Sahabat Purnama

Sabtu, 13 Mac 2010

Pakatan 'buang buruk', BN kutip 'sampah'

Mohd Rashidi Hassan   

SELEPAS media propaganda Umno-Barisan Nasional membuat serangan bertalu-talu terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan partinya, kini giliran Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, serta parti dukungannya menjadi mangsa.

Mana tahu selepas ini PAS pula yang akan diserang, kiri kanan depan belakang tanpa belas ihsan oleh media tali barut Umno-BN.

Matlamat mereka satu sahaja, iaitu mereka mahu memecah belahkan Pakatan Rakyat, 'membunuh' karektor pemimpinnya, sekaligus berusaha menciptakan persepsi buruk serta ketidakyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Setakat ini Umno-BN gagal mencapai matlamat mereka. Usaha keras media tali barut tidak mencapai matlamat yang mereka harapkan.

Walaupun Pakatan Rakyat ditekan hebat, bagusnya ialah apabila pemimpin-pemimpinnya tidak mudah melatah akibat provokasi musuh.

Hebatnya setiakawan Pakatan Rakyat ditunjukkan dengan sokongan padu tidak berbelah bahagi oleh PAS dan DAP terhadap Anwar selaku Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia dan peneraju agenda reform dalam negara.

PAS dan DAP tidak samasekali berjaya digugat dengan provokasi media talibarut Umno-BN untuk tumpang semangkuk menyalahkan KeADILan dalam kemelut yang dihadapi.

Malah dengan dokongan kuat PAS dan DAP itu, KeADILan terus mantap dan berusaha melakukan pembersihan serta damage control, bagi menjayakan aspirasi serta cita-cita bersama Pakatan Rakyat.

Namun, kita tidak nafikan, serangan-serangan ini, sedikit sebanyak berjaya mencetuskan keluh kesah di kalangan pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat.

"Huh! Macam macam alasan ada. Rasa nak penampar sahaja wakil rakyat yang lari ini. Lepas ini Anwar jangan kutip lah bekas-bekas Umno dan golongan bermasalah ini," begitulah keluh rata-rata penyokong Pakatan Rakyat, apabila seorang demi seorang Ahli Parlimen KeADILan 'buat perangai' dengan mengkhianati perjuangan rakyat.

Mereka-mereka yang 'buat perangai' ini gelagatnya macam budak-budak pra-matang. Macam-macam alasan diberikan untuk menjustifikasikan tindakan mereka yang mengkhianati Pakatan Rakyat.

Ada yang kata mereka keluar kerana isu kalimah Allah, ada yang kata kerana tidak tahan dibuli parti sahabat, ada yang kata kerana KeADILan sudah lari dari perjuangan asal dan ada yang kata mereka keluar kerana mendakwa Anwar hanya berjuang atas kepentingan peribadinya sahaja.

Dengan pelbagai alasan ini, seolah-olahnya mereka memberi hint bahawa Umno-BN lah yang boleh disandarkan perjuangan mereka kelak.

Maka Dato' Seri Zahrain Hashim, Dato' Salehuddin Hashim, Tan Tee Beng, Mohd Fairus Khairudin dan Mohsin Fadzli Samsuri, mengumumkan keluar parti. Ada yang masuk Umno, ada yang jadi bebas.

Mereka yang kuat mengkritik parti sendiri dan menghentam parti sahabat secara terbuka seperti Zulkifli Noordin dan Wee Choo Keong, setakat rencana ini ditulis, masih belum menyatakan pendirian secara terbuka. (Nota : Zulkifli dipecat daripada KeADILan pada 6 Mac 2010)

Mungkin juga ada beberapa orang lagi yang sedang memikirkan dan mencari alasan untuk 'cabut'. Ada juga yang sedang tunggu dan lihat dahulu, apakah nasib yang bakal menimpa rakan-rakan mereka yang defect itu.

Dengan keluarnya mereka dari Pakatan Rakyat, atau dengan keceluparan mulut menghentam pemimpin Pakatan Rakyat, mereka ini sudah dimusuhi majoriti rakyat berbangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya.

Mereka ini sudah kehilangan kawan, ceramah di surau atau masjid dibatalkan, dibenci dan dicerca pengundi sendiri. Rakan-rakan dan sahabat handai mula menjauhkan diri dari mereka, kerana mereka sudah dikotori dengan najis Umno-BN.

Maka jadilah mereka ini umpama 'kerang busuk' yang sudah tidak laku. Kita tidak perlu berbuat apa-apa pada mereka. Nasihat pun tidak guna kerana, mereka-mereka ini sudah 'setkan minda'. Sudah lama mereka menunggu masa untuk membuat kacau dan keluar dari parti.

Mereka yang berperangai buruk ini, sama ada menjadi ejen Umno, yang dibiarkan duduk dalam Pakatan Rakyat untuk membuat kacau, atau yang mempunyai masalah peribadi sehingga diancam polis atau SPRM, atau yang mempunyai poor performance di kawasan Parlimen yang diwakili. Dan yang paling penting mereka dikatakan menerima tawaran yang amat lumayan, jika keluar parti.

Apa pun, mereka ini barangkali sudah mempunyai deal yang lama dengan Umno-BN. Mereka hanya menunggu masa sahaja untuk keluar. Bagi mereka sekarang ini mungkin perfect timing kerana, pada saat ini Anwar sedang ditekan dengan dakwaan kes liwat. Maka usaha mereka menambah tekanan terhadap Anwar pada saat yang getir ini, amat menggembirakan Umno-BN.

Menambah tekanan terhadap Anwar merupakan suatu kredit buat Umno-BN, kerana Anwar merupakan ancaman yang paling berkredibiliti untuk menumbangkan mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Kerja untuk menjatuhkan, memalukan serta memusnahkan karektor politik Anwar memang kerja-kerja rutin Umno-BN. Kebiasaannya kerja-kerja ini dibuat daripada luar. Namun kali ini Umno-BN ada sedikit kelebihan kerana wujudnya pembantu dari dalam Pakatan Rakyat sendiri.

Hakikatnya, semua mereka yang mengkritik dan menghentam Anwar, sekaligus menjadi tali barut Umno-BN ini tidak sedar, jika tidak kerana Anwar yang memberi mereka peluang, sama ada dilantik memegang jawatan atau dipilih sebagai calon, tiada siapa pun yang akan kenal atau peduli dengan mereka.

Pepatah Melayu mengumpamakan mereka-mereka ini sebagai, 'anjing yang mengigit tuannya'. Tuan yang memberikannya makan dibalas dengan gigitan.

Perumpamaan ini membawa maksud, wujudnya dalam sebuah masyarakat, parti atau dalam keluarga, ada golongan yang tidak pernah mengenang jasa atau orang yang meletakkan kepentingan peribadi, mengatasi segala-galanya.

Bagi Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, tindakan puak-puak pengkhianat ini disifatkannya 'ada buaya di sebalik batu.'

Orang politik yang berjuang untuk kepentingan peribadi sebenarnya adalah 'gila'. Gila glamour, gila jawatan, gila projek, gila kebendaan dan berbagai jenis gila lagi.

Dalam istilah lain, golongan yang gila macam-macam ini, boleh dianggap sebagai terkena penyakit sawan. Penyakit sawan pun banyak menghinggapi orang politik sekarang ini.

Ada spesies orang politik yang terkena penyakit sawan katak, sawan sesumpah, sawan beruk dan sekarang ini sawan anjing pun ada. Hanya penyakit sawan babi sahaja yang belum ada. Kalau ada, jenuh Pakatan Rakyat kena samak.

Mereka yang mengkhianati perjuangan ini semuanya adalah sampah dan najis. Cumanya mereka dibezakan pada tahap mana kebusukan dan kejijikannya. Ada tahap muhaffafah, ada mutawasitah dan ada yang mukhalazah. Dan usaha untuk membersihkan mereka ini bergantung kepada tahap di mana mereka berada.

Namun, sampah dan najis ini ada di mana-mana. Ada dalam semua parti. Apa yang berlaku kepada KeADILan harus diambil iktibar oleh PAS dan DAP. Pemimpin PAS, DAP mahu pun KeADILan sekarang ini, harus lebih berhati-hati dan bertegas dalam soal disiplin terhadap wakil-wakilnya, khususnya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Lebih baik Pakatan Rakyat 'buang buruk' sekarang. Biar Umno-BN jadi rubbish collector untuk mengutip sampah-sampah masyarakat. Moga-moga dengan ketegasan pemimpin PAS, KeADILan dan DAP, mereka dapat membersihkan Pakatan Rakyat dari segala jenis sampah-sarap dan kotoran.

Mereka-mereka yang sudah menjadi sampah ini, sudah tentu tidak akan diterima oleh rakyat lagi. Malah rubbish collector pun sudah pasti tidak akan mengambil mereka sebagai calon pada PRU akan datang. Mereka-mereka ini sudah rosak dan tidak cukup syarat untuk dikitar semula.

Pertama, sebab dalam Umno-BN sudah cukup ramai berebut hendak jadi calon, dan keduanya, sampah-sampah ini hanya digunakan untuk menyekat arus deras Pakatan Rakyat dan memperlahankan kejatuhan Umno-BN sahaja.

Kita harus memastikan kegembiraan Umno-BN mengutip segala sampah-sarap ini hanya seketika sahaja. Selepas seluruh sampah-sarap dikumpulkan dalam Umno-BN, maka rakyat bersatu menggunakan jengkaut dan kita lupuskan mereka ke tempat pembuangan sampah pada PRU ke-13 nanti! _harakahdaily.net

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Tiada ulasan: