Sahabat Purnama

Isnin, 16 November 2009

Guan Eng dedah minit sulit mesyuarat

Nov 16. Mesyuarat exco kerajaan negeri Pulau Pinang pada Jumaat ini akan membatalkan tahap kerahsiaan minit mesyuaratnya yang sebelum ini berhubung status sekeping tanah, yang kini menjadi kontroversi, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau berkata, dalam satu kenyataan hari ini, pendedahan minit mesyuarat berkaitan keputusan itu mampu memberi gambaran yang jelas tentang tujuan sebenar penukaran hak milik tanah daripada pegangan pajakan kepada hak kekal yang akan dibangunkan oleh PDC Heritage Hotel Sdn Bhd.

Sebelum ini, ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad, mendakwa Lim memberi maklumat salah kepada DUN Pulau Pinang apabila memaklumkan tiada pertukaran status pegangan tanah dibuat di negeri itu dari April hingga Jun tahun ini tetapi terdapat laporan menyatakan kerajaan negeri telah meluluskan permohonan untuk menukar tempoh pegangan secara pajakan kepada kekal.

Pagi ini Lim sepatutnya mengadakan satu sidang akhbar selepas menerima kunjungan pegawai sebuah syarikat dari India tetapi bergegas meninggalkan pejabatnya dengan alasan untuk ke lapangan terbang kerana hendak ke Kuala Lumpur.

Beliau mengarahkan setiausaha akhbarnya Cheong Yin Fan untuk mengedar kenyataan akhbarnya itu. BERNAMA

_malaysiakini bm

Pusat tarik peruntukan Parlimen Tun Abdullah

Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 16 Nov: Peruntukan pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9) bagi Parlimen Kepala Batas, iaitu parlimen bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi di dakwa telah ditarik oleh kerajaan persekutuan.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang, Phee Boo Poh ketika memberitahu perkara itu berkata, Abdullah kini seolah senasib dengan ahli parlimen pakatan rakyat yang lain.

Tindakan kerajaan persekutuan itu tegasnya adalah tidak wajar, seolah olah mahu 'menghukum' Abdullah dan lebih teruk lagi akan mengainaya masyarakat di parlimen tersebut.

"Sebenarnya perkara ini disembunyikan dari pengetahuan umum bimbang menjatuhkan maruah mantan Perdana Menteri yang telah berjasa pada negara walaupun perkhidmatanya singkat ekoran ketidakbijaksanaan memerintah, " tegasnya yang juga Adun Sungai Puyu.

Tegasnya lagi, kerajaan pusat sewajarnya membantu Abdullah bagi membantu masyarakat di kawasannya khususnya di Dewan Undangan negeri (Dun) Bertam dan sebagai mengenang jasa beliau terhadap pembangunan negara.

" Tidak patut buat begitu kerana Kepala Batas juga sebahagian daripada Pulau Pinang lebih-lebih kawasan Tun Abdullah yang pernah dinobatkan sebagai Perdana Menteri Ke Lima Malaysia, " katanya.

Sejak Tun Abdullah memegang tampuk pemerintahan pada penghujung 2003 boleh dikatakan Bertam muncul sebagai sebuah pusat pentadbiran baru mengantikan Butterworth yang kini lebih kepada bandar pelabuhan.

Dan sekarang ini kerancakan pembangunan di Bertam seakan terhenti apabila peruntukan tersebut ditarik.

_harakahdaily.net

Guan Eng nafi bantu fakir miskin Islam di tokong

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan kerajaan negerinya memberikan sumbangan kepada fakir miskin Islam di tokong sebagaimana yang disebarkan melalui SMS.

Guan Eng ketika dihubungi Harakahdaily berkata, fitnah sebegini bukan pertama kali berlaku tetapi telah berlaku sebelum ini untuk memberikan gambaran buruk kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

"Ia satu fitnah dan pembohongan oleh musuh politik kita," kata Guan Eng kepada Harakahdaily.

Menurut Guan Eng, jika benarpun ada sumbangan yang diberikan di tokong sebagaimana yang didakwa ia bukan sumbangan kerajaan negeri tetapi oleh orang persendirian.

"Semua sumbangan kerajaan negeri kebanyakannya dibuat di dewan orang ramai. Kita tidak pernah bagi sumbangan kepada orang Islam di tokong tetapi kita pernah buat dalam masjid," katanya.

Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sedang menyebarkan sms kononnya bantuan fakir miskin Islam oleh kerajaan DAP Guan Eng mesti dibuat di tokong cina.

Hari ini (semalam), menurut sms itu, 15 November jam 9.30 pagi bantuan fakir miskin Islam dari Tasek Gelurgor diberi di Tokong Telok Air Tawar.

"Untuk fakir miskin Bagan di Tokong depan mahkamah," menurut sms yang disebarkan itu.

"Saya harap rakyat tidak percaya dengan sms ini kerajaan kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan buat diskriminasi kaum dan akan layan semua kaum dengan samarata," kata Guan Eng.

Beliau menganggap pihak musuh yang cuba menyebarkan fitnah ini, namun beliau tidak menamakan pihak yang bertanggungjawab.

"Siapa yang makan cili dia yang akan terasa pedasnya," kata beliau lagi.

_harakahdaily.net

Usaha sistematik sedang dibuat untuk tekan Nor Mohamad

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Usaha nampaknya sedang dibuat dengan sistematik oleh para penyokong Tun Dr Mahathir untuk mengeluarkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop dari kabinet.

Sekurang-kurangnya, tiga blogger pro-Umno menulis mengenainya. Rocky bru, bigdogdotcom dan Another Brick on the Wall mengulas mengenai usaha ini.

Nor Mohamad didakwa melakukan tindakan untuk kepentingan dirinya apabila menjalankan aktiviti melalui Khazanah Holding dalam urusan pengambilalihan Pantai Holding, syarikat strategik yang berasaskan kesihatan.

Ia bermula apabila Parkway Holdings, membeli 5% saham Pantai pada 4 Ogos 2006 ketikamana syarikat milik kerajaan Singapura itu sudah memiliki 31% saham.

Ini menjadikan, Pantai dikawal oleh syarikat asing iaitu milik GLC Singapura itu.

Apabila rakyat Malaysia bising, melalui Khazanah, sahamnya dibeli balik dengan cara yang sangat mengelirukan dan dikatakan memberikan keuntungan besar kepada Nor Mohamad.

Satu lagi dakwaan terhadap Nor Mohamad ialah kegagalan beliau menguruskan sumbangan royalti Petronas kepada kerajaan Malaysia.

Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, Petronas telah menyumbang sebanyak RM253.6 bilion kepada kerajaan pusat dalam bentuk cukai, royalti, duti ekspot dan juga dividen.

Namun, ke manakah wang sebanyak itu dibelanjakan tidak dapat dilihat dengan nyata oleh rakyat negara ini.

Dan bagi bigdogdotcom, Nor Mohamad yang patut dipersalahkan sebagai Menteri yang menjaga hal ehwal perancang ekonomi negara.

_harakahdaily.net

19 tahun PAS lulus KPI dengan cemerlang - Lim Kit Siang

Oleh Md Zuharman

KOTA BHARU, 16 Nov – Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan kejayaan PAS mentadbir Kelantan selama lima penggal berturut-turut adalah KPI cemerlang kerajaan PAS mengekalkan sokongan rakyat di negeri ini.

Kejayaan tersebut seharusnya menjadi landasan kepada Pakatan Rakyat (PR) menghadapi pilihan raya umum akan datang dalam usaha untuk menumbang kerajaan Umno – Barisan Nasional (BN) seterusnya menguasai Puterjaya.

Perjuangan ke arah itu mesti diperkasakan sepanjang masa demi menghapus ataupun melenyapkan sistem pemerintahan kerajaan Umno yang angkuh, sombong serta banyak menyusahkan rakyat.

Lim menyedari banyak kepincangan berlaku di dalam pentadbiran kerajaan Umno terutama berkaitan struktur menangani sesuatu isu yang mana rakyat ingin melihat kesannya dari sudut yang adil seperti fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegasnya, beliau tetap malah terus dengan pendirian bahawa penubuhan SPRM adalah semata-mata demi untuk menjaga kepentingan politik kerajaan Umno dan ianya jelas menyimpang dari prinsip asal penubuhannya.

“Sampai ke hari ini kes penyelewengan jutaan ringgit dalam Umno melibatkan orang-orang ternama dalam politik Umno hanya bisu. Siasat juga, tapi siasatan tinggal siasatan sampai bertahun-tahun,” katanya pada satu majlis ceramah umum, dekat sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menyokong kenyataan Lim merujuk kepada beberapa isu seperti Perwaja, PKFZ yang hingga kini belum ada apa-apa tindakan terhadap mereka terbabit.

Lalu Abdul Hadi menegaskan kezaliman serta pembohongan dilakukan kerajaan Umno tidak boleh dimaafkan kecuali Umno bertaubat kerana perbuatan khianat dilakukan melibatkan hak rakyat.

“Kita mesti faham konsep ini, kalau sebut sahaja hak kerajaan, maknanya ia adalah hak rakyat,” katanya.

_harakahdaily.net

Mahkamah arah pilihan raya kecil di Kota Seputeh

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil untuk Dun Kota Seputeh Kedah.

Ini bermakna, mahkamah bersetuju dengan keputusan Speaker Dun Kedah, yang memutuskan kerusi itu kosong berikutan kegagalan Adunnya, Datuk Abu Hasan Sarif hadir dua kali berturut-turut ke sidangnya.

Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi.

harakahdaily.net

Khalid: Umno puji kejayaan Pakatan tadbir S'gor

Abdul Rahim Sabri

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa Tan Sri Muhammad Muhd Taib - bekas menteri besar Umno - mengakui bahawa perubahan dan kepimpinannya yang membuat reformasi di Selangor, menyukarkan parti itu untuk menguasai semula negeri itu.

Khalid yang juga pengerusi PKR negeri mendakwa Mat Taib telah berjumpa dengannya beberapa hari sebelum konvenshyen ini berlangsung.

"Dua tiga hari yang lepas, Tan Sri Muhd Taib datang jumpa saya, dia kata 'Khalid kalau macam ini habis lah kita'.

"Kalau macam ini, bekas menteri besar itu kata, 'wah dalam masa 20 tahun kami memerintah, dalam masa 20 bulan kamu boleh tunjukkan keupayaan PKR. Ini satu penghormatan kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menggulung konvensyen PKR Selangor di Dewan Jubli Perak Shah Alam petang ini.

Muhammad Muhd Taib menjadi menteri besar Selangor selama 11 tahun mulai 1986.

Dalam pertemuan itu, beliau mendakwa Muhd Taib (kanan) mahu bekerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk membangunkan rakyat dan ekonomi rakyat luar bandar di negeri itu.

"Tapi kita kata nanti dulu. Saudara tahu tentang reformasi atau tidak. Kalau saudara tidak faham tentang reformasi, nanti saya susah. Kalau orang dalam tidak reti, tambah lagi orang luar," katanya sambil disambut gelak ketawa kira-kira 500 perwakilan.

Dalam ucapannya juga, Khalid juga turut menyentuh mengenai perletakkan ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah yang mengisytiharkan keluar daripada PKR dan menjadi 'mesra BN' akhir bulan lalu.

Katanya, tindakan Badrul Hisham itu tidak melemahkan parti itu untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Badrul bila lompat di Pelabuhan Klang, macam kita hilang satu parti. Ia tidak ada kena mengena. Dia hilang pun kita tak tahu. Kita pun tak kisah dia hilang.

"Hendak hilang, hilanglah tak jadi masalah. Itu kekuatan kita. Yang jadi masalah orang yang belah sana... Kalau (Datuk Seri Dr Mohd) Khir Toyo rasa Badrul adalah kawannya, tahap dia (pun) macam Badrullah," katanya mengundang gelak ketawa hadirin sekali lagi.

Khalid yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak turut menyentuh kejayaan Pakatan Rakyat mengurus dan mentadbir Selangor dalam usaha untuk merakyatkan ekonomi negeri itu.

Katanya, kejayaan membawa perubahan dalam negeri Selangor telah mendapat pujian rakan dan lawan bahawa PKR dan Pakatan Rakyat boleh mentadbir negeri ini, hasil usaha bekerja dalam satu pasukan.

"Sokongan menggembirakan daripada rakyat, dan mereka merasakan kita sebahagian daripada mereka.

"Sokongan daripada DAP dan PAS, walaupun ada soal-soal yang cuba melagakan kita, cuba menimbulkan keadaan yang tak tenteram, tetapi kita dapat bekerja dalam satu pasukan," katanya.

Khalid berkata, kejayaan PKR dalam melakukan reformasi di negeri itu akan lebih nyata sekiranya dapat bekerja dalam satu pasukan.

_malaysiakni bm

Umno guna media, SPRM intai kesalahan pemimpin Pakatan - Anwar

M Faqih

KOTA BHARU, 15 Nov: Umno dan Barisan Nasional (BN) menggunakan setiap ruang yang ada pada media dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencari kesalahan pemimpin Pakatan Rakyat.

Terbaru mereka cuba mengenakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan isu tajaan untuk menunaikan ibadat haji.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin Umno menggunakan setiap peluang untuk memperhodohkan wajah pemimpin Pakatan Rakyat.

“Sampai Tok Guru Nik Abdul Aziz hendak menunaikan haji pun cuba disekat dengan menggunakan media dan SPRM.

“Kerja khianat pemimpin Umno juga berterusan dilakukan dengan menggunakan sepenuhnya media massa yang mereka kuasai,” katanya pada perasmian penutup konvensyen KeADIlan Kelantan di KTC di sini, petang ini.

Hadir sama Setiausaha Agung PKR, Datuk Salahuddin Hashim, Ketua PKR Kelantan, Saifuddin Nasution Ismail, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Zaid Ibrahim dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Mohd Zaki Ibrahim.

Jumaat lalu Nik Abdul Aziz mengumumkan membatalkan hasrat menunaikan haji tahun ini disebabkan media sengaja membesarkan isu penajaan untuk ke Mekah.

Malah SPRM dilaporkan membuka fail siasatan berhubung isu terbabit.

Anwar berkata, biar pun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menguar-uarkan konsep 1Malaysia, namun sebenarnya undang-undang yang dipakai ada dua di negara ini.

“Pemimpin Pakatan Rakyat cuba dianiayai dengan pelbagai tindakan melalui undang-undang, sedangkan pemimpin Umno dan BN terselamat.

“Tidakkah ini dinamakan sebagai dua undang-undang dan bukan 1Malaysia yang disibukkan perdana menteri,” ujarnya.

Beliau yang juga ketua pembangkang di parlimen berkata, sebab itulah pemimpin KeADILan yang tidak ada daya tahan mudah mengambil langkah mengkhianati parti sendiri.

Katanya apa yang berlaku kepada dua bekas Adun KeADIlan di Perak, seorang di Selangor dan seorang lagi di Kedah kerana tidak mempunyai daya tahan yang tinggi dalam perjuangan.

“Kalau beri RM5,000 mereka masih lagi tahan, kalau diberi RM50,000 mereka mulai goyah dan kalau diumpan ratusan ribu mereka sanggup meninggalkan perjuangan.

“Seperti juga berlaku kepada Adun Pelabuhan Klang yang sudah tujuh bulan didapati bermasalah. Ketika saya panggil dia datang dan memberitahu jangan ganggu dia,” katanya.

Lebih 1,000 perwakilan dari Cabang KeADILan di Kelantan hadir pada program separuh hari itu. Dua kertas kerja dibentang termasuk oleh Saifuddin dan Setiausaha Badan Perhubungan Terengganu, Rosli Abdullah.

Pada majlis itu juga Saifuddin menyerah 1,685 borang menyertai KeADIlan kepada Anwar.

_harakahdaily.net