Sahabat Purnama

Sabtu, 31 Oktober 2009

Kerjasama penuh kepada siasatan Lembaga Disiplin

SHAH ALAM, 31 Okt: Ketika Lembaga Disiplin PAS mula bermesyuarat hari ini, Pemuda PAS Selangor menyeru semua ahlinya agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada lembaga ini.

Dalam kenyataannya, Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hasbullah Ridzuan turut menyeru semua peringkat khasnya para blogger menulis untuk mencari titik penyelesaian dalam konflik yang ada.

"Kami menyeru agar semua ahli dan blogger yang cintakan PAS sebagai sebuah jemaah Islam serta harakah Islamiyyah yang sedang berjuang untuk mendaulatkan islam menulis dengan pendekatan mencari titik pertemuan, merapatkan jurang perbezaan bukan menjarakkan lagi jurang penyelesaian dan ukhwah," kata Hasbullah dalam kenyataannya itu.

Hasbullah dipercayai mengulas keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini yang mengarah Lembaga Disiplin PAS menyiasat PAS Selangor.

Ini ekoran dari beberapa dakwaan yang melibatkan aktiviti, kenyataan dan tindak tanduk kepimpinan PAS negeri itu yang dianggap merugikan PAS.

Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily semalam, Ketua Lembaga Disiplin PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, lembaga itu akan memulakan sidangnya jam 10.30 pagi hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebutkan di mana sidang itu akan berjalan dan menegaskan tidak akan ada sebarang kenyataan kepada media sehinggalah keputusan diserahkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat.

Menurut Hasbullah, Dewan Pemuda PAS Selangor menerima keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung di Pejabat Agung PAS pada 28 Oktober 2009 bagi menangani persoalan dan kemelut dalam PAS yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Dewan Pemuda PAS Selangor, katanya, juga meraikan keputusan menyelesaikan permasalahan dalaman melalui siasatan oleh Lembaga Disiplin parti. Dengan ini, tidak berbangkit lagi soal EGM (mesyuarat agung luarbiasa) kecuali jika ada keperluan dan menepati syarat yang ditetapkan.

"Kami juga berbangga dengan kepimpinan PAS Selangor kerana telah akur dengan keputusan mesyuarat khas itu dan telah menyatakan kesediaan untuk disiasat serta memberi jaminan kerjasama yang baik demi membersihkan parti dari segala salah faham dan fitnah yang berlaku," katanya.

Sehubungan dengan itu, Pemuda PAS Selangor berharap dan menggesa ahli pemuda semua peringkat agar turut mematuhi keputusan mesyuarat khas tersebut dengan tidak membuat sebarang spekulasi, kenyataan peribadi atau menyalakan kembali api fitnah menerusi apa jua media terbuka yang tidak sepatutnya seperti blog dan lain-lain.

"Kami berharap, jika ada sebarang kes yang difikirkan perlu ditangani, hendaklah didahului dengan kaedah yang terbaik mengikut adab-adab berjemaah serta ukhwah islamiyyah yang telah digarap sekian lama. Sekiranya perlu, kumpul bukti untuk dikemukakan aduan kepada Jawatankuasa Disiplin Parti, agar jelas adakah ianya tuduhan yang berasas atau sekadar sangkaan yang keliru.

"Kami juga bersetuju dengan gesaan PAS Selangor agar Jawatankuasa Disiplin Parti membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang membarahi PAS seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui ceramah, penulisan, saluran media dan blog mahupun ulasan dalam akhbar dan lain-lain.

"Jika ada sepuluh orang yang bermesyuarat, jangan ada orang kesebelas yang mengetahui isi kandungan mesyuarat yang bersifat rahsia tersebut," katanya.

Dewan Pemuda PAS Selangor menyeru kepada semua ahli parti agar menumpukan gerakerja dakwah dan pengukuhan dalaman serta tidak membicarakan isu ini bagi mengelak berlaku salah faham dan kekeliruan yang berpanjangan sehinggalah proses penyiasatan dan pendakwaan selesai. _ harakahdaily.net

Tiada ulasan: