Sahabat Purnama

Isnin, 14 Disember 2009

Pemuda PAS bantah tukar status tanah masjid


Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mesti menjelaskan kontroversi projek pembangunan di atas tanah yang asalnya diperuntukkan untuk pembinaan sebuah masjid di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur, kata seorang pemimpin Pemuda PAS.

"Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berasa pelik. Bagaimana sebuah tapak masjid boleh ditukar statusnya kepada tapak 'perniagaan (bangunan)' walhal sekeliling kawasan itu sudah mempunyai pusat perniagaan yang mencukupi dari keperluan," kata timbalan ketuanya Herman Samsudeen.

"Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menggesa agar pengarah MAIWP dan pihak-pihak berkaitan menjelaskan kepada rakyat punca sebenar perubahan tapak masjid dan mahu ia dikekalkan atau digantikan dengan tanah lain kerana kita harus sedar tanah milik umat Islam sama ada Melayu atau bukan Melayu semakin berkurangan di Wilayah Persekutuan."

Beliau juga mempertikaikan pembabitan dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan pemimpin kanan Umno Wilayah Persekutuan dan juga Selangor.

"Pastinya rakyat akan tertanya-tanya, kenapa pemimpin Umno seperti menteri Wilayah Persekutuan, setiausaha politik perdana menteri dan bendahari Umno yang kononnya memperjuangkan kepentingan Melayu dan institusi umat Islam sanggup menggadaikan tanah itu," katanya.

Pemuda PAS itu juga menolak alasan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, dalam jawapan parlimennya, bahawa kawasan itu akan menghadapi masalah kesesakan lalu lintas jika masjid dibuat di atas tanah berkenaan.

Herman berkata, kerajaan boleh mewujudkan tempat letak kereta bertingkat di bawah masjid itu, seperti projek Glomac Galeria, setinggi empat tingkat yang sedang dibuat di atas tanah itu bagi mengelakkan masalah parkir dan lalu lintas.

"Masalah Jalan 19/70A yang lebarnya hanya 50 kaki sahaja juga tidak masuk akal untuk dijadikan alasan kerana saiz itu sudah memadai bagi sebuah masjid berbanding dengan Galeria yang juga menjadi pusat aktiviti masyarakat termasuk beli-belah yang sememangnya lebih sibuk dari aktiviti masjid," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tapak masjid berhampiran bangunan perniagaan sedia ada dan persimpangan lebuh raya SPRINT juga bukan alasan kerana sudah banyak masjid yang didirikan berhampiran tempat sedemikian seperti masjid di Seksyen 15 Subang Jaya yang berhadapan dengan Subang Parade dan Carrefour serta Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Herman berkata Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan berbincang dengan beberapa pihak sebelum memikirkan jika wujud ruang bagi menghentikan projek tersebut melalui tindakan undang-undang.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas daripada MAIWP dan Umno._malaysiaknini bm

Tiada ulasan: