Sahabat Purnama

Jumaat, 4 Disember 2009

Pengawal nampak lembaga 'Teoh' di pejabat SPRM

Tiga individu mendakwa mereka ternampak satu lembaga yang menyerupai mendiang Teoh Beng Hock merayau-rayau di ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Plaza Masalam, Shah Alam.


Menurut laporan akhbar China Press, lembaga tersebut dilihat di tingkat lima bangunan tersebut - tempat Teoh ditemui mati dan di tingkat 14, iaitu pejabat SPRM Selangor.

Laporan itu menyebut seorang pengawal keselamatan dan dua pegawai SPRM terserempak dengan lembaga itu sekitar bulan Oktober lalu - lebih dua bulan selepas Teoh ditemui mati.

Pengawal keselamatan tersebut yang enggan namanya disebut berkata, dia tidak nampak muka lembaga itu, tetapi ia berpakaian sama seperti yang dipakai mendiang ketika datang ke pejabat SPRM dulu.

"Saya nampak mayatnya selepas jatuh. Saya pasti ianya Teoh walaupun saya hanya lihat bahagian belakangnya," katanya sambil menambah kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.30 petang.

Ketika mencerita semula kejadian itu, pengawal tersebut berkata dia pergi ke bilik air di tingkat lima di mana secara dia tiba-tiba terdengar bunyi orang berjalan. Pengawal keselamatan yang lain tidak bertugas ketika itu.

"Saya rasa pelik. Biasanya pada waktu itu tiada orang lain di situ. Lalu saya berjalan ke arah tandas... kemudian saya nampak seorang lelaki di depan lif, dia memakai kot hitam dan berseluar putih," katanya.


Pada masa itu, tidak terlintas di fikiran pengawal tersebut bahawa ia adalah lembaga yang menyerupai Teoh itu.

"Saya bertanya dia hendak ke mana kerana tiada orang di atas. Dia menjawab "saya nak naik ke atas", lalu masuk ke dalam lif.

"Ketika itulah saya terfikir yang dia nampak seperti Teoh, jadi saya bergegas ke bilik keselamatan untuk melihat CCTV, tetapi tiada seorang pun dalam lif tersebut._malaysiakini bm

Gempa bumi lagi di Janda Baik, selepas K. Pilah

Tidak lama selepas gegaran 3.3 pada skala Richter di Kuala Pilah, Negeri Sembilan hujung minggu lalu, satu lagi kejadian gempa bumi lemah direkodkan dekat Janda Baik pagi ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), gempa 2.2 pada skala Richter berjadi 9.41 pagi ini yang berpusat 9km tenggara Janda Baik, Pahang.

Gegaran terakhir dirasai di kawasan tersebut berlaku pada 8 Oktober lalu jam 5.50 pagi, berukuran 2.8 pada skala Richter, di kawasan 25km dari pusat gempa pagi ini.

Empat kejadian gempa yang berpusat di 22km timur Seremban mula dikesan jam 2.30 petang Ahad, manakala tiga gegaran berikutnya berlaku dalam tempoh 24 jam seterusnya.

Menurut kenyataan JMM, kejadian 12.15 awal pagi Isnin berukuran 3.3 pada skala Richter, sementara terakhir pada 2.30 petang pula pada bacaan 3.0 skala Richter.

Sebelum dua kejadian terbaru ini, sejak penghujung 2007, Malaysia mencatatkan 40 gempa bumi lemah, tetapi yang ketara 37 daripadanya berlaku di sekitar garisan gempa bumi di Bentong, Pahang.

Tiga lagi gempa bumi itu di Manjung (Perak) dan Jerantut (Pahang).

JMM dilaporkan berkata sejak November 2007 sehingga Mei tahun lepas, sebanyak 29 gempa bumi dicatatkan di kawasan Bentong.

Kes terbaru pada 8 Okt lepas bagaimanapun mencatat gempa bumi paling kerap, sebanyak lapan kali dari pukul 4.45 pagi hingga 12.05 tengah hari, bermagnitud antara 1.1 hingga 2.8 skala Richter.

Kesemua gempa bumi itu dikesan di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik yang mempunyai garis sesar berukuran 15 kilometer lebar dan 70 kilometer panjang.

JMM mempunyai 17 stesen pengesan gempa di seluruh negara._malaysiakini bm

MPS: Kami tidak ikut telunjuk DAP

Abdul Rahim Sabri


Kemaskini 3.31pm Majlis Perbandaran Seremban (MPS) tidak mengeluarkan notis berpindah rumah seorang ibu tunggal selepas desakan DAP didakwa wanita tersebut, kata Yang Dipertuanya Datuk Abd Halim Abd Latif.

"Saya bertindak atas dasar peraturan dan undang-undang, bukan kerana pembangkang. Saya tidak benarkan unsur-unsur dan pengaruh politik masuk dalam pentadbiran saya.

"Saya ikut peraturan, tidak ada kena mengena dengan parti politik. Penduduk sekeliling marah dan tidak berpuas hati.

"Rumah itu menghalang pintu masuk dan jejaskan laluan ke rumah mereka," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas kebimbangan Zarina Bee Mohd Ibrahim kerana rumah yang sudah didiami oleh keluarganya lebih 130 tahun sejak 1876 di Kampung Temiang akan diroboh oleh MPS.

Zarina Bee, 65, yang kini menetap di rumah kayu itu bersama-sama seorang anak lelakinya, mendakwa tindakan MPS tersebut dibuat ekoran desakan parti pembangkang.

Wakil rakyat DAP bagi Temiang, Ng Chin Tsai semalam mengakui pernah menulis surat kepada MPS memohon memindahkan rumah tersebut atas alasan menghalang pembinaan jalan.

Bagaimanapun ADUN itu mendakwa beliau tidak pernah meminta pihak berkuasa tempatan itu merobohkan rumah Zarina Bee yang terletak di belakang pejabatnya.

Dihubungi pagi ini, Abd Halim berkata MPS bersedia menimbang melanjutkan tempoh untuk ibu tunggal itu berpindah dari rumahnya dan sedia berbincang dengan wanita itu.

Beliau bagaimanapun berkata tidak timbul isu bayaran pampasan kerana rumah itu dibina di atas tanah rizab jalan milik kerajaan negeri.

Abd Halim juga menjelaskan, isu pemindahan rumah Zarina Bee bukanlah satu perkara baru kerana arahan supaya beliau berpindah, telah dikeluarkan sejak 2005 lagi.

Bagaimanapun, katanya, wanita itu enggan berpindah dari itu dan isu tersebut berlanjutan hingga sekarang, tetapi beliau tidak pasti sebab mengapa enggan berbuat demikian.

Beliau menambah, MPS dan pejabat tanah pernah berbincang dengan Zarina Bee mengenai perkara itu dan ibu tunggal tersebut berjanji untuk untuk berpindah.

Bagaimanapun katanya, sehingga hari ini, Zarina Bee masih belum berbuat demikian.

Menurut Abd Halim lagi, MPS sedia berbincang dengannya kerana tidak mahu memaksa ibu tunggal itu tergesa-gesa berpindah.

Beliau juga berkata, difahamkan ibu tunggal tersebut mempunyai sebuah rumah yang lain.

"Kalau dia perlukan tiga bulan untuk berpindah (ke rumah baru), kita beri. Kita bukan zalim. Saya tunggu, tidak ada masalah," katanya._malaysiakini bm

Hizbut Tahrir: Kursus BTN 'program maksiat'

Abdul Rahim Sabri

Kemaskini 5.50pm Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) membantah program Biro Tatanegara (BTN) dengan mendakwa ia satu bentuk "maksiat" kepada Allah apabila kursusnya menjurus kepada unsur mendewa-dewakan pemimpin negara secara "membabi buta".

"Daripada pengakuan dan penjelasan yang diberikan oleh kerajaan sendiri, apatah lagi oleh mereka yang pernah mengikuti program ini, ia jelas menjurus kepada maksiat kerana program ini menyemai rasa cinta kepada bangsa dan negara," satu risalah kumpulan itu dipetik.

"Dengan kata lain menyemai perasaan 'assabiyyah (perkauman) dan wathaniyah (kebangsaan) yang jelas diharamkan oleh Islam.

"Indoktrinasi agar mentaati pemimpin secara membabi buta juga jelas merupakan satu bentuk kemaksiatan kepada Allah, kerana para pemimpin yang ada (kini) memerintah dengan sistem sekular dengan menerapkan undang-undang kufur ke atas kita semua."

Risalah dua halaman bertajuk 'Indoktrinasi Yang Menyimpang Wajib Dibetulkan' diedarkan di beberapa masjid di ibu kota ketika solat Jumaat hari ini, antaranya Masjid Negara, masjid Bangsar dan masjid Kampung Baru.

Malaysiakini menyaksikan kira-kira 20 aktivis perkumpulan Islam antarabangsa itu, yang ditubuhkan pada 1950-an untuk menegakkan sistem khalifah Islam, mengedarkan risalah sehelai itu sebelum dan selepas solat di Masjid Negara.

Memetik tulisan risalah tersebut, HTM berkata kursus BTN sering menaikkan sentimen Melayu dan mendedahkan ancaman terhadap bangsa Melayu, lalu menyeru orang-orang Melayu "memberi ketaatan penuh kepada pemimpin walaupun korup agar tanahair tidak tergadai."

"Pendek kata, dalam (kursus) BTN, semua peserta akan dijelaskan bahawa semua dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah betul dan benar belaka, maka semuanya harus taat dan patuh, jangan mengkritik atau melawan! Itulah matlamat agung BTN," risalah itu dipetik.

Dengan menyifatkan BTN "satu senjata perang saraf kerajaan", Hizbut Tahrir berkata perdana menteri sendiri "tidak senang duduk dengan pendedahan (keburukan) ini."

"Siapa tidak tahu tentang propaganda Umno menerusi BTN, apatah lagi para peserta yang pernah mengikuti kursus tersebut?

"Selama ini kerajaan berjaya menutup kebusukan BTN, bukan kerana tidak ada pihak yang bersuara, namun suara mereka tidaklah sebesar suara kerajaan negeri Selangor," kata organisasi itu dalam risalah tersebut.

HTM juga menggesa umat Islam menegur dan membetulkan pemimpin daripada terus melakukan perkara maksiat itu.

"Haram dan berdosa bagi setiap Muslim yang berdiam diri atas kemaksiatan yang dilakukan oleh pemimpin.

"Penguasa wajib dimuhasabah apabila mereka menyeru kepada maksiat, merampas hak rakyat, mengabai kewajiban rakyat, melalaikan salah satu urusan rakyat, menyimpang daripada hukum-hukum Islam, atau memerintah dengan hukum selain yang diturunkan oleh Allah".

Risalah Suara Kebangkitan (atau Shoutul Nahdhah), yang mendapat permit penerbitan mingguan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), turut memetik maksud al-Quran dan hadis untuk menguatkan hujah mereka berhubung biro kontroversi bawah Jabatan Perdana Menteri itu.

Sementara itu, Ketua Cawangan HTM Kuala Lumpur Ahmad Kori Shafie, ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, mengesahkan risalah tersebut memang diterbitkan oleh kumpulannya Ikatan Intelektual Nusantara (IKIN).

Sebelum ini, tambahnya, HTM juga sering menerbit dan mengedarkan risalah yang menjelaskan pendirian mereka di masjid-masjid sekitar Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan umat Islam ketika hari Jumaat.

Setiap edisi termasuk edisi terbaru ini, kumpulannya sebagai mewakili HTM mengedarkan 10,000 keping risalah, tambahnya

Ahmad Kori, sebagai pengurus IKIN, berkata tiada masalah bagi orang ramai untuk membuat salinan risalah tersebut. "Kita tak akan saman orang yang hendak buat kerja baik," katanya.
 
_malaysiakini bm

Nik Aziz: Kita doa sampai pecah perut

Jimadie Shah Othman
Kemaskini 1.32pm Membalas bantahan sekumpulan penyokong Umno terhadap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Selasa lalu, ribuan penyokong menteri besar itu hari ini mengadakan satu demonstrasi di Kota Bharu.

Perhimpunan itu diadakan di Jalan Dato' Pati bermula jam 10 pagi tadi, sejurus selepas kuliah mingguan tokoh besar PAS itu di depan pejabat perhubungan PAS Kelantan.

Para penyokong Nik Abdul Aziz memakai lilitan kepala warna merah bertulisan putih "We Love Tok Guru" sambil mendengar ucapan beliau, exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, pemimpin Pemuda PAS Dr Rosli Alani Abdul Kadir dan beberapa pemimpin lain.

Beberapa sepanduk lain dilaporkan turut dipamerkan, antaranya bertulis, "Kita Sayang Tok Guru Kita", "Kami Menyokong Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz" dan "Royalti bui-builah" (bagi-bagilah).

Beberapa saksi di tempat perhimpunan itu memberitahu Malaysiakini, anggota-anggota polis dilihat mengawal sepanjang jalan tersebut.

Dalam ucapannya, seperti disiarkan secara langsung melalui Internet, Nik Abdul Aziz antaranya menyifatkan penafian terhadap bayaran royalti minyak seperti dituntut kerajaan negeri sebagai "melanggar keadilan asasi".

"Perkara ini bercanggah dengan (prinsip) keadilan asasi. Selagi tidak bagi (royalti petroleum), kita doa sampai pecah perut orang itu," kata mursyidul am PAS, dengan sorakan para penyokongnya.

Nik Abdul Aziz mengaitkan perkara itu dengan bantahan masyarakat bukan Islam yang menentang peraturan kawalan arak ketika beliau baru memimpin Kelantan, 19 tahun lalu.

"Ada (ahli masyarakat) yang kata hendak buat pesta minum arak. Bila wartawan tanya saya (perkara itu), saya kata, bagi dia minum sampai pecah perut," katanya, disambut gelak ketawa penyokong.

Tambahnya, hasil penjelasan itu, semua pihak menyambut baik tindakan kerajaan negeri.

Selasa lalu, ratusan penyokong Umno, yang diketuai seorang pemimpin bahagian Pasir Mas, mengadakan demonstrasi di depan kompleks Kota Darulnaim bagi mendesak Nik Abdul Aziz memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung ugutan untuk berdoa bala terhadapnya.

Mereka, yang menggunakan nama Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan, juga mendesak menteri besar melepaskan jawatannya.

Nik Abdul Aziz menyatakan hasratnya untuk berdoa sedemikian sebagai reaksi terhadap keengganan kerajaan persekutuan menyerahkan bayaran royalti minyak kepada Kelantan, sebaliknya sekadar menyerahkan wang ehsan.

Sementara itu, mengulas kritikan terhadap kepimpinannya akhir-akhir ini, Nik Abdul Aziz berkata, serangan itu dibuat ekoran "rasa cemas" BN dalam usaha menutup masalah dalaman parti-parti komponennya.

"Dia (BN) hendak tipu budak-budak dengan hantu boleh. Tetapi hendak tipu pengundi Kelantan tidak boleh," katanya.

Perhimpunan sejam itu berakhir dengan laungan takbir para penyokongnya. Tiada sebarang perarakan dibuat, walaupun terdapat ura-ura mengenainya sebelum ini.

Kepemimpinan Nik Abdul Aziz akhir-akhir ini menerima pelbagai kritikan susulan beberapa isu, antaranya pelantikan menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman sebagai ketua pengarah eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan tajaan haji daripada seorang kontraktor.

Anak syarikat kerajaan (GLC) itu juga sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa.

Belum reda isu itu, Nik Abdul Aziz menimbulkan pula kontroversi baru apabila mendakwa terdapat usaha menjatuhkannya yang didalangi oleh seorang pegawai tentera yang dikenali sebagai "Kolonel Mat."_malaysiakini bm

Puluhan ribu rakyat berhimpun sokong Tok Guru




KOTA BHARU, 4 Dis: Pusat bandar Kota Bharu penuh sesak dengan kebanjiran lautan manusia menghadiri perhimpunan menyokong kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Apa yang jelas ia ratusan kali ganda lebih ramai berbanding demontrasi mendesak Menteri Besar Kelantan meletak jawatan di hadapan Kota Darulnamim Selasa lalu, kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Baihaki Atiqullah.
Biarpun cuaca redup dengan hujan sekali sekala lebat, ia tidak menghalang puluhan ribu rakyat Kelantan hadir menyatakan kasih dan sayang mereka kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.


Ada yang datang dari Besut, Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan negeri-negeri lain bagi meramaikan lagi perhimpunan tersebut.Pelbagai sepanduk dapat dilihat, ada yang bertulis ‘Kita Sayang Tok Guru Kita’, ‘Kami Menyokong Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz’, ‘Royalti bui-builah (bagi-bagilah)’ dan ramai yang memakai lilit kepala bertulis ‘We Love Tok Guru’.

Tidak kurang juga kelihatan ramai anggota polis yang terpaksa berkawal di sepanjang jalan.



Medan Ilmu di Jalan Tok Pati menyaksikan sokongan terhadap kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak pernah surut.
Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Ketua-ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud dan penduduk bukan Islam serta pemimpin KeADIlan negeri.

Lebih menarik lagi apabila pemimpin masyarakat Cina, India dan Siam turut berucap di hadapan ribuan yang hadir.

Ah Seng mewakili masyarakat Cina menyatakan kaum tersebut di Kelantan dapat hidup aman damai di bawah pemerintahan PAS yang dipimpinan Tok Guru.
“Masyarakat Cina berdiri teguh di belakang Tok Guru. Kami masyarakat Cina menentang keras usaha-usaha pihak lawan yang mahu menjatuhkan Menteri Besar,” katanya diikuti laungan takbir orang ramai.

Tharuman wakil masyarakat India juga menyatakan masyarakat India di Kelantan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Tok Guru.

Ucapan dalam bahasa Tamil membuat orang ramai menjadi riuh rendah seketika.

Wakil institusi pondok tradisional di Kelantan, Ustaz Awang Yusof dari Pondok Gelang Mas, Pasir Mas secara terbuka meminta rakyat Kelantan tanpa mengira agama dan bangsa memberi sokongan padu kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Wakil KeADILan yang begitu bersemangat berucap berkata, ribuan rakyat yang hadir hari ini tidak dibayar sesen pun untuk hadir menyatakan sokongan kepada Menteri Besar.

“Tidak ada sebuah kerajaan yang bersih di negara ini kecuali Kelantan sepanjang ditadbir Tok Guru hampir 20 tahun,” ujarnya.

Beliau juga mencabar pemuda Umno berdebat pada bila-bila masa untuk membincang isu royalti yang menjadi hak milik rakyat negeri ini cuba dinafikan perdana menteri._siasahdaily

PMBK: Menantu Nik Aziz letak jawatan Mac depan

Jimadie Shah Othman

Menantu menteri besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Ab Rahman akan meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berkuatkuasa 23 Mac 2010.

Dalam satu kenyataan hari ini, Abdul berkata, berdasarkan terma surat pelantikannya, beliau perlu memberi notis 90 hari untuk meletak jawatan.

azlanBerikutan itu, katanya, beliau akan memberi notis peletakan jawatannya pada 24 Disember ini.

"Ini bermakna tarikh akhir saya akan berada di pejabat ialah pada 23 Mac 2010," katanya, sambil menambah tarikh rujukan itu berpandukan kalendar hijrah yang menjadi amalan sistem bayaran gaji oleh PMBK.
Menurutnya, perkara itu diputuskan setelah mengambil kira masa yang perlu diambil oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk mencari penggantinya untuk menerajui PMBK.

Abdul Ariffahmi berkata, ia bertujuan untuk memastikan PMBK dapat beroperasi seperti biasa setelah ketiadaan beliau.

"Dalam tempoh yang sama, tempoh ini akan diambil untuk menyiapkan kerja-kerja akhir merujuk kepada beberapa perkara yang telah diputuskan oleh ahli lembaga pengarah PMBK sebelum ini," katanya.
Merujuk kepada sidang media bersama beliau dengan Nik Aziz pada 23 november lalu, Ariffahmi berkata, beliau sentiasa patuh kepada pucuk pimpinan dan akur dengan nasihat menteri besar kelantan itu supaya meletak jawatan sebagai CEO PMBK.
"Dalam sidang media tersebut, Tuan Guru (Nik Aziz) menasihatkan saya untuk menetapkan tarikh yang sesuai bagi tujuan peletakan jawatan saya selaras dengan terma-terma pelantikan," katanya dalam kenyataan itu.

Sebelum itu, ketika dihubungi Malaysiakini kira-kira jam 2.40 petang tadi, Abdul Ariffahmi berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan hari ini berhubung tarikh peletakan jawatannya dalam PMBK.

Pada 25 November lalu, Nik Aziz diminta menasihatkan Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan bagi "menutup segala pintu fitnah" terhadapnya.

Keputusan itu dicapai ekoran mesyuarat khas Nik Aziz yang juga mursyidul am parti itu bersama timbalannya Datuk Dr Haron Din, presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, naib presiden Salahuddin Ayub dan bendahari agungnya, Dr Hatta Ramli._malaysiakini bm

'Tiada kaitan dengan blog Kickdefella'

Jimadie Shah Othman

Menantu menteri besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Abd Rahman menafikan pengumumannya hari ini - mengenai tarikh peletakan jawatannya sebagai ketua pengarah eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) - berkaitan dengan tulisan blog yang mempertikaikan kesediaannya berbuat demikian.

Sebelum kenyataan menantu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dikeluarkan petang ini, bekas pegawai perhubungan korporat PMBK menulis dalam blognya pagi tadi dengan mendakwa CEO itu dijangka tidak akan meletak jawatan dalam masa terdekat ini.

"Nampaknya Tok Guru Nik Aziz begitu hebat bersandiwara. Abdul Ariffahmi belum letak jawatan dan tiada rancangan terdekat untuk letak jawatan," kata Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang bertelagah besar dengan CEO itu.

"Tok Guru Nik Aziz sokong tindakan Abdul Ariffahmi menangguhkan perletakan jawatannya."

Syed Azidi, yang dekat dengan exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, dipecat daripada PMBK pada 11 November lalu walaupun kontrak perkhidmatannya tamat April tahun depan.

Pemecatan itu dibuat selepas Abdul Ariffahmi dan PMBK disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kronisme dalam perbadanan tersebut.

Menulis di blognya Kickdefella, Syed Azidi mendakwa bahawa tindakan menangguhkan peletakan jawatan Abdul Ariffahmi sebagai satu bentuk sandiwara mursyidul am PAS.

"Apakah sandiwara begini hendak PAS jaja buat mereka yang mengundi PAS?" coretnya pagi tadi, dengan mendakwa beliau telah mengirim mesej SMS kepada pemimpin parti itu dan PKR berhubung perkara tersebut.

"Pilihan raya umum ke-12 mungkin pilihan raya umum terakhir buat Tok Guru Nik Aziz tetapi yang pasti bukan terakhir buat PAS. Saya bertahan tidak mahu insiden ini menjadi persepsi (negatif) pada PAS dan Islam. Tetapi semuanya berakhir di sini.

"Ternyata insan-insan kecil dan kakitangan PMBK tiada erti buat Tok Guru Nik Aziz berbanding anak-beranaknya.

"Mengapa lagi perlu ada rasa hormat daripada insan kecil buat Tok Guru Nik Aziz, parti dan individu yang membelanya?"

Mengulas dakwaan di blog itu, Abdul Ariffahmi yang juga exco Pemuda PAS Kelantan memberitahu Malaysiakini petang ini:

"Saya memang sudah merancang untuk membuat kenyataan hari ini."

Dalam kenyataan rasmi berhubung tarikh peletakan jawatannya, Abdul Ariffahmi berkata penentuan tarikh pada 23 Mac 2010 dibuat dengan mengambil kira faktor masa untuk menyiapkan beberapa kerja-kerja akhir.

Menurutnya, tarikh itu dibuat berdasarkan terma surat pelantikannya di mana beliau perlu memberi notis 90 hari untuk meletak jawatan.

Beliau akan memberi notis peletakan jawatannya sebagai CEO perbadanan itu pada 24 Disember ini walaupun mengumumkan untuk meletakkan jawatan sebulan labih awal, 23 November lalu.

Tarikh-tarikh itu diputuskan hasil perbincangan dengan Nik Abdul Aziz dan pengurusan PMBK, kata Abdul Ariffahmi dalam kenyataannya itu._malaysiakini bm

Kes Nirmala: Surirumah dipenjara 12 tahun

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengurangkan hukuman penjara 18 tahun kepada 12 tahun terhadap surirumah Yim Pek Ha yang
didapati bersalah mencederakan pembantu rumahnya warga Indonesia, Nirmala Bonat pada 2004.

Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah juga membenarkan permohonan lisan peguam Yim, Datuk Jagjit Singh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman walaupun dibantah oleh timbalan pendakwa raya Rozela Raja Toran.

Yim, yang mempunyai empat orang anak berusia antara empat dan 11 tahun, kelihatan menitiskan air mata selepas mendengar keputusan hakim.

abused indonesian maid nirmala bonat then and now 170108Azman, dalam penghakimannya, berkata setelah meneliti fakta kes dan rayuan, beliau mengekalkan penyabitan Yim, 41, untuk pertuduhan pertama dan kedua.

Beliau berkata mahkamah telah mengambil kira hukuman maksimum 20 tahun bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan hakim Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara sejumlah 18 tahun untuk setiap pertuduhan telah sampai kepada hukuman paling tinggi boleh dikenakan bawah seksyen tersebut.

"Setelah meneliti fakta kes dan kecederaan yang dialami oleh mangsa serta rayuan pihak pembelaan bahawa tertuduh merupakan pesalah pertama serta mempunyai empat orang anak yang masih kecil, dengan ini saya mengurangkan hukuman penjara untuk kedua-dua pertuduhan ini daripada 18 tahun kepada lima tahun," kata Azman.

Bagaimanapun Azman membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan, berbanding dengan perintah Mahkamah Sesyen yang merintahkan untuk berjalan secara serentak.

Azman berkata beliau akan memberikan alasan penghakimannya secara lebih terperinci kemudian.

Pada 27 Nov tahun lepas, Yim didapati bersalah atas dua pertuduhan mencederakan Nirmala menggunakan seterika dan satu lagi tuduhan menyimbah air panas terhadap mangsa di Villa Putera, Jalan Tun Ismail di Kuala Lumpur pada Januari, Mac dan April 2004.

Bagi pertuduhan ketiga, hakim membenarkan rayuan Yim untuk menggugurkan penyabitan dan hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana kekeliruan dalam kertas pertuduhan.

Beliau berkata ini berdasarkan keterangan Nirmala di mahkamah yang menyatakan kejadian beliau diserang dengan seterika berlaku pada Mac dan bukan pada April.

Pihak pendakwaan seharusnya meminda kertas pertuduhan tetapi telah gagal berbuat demikian, kata hakim.

Sementara itu bagi pertuduhan keempat, Azman membenarkan rayuan pihak pendakwaan dengan menyabitkan Yim atas pertuduhan mencederakan Nirmala dengan sebiji cawan besi di tempat yang sama pada 17 Mei 2004.

Untuk tuduhan ini Yim dipenjara dua tahun dan hukuman berjalan secara berasingan dengan hukuman sebelum ini. Sebelumnya beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Azman, dalam penghakimannya, turut menyatakan bahawa ketika Nirmala memberi keterangan beliau tidak menunjukkan sebarang tanda mempunyai penyakit sawan atau tidak siuman.

"Keterangan Nirmala mengenai kecederaan yang dialaminya adalah sejajar dengan laporan perubatan dan keterangan pakar serta beliau tidak mempunyai peluang untuk mengadu kepada sesiapa mengenai penderaan yang dilakukan kepadanya," kata beliau.

Azman juga berkata secara logiknya sebagai seorang ibu, Yim seharusnya menjaga pembantu rumahnya dengan baik.

"Berdasarkan gambar-gambar yang dikemukakan, kesakitan yang dialami oleh mangsa tidak boleh digambarkan langsung," kata hakim.

Azman mengingatkan Yim bahawa hukuman yang dijatuhkan terhadap beliau adalah memberi ingatan dan pengajaran kepada orang lain untuk tidak melakukan perbuatan seperti itu terutamanya pada yang lemah.

"Apatah lagi terhadap isteri, kanak-kanak, orang gaji dan mahupun terhadap binatang," tegasnya.

Selepas keputusan itu, Raja Rozela berkata beliau akan membuat rayuan terhadap hukuman penjara tersebut. BERNAMA_malaysiakini bm