Sahabat Purnama

Jumaat, 16 Oktober 2009

ANTARA REDHA ALLAH DAN REDHA ORANG RAMAI

Muslim yang mempunyai pendirian adalah muslim yang sentiasa mencari dan mengharap redha Allah semata-mata. Muslim yang rendah harga dirinya adalah muslim yang sentiasa mencari redha orang ramai dengan menggadaikan prinsip-prinsip Islam.

Lihatlah kepada dunia sekarang. Ramai orang kaki pengampu mengampu orang lain dengan mengharap atau meraih sokongan walaupun cara yang dilakukan itu salah. Dalam politik misalnya, para pengampu pemerintah asyik mengampu atau membawa berita-berita yang hanya untuk menyenangkan atau menggembirakan telinga pemerintah sahaja dengan mengharapkan kedudukan atau pangkat yang lebih baik ataupun tidak. Akibatnya pemerintah tidak akan mengetahui keburukan, kelemahan atau kepincangan yang dihadapi oleh rakyat di bawah. Orang atasan hanya mengetahui berita yang baik walaupun orang bawah atau pekerja bawahan bergelumang dengan kepenatan, kesusahan dalam melakukan seseuatu tugas tertentu. Jalanraya yang berlubang misalnya, jika ada wakil rakyat atau pemerintah hendak melawat kawasan tersebut, maka bergegaslah mereka membaiki jalan supaya jalan menjadi elok kembali. Lihatlah kerja yang dilakukan tersebut jelas bukan atas dasar keikhlasan dan bukanlah menolong rakyat, tetapi mengampu pemerintah atau wakil rakyat. Suasana ini juga sering berlaku semasa kempen pilihanraya.

Demikian juga dengan pencerca dalam politik, niat mereka memang baik untuk menegur pemerintah jika melakukan kesilapan. Tetapi caranya salah. Mereka terlalu melampau atau ghuluw dalam menegur sehingga keluar kata-kata kesat sehingga mencerca dan menghina peribadi orang lain untuk meraih sokongan orang ramai. Tanpa rasa bersalah mereka juga mendedahkan aib dan maruah orang lain dan melupakan nas Islam yang melarang kita mencabuli atau mencemari maruah dan kehormatan orang lain. Ini juga banyak terjadi di mulut penceramah, akhbar, berita dan sebagainya. Atas tiket politik, mereka menghalalkan apa sahaja cara.

Banyak lagi contoh-contoh lain tanpa kita sedari di dalam kehidupan seharian. Hubungan majikan dengan pekerja juga sering terjadi perkara ini. Para pekerja yang suka mengampu walaupun dirinya tidak sehebat apa yang digambarkan itu lebih mengundang masalah kepada sesuatu organisasi. Majikan percaya bulat bulat yang digambarkan, tetapi pekerja bawahan yang lain akan menerima padah.

Kesemua itu dilakukan hanya untuk mendapat keredhaan manusia dan untuk kepentingan diri seperti naik pangkat, mendapat habuan lebih, mendapat lebih kesenangan dan bukan mengharapkan keredhaan Allah. Maka, carilah redha Allah walaupun perit, janganlah mencari redha orang ramai yang Allah tidak suka walaupun orang ramai suka.

Akmal
Pegawai Penyelidik
Makmal Kepintaran Buatan & Bioinformatiks
Fakulti Sains Komputer & Sistem Maklumat
UTM Skudai

Sumber: http://almadini.wordpress.com

Tiada ulasan: