Sahabat Purnama

Rabu, 23 Disember 2009

Selesaikan isu Ariffahmi segera



KUALA LUMPUR- Dewan Ulama Pas Negeri berpendirian isu perletakkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Abd Rahman perlu diselesaikan segera bagi mengelak ia menjadi satu bebanan kepada Kerajaan Negeri.

Ketuanya, Datuk Muhammad Daud Iraqi berkata, isu tersebut sebelum ini sudah diselesaikan dengan baik sebelum beberapa pihak yang menimbulkan kembali.

“Peletakan jawatan Ariffahmi yang berkuat kuasa tiga bulan sudah betul, itu prosedur biasa yang digunakan, tidak boleh bagi notis 24 jam, nanti banyak menimbulkan masalah pentadbiran, jadi tidak perlulah nak bangkitkan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan pemuda Pas untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan desakan supaya Ariffahmi meletak jawatan sebagai CEO PMBK.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda Pas Negeri, Dr Rosli Ilani Abd Kader berkata, pihaknya akan membincangkan isu dengan lebih mendalam termasuk mengadakan undian dalam kalangkan ahli jawatankuasa untuk memutuskan cadangan desakan terhadap Ariffahmi.

Ia dilihat sebagai susulan dengan saranan yang dilakukan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang mahukan Ariffahmi meletak jawatan bagi menyelesaikan krisis yang berbangkit.

Muhammad bagaimanapun percaya, isu yang kini menjadi bahan mainan media akan dapat diselesaikan dengan kaedah baik di masa hadapan.

Dalam pada itu Muhammad berkata, beliau bersetuju sekiranya anak tempatan diberi keutamaan dalam pemilihan calon untuk kerusi parlimen di pilihan raya umum ke-13 nanti.

“ Kita ibaratkan ia sebagai imam di masjid, sudah tentu imam tempatan mesti didahulukan, jika tidak ada baru orang luar diambil.

“ Bagaimanapun, perkara ini diputuskan oleh pimpinan pusat, jadi kita terima sahaja keputusan yang dibuat,” katanya.

Sebelum ini, Kelantan menjadi tumpuan kepada pimpinan Pas peringkat pusat untuk bertanding dalam pilihan raya bagi kerusi parlimen di negeri ini.

Antara pemimpin luar Pas yang bertanding dan memenangi kerusi tersebut , Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Bendahari, Dr Hatta Ramli.
_sinarharian

Tiada ulasan: