Kerajaan PAS Kelantan sedia meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan orang bukan Melayu beragama Islam menjadi menteri besar negeri itu.
Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata bukanlah menjadi persoalan untuk meminda peruntukan dalam undang-undang berkenaan asalkan ia selari dengan kehendak Islam seperti diperkenalkan PAS sejak memerintah Kelantan pada 1990.
"Undang-undang Kelantan itu lain kerana ia dibuat pada zaman itu. Benda itu boleh diubah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtimak Ulama Muda Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.
Nik Aziz diminta mengulas kenyataannya yang akan menyokong mana-mana calon bukan Melayu menjadi menteri besar selepas beliau asalkan orang itu beragama Islam.
Beliau berkata mengikut dasar Islam sendiri, asalkan calon berkenaan berakhlak baik dan mengamalkan ajaran Islam dengan sebenarnya, mereka layak untuk dijadikan pemimpin.
"Itu sebabnya kita jangan berpegang kepada bangsa sebaliknya berpegang kepada mereka yang mengamalkan ajaran Islam, barulah Islam itu dihormati.
"Langkah ini (melantik bukan Melayu) menjadi menteri besar sudah tentu Islam itu sendiri akan dihormati dan lebih ramai yang menjadikan Islam sebagai pegangan agama," katanya.
Ketika menyentuh perkara yang sama dalam ucapannya, Nik Aziz berkata beliau sendiri akan mencadangkan mana-mana pemimpin bukan Melayu beragama Islam yang layak untuk menjadi penggantinya. BERNAMA_malaysiakini bm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan