Sahabat Purnama

Memaparkan catatan dengan label mahkamah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mahkamah. Papar semua catatan

Selasa, 20 Julai 2010

Sistem Perundangan Negara Gagal Jamin Hak Keselamatan Warga

Oleh Fazli Othman
SHAH ALAM 19 Julai - N Surendran, peguam kepada bekas Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia, N Thamendran yang dituduh bersubahat mencuri enjin jet pejuang F-5e milik TUDM menyifatkan sistem perundangan negara ini tidak mampu menjamin  warga daripada ancaman terhadap kebeasan dan keselamatan diri mereka.
Ini jelas terbukti apabila Thamendran memilih untuk berada di dalam penjara daripada diseksa dan dicabul hak kemanusiaannya di bawah TUDM.
Surendran berkata anak guamnya hari ini meminta dirinya dipenjarakan semula di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menolak permohonan beliau untuk mendapatkan perintah perlindungan bagi dirinya.
Thamendran yang gagal dalam permohonan itu berkata beliau lebih sanggup dimasukkan ke dalam penjara daripada diseksa lagi oleh pihak TUDM.
Surendran yang dihubungi Suara Keadilan berkata pihak TUDM ingin 'menahan' anak guamnya dan berikutan itu beliau lebih rela ditahan di penjara.
"Tidak pernah dalam sejarah negara, seseorang yang mendapat jaminan untuk bebas rela masuk balik ke dalam penjara.
"Ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem perundangan negara kita yang menyebabkan Thamendran tidak mahu bebas seperti manusia biasa," tegas beliau.
Menurut Surendran, pihaknya percaya Thamendran telah dikambinghitamkan kerana menurutnya, tidak masuk akal jika dua individu termasuk anak guamnya mampu mencuri enjin tersebut dan menghantarnya hingga ke Uruguay di Amerika Selatan.
Apabila ditanya adakah anak guamnya itu bersalah, beliau berkata Thamendran tidak bersalah dan sebab itu beliau minta dirinya dibicarakan.
Petang tadi, Tharmendran membatalkan ikat jamin terhadap dirinya selepas mahkamah menolak permohonannya untuk mendapatkan perintah perlindungan.
Sebelum itu, permohonan perintah perlindungan difailkan di sebuah balai polis berhampiran.
 Kehadiran dua pegawai TUDM yang berada di perkarangan mahkamah mengusarkan peguam Tharmendran yang bimbang terhadap keselamatan anak guamnya itu.
Berikutan pembatalan ikat jamin itu, Tharmendran akan kembali ke Penjara Sungai Buloh - dua minggu selepas dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000.
Tharmendran dituduh mencuri dan bersubahat mencuri dua enjin jet daripada Pangkalan Tentera Udara Subang pada Disember 2007.
Sementara itu, Surendran mendakwa terdapat cubaan daripada pihak TUDM untuk menangkap anak guamnya itu untuk dibawa balik ke Pangkalan TUDM 16 Julai lalu.
Menurutnya, beberapa kakitangan TUDM yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita muncul di rumah Tharmendran di Seremban Jumaat lalu bertanyakan tentang "lapor diri ke kem".
"Ibu bapanya bagaimanapun berkata mereka tidak tahu di mana anaknya berada selepas meninggalkan rumah akhir-akhir ini untuk menetap di tempat lain.
"Perkara ini serius kerana tertuduh bukan lagi Sarjan TUDM dan sudah meletakkan jawatan 28 Mei lalu," tambah Surendran.
Pihak pendakwaan diketuai oleh timbalan pendakwa raya Ishak Muhamad Yusof.
Mahkamah sesyen menetapkan 6 September sebagai tarikh sebutan kes dan sambungan perbicaraan.
Hadir pada perbicaraan ini adalah tertuduh bersama K Rajandran Prasad, yang diwakili oleh peguam Gobind Singh Deo._suarakeadilan

Isnin, 19 Julai 2010

Dadah: Penganggur ke mahkamah

KOTA BHARU - Seorang penganggur berusia 33 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar dan memiliki dadah.

Penganggur berkenaan, Hilmy Ab Hamid dari Kampung Kedai Melor dekat sini, bagaimanapun mengaku faham atas dua pertuduhan yang dihadapi di hadapan Majistret Azrol Abdullah selepas pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan pertama yang dihadapi, Hilmy didakwa mengedar dadah berbahaya jenis heroin dengan anggaran berat kasar 18.0 gram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tandas bahagian kecemasan, Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, kira-kira jam 3.30 pagi 6 Julai lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.

Menurut pertuduhan kedua pula, Hilmy didakwa memiliki heroin dengan anggaran berat kasar 1.3 gram ketika ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Pangkal Kalong, Kok Lanas dekat sini, kira-kira jam 4 petang 5 Julai lalu.

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh diden-da tidak lebih RM100,000 atau di penjara tidak lebih lima tahun.

Dalam prosiding semalam, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali kemudiannya memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baru untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia tertuduh.

Azrol seterusnya bersetuju dengan permohonan itu dan menetapkan 22 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Sinar Harian 8 Julai lalu melaporkan polis Kelantan berjaya menahan seorang lelaki kerana disyaki menyembunyikan enam botol heroin di dalam dubur dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kok Lanas, dekat sini.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan terpaksa dihantar ke HRPZ II untuk mengeluarkan lima botol dadah yang berada di dalam duburnya manakala satu botol lagi dikeluarkan suspek sendiri ketika ditahan di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Lelaki terbabit turut menjalani pemeriksaan X-ray untuk mengesan dadah yang masih ada lagi dalam badannya dan hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati masih terdapat satu objek kehitaman yang dipercayai botol plastik yang mengandungi dadah dalam badannya.

Keseluruhan dadah yang dirampas ialah tujuh botol dan dianggarkan bernilai RM3,000._sinarharian

Peniaga pasar malam dihukum mati kerana bunuh pembantu rumah

SHAH ALAM - Seorang peniaga pasar malam, A.Murugan, 36, dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah membunuh pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani, Oktober lepas.

Hakim, Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu hari ini selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan ke atas tertuduh.

Dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata, pembelaan diri Murugan adalah penafian semata-mata dan tidak boleh dipercayai.

Seramai 50 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Murugan didakwa membunuh Muntik, 36, di rumah No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 Okt dan 20 Okt tahun lepas.

Kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori.-Bernama

Selasa, 22 Disember 2009

Apcet 11: K'jaan diperintah bayar aktivis RM870,000

Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan kerajaan membayar RM30,000 kepada setiap 29 aktivis hak asasi manusia dan wartawan yang telah ditahan secara tidak sah dalam satu kekecohan akibat gangguan Pemuda Umno sewaktu perhimpunan Apcet 11 di Kuala Lumpur lebih sedekad yang lalu.
Berikutan itu, kerajaan kini perlu membayar sejumlah RM870,000 gantirugi kepada mereka.

Mahkamah juga memerintahkan para plantif dibayar faedah 8 peratus setahun dari tarikh saman itu difailkan pada 9 November 1998.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Adnan Muhamad yang mengumumkan keputusan tersebut pagi tadi berkata, fakta-faktanya adalah jelas serta mudah dan penghakiman hari ini berasaskan fakta hujah kedua belah pihak.

Beliau berkata, jumlah tersebut mencukupi bagi apa yang telah mereka lalui ketika ditahan selama hampir 24 jam.

Wan Adnan juga berkata gantirugi tersebut bukan satu habuan tetapi pampasan terhadap kesulitan yang mereka telah alami.

Beliau bagaimanapun menolak tuntutan plantif untuk mendapatkan gantirugi teruk, teladan dan gantirugi khas kerana mereka tidak mengemukakan dokumen bukti, tetapi hanya memberi keterangan lisan.

Aktivis dan wartawan terbabit telah memfailkan saman RM87 juta terhadap kerajaan, dua tahun selepas insiden tersebut.

Wan Adnan juga menolak dakwaan mereka bahawa wujud konspirasi membabitkan pihak polis dan kerajaan.

Menurutnya, tidak ada bukti yang menunjukkan defenden (bekas OCPD Dang Wangi Zainal Abidin Ali, kiri) cuba mensabotaj persidangan tersebut.

Wan Adnan juga mendapati sambungan tempoh reman oleh seorang majistret dan permohonan pihak polis adalah sah di segi perundangan._malaysiakini bm

Khamis, 17 Disember 2009

Bekas Pelajar Dihukum Gantung Bunuh Pensyarah


KUALA LUMPUR: Seorang bekas pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang didapati bersalah bulan lepas bersama dua yang lain kerana membunuh bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bakarudin Busu, tujuh tahun yang lalu, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pada 13 November lalu, seorang eksekutif jualan dan seorang pemandu forklift dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi yang sama setelah mereka didapati bersalah membunuh bekas pensyarah itu.

Pada hari yang sama, Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee turut menyabitkan Azizul Aznal Mohamad Jailani, 26, dan menetapkan hari ini untuk mendengar laporan akhlak sebelum menjatuhkan hukuman kerana pada tarikh kejadian bekas pelajar berkenaan hanya berumur 18 tahun dan dua bulan.

Ketika menjatuhkan hukuman hari ini, Muhamad Ideres memberitahu tertuduh bahawa beliau akan dibawa ke satu penjara yang sah dan dihukum gantung sampai mati.

Muhamad Ideres sebelum itu telah menangguhkan prosiding setelah Peguam Azizul Aznal, Mohd Hanif Khatri Abdulla, meminta mahkamah menggunakan kuasa penyeliaannya agar tertuduh terus berada di Penjara Sungai Buloh dan tidak dihantar ke Penjara Kajang sementara menunggu rayuan.
Mohd Hanif berkata, anak guamnya risau tentang keselamatannya kerana dua lagi tertuduh yang disabitkan dengan tuduhan itu, Sulkarnain Alias, 32, dan Noorman Ab Wahab, 31, kini dipenjarakan di Kajang.

"Ketika Azizul membuat pembelaannya beliau telah memberikan keterangan terhadap kedua-dua mereka dan kini risau tentang keselamatannya," kata Mohd Hanif.

Muhamad Ideres tidak membuat sebarang perintah mengenai isu setelah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail memmberitahu mahkamah bahawa beliau telah menyemak perkara tersebut dengan Pengarah Penjara Sungai Buloh Narendar Singh yang memaklumkan bahawa penjara berkenaan telah digazetkan untuk mereka yang masih berada di bawah tahanan reman.

Bekas pelajar UiTM, Siti Rahmah Azman Subramaniam, 28, turut didakwa dengan pertuduhan membunuh Bakarudin tetapi dibebaskan selepas pihak pendakwaan menawarkannya sebagai saksi utama. Siti Rahmah merupakan teman wanitaSulkarnain.

Mereka dituduh membunuh Bakarudin, 35, di Jalan SS19/6, Subang Jaya, pada 9.30 malam 12 Feb 2002. Mayat Bakarudin dijumpai separuh rentung dalam longkang di Subang Jaya.

Mengikut laporan akhlak, Azizul Aznal merupakan seorang remaja yang peramah dan mempunyai ramai rakan. Pada hari kejadian dia mendakwa hanya mengikuti Sulkarnain yang merupakan rakan karib abangnya.

Ketika rayuan, Mohd Hanif berkata, tertuduh percaya sebulat-bulatnya kepada rakan abangnya.

"Walaupun ketika kejadian tertuduh hanya berumur 18 tahun dan dua bulan, kesalahan tetap kesalahan dan tidak ada seorangpun boleh membatasi undang-undang," kata Mohd Nordin. - BERNAMA_mstaronline

Rabu, 25 November 2009

Anwar menang saman, NSTP diarah bayar RM 100 ribu

KUALA LUMPUR, 25 Nov: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan News Straits Time Berhad (NSTP) membayar ganti rugi berjumlah RM100 ribu kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mahkamah turut mengarahkan NSTP membayar RM20 ribu sebagai kos mahkamah.

Keputusan itu diumumkan Hakim Harminder Singh Dhaliwall di Mahkamah Tinggi Jalan Duta petang tadi.

Pada 2003, Anwar memfailkan saman terhadap NSTP dan bekas ketua pengarang kumpulan Tan Sri Abdullah Ahmad, di atas artikel yang bertajuk 'Anwar’s Link To US Lobbyist' yang disiarkan pada 2002.

Anwar menuntut RM100 juta bagi ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel itu menyentuh dakwaan hubungan Anwar dengan pelobi Washington DC, hubungan kewa- ngan beliau dan organisasi dikenali Asia Pacific Policy Centre (APPC) dan tuduhan dalam akuan bersumpah oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid._harakahdaily.net
h

Isnin, 23 November 2009

SPR gagal tangguh perintah kosongkan Kota Siputeh

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mendapat perintah untuk menangguhkan keputusan mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah sebagai kosong.

Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) hari ini menolak permohonan SPR bagi mendapatkan perintah penangguhan itu tetapi suruhanjaya itu telah merujuk perkara berkenaan kepada Mahkamah Rayuan dengan mengemukakan satu lagi permohonan untuk perintah penangguhan.

Jika ia tidak mendapat perintah itu, SPR perlu mengeluarkan writ menjelang Rabu ini bagi mengadakan satu pilihan raya kecil di situ.

Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin berkata beliau bersetuju dengan Sulaiman Abdullah, peguam utama bagi Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail, bahawa SPR gagal meyakinkan mahkamah berhubung isu keadaan luar biasa bagi mewajarkan permohonan itu dibenarkan.

Katanya, alasan mengenai implikasi kewangan yang dinyatakan oleh peguam kanan persekutuan Datuk Kamaruddin Md Said, yang mewakili SPR, tidak boleh ditakrif sebagai satu keadaan luar biasa.

"Mengikut undang-undang, menguruskan pilihan raya merupakan tanggungjawab biasa SPR dan suruhanjaya ini tidak merujuk mana-mana undang-undang kes untuk menyokong hujahnya," kata Alizatul.

Pada 17 Nov lepas, SPR mengemukakan permohonan itu setelah Alizatul membuat keputusan sehari sebelumnya bahawa kerusi berkenaan kosong kerana mendapati penyandangnya Datuk Abu Hassan Sharif daripada BN gagal menghadiri dua mesyuarat dewan itu berturut-turut tanpa mendapat cuti.

Mahkamah membuat keputusan itu ekoran tindakan Speaker DUN memfailkan semakan perundangan setelah SPR menerima sijil sakit Abu Hassan dan mengisytiharkan tidak berlaku kekosongan dan beliau masih mewakili kerusi itu.

Dalam penghakimannya hari ini, Alizatul berkata tanpa unsur keadaan luar biasa, mahkamah tidak dapat membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan itu.

Abu Hassan turut hadir pada prosiding hari ini. _BERNAMA _malaysiakini bm

Rabu, 18 November 2009

Benar semua mufti kecuali Perlis beri kuliah - Dr Asri persoal JAIS

Azamin Amin   
KUALA LUMPUR, 18 Nov : Bekas Mufti Perlis hari ini membidas dan mempersoalkan tindakan JAIS yang tergesa-gesa mahu membawa kesnya ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini.

Ini dapat dilihat dengan tindakan pihak pendakwaraya dan JAIS menyerahkan affidavit permohonan perpindahan kes tersebut dalam tempoh 10 minit sebelum kes dibicarakan pada jam 9.15 pagi tadi.

Malah lebih mengejutkan, pihak JAIS telah menghebahkan kepada pihak media terlebih awal tentang permohonan perpindahan tersebut sebelum ianya dibicarakan di hadapan hakim dan dimaklumkan kepada Dr Asri beserta pihak peguambela.

"Saya tidak tahu apa agenda di sebalik tergesa-gesa mahu bawa kes ini ke mahkamah tinggi.

"Apatah lagi ianya dihebahkan kepada media terlebih dahulu sebelum didengar di hadapan hakim. Ini tindakan yang dikesali dan dipersoalkan," kata Asri ketika di temui di luar pekarangan mahkamah syariah Gombak Timur.

Ditanya sama ada beliau sebelum ini pernah memohon tauliah daripada pihak JAIS, Dr Asri menjelaskan tidak pernah sama sekali.

"Saya rasa ianya perlu kepada pengecualian kepada Ahli Majlis agama, pensyarah universiti, mufti dan bekas mufti. Sepatutnya tauliah ini perlu dihapuskan.

"Yang kedua, saya mengajar di premis kediaman individu," katanya yang kini merupakan pensyarah Universiti Sains Malaysia.

Sementara itu beliau juga turut mendedahkan bahawa terdapat surat pekeliling daripada pihak JAIS sekitar tahun 2007 sehingga 2008 yang membenarkan semua mufti berceramah dan menyampaikan kuliah di Selangor kecuali Mufti Perlis.

"Saya pernah melihat pekeliling itu dan masa itu saya masih lagi Mufti Perlis," katanya yang meminta pihak media bertanyakan sendiri pekeliling itu kepada pihak JAIS.

Dalam pada itu mengulas hal yang sama, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru Zulkifli Noordin berkata pemberian tauliah ini perlu dihapuskan segera memandangkan ianya adalah hasil tinggalan dan warisan penjajah yang menyekat perkembangan agama di negara ini.

"Islam agama dakwah dan risalah. Setiap umat Islam berhak dan wajib menyampaikan seruan Islam.

"Penyebaran agama Islam tidak tertakluk kepada ustaz atau guru agama semata-mata tetapi semua penganutnya," katanya kepada media.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Perlis Dato' Seri Sahidan Kassim yang memberi sokongan kepada Dr Asri berkata bahawa pertuduhan yang dilakukan oleh pihak JAIS terlampau umum iaitu 'mengajar berkaitan Islam tanpa tauliah.'

"Semua pertuduhan hendaklah khusus tetapi ini terlampau umum. Susahlah keadaan macam tu," katanya.

Perkara ini turut dibangkitkan di kamar bicara oleh peguambela Dr Asri, Kamar Ainah yang berhujah bahawa terma 'berkaitan Islam' itu terlalu luas dan bersifat umum.

"Berkaitan Islam ni...adakah mengajar doa, atau ajar mandi wajib perlu tauliah?," katanya yang mahu kes ini merujuk kes terdahulu melibatkan seorang pendakwah bebas Ustaz Abdullah Yasin atas tuduhan yang sama.

Katanya yang juga bertindak sebagai peguambela kes itu, kes Abdullah Yassin mempunyai pertuduhan yang jelas dan bersifat khusus iaitu mengajar petikan tafsiran surah al-Baqarah ayat 14 yang berkaitan sifat Munafik.

Di luar mahkamah, turut menarik perhatian ialah sokongan yang diberikan oleh selebriti dan pengacara Azwan Ali kepada Dr Asri.

"Kes ini unik dan akan membuka minda orang melayu.

"Saya tak pernah kenal dia tetapi ada cahaya di wajahnya. Hari ini telah membuktikan kebenaran, apabila Hakim banyak menolak alasan yang diberikan oleh pendakwaraya syarie," katanya yang juga seorang bekas graduan jurusan undang-undang.

Kes ini akan dibicarakan semula pada 5 Januari tahun hadapan di mahkamah yang sama setelah hakim menolak permohonan untuk dibicarakan di mahkamah tinggi syariah, Shah Alam.

Kes yang dibicarakan bermula jam 9.15 pagi tadi berakhir kira-kira jam 10 pagi, dengan kegembiraan sebilangan besar orang ramai termasuk tokoh terkenal di atas keputusan hakim hari ini.





_harakahdaily.net


Asri tidak mengaku bersalah

Abdul Rahim Sabri


Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin tidak mengaku salah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi ini atas tuduhan mengajar agama tanpa ditauliah.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 kerana mengajar agama atau perkara mengenai Islam di negeri itu tanpa tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.Sebelum ini, Dr Mohd Asri telah ditahan Jais kerana didakwa mengajar agama di Ulu Kelang tanpa tauliah pada 1 November lalu.

Mahkamah membenarkan beliau diikatjamin sebanyak RM3,000 dengan dua orang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan perbicaraan kes ini didengar pada 5 Januari depan di mahkamah yang sama.

Dr Mohd Asri tiba di mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi bersama dengan bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Turut hadir memberi sokongan ialah kira-kira 80 pengikut dan bekas anak murid Dr Mohd Asri.

Mahkamah mula mendengar 9.18 minit dalam dewan mahkamah yang sesak dengan orang ramai.

Turut hadir ialah Datuk Paduka Marina Mahathir.

_malaysiakini bm

Selasa, 17 November 2009

SPR minta nasihat peguam negara

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meminta nasihat Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh, Kedah.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR akan meminta nasihat Peguam Negara bagi menentukan langkah seterusnya yang patut diambil berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

"Kita perlu meminta nasihat daripada Peguam Negara terlebih dahulu mengenai langkah yang perlu diambil memandangkan ini kali pertama kes sedemikian berlaku dalam sejarah.

"Kita mahu lihat sama ada SPR menpunyai ruang untuk merayu kes itu kepada pihak yang lebih tinggi (Mahkamah Rayuan)," katanya kepada Bernama hari ini.

"Isu ini telah menjadi satu isu akademik yang wajar diteliti, jadi elok SPR membawanya kepada Peguam Negara terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan," kata Wan Ahmad.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin hari ini memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya, Hakim Alizatul menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi kawasan Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

Isu ini dibawa ke Mahkamah Tinggi berikutan SPR pada mesyuarat 1 September lepas memutuskan kerusi itu tidak kosong kerana pada pandangan suruhanjaya itu, Abu Hassan perlu dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib DUN Kedah terlebih dahulu sebelum kerusi itu disahkan kosong.

Sementara itu, di ALOR SETAR, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Abu Hassan tidak akan menghadiri persidangan bajet DUN Kedah yang dijadual berlangsung selama tiga hari mulai esok sebagai menghormati keputusan mahkamah.

"Kita menerima keputusan (mahkamah) dengan lapang dada dan hati terbuka dan akan sabar menunggu keputusan rayuan pada 20 November ini," kata Ahmad Bashah semasa dihubungi Bernama.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh itu membuktikan kerajaan negeri Kedah bertindak berlandaskan undang-undang.

Katanya Speaker DUN Datuk Dr Abdul Isa Ismail mengambil tindakan yang betul apabila mengisytiharkan Abu Hasan telah hilang kelayakan sebagai Adun ekoran tidak menghadiri sidang DUN sebanyak dua kali berturut-turut tanpa memaklumkannya kepada Speaker.

"Kita bertindak atas undang-undang dan keputusan Mahkamah Tinggi itu haruslah menjadi pengajaran kepada semua wakil rakyat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan diberi amanah oleh rakyat untuk menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri," katanya. - Bernama

_malaysiakni bm

Isnin, 16 November 2009

Mahkamah arah pilihan raya kecil di Kota Seputeh

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil untuk Dun Kota Seputeh Kedah.

Ini bermakna, mahkamah bersetuju dengan keputusan Speaker Dun Kedah, yang memutuskan kerusi itu kosong berikutan kegagalan Adunnya, Datuk Abu Hasan Sarif hadir dua kali berturut-turut ke sidangnya.

Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi.

harakahdaily.net

Jumaat, 13 November 2009

Jais dakwa Asri 18 Nov, bukan hari ini

KUALA LUMPUR, 13 Nov: Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin hanya akan didakwa 18 November ini dan bukannya hari ini seperti yang heboh diperkatakan sebelum ini.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah memperoleh tarikh itu dari Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur selepas menfailkan kertas pertuduhan terhadap Asri semalam.

Sehubungan itu, Jais akan mengenakaan dakwaan secara rasmi ke atas Asri yang ditahan 1 November lalu kerana menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah.

Tarikh itu ditetapkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur selepas Jais memfailkan kertas pertuduhan terhadap Asri pada pukul 11 pagi semalam.

Mohd Asri, ketika dihubungi Harakahdaily semalam, kecewa dengan sikap Jais kerana didakwa bertindak mendahulukan hebahan kepada media bahawa beliau akan di dakwa di mahkamah syariah hari ini sedangkan tiada sebarang surat pemakluman rasmi kepada beliau berhubung perkara itu.

Lebih mengecewakan apabila Jais hanya menfailkan kertas pertuduhan terhadap beliau baru semalam dan menghebahkan beliau akan didakwa hari ini tanpa menunggu penetapan tarikh sebenar oleh Mahkamah.

Beliau juga kesal dengan sikap Jais yang bertindak 'melangkaui' bidang kuasa dengan menjadi penghebah, penangkap, penguatkuasa, pendakwa dan penghukum dalam masa yang sama.

"Sikap dan tindakan melampau inilah yang menyebabkan orang hilang keyakinan terhadap kewibawaan pihak institusi agama seperti Jais yang sewenang-wenangnya menggunakan kuasa mereka," katanya ketika dihubungi semalam.

Beberapa portal berita Rabu lalu melaporkan Asri dijangka didakwa di Mahkamah Syariah Gombak Timur hari ini kerana memberi ceramah tanpa tauliah.

Bercakap kepada pemberita di Shah Alam, Penolong Pengarah Perhubungan Awam JAIS, Mohd Hidayat Abd Rani berkata kertas siasatan kes Dr Mohd Asri "hampir siap".

Menurutnya, pihak pendakwa kini sedang menyemak kertas siasatan tersebut sebelum mendakwa Dr Mohd Asri di mahkamah.

Mohd Hidayat berkata, JAIS akan juga mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah Gombak untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Syariah Shah Alam kerana ia dianggap kes 'berprofail tinggi'.

"Ia juga memudahkan kami menguruskan kes tersebut dari Shah Alam... selain itu, permohonan seumpama itu dibenarkan mengikut undang-undang," katanya.

Langkah terbaru Jais itu dijangka mencetuskan bantahan pelbagai pihak yang sebelum ini mengecam penangkapan bekas mufti Perlis itu ketika memberi ceramah di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Gombak pada 1 November lalu._harakahdaily

Ahad, 8 November 2009

Kes Anuar Ibrahim

Raja Petra Kamarudin

Ada antara anda yang mungkin telah terlalu muda untuk mengingati tentang perbicaraan liwat pertama Anwar Ibrahim. Dengan keluarnya keputusan mahkamah yang terkini berkenaan perbicaraan liwat kedua Anwar, maka inilah masanya bagi kita mengimbau kembali kenangan lalu bagi mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang cara perbicaraan liwat pertama dahulu dikendalikan.

Saya akan cuba menerangkannya dengan semudah mungkin, yakni tanpa terlalu banyak menggunakan istilah undang-undang. Apa yang perlu anda fahami adalah cara perbicaraan itu dikendalikan dan sebab saya mengatakan bahawa perbicaraan itu adalah perbicaraan yang penuh dengan penipuan.

Anwar didapati bersalah dan terpaksa meringkuk di dalam penjara selama enam tahun tujuh bulan, sedangkan di negara lain, kes seperti ini akan dibatalkan oleh mahkamah tanpa memerlukan Anwar membela diri. Dengan kata lain, di negara lain, tiada perbicaraan akan diadakan bagi kes seperti ini, malah Anwar pasti dibebaskan tanpa disuruh membela diri.

Mari kita imbau kembali segala kebobrokan yang berlaku semasa perbicaraan pertama dahulu. Dalam bahagian 2 nanti, kita akan membincangkan mengenai lain-lain isu pula:

1. Polis mengakui bahawa memang tidak pernah ada laporan polis terhadap Anwar dan bahawa asas bagi memulakan pendakwaan adalah khabar angin dan kandungan sebuah buku.

2. Orang yang dikatakan menjadi mangsa liwat, iaitu Azizan, telah melalui proses 'turn over' untuk mengatakan bahawa Anwar meliwatnya ('turn over' adalah istilah yang digunakan bagi merujuk kepada 'memaksa') – mahkamah diberitahu bahawa inilah amalan 'biasa' polis Malaysia.

3. Sebelum pendakwaan dimulakan, Cawangan Khas (polis) ada menghantar laporan kepada Perdana Menteri, iaitu bahawa tuduhan terhadap Anwar adalah pembohongan semata-mata. Ia dilakukan pengkomplot tertentu bagi menjatuhkan Anwar.

4. Jenayah liwat itu dikatakan berlaku ‘pada suatu hari dalam bulan Mei 1994'. Polis mengatakan bahawa tarikh ini adalah berdasarkan maklumat yang diperolehi semasa mereka menyoal siasat ‘mangsa’. Inilah tuduhan pertama yang dibuat.

5. Tetapi kemudian, ‘mangsa’ mengatakan bahawa dia tidak pernah diliwat selepas Mei 1992. Jadi, pertuduhan 'Mei 1994' tidak dapat diteruskan. Pertuduhan kemudiannya diubah kepada 'Mei 1992', yakni supaya ia konsisten dengan kenyataan ‘mangsa’. Kesilapan ejaan pula digunakan sebagai alasan bagi meminda pertuduhan.

6. Anwar kemudiannya memfailkan Notis Alibi, sekaligus membuktikan bahawa pada Mei 1992, Tivoli Villa, iaitu tempat di mana liwat dikatakan berlaku masih dalam pembinaan. Jadi, adalah mustahil bagi jenayah liwat itu berlaku masa, tarikh dan tempat yang dinyatakan dalam pertuduhan.

7. ‘Mangsa’ kemudiannya disoal siat buat kali kedua bagi 'membantunya mengingati tarikh yang sebenar'. Selepas dia 'ingat tarikh sebenar', pertuduhan itu sekali lagi dipinda kepada 'suatu hari antara 1 Januari 1993 dan 31 Mac 1993'.

8. Ketika Pembelaan berhujah bahawa undang-undang menghendaki pertuduhan yang lengkap dengan waktu, tarikh dan tempat kejadian yang spesifik, dan apabila Anwar berjaya memberikan alibi bagi kesemua 90 hari dari 1 Januari - 31 Mac 1993 untuk membuktikan bahawa dia tidak pernah berada di tempat kejadian, Pendakwaan membalas dengan mengatakan bahawa ‘sejak dahulu lagi, tarikh tidak penting’. Menurut mereka, meskipun mereka tidak dapat menentukan waktu dan tarikh yang tepat berkenaan ‘jenayah’ yang dilakukan Anwar, ini tidak penting selagi mereka dapat menentukan tempat kejadian.

9. Hakim perbicaraan tersebut akan menyoal peguam Anwar sebelum mana-mana saksi dipanggil, dengan tujuan untuk mengetahui tentang keterangan yang akan diberikan oleh saksi itu. Sang hakim kemudiannya akan memutuskan bahawa saksi-saksi berkenaan tidak relevan dan tidak membenarkan mereka dipanggil.

10. Ketika saksi pembelaan memberikan keterangan, hakim akan mencelah dan tidak membenarkan mereka untuk menyudahkan keterangan mereka.

11. Setiap kali Pendakwaan gagal mematahkan mana-mana keterangan dan keterangan itu dianggap dapat menjejaskan hujah Pendakwaan, maka si hakim akan memutuskan bahawa bukti/keterangan itu tidak relevan dan akan membuangnya dari rekod mahkamah.

12. Dalam jenayah seks, keterangan daripada mangsa sahaja tidak mencukupi. Ia perlu disokong bukti tambahan. Walau bagaimanapun, dalam pertuduhan yang dikenakan terhadap Anwar Ibrahim, tiada bukti yang menyokong keterangan mangsa.

13. Apabila Pembelaan meminta agar ‘mangsa’ dihantar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi menentukan sama ada dia diliwat ataupun tidak - masih ada masa untuk melakukannya, Pendakwaan menolak. Mereka mengatakan bahawa pemeriksaan kesihatan tidak konklusif (dapat dipertikaikan).

14. Pada masa yang sama, adik angkat Anwar, Sukma, yang dituduh bersubahat dengan Anwar bagi melakukan ‘jenayah’ ini dan dituduh secara bersama dengan Anwar - dan sebelum itu, dia dipenjarakan selama enam bulan kerana 'membenarkan Anwar meliwatnya’ - diperiksa oleh Dr. Zahari Noor, yang mengatakan bahawa dia tidak menemukan bukti bahawa Sukma pernah diliwat. Bahkan, Sukma didapati menderita dari buasir. Ini disebabkan saluran duburnya yang sangat kecil. Jadi, adalah tidak mungkin bagi Anwar meliwatnya - Sukma terpaksa dibedah untuk membesarkan saluran duburnya, yakni bagi membolehkannya membuang air besar. (Sukma didapati bersalah dan dipenjarakan atas 'pengakuannya', yakni yang diperolehi melalui penyeksaan yang dilakukan oleh polis).

15. Saksi-saksi memberikan keterangan bahawa individu-individu tertentu dengan kedudukan yang tinggi merasuah ‘mangsa’ dan pengkomplotnya untuk memalsukan bukti terhadap Anwar. Namun begitu, Pendakwaan enggan memanggil individu-individu terbabit ke mahkamah untuk membantah ataupun mengesahkan dakwaan ini. Apabila mereka cuba disepina oleh Pembelaan pula, mahkamah tidak membenarkannya. Hakim kemudiannya memutuskan bahawa keterangan saksi-saksi itu adalah 'khabar angin' - kerana ia tidak pernah disahkan mahupun dinafikan - dan menolak untuk mempertimbangkannya.

16. Saksi Pendakwaan memberikan keterangan yang bercanggah dan sentiasa mengubah keterangan mereka. Walau bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa walaupun mereka tidak konsisten, ‘ketidaktekalan ini telah dijelaskan' dan mahkamah berpuas hati dengan penjelasan tersebut. Mahkamah juga mengatakan bahawa tiada manusia yang dapat menjadi 100% konsisten dan bahawa setiap orang, walau sejujur mana sekalipun, pasti tidak dapat konsisten sepanjang masa.

17. Seorang peguam terkemuka dan bekas pengerusi Majlis Peguam Malaysia, Manjeet Singh Dhillon memberikan keterangan dan menandatangani Akuan Bersumpah, yang mana dia menyatakan bahawa Peguam Negara dan Ketua Pendakwaan mengugut anak guamnya, yang mana anak guamnya akan dijatuhi hukuman mati jika dia tidak memberikan keterangan bahawa dialah orang tengah bagi Anwar mendapatkan perempuan. Tiada tindakan yang diambil terhadap mereka dan mereka terus mengetuai pendakwaan terhadap Anwar. Pada masa yang sama, tiada tindakan yang diambil terhadap peguam yang melakukan 'penipuan berniat jahat’ ini. Jadi, tuduhan ini tidak pernah dipersoalkan.


Original Post: http://malaysia-today.net

Khamis, 5 November 2009

Kedudukan MB Perak, lima hakim dengar rayuan Nizar

Azamin Amin

Terkini:11.00 pagi|PUTRAJAYA, 5 Nov: Rayuan Datuk Seri Nizar Jamaluddin dalam menentukan kedudukan Menteri Besar Perak yang sah hari ini akan didengar oleh lima panel hakim.

Ketika ini, panel lima hakim sedang mendengar rayuan tersebut. Sebelum ini, Nizar memohon supaya panel 11 hakim mendengar kes rayuan tersebut.

Panel hakim tersebut diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Nizar diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, manakala peguam kanan Cecil Abraham mewakili menteri besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Para wartawan dan orang ramai sudah tiba di kompleks mahkamah Putrajaya seawal jam 7 pagi, bagi mengikuti prosiding rayuan tersebut.

Kawalan keselamatan juga ketat di mana anggota polis dan anggota keselamatan mewajibkan mereka yang ingin masuk ke dewan mahkamah, mendapatkan pas khas.

_harakahdaily.net

Rabu, 4 November 2009

Rayuan Nizar esok, PAS Perak solat hajat malam ini

IPOH, 4 Nov: PAS Perak hari ini menyeru seluruh ahli parti itu mengadakan solat hajat berdepan keputusan siapa Menteri Besar perak yang sah yang bakal diputuskan Mahkamah Persekutuan esok.

Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Hussain berkata, ianya bagi memohon pertolongan dari Allah agar memberi kemenangan kepada perjuangan Islam negeri itu.

Beliau juga telah mengeluarkan arahan kepada pimpinan PAS di semua kawasan agar menunaikan solat hajat malam ini.

"Saya mengarahkan kepada semua ahli PAS Perak disemua peringkat, supaya melakukan solat sunat hajat secara berterusan, mohon kepada Allah SWT agar diberi kemenangan dan kekuatan kepada PAS," katanya.

Solat hajat itu juga katanya bagi mendoakan keselamatan Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari sebarang perancangan jahat musuh.

"Semoga Allah SWT sentiasa membela, memelihara dan melindungi pejuang-pejuang PAS, dan semoga disatukan hati seluruh para pejuang Islam dan memfokuskan Matlamat Perjuangan PAS, iaitu menumbangkan kezaliman dan menegakkan Islam," katanya lagi.

22 Mei lalu, Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei yang telah memutuskan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Datuk Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop juga telah mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Nizar pada 19 Jun lalu bagaimanapun telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.

Tutut dipohon supaya kes membabitkan pertikaian Menteri Besar Perak itu di dengar oleh 11 hakim.

Ekoran itu Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan Nizar dan menetapkan rayuan didengar esok. _ harakahdaily.net

Selasa, 3 November 2009

Orang BN, Pakatan dituduh seleweng dana DUN

Jimadie Shah Othman

Ahli parlimen Sabak Bernam, Abd Rahman Bakri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan lapan pertuduhan memalsukan tuntutan berjumlah RM80,000 bagi program yang tidak wujud.

Lapan program itu meliputi bantuan kepada pelajar sekolah, penganjuran forum perdana dan sambutan Maulidur Rasul.

Beliau, ketika itu ADUN Sungai Air Tawar, didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu antara 21 Januari hingga 18 Februari tahun lalu.

Abd Rahman bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan dibenarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Ahli parlimen Umno itu hadir sejak jam 8 pagi tadi di mahkamah tersebut dengan ditemani lapan ahli parlimen BN, antaranya Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong), Datuk Halimah Siddiq (Tenggara) dan Datuk Dr Mohamed Shahrom Osman (Lipis).

Pertuduhan terhadap Abd Rahman dibacakan menjelang jam 1 tengah hari tadi.

Hakim Syafeera Mohd Said menetapkan tarikh perbicaraan pada 14 Februari depan.

Sementara itu, pembantu Abd Rahman, Mohd Rosli Bushra pula didakwa bersubahat dengan majikannya membuat tuntutan palsu itu.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan beliau diikatjamin dengan jumlah RM9,000.

Mahkamah sama turut mendakwa bekas pegawai menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mohd Yahya Mohd Sahri dituduh memperdaya seorang ahli perniagaan sejumlah RM50,000 bagi program sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di negeri itu tahun lalu.

Bekas pemimpin PKR Selangor itu juga dituduh memalsukan dokumen untuk membuka satu akaun parti itu. Beliau mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM10,000.

Naib Presiden PKR Mustafa Kamil Ayub dan beberapa aktivis Pemuda PKR turut hadir memberikan sokongan kepada Mohd Yahya.

Pembantu kepada exco kerajaan Selangor, Wong Chua How (foto kanan), dituduh membuat tuntutan palsu RM2,500 kepada Majlis Perbandaran Sepang berhubung pembelian bendera.

Wong, pembantu Ronnie Liu di DUN Sungai Pelek, juga dihadapkan dengan pertuduhan pecah amanah sekeping cek bernilai RM5,000 bagi penganjuran satu perjumpaan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di kawasan itu pada 19 Feb lalu.

Hakim Syafeera membenarkan beliau diikat jamin RM10,000. Ronnie turut hadir ketika pertuduhan kes itu dibacakan kepadanya.

Wong mengaku tidak bersalah untuk semua pertuduhan. Kes tersebut akan dibicarakan pada 29 Mac depan.

Kecuali Mohd Yahya yang didakwa bawah Kanun Keseksaan, kesemua mereka dituduh di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Keempat-empat tertuduh ini antara enam orang ahli politik dan pembantu mereka yang diseret oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke muka pengadilan berhubung penyelewengan dana kerajaan negeri untuk pembangunan DUN di Selangor.

Sebelum itu Ronnie, sewaktu bercakap di luar mahkamah, berkata SPRM telah menjalankan siasatan terhadap 20 wakil rakyat Selangor dan turut merampas fail-fail daripada mereka.

"Wong adalah yang pertama, tetapi dia mungkin bukan yang terakhir," katanya.

_malaysiakini bm

8 tuduhan rasuah, Abdul Rahman mengaku tidak bersalah

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Nov:Ahli Parlimen Sabak Bernam, Abdul Rahman Bakri dihadapkan dengan lapan pertuduhan memalsukan tuntutan berjumlah RM80,000 bagi projek yang tidak wujud.

Abdul Rahman mengaku tidak bersalah ke atas lapan pertuduhan rasuah kerana mengemukakan invois mengandungi butiran palsu bagi melaksanakan satu program yang tidak diadakan ketika beliau menjadi ADUN.

Beliau sebelum ini merupakan ADUN Ayer Tawar sebelum menang kerusi Parlimen Sabak Bernam dalam pilihan raya yang lalu.

Hakim Syafeera Mohd Said menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu,bekas pegawai menteri besar Selangor, Mohd Yahya Mohd Sahri dituduh memperdaya seorang ahli perniagaan sejumlah RM50,000 yang didakwa akan digunakan untuk program Pakatan Rakyat tahun lalu.

Bekas pemimpin PKR Selangor itu juga dituduh memalsukan dokumen untuk membuka satu akaun parti itu.

Mohd Sahri mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM10,000.

Selain itu, pembantu kepada exco kerajaan Selangor, Wong Chuan How, dituduh membuat tuntutan palsu RM2,500 kepada Majlis Perbandaran Sepang berhubung pembelian bendera.

Pembantu kepada Ronnie Liu itu dihadapkan dengan pertuduhan pecah amanah sekeping cek bernilai RM5,000.

Wong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan mengemukakan invois palsu kepada Majlis Daerah Sepang tahun lepas.

Invois itu adalah bagi pembekalan 2,500 bendera kereta bernilai RM2,500 sempena program Hari Kemerdekaan tetapi pembekalan itu tidak dilakukan.

Wong, 51, juga mengaku tidak bersalah melakukan pecah amanah berhubung sekeping cek bernilai RM5,000.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor dilaporkan telah menangkap lima orang termasuk bekas Pegawai Menteri Besar Selangor serta seorang anggota Parlimen Barisan Nasional dan akan didakwa hari ini.

Bekas pegawai MB itu ditangkap kerana disyaki menipu dan memperdayakan seorang presiden sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Negeri Selangor bagi tujuan pembiayaan sebuah majlis anjuran Kerajaan Negeri berkenaan.

Nilai yang terlibat adalah sebanyak RM50,000.00, kata satu kenyataan SPRM semalam.

Menurut kenyataan itu, beliau akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pagi ini.

Selain itu, SPRM Selangor juga dilaporkan telah menangkap seorang bekas Adun dan pembantunya atas kesalahan di bawah Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997.

Bekas Adun tersebut yang kini seorang Ahli Parlimen ditangkap atas kesalahan mengemukakan invois-invois yang mengandungi butiran matan palsu semasa beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor bagi melaksanakan satu program yang tidak dijalankan.

Manakala itu, pembantu beliau ditangkap atas kesalahan bersubahat dengan bekas Adun berkenaan dalam membuat tuntutan bagi program yang sama.

Selain mereka, turut ditangkap adalah seorang pembantu Exco kerajaan negeri Selangor dan seorang ahli perniagaan. Kedua-duanya juga akan didakwa.

_harakahdaily.net

Rabu, 28 Oktober 2009

Mahkamah Rayuan tolak usaha keluarkan keterangan deraan SPRM

Harakahdaily

PUTRAJAYA, 28 Okt: Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan keterangan Sivanesan Tanggavelu yang mendakwa beliau didera ketika disiasat SPRM.

Sivanesan memberikan keterangan itu dalam inkues kematian Teoh Beng Hock di mahkamah koroner Shah Alam.

Semasa keterangannya, Sivanesan berkata beliau didera oleh pegawai SPRM ketika disisat oleh pegawai SPRM itu di pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam.

Sivanesan memberitahu inkues, bahawa salah seorang pegawai SPRM yang menggunakan batang besi dibalut dengan kertas untuk memukul mangsa adalah Mohd Asraff Yunus, saksi ke-19 inkues kematian TBH.

Saksi misteri tersebut juga berkata, bahawa Mohd Asharff Yunus terlalu ganas dan brutal. Pegawai sprm ini memaksanya telanjang dan menendang dan menamparnya bertalu-talu.

SPRM dalam permohonannya agar keterangan ini dikeluarkan kerana ia tidak ada kaitan dengan perbicaraan kes Teoh Beng Hock.

Teoh, pembantu kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor, mati akibat terjatuh dari tingkat 14 bangunan Plaza Masalam yang menempatkan pejabat SPRM Selangor.

Seorang pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip dalam keterangannya berkata, tengkorak kepada Teoh retak bukan kerana jatuh tetapi akibat dari pukulan kuat ke atasnya.

Dia juga berkata, 80 peratus punca kematian Teoh adalah kerana dibunuh dan kebarangkalian dia membunuh diri hanya 20 peratus sahaja.

Ekoran keterangan itu, keluarga Teoh meminta agar bedahsiasat ke atas mayat Teoh dibuat sekali lagi dengan penyeliaan dari Dr Pornthip itu. _harakahdaily.net

Jumaat, 23 Oktober 2009

Mahkamah tiada kuasa cabar penggantungan Gobind

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa ia tidak ada kuasa untuk mencabar penggantungan 12 bulan ke atas ahli parlimen Puchong, Gobind Singh Deo daripada menghadiri sidang Parlimen.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Mohd Ariff Mohd Yusoff mengarahkan Parlimen supaya membayar imbuhan yang sepatutnya diterima Gobind kerana ia tidak mempunyai kuasa untuk menahan pembayarannya.

Gobind memfailkan saman pemula pada 23 April terhadap Speaker, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz, setiausaha Parlimen dan kerajaan, berhubung penggantungan ke atasnya itu.

Dalam saman itu, Gobind memohon agar penggantungannya sebagai ahli parlimen pada 16 Mac lalu diisytiharkan batal dan tidak sah.

Beliau juga mahu surat yang memaklumkan penggantungannya yang ditandatangani oleh setiausaha parlimen Roosmee Hamzah dan arahan yang terkandung dalam surat itu, sebagai tidak boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang.

Ahli parlimen Puchong juga memohon pengisytiharan untuk dibayar imbuhan dan faeadah lain yang diperuntukkan untuk ahli parlimen mengikut Artikel 64 Perlembagaan Persekutuan.

Gobind digantung daripada menghadiri sidang parlimen selepas beliau mengaitkan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan dalam proses itu telah memanggilnya sebagai "pembunuh".

Sementara itu, peguam Karpal Singh yang mewakili anaknya itu berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu merupakan satu keputusan yang penting, dan menyifatkannya sebagai adil.

Katanya, adalah salah bagi parlimen untuk menahan pembayaran imbuhan kepada ahli parlimen.

Malah, katanya, beliau dan ahli parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan telah digantung pada 2004 dan pembayaran imbuhan mereka ditahan selama enam bulan.

Karpal yang juga ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor berkata, ekoran keputusan mahkamah hari ini, maka parlimen dan kerajaan hendaklah membayar imbuhan mereka itu.

Katanya, imbuhan tersebut akan disumbangkannya untuk tujuan kebajikan.

Katanya, pada 1984, beliau juga pernah digantung tetapi pada masa ini, pembayaran imbuhannya tidak ditahan.

Karpal juga berkata, keputusan hari ini tidak bermakna apa yang berlaku dalam dewan tidak boleh disemak atau dicabar oleh mahkamah.

Bagaimanapun, katanya, Gobind tidak akan merayu terhadap keputusan tersebut.

malaysiakini

Tian Chua Mahu Kemuka Rayuan

Ahli Parlimen Batu Tian Chua akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini yang mendapati beliau bersalah kerana menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis dua tahun lepas.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata beliau tetap mempertahankan pendiriannya yang mendakwa dirinya tidak bersalah dan menganggap kes itu adalah tuduhan bersifat fitnah.

"Saya tidak merasakan ia satu penghakiman yang adil kerana majistret dan pihak pendakwa bergantung kepada keterangan anggota polis terbabit dan berasaskan kepada bukti keadaan.

"Keterangan itu juga tidak membuktikan bahawa kejadian menggigit itu berlaku dan ia tidak jelas," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 ke atas Tian Chua, 46, selepas mendapati beliau bersalah terhadap tuduhan menggigit seorang anggota polis dan menghalangnya daripada menjalankan tugas.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut untuk membolehkan Tian Chua membuat rayuan. Tian Chua mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuannya.

Sekiranya Tian Chua gagal dalam rayuannya terhadap hukuman tersebut, maka beliau akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen Batu.

Tian Chua didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, yang bertugas dengan bahagian narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur, di hadapan bangunan Parlimen pada 10.45 pagi, 11 Disember 2007.

Ahli Parlimen itu ditahan sewaktu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan demonstrasi untuk membantah pindaan perlembagaan bagi melanjutkan usia persaraan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari 65 kepada 66 tahun.

Beliau turut mendakwa hukuman itu bertujuan menghilangkan kelayakannya sebagai ahli parlimen tetapi ia tidak akan menjejaskan agendanya untuk berkhidmat kepada rakyat. - Bernama

malaysiakini bm