjawat tertinggi dalam sektor awam sendiri.

"Melantik ketua setiausaha (negara) mengetuai suatu pasukan khas tidak menyelesaikan masalah sebab dia (KSN) tidak ada hak sebenarnya."

"Dia (KSN) adalah Ketua Sektor Awam yang diaudit oleh (Juru) Audit Negara...Ianya semacam selepas polis dah siasat orang yang didakwa berpesalah, selepas itu, orang itu ajak polis mari kita mesyuarat dan putus siapa patut kita dakwa,"

Beliau yang juga naib presiden PAS mencadangkan satu jawatankuasa khas di bawah kuasa Parlimen dibentuk demi mengenal pasti penyelewengan dan salah guna kuasa dalam perbelanjaan kerajaan sebagaimana yang terdapat dalam laporan audit itu.

"Oleh kerajan belanjawan ini diluluskan oleh Parlimen, maka auditnya juga mesti diletakkan di bawah Parlimen. Maka, perlu suatu jawatankuasa khas perlu dibentuk sama ada yang baru atau PAC untuk menyemak belanjawan ini."

Beliau juga menegur kerajaan kerana merancang bajet yang didakwa mengelirukan dan mempermainkan emosi rakyat.

"Saya nak tunjuk mana bajet yang permain emosi rakyat, umpamanya keretapi 50 peratus (atau) separuh harga untuk pelajar sekolah sedangkan siapa nak pergi sekolah jauh-jauh naik keretaapi. Kalau ada pun, dari Kuala Krai ke Gua Musang," jelasnya lagi.

"Ia (bajet) digambarkan media seperti sesuatu yang besar untuk rakyat padahal rakyat keseluruhannya tidak dapat apa-apa manfaat."

Mahfuz juga mempertikaikan perbelanjaan untuk perkhidmatan kesihatan yang didakwa tidak menepati keperluan sebenar.

"Sedangkan keperluan yang sebenar adalah membantu para pesakit kritikal yang memerlukan kos perubatan yang tinggi. Kekurangan mesin hemodialisis untuk bersih darah oleh pesakit-pesakit buah pinggang, kalau boleh percuma kerana kos perubatan para pesakit kronik ini cukup tinggi dan membebankan," tegasnya.

Sebelum pada itu, KSN mengaku perlantikannya itu dibuat oleh kabinet untuk menyiasat semula beberapa laporan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang 19 Oktober lalu di Parlimen.

Laporan itu termasuk kemungkinan kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM1.14 bilion dalam Projek Landasan Keretapi Berkembar Elektrik Rawang - Ipoh.

Ambrin juga berjaya mengesan beberapa transaksi yang meragukan, seperti Mara membeli dua komputer riba bernilai RM80 ribu, sedangkan harga pasaran sekitar RM4,500 sahaja.

Selain itu, Mara juga membeli komputer meja berharga RM7,600 seunit sedangkan harga pasaran komputer meja yang berkapasiti tinggi sekitar RM2,000 sahaja.

Ambrin juga mendedahkan Kementerian Pelajaran telah berbelanja RM60 ribu untuk pembekalan, menanam dan menyelenggara suatu taman di Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2, Pasir Puteh, Kelantan, yang didakwa meragukan.

Tambah Ambrin lagi, kementerian terbabit juga didakwa menyeleweng dalam pembelian 13 pokok kemboja dan 12 pokok pinang merang, yang masing-masing bernilai RM4,500 dan RM9,000.

Tahun 2006 lalu, laporan audit negara menggemparkan Parlimen apabila Institut Kemahian Beliau Negera (IKBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan telah membeli sebutir skru bernilai RM224.94, sedangkan harga pasaran skru tersebut sekitar RM40 sahaja. Sekiranya pendedahan-pendedahan tersebut tidak ditangani segera, ianya sekali gus menjadikan rakyat semakin tidak percaya dengan ketelusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam menangani rasuah dan penyelewengan kuasa._

harakahdaily.net

Nik Aziz kesal penangkapan Dr Asri

Rizal Tahir

KOTA BHARU, 3 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa dukacita di atas penangkapan yang dilakukan ke atas bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Ketika dihubungi Harakahdaily beliau berkata, tindakan berkenaan amat tidak wajar dilakukan ke atas seorang pendakwah apa lagi kesalahannya belum dapat dipastikan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden tangkapan yang berlaku ke atas pendakwah berkenaan malam tadi ketika menyampaikan kuliah agama di Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur.

Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS itu juga mengngagap ia satu tindakan yang melampau kerana menangkap seorang tokoh agama yang juga bekas mufti.

"Penangkapan itu amat tidak masuk akal, masih ramai lagi orang yang patut ditangkap, tetapi kenapa seorang pendakwah, dia mengajar agama dan bukannya buat huru hara atau melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama,"ujarnya lagi

Nik Aziz berkata walaupun ada pihak mendakwa Dr Mohd Asri menyebarkan ajaran Wahabbi, ia perlu diperhalusi terlebih dahulu bagi memastikan ia benar-benar salah di sisi undang-undang.

"Nasihat saya kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), jangan buat untuk kali kedua kerana akan merosakkan imej Islam di Malaysia dan seterusnya merosakkan imej golongan pendakwah itu sendiri," katanya.

Beliau meletakkan masaalah itu seharusnya dibincang terlebih dahulu antara Asri dengan JAIS dan bukannya terus menangkap tanpa pasti kesalahannya.

Katanya, kalau benar dia telah melakukan kesalahan di sisi undang-undang, barulah tindakan diambil terhadapnya dan bukannya menangkap begitu sahaja tanpa mengetahui hujung pangkalnya.

"Masyarakat juga menjadi keliru dengan kejadian itu," ujarnya lagi,

_ harakahdaily.net