Sahabat Purnama

Khamis, 10 Disember 2009

Kerajaan Kedah tiada halangan projek bina paip minyak ke Songkhla

ALOR SETAR - Kedah bersedia memberi sepenuh kerjasama dalam projek pembinaan saluran paip minyak yang menghubungkan Kota Perdana di Kedah ke Songkhla, Selatan Thailand.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebahagian tanah di kawasan itu termasuk di Jerlun bagi pembinaan loji minyak.

“Projek ini masih dalam perundingan. Pihak berkenaan ada memohon tapak untuk dibina loji minyak, dan Kerajaan Negeri tiada halangan untuk itu. Kita akan memberi kerjasama yang diperlukan termasuk kebenaran menggunakan tanah,” katanya.

:Azizan mengulas kenyataan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva, kelmarin bahawa Thailand perlu mengkaji seterusnya cadangan saluran paip minyak itu berikutan krisis ekonomi semasa, dan buat masa ini, Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Sosial negara berkenaan sedang meneliti butiran projek.

Azizan bagaimanapun enggan mencampuri bahagian pengurusan mahupun aspek lain berhubung projek berkenaan kerana bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Cadangan saluran paip itu dicetuskan oleh SKS Development Sdn Bhd dan telah dibincangkan ketika pertemuan Abhisit dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya Jun lepas. Kita cuma menyokong pelaksanaan projek ini kerana dibangunkan di Kedah,” katanya.

Difahamkan, SKS membuat pelaburan sekitar RM33 bilion bagi loji pembersihan minyak yang akan terletak di kawasan seluas 809 hektar di Kota Perdana.

Sebuah jeti di Kuala Jerlun juga akan dibangunkan bagi membolehkan aktiviti mengepam minyak mentah yang diangkut oleh kapal dari Timur Tengah ke saluran paip sepanjang 50 kilometer, yang akan menyalurkan minyak itu ke loji penapisan di Kota Perdana, sebelum menghantarnya ke Songkhla menerusi saluran paip Trans-Thai._sinarharian

Pemuda nekad kejar suspek mati ditikam

MELAKA - Keberanian seorang anak mengejar suspek yang dipercayai cuba memecah masuk kediamannya, membawa padah apabila dia maut ditikam dalam kejadian di Taman Pahlawan, Sungai Udang, di sini semalam.

Mangsa Nasahrudin Ali, 24, seorang mekanik ditemui dalam keadaan parah dengan beberapa kesan tikaman di jalan mati kira-kira 100 meter dari rumahnya oleh bapanya, Ali Daud, 50, kira-kira jam 4.40 pagi.

Ali berkata, sebelum itu dia yang sedang nyenyak tidur terdengar bunyi seperti pasu pecah di hadapan rumah dan bergegas bangun sebelum ternampak anaknya memanjat tembok pagar rumah seperti mengejar seseorang.

“Saya kemudian membuka pagar dan mengekori jejaknya, tetapi dia lebih pantas menyebabkan saya hanya menemui dia sudah terbaring dalam keadaan parah dengan kesan tikaman di beberapa bahagian badan.

“Dia ketika itu masih bernafas dan terbaring berhampiran kawasan semak di jalan mati kawasan taman tempat tinggal kami,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat, Hospital Melaka semalam.

Menurutnya, tanpa membuang masa dia segera mendukung Nasahrudin dan dibawa ke Hospital Tentera Kem Terendak, tetapi pada jam 5 pagi dia diberitahu anaknya meninggal dunia.

Ali percaya anaknya bergelut dengan seseorang yang cuba memecah masuk rumahnya, tetapi agak terkilan dengan tindakan seorang diri Nasahrudin sehingga membawa kepada kematiannya.

“Saya redha dengan pemergian Nasahrudin, satu-satunya anak lelaki saya, kerana cuba menyelamatkan harta benda dan keluarga daripada menjadi mangsa rompakan.

Dia seorang anak yang berani, mungkin mengikut jejak langkah saya seorang bekas tentera,” katanya, sebak.

Ali turut menceritakan anak kedua daripada lima beradik itu tidak menunjukkan sebarang perangai pelik, tetapi arwah merupakan anak yang amat berani dan melindungi ahli keluarga lain.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan Wan Ahmad Wan Abbas ketika dihubungi berkata, kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu kes bunuh dan cubaan memecah masuk rumah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kecederaan bawah rusuk, dada dan bahu adalah punca kematian.

Siasatan di tempat kejadian juga tidak menemui sebarang senjata digunakan. Mayat mangsa dipindahkan dari Hospital Tentera Kem Terendak ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, petang semalam._sinarharian

Kepala Malisha Shamyla membesar setiap hari


PERMATANG – Ibu bapa mana yang tidak sayu saban hari mengenangkan nasib anak bongsu, Malisha Shamyla Mazlan menderita akibat penyakit saluran kepala tersumbat.

Ibunya, Siti Nazlin Ishak, 26, berkata, setiap hari kepala Malisha Shamyla, 1, akan membesar kira-kira 1 sentimeter dan perkara itu benar-benar membimbangkan keluarga.

Katanya, ketika usia kandungannya dua bulan, doktor mengesyorkan janin itu digugurkan berikutan masalah berkenaan, tetapi dia tidak sanggup melakukannya.

“Sehinggalah kandungan saya mencecah tujuh bulan dan terpaksa bersalin awal kerana keadaan kepala Malisha Shamyla kian membesar.

“Hati ibu bapa yang tidak sayu mengenangkan penderitaan terpaksa ditanggung dirinya masih kecil tanpa mengetahui apa-apa,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru, semalam.

Menurutnya, kini mencari rawatan terbaik untuk anak malang itu adalah perkara utama.

Dia berkata, lebih memeritkan, suaminya, Mazlan Abu, 29, pula tidak boleh bekerja disebabkan menderita penyakit urat saraf.

“Walaupun suami memperoleh Bantuan Am melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM190 sebulan dan Malisha Shamyla sebanyak RM300 sebulan, tetapi ia menyukarkan kami sekeluarga berbelanja.

“Suami terpaksa menjual makanan ringan di rumah sahaja berikutan keadaan kesihatan, manakala dua lagi anak lelaki sudah bersekolah. Kalau hendak dihitung agak perit juga keadaan kami namun apa sahaja diberi, kami terima seadanya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Ar Ismail Othman berkata, masalah keluarga Mazlan terutama nasib anak bongsunya akan dicari jalan penyelesaian.

Katanya, Mazlan keberatan membenarkan Malisha Shamyla dijalani pembedahan kerana bimbang risiko lain.

“Inilah masalah bagi saya untuk membantu sedangkan si bapa, tidak berhasrat mengizinkan bagi merawat anaknya dengan kaedah pembedahan ke atas kepala yang kian membesar.

“Saya akan cuba mencari jalan bagaimana boleh merawat Malisha Shamyla. Walaupun setiap hari doktor daripada Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru datang merawat tahap kesihatannya, tetapi sudah tentu cara terbaik boleh diputuskan hasil perjumpaan dengan doktor nanti,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail berharap keluarga tersebut bersabar mengharungi ujian daripada Allah SWT.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang boleh membantu keluarga tersebut sangat dialu-alukan._sinarharian

Kubur dibongkar untuk siasatan semula

Kubur mendiang G Guakanthan, yang kematiannya diklasifikasikan polis sebagai mati mengejut, digali semula untuk mengeluarkan mayat mendiang bagi proses bedah siasat kali kedua yang akan dijalankan di Hospital Sungai Petani.

Ketua polis daerah Seberang Prai Selatan, Supt Shafien Mamat berkata bapa mendiang, S Govindasamy telah memohon melalui mahkamah dan mahkamah majistret kelmarin membenarkan permohonan untuk menggali semula kubur mendiang untuk proses bedah siasat.

"Proses menggali semula kubur mendiang bermula kira-kira pukul 4.30 petang dengan kehadiran majistret Mohd Izham Ali, pakar forensik, doktor dan anggota keluarga di tanah perkuburan Hindu di Nibong Tebal," katanya kepada pemberita yang ditemui di tanah perkuburan itu semalam.

Guakanthan, 31, yang berasal dari Taman Cenderawasih dekat Nibong Tebal ditemui mati di Sungai Udang pada 4 Nov lepas dan kematiannya dikelasifikasikan sebagai mati mengejut oleh polis.

Shafien berkata bedah siasat itu akan dijalankan oleh pathologis dari Alor Setar dan doktor Hospital Sungai Petani.

"Kami berharap akan memperolehi keputusan bedah siasat kedua itu secepat mungkin," katanya.

Govindasamy berkata anggota keluarganya tidak dapat menerima kematian anaknya itu disebabkan lemas kerana mendiang pandai berenang, sebaliknya percaya Guakanthan dibunuh.

Difahamkan proses menggali semula kubur mendiang telah menyebabkan kesesakan lalu lintas kira-kira satu kilometer di kawasan itu sehingga menyebabkan berlaku kemalangan mencederakan tiga penunggang motosikal yang berhenti untuk menyaksikan proses penggalian itu di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dekat Nibong Tebal. BERNAMA _malaysiakioni bm

Artikel 'India suka kecoh' diadu kepada polis

Abdul Rahim Sabri

Kemaskini 2.52pm Pemuda MIC menyeret seorang pengarang kanan Utusan Malaysia yang melabelkan India sebagai kaum yang suka buat kecoh dalam satu artikelnya semalam kepada polis hari ini.

Biro integrasi kaum pergerakan itu MT Padmanathan membuat aduan polis terhadap Zaini Hassan berhubung artikelnya 'Alkisah India di India dan India di Malaysia' di ibu pejabat polis daerah Sentul, Kuala Lumpur pagi ini.

Artikel tersebut menceritakan betapa kelam-kabutnya kehidupan di India yang dianggap telah mendarah daging dalam kaum tersebut, termasuk India di negara ini.

"India tetap India. Orang India ialah masyarakat yang begitu unik. Jika kita sering tengok wayang Tamil atau Hindi, itulah budaya mereka. Kecoh, kecoh dan kecoh.

"Namun, kita di Malaysia pun ada orang India. Kecohnya pun lebih kurang sama. Mereka ini rata-ratanya terdiri daripada ahli-ahli profesional, peguam dan kini menjadi ahli politik.

"Di Malaysia hanya orang India yang pandai-pandai sahaja yang sering buat bising," artikel tersebut dipetik.

Penulis menceritakan pengalamannya berada di Hyderabad baru-baru ini sebelum mengecam tindakan pemimpin DAP dan juga ahli parlimen Ipoh Barat, N Kulasegaran, yang didakwanya mempertikaikan hak-hak Melayu.

Zaini kini berdepan tindakan saman oleh exco kerajaan Selangor, Teresa Kok berhubung artikelnya 'Azan, Jawi, Jais, UiTM dan ba-alif-ba-ya' yang mengulas isu azan - kontroversi yang menyeret ahli parlimen DAP itu dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), September tahun lalu.

Seorang aktivis Angkatan Muda PKR cabang Batu, V Ravindran, turut membuat aduan berhubung isu tersebut di balai berkenaan bersama Padmanathan dan empat lagi rakannya kira-kira jam 11.10 pagi ini.

Ahli parlimen DAP bagi Teluk Intan, M Manogaran (di tengah-tengah) juga hadir memberikan sokongan. Beliau hadir di balai itu di situ 15 minit selepas enam lelaki dan menunggu sehingga selesai aduan dibuat, kira-kira sejam jam 12.15 pagi.

Dalam aduannya, Padmanathan (tiga dari kiri) mendakwa artikel itu "mengandungi unsur-unsur cemuhan terhadap masyarakat India dan memburuk-burukkan sikap mereka".

"Akhbar Utusan Malaysia telah melampaui batasan yang telah ditetapkan bagi kebebasan media. Pernyataan yang melulu ini boleh mencetuskan perbalahan etnik dan mampu menjejaskan reputasi kaum India.

"Pernyataan-pernyataan tersebut menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan warganegara Malaysia yang terdiri daripada kaum India," laporan polis itu dipetik.

Ravindran (dua dari kanan), dalam aduannya pula, mendakwa "artikel tersebut mengandungi komen-komen yang berbau perkauman serta memburuk-burukkan kaum India di negara ini" dan bercanggahan dengan slogan 1Malaysia yang dipromosikan oleh perdana menteri.

Dalam sidang media selepas itu, Padmantahan mendesak Zaini memohon maaf kepada masyarakat India.

_malaysiakini bm

Telefon: Banduan dilarang guna bahasa ibunda

Banduan Penjara Seremban hanya dibenarkan bertutur dalam bahasa Melayu ataupun Inggeris ketika membuat panggilan telefon kepada anggota keluarga mereka, demikian dakwaan seorang bekas banduan.

Dia yang menjalani hukuman penjara selama enam bulan, membuat aduan tersebut kepada ADUN DAP Bukit Payang, Cha Kee Chin.

Bekas banduan tersebut (foto-kiri) memberitahu satu sidang akhbar semalam bahawa warden akan memutuskan perbualan telefon jika banduan bercakap dalam bahasa ibunda mereka.

Apabila Cha menyemaknya dengan seorang pegawai penjara tersebut, wakil rakyat DAP itu diberitahu bahawa peraturan itu diperkenalkan atas tujuan keselamatan.

Alasan yang diberikan ialah tidak ada warden di situ yang memahami bahasa lain, sedangkan panggilan telefon berkenaan perlu dipantau.

Bagaimanapun, Cha tidak yakin dengan alasan tersebut.

Menurutnya, pihak berkuasa penjara boleh merakamkan perbualan banduan dan kemudiannya mendapatkan khidmat jurubahasa untuk menyemak kandungannya.

Cha juga memberitahu Malaysiakini bahawa beberapa banduan India dan Cina telah mengadu perkara itu kepadanya.

Beliau turut membaca satu surat terbuka dari seorang banduan berbangsa Cina yang masih menjalani hukuman, yang mendakwa peraturan itu bertujuan untuk mendiskriminasikan banduan bukan Melayu.

Cha menegaskan bahawa hak untuk berkomunikasi dalam bahasa ibunda dijamin dalam perlembagaan persekutuan, termasuk di kalangan banduan.

"Peraturan ini melanggar hak asasi manusia. Melarang banduan berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka dengan anggota keluarga sendiri adalah tidak wajar," katanya.

Wakil rakyat DAP itu merancang untuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung isu tersebut._malaysiakini bm