Sahabat Purnama

Memaparkan catatan dengan label Politik - PAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik - PAS. Papar semua catatan

Selasa, 29 Disember 2009

Pas tidak taksub logo bulan

PASIR PUTEH - Kesediaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sanggup menggunakan lambang roket sebagai tanda kerjasama erat Pakatan Rakyat (PR) membuktikan keterbukaan Pas.

Ahli Dewan Undangan Negeri Limbongan, Zainuddin Awang Hamat berkata, kesediaan itu jelas menggambarkan bahawa pimpinan Pas tidak taksub kepada lambang bulan.

Menurutnya, hubungan Pas dan parti lain dalam PR semakin baik sehingga Nik Azizi bersedia menggunakan logo DAP.

”Kita lihat bagaimana parti Islam Ikhwanul Muslimin menggunakan lambang parti sosialis untuk bertanding selepas parti itu diharamkan, ia jelas menggambarkan pimpinan Islam tidak taksub kepada lambang.

”Apa yang penting perjuangan menegakkan hukum Islam diteruskan dan penerangan dibuat agar orang bukan Islam memahami apa yang kita perjuangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis kesyukuran sempena kepulangannya daripada menunaikan ibadat haji semalam.

Zainuddin berkata, pimpinan UMNO yang berfahaman ‘politik suku agama suku’ tidak faham perjuangan Islam sebenar lalu apa saja yang dilakukan Pas dibantah.

Katanya, ahli Pas dididik untuk berjuang dalam jangka masa panjang kerana ianya dituntut dalam Islam, berbeza dengan pimpinan UMNO yang berjuang untuk tempoh tertentu.

”Mereka berjuang untuk tempoh singkat yang menyebabkan pelbagai salah laku dikesan termasuk kes kehilangan enjin jet,” katanya.

Zainuddin berkata, orang Islam perlu mempelajari sesuatu daripada peristiwa Perjanjian Hudabiyah yang berlaku bulan Zulhijah, tahun ke enam hijrah.

Perjanjian itu katanya, sebagai pengiktirafan daripada kafir Quraisy kepada kerajaan Islam yang dibentuk Rasulullah SAW di Madinah walaupun sebelum itu Rasulullah menerima tentangan.

”Walaupun perjanjian itu nampak seperti berat sebelah sehingga sahabat mempersoalkan tindakan Rasulullah namun kebijaksanaan Rasulullah akhirnya terbukti.

”Pas kini diterima sebagai parti Islam dan ini merupakan satu pengiktirafan kepada saf perjuangan Islam di negara ini,” katanya._sinarharian

Jumaat, 11 Disember 2009

PAS mahu bina manusia guna akal untuk kebaikan - Presiden PAS

Ahmad Hakim dan Azman Mohd   
KLANG, 11 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengajak semua rakyat di negara ini supaya sama-sama membina manusia agar dunia ini dapat di tadbir oleh mereka yang menggunakan akal di samping berakhlak mulia.
Beliau  berkata demikian ketika memberi ucapannya di majlis  "Malam Tautan Kasih Pastiku Beramal" anjuran Jabatan Amal dan Jabatan Pasti Dewan Pemuda Kawasan Kota Raja baru-baru ini.

Menurut beliau, penubuhan Jabatan Amal dan Pasti merupakan satu usaha PAS di dalam membina manusia.

Pembinaan manusia amatlah perlu bagi melahirkan mereka yang akan mentadbir dunia sebagai khalifah dengan menggunakan akal dan akhlak yang baik.

Jika pembinaan manusia diabaikan, ia adalah seperti yang berlaku sekarang ini di mana banyak malapetaka yang berlaku terhadap manusia di sebabkan oleh hasil tangan-tangan manusia itu sendiri.

"Semuanya adalah hasil dari kerakusan manusia yang melakukan tanpa  menggunakan akal untuk kebaikan tetapi menggunakan akal untuk memastikan nafsu dan kepentingan diri sendiri tercapai tanpa memikirkan kesan buruk yang bakal di alami.

"Sebagai contoh, senjata yang di cipta menggunakan teknologi yang moden hanya memudaratkan manusia kerana ia akan membunuh beribu-ribu manusia yang tidak berdosa di samping menghancurkan dunia," katanya.

Oleh kerana itu, beliau mengajak semua orang samada Islam atau pun bukan supaya bersama-sama membina manusia agar dunia ini dapat di tadbir oleh mereka yang menggunakan akal di samping berakhlak mulia.

Makan malam yang di anjurkan bagi mengisi tabung Jabatan Amal dan Pasti Kota Raja itu juga turut di hadiri oleh Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja, Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam,  Suhaimi Shafie, Adun Sri Muda, Sdr Letchumanan, Pengerusi Kelab Penyokong PAS Selangor dan Cikgu Jaafar Samsudin, YDP Kota Raja.

Selain itu, seramai hampir 50 orang ahli kelab penyokong PAS Kota Raja telah hadir pada malam tersebut.

Majlis tersebut di akhiri dengan penyampaian Anugerah Jasamu di Kenang yang telah di anugerahkan kepada Ustaz Haji Hambari yang banyak menyumbang kepada PAS di kawasan Kota Raja._harakahdaily.net

Isnin, 9 November 2009

PAS dibuka kepada semua

Subky Abdul Latif

PAS mengambil langkah menyempurnakan dirinya dengan membuka keahliannya kepada sekalian rakyat Malaysia yang menerima dasar dan perjuangannya.
Sekalian anggota Kelab Penyokong PAS yang terdiri dari bukan Islam dari semua kaum di Malaysia akan menjadi sayap baru bagi parti itu apabila muktamar khasnya meluluskan pindaan perlebagaannya nanti.

Adalah satu langkah berani dari gerakan Islam dalam rangka melakar satu pemikiran politik harapan dalam membentuk tamaddun masa depan Malaysia.

Islam adalah agama yang memimpin, sudah sewajarnya parti Islam itu melengkapkan dirinya menawarkan harapan politik masa depan bagi rakyat Malaysia mengikut roh dan ajaran Islam.

Malaysia tiada masa depan dengan corak politik pasca merdeka yang dikongkong pemikiran politik, ekonomi dan sosial lama, diselimuti pemikiran dan amalan perkauman acuan bekas penjajahnya, serta terbiar pula cengkaman rasuah yang menjelma menjadi budaya baru bagi bangsa itu.

Acuan lama pemikiran politik global tidak dapat memberi harapan masa depan kita justeru pemikian lama yang kekal dan berakar umbi itu tetap berada pada paksi pi mai pi mai tang tu jugak.

Maka PAS mesti membawa negara ini keluar dari kepompong politik lama itu dengan menyediakan dirinya sebagai wadah untuk s emua, membuka keahlian kepada semua adalah langkah mematang dan menyempurnakan kedudukannya.

PAS yang ada dengan keahliannya kepada umat Islam saja ditubuhkan ketika Tanah Melayu masih dimiliki sepenuhnya oleh umat Melayu Islam. Sekalipun kemerdekaan dan kedaulatannya dirampas penjajah British, tetapi wilayah itu tetap milik watannya. Tetapi apabila ia dimerdekakan, ia tidak lagi jadi kepunyaan orang Melayu saja, bahkan ia adalah milik semua.

Jika UMNO yang menjada Perikatan/BN mendakwa ia telah menyedarinya lebih awal atau hampir 60 tahun dulu, tetapi politik UMNO itu adalah mendahului masa, menerimanya sebelum ia menjadi milik semua atau ia bersetuju pusaka itu difaraid.

Mungkin langkah baru PAS itu dikira meniru pendekatan UMNO. Tetapi politik UMNO dulu itu bukan ia suatu realiti, bahkan ia politik terpedaya. Kalau PAS dikatakan membuntuti jalan yang dilalui UMNO setengah abad kemudian, ia adalah politik realiti.

PAS terbuka kepada semua dulu dan sekarang. Ketika ia ditubuhkan keahliannya adalah untuk semua. Keseluruhan rakyat masa itu adalah Melayu Islam. Sekarang rakyat negara ini bukan seluruhnya Islam. Keputusan terbaru yang PAS ambil itu adalah merealisasikan PAS itu adalah untuk sekalian rakyat pada masa ini.

Pemikiran itu telah lama terpancar. Ia pernah dicetuskan oleh Prof. Zulkifli Mohamad, Timbalan Presiden PAS ketika pimpinan Dr. Burhanuddin al-Hilmy. Pandangan itu tertangguh dan beliau pula menemui ajal lebih cepat.

Ketika mula masuk era kepimpinan ulama di bawah pimpinan Haji Yusof Rawa dalam tahun 80an, saya memberi pandangan supaya PAS membuka keahliannya kepada bukan Islam sebagai satu pendekatan dakwah bagi meraih sokongan masyarakat bukan Islam.

UMNO mengambil pendekatan menggunakan sekutu bukan Islam dalam Perikatan dan kemudiannya BN bagi mendapatkan sokongan bukan Melayu. Ia berjaya meraih kuasa. Dengan kuasa itu ia merosakkan perjuangan agama, bangsa dan negara. Ia memusnahkan tulisan jawi, mengkhianati perjuangan bahasa dan pendidikan Melayu. Majoriti buta jawi buta al-Quran. Generasi selepas merdeka buta sejarah dan pudar patriotismanya dan berbagai-bagai kepincangan lagi.

Kalau pendekatan yang sama PAS gunakan, PAS dapat meletakkan calon di tempat-tempat majoriti bukan Islam, jika PAS dapat meraih sokongan pengundi semua kaum, kuasa boleh jatuh ke tangan PAS. Dengan kekuasaan itu PAS dapat gunakan bagi menegakkan kebaikan dan kebajikan.

Ustaz Fadzil Noor minta Ustaz Harun Taib menyediakan kertas tentang perkara itu.

Dari kajian yang dibuat, PAS berpendapat perkara itu adalah harus. Perkara harus boleh dilaksanakan dan boleh tidak dilaksanakan bergantung kepada keadaan. Ia mesti difahami oleh sekalian ahli dan masyarakat supaya apabila dilaksanakan ia tidak menimbulkan kekeliruan dan pertelingkahan.

Pertengahan tahun 80an, beberapa seminar mengenai negara Islam, perundangan dan politik Islam dianjurkan oleh PAS kawasan Setapak yang kemudiannya menjadi PAS Kawasan Batu dan PAS kawasan Titiwangsa. Ia terbuka kepada semua kaum dan agama.

Dr. Tan Chee Khoon, seorang tokoh pembangkang Cina yang terkenal sebelum kemunculan Lim Kit Siang, Dr. Teh Chu Peh, seorang ahli akadamik yang kemudiannya jadi Setiausaha Agung MCA antara yang menjadi pengulas.

Ia menarik beberapa orang aktivis MCA dan belia Cina tertarik dengan kegiatan PAS dalam mendekati masyarakat berbagai kaum. Mereka mengikuti kegeiatan PAS di merata tempat hingga ada isteri yang merasa pelik dengan suaminya siang malam bersama PAS sedang semasa dalam MCA itu tidak begitu. Terang sang suami, dia ‘terpesona dengan politik Koran (Al-Quran).’

Seorang isteri lagi bimbang suaminya terlalu kuat menyokong PAS. Dia takut suaminya masuk Islam. Diingatkannya suaminya, pergilah bersama PAS tetapi jangan masuk Islam.

Dari perkembangan itulah terbentuk politik CCC, sekumpulan kecil masyarakat Cina menyokong PAS kerana tertarik dengan pandangan PAS tentang hak dan peranan orang bukan Islam mengikut ajaran Islam.

Menjelang Pilihan Raya Umum 1986 pemimpin Dewan Perhimpunan Cina dan persatuan sekolah-sekolah Cina sedia menawarkan calonnya menjadi calon PAS di semua kawasan pengundi Cina. Mereka sedia mengiklankan semua calon PAS dengan gambar sekali dalam semua akhbar Cina sepanjang kempen pilihan raya. Calon itu termasuklah calon-calon Cina yang mereka taja.

PAS belum bersedia kerana ia belum membuat persiapan bagaimana mahu melayan sokongan dan penyertaan Cina beramai-ramai dalam PAS itu. Adalah lebih baik ia ditangguhkan dulu hingga ia cukup persiapan.

Dari awal saya mencadangkan supaya keahlian PAS dibuka kepada semua. Ijtimak PAS Wilayah Persekutuan lebih sepuluh tahun dulu meluluskan cadangan itu sebulat suara. Justeru PAS lain-lain negeri tidak membuat keputusan seperti itu, perkara itu tertangguh.

PAS meninjau pandangan gerakan Islam di seluruh dunia tentang penyertaan bukan Islam dalam PAS. Semuanya tidak menentang. Banyak manfaatnya, tetapi mereka berpendapat dari segi Islam ia diharuskan.

Ustaz Fadzil Noor cenderung mengadakan kerjasama dengan parti-parti Cina seperti DAP atau Gerakan.

Keadaan politik membuka ruang kepada PAS mengadakan persefahaman terbuka dengan DAP. Ketika yang sama ia mewujudkan Kelab Penyokong PAS bagi mereka yang tidak sukakan parti-parti lain.

Menjerit UMNO meneriakkan PAS meniru UMNO. Kata mereka, dulu PAS salahkan UMNO kerana kerjasama dengan bukan Islam.

Persetankan teriak pekik mereka yang tujuannya hanya supaya kuasa tidak dirampas PAS. Mereka sangat takut kuasa jatuh kepada PAS dan rakan-rakannya dalam Pakatan. Bila mereka kata PAS gila kuasa, biarkanlah.

Sekarang PAS membuka keahliannya kepada semua dan pada masa sama mengekalkan muafakat dengan DAP, PKR dan badan-badan yang setuju dengannya. Ia adalah satu rangsangan politik harapan bagi Malaysia dan dunia yang lebih luas. Ia adalah jawapan dan gantian kepada politik beku, kaku dan buntu UMNO dan sekutu Barisan Nasionalnya.

Ketika kita PAS dan Pakatan bercakap tentang politik harapan yang penuh sangsangan, UMNO terus terkial-kial mempertahankan JKKKnya di kampung-kamping dan tadika Kemasnya._harakahdaily.net

Ahad, 8 November 2009

PAS lebih kuat dan akan perkuatkan Pakatan Rakyat

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Selepas seminar berakhir, PAS yakin parti itu akan semakin kuat dan bertekad akan lebih proaktif dalam memperkukuhkan parti dan juga Pakatan Rakyat

PAS memandang serius dan akan mengambil tindakan segera di peringkat dalaman parti terhadap lima resolusi yang dicapai dalam seminar pemerkasaan parti yang diadakan siang tadi.

Seminar politik memperkasakan PAS yang dihadiri oleh peserta daripada seluruh negara siang tadi meluluskan lima rosolusi hasil perbahasan daripada perwakilan dari setiap negeri, sayap-sayap parti serta kelab penyokong PAS.

Resolusi pertama adalah, PAS secara lebih proaktif akan memperkukuh Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13.

PAS melalui Dewan Pemuda dan Nisa' juga akan berusaha menarik kembali sokongan pengundi muda yang dilihat sedikit terjejas disebabkan beberapa faktor agar memberi undi mereka kepada PAS.

Selain itu, PAS juga mahu bertindak lebih agresif untuk mengaktifkan kelab penyokong PAS di setiap kawasan terutama di kawasan yang mempunyai pengundi bukan Islam yang ramai.

Rosolusi keempat pula, PAS bersetuju untuk memantapkan pendirian parti berdasarkan maklumat, informasi selain menguatkan parti di peringkat akar umbi.

Manakala resolusi kelima adalah menyediakan satu pelan tindakan untuk menguatkan parti antaranya memperkasakan kempen nasional iaitu PAS For All.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan seminar sehari itu sebagai berjaya apabila seluruh perwakilan menggunakan kesempatan yang ada untuk melontarkan pandangan dan kritikan untuk meningkatkan prestasi parti.

Bercakap dalam sidang media selepas selesai seminar berkenaan, Abdul Hadi turut berkata, seminar yang diadakan itu membuktikan PAS sebagai sebuah parti yang terbuka dan demokratik apabila membenarkan segala kritikan dilontarkan.

"Alhamdulillah kita telah berjaya mengadakan satu seminar menghimpunkan jentera parti yang datang dari seluruh negara kerana keterbukaan PAS secara demokratik.

"Bukan sahaja membenarkan dalaman parti untuk mengkritik secara membina bahkan kita menerima teguran dari tokoh luar yang bukan dari kalangan kita.

"Hari ini kita telah menunjukkan jiwa yang sangat besar apabila perwakilan dari seluruh negara telah berjaya melakukan perbincangan secara terkawal,"katanya kepada lebih 50 wakil media yang hadir.

Hadi turut mengulangi pendiriannya untuk memperkukuh kedudukan parti bersama Pakatan Rakyat bagi menghadapi segala cabaran yang akan datang.

"Kita (PAS) konsisten dan teguh dengan pakatan rakyat dan kita anggap ini adalah bahtera baru yang kita bina dan perlu diperkukuhkan lagi bagi membuat perubahan dalam sistem demokrasi negara kita," tegasnya.

Abdul Hadi juga menekankan, tiada sebab untuk PAS meninggalkan Pakatan Rakyat seperti yang digembar-gembur pihak tertentu.

"Tidak ada sebab untuk kita tinggalkan Pakatan Rakyat," tegasnya.

Menyentuh mengenai kritikan yang dibuat oleh tokoh akademik terhadap kepimpinan beliau, beliau berkata kritikan tersebut merupakan perkara biasa dan diterimanya baik.

"Kita dengar kritikan tu secara biasa. Kita matang dengan kritikan. Kritikan ini ada yang benar, ada yang tak benar.Yang benar kita ambil, yang tak benar kita jawab," ujarnya.

Seminar yang dihadiri lebih 1,000 peserta dari seluruh negara itu mengundang dua tokoh akademik sebagai ahli panel iaitu pensyarah Universiti Islam Antarbangsa (UIA) Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan pensyarah dari Universiti Malaya (UM) Dr. Abu Hassan Hasbullah serta Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga pengerusi jawatankuasa disiplin parti.

_harakahdaily.net

Sabtu, 7 November 2009

1,000 sertai seminar hala tuju PAS

Kira-kira 1,000 pemimpin atasan dan akar umbi PAS berkumpul sejak pagi ini bagi membincangkan arah tuju parti itu termasuk kedudukannya dalam Pakatan Rakyat susulan pergeseran isu kerajaan perpaduan.

Pemimpin kanan yang diundang termasuklah ahli Majlis Syura Ulama, anggota jawatankuasa pusat PAS, pemimpin di peringkat tiga dewan utama, dan anggota perhubungan negeri-negeri.

Pemimpin peringkat kawasan seperti yang dipertua, setiausaha, ketua penerangan, pemimpin tiga sayap PAS dan ketua urusan ulama turut hadir.

Kumpulan anggota Dewan Rakyat dan ADUN parti itu tidak ketinggalan menyertai seminar bersejarah ini.

Seminar politik yang tergesa-gesa dianjurkan itu, selepas desakan keras Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bulan lalu, dirasmikan oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau akan memberikan ucapan utama bertajuk 'Memperkasakan Peranan PAS Dalam Pengukuhan Pakatan Rakyat Mendepani Pilihan Raya ke-13' sebelum sesi perbahasan dengan dua ahli akademik, Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangasa (UIA) dan Dr Abu Hassan Hasbullah (Universiti Malaya).

Sesi perbahasan itu turut disertai Naib Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga ketua jawatankuasa disiplin parti.

Selain seminar hari ini, jawatankuasa disiplin turut terlibat dalam proses pengukuhan parti ini susulan kenyataan Nik Aziz di blognya Blog Tok Guru yang mahu membahaskan "beberapa pemimpin bermasalah."

Dalam sesi perbahasan ini, wawancara pensyarah undang-undang UIA itu dengan Malaysiakini semalam turut diberikan perhatian oleh peserta seminar.

Dalam temubual itu, Dr Abdul Aziz menjelaskan beberapa alasan ke arah pengukuhan PAS, termasuk desakan agar Abdul Hadi melepaskan jawatannya sebagai presiden.

Nik Abdul Aziz dijadualkan menutup seminar sehari suntuk di Markaz Tarbiyyah PAS di Gombak ini yang bermula kira-kira 9.30 pagi.

Beliau, yang kelihatan lemah selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara, meninggalkan seminar sebaik sahaja ucapan utama Abdul Hadi berakhir.

Pada sebelah petang, seminar ini membuka ruang pemimpin setiap peringkat parti itu membahaskan ucapan presiden parti.

Walaupun seminar ini mendebatkan isu-isu dalaman parti, termasuk beberapa aspek konflik yang berlarutan sejak setahun lalu khususnya isu muzakarah PAS-Umno dan kerajaan perpaduan, ia tetap dibuka kepada semua media untuk liputan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menyifatkan langkah membuka ruang liputan media itu sebagai lambang keterbukaan parti berpengaruh besar itu.

Dalam ucapannya, menurut Bernama, Abdul Hadi mengulangi kesediaan PAS untuk terus bersama-sama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, tambahnya, PAS akan memainkan peranan lebih aktif bagi memperkukuhkan penyertaannya dalam gabungan parti berkenaan.

"Dalam membicarakan hubungan PAS dengan parti-parti dalam pakatan ini, ingin saya pertegaskan untuk kesekian kalinya, bahawa kita akan terus bersama dalam Pakatan untuk memimpin rakyat ke arah perubahan yang hakiki.

"Kita akan memainkan peranan yang lebih aktif, sebagaimana yang telah sama-sama kita bahaskan dalam dua muktamar PAS yang lalu," beliau dipetik berkata.

Abdul Hadi menambah, hubungan parti-parti dalam Pakatan bertitik tolak daripada asas persamaan untuk memerangi ketidakadilan, penyelewengan, rasuah dan segala bentuk kezaliman yang berlaku di negara ini.

"Semua ini berlaku tanpa kita mengorbankan dasar dan matlamat PAS yang sama-sama kita pegang iaitu PAS bergerak di atas sifatnya sebagai sebuah organisasi siasah, dakwah dan tarbiyah," katanya.

Beliau berkata setakat ini, kerjasama politik itu telah berjaya "merombak kesombongan" yang wujud dalam BN sehingga menyebabkan parti itu sehingga kini terus berdepan dengan keretakan.

Abdul Hadi berkata bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti, PAS perlu membina dan memperkukuhkan lagi kekuatannya di kalangan pengundi Islam dan, pada masa yang sama, mampu meraih undi golongan bukan Islam sebanyak mungkin.

"Inilah realiti politik dalam negara bermasyarakat majmuk, dan inilah juga pendekatan politik Islam dengan syarat memelihara batas-batas muhallaf siasi (kerjasama politik) yang diizinkan oleh akidah, syariah dan akhlak dengan menjaga sempadan yang memelihara walak (setia) kepada perjuangan Islam," katanya.

Beliau juga dipetik berkata PAS perlu mengamalkan keterbukaan dalam mengadakan hubungan dengan semua pihak bagi membawa penyertaan yang memberi kemenangan kepada Islam, mengikut konsep dakwah dan siasah syariah. _malaysiakini bm

Presiden PAS lancar wajah baru Harakahdaily

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Wajah baru laman web rasmi PAS, Harakahdaily hari ini dilancarkan secara rasmi oleh presiden parti, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar.

Pelancaran itu dibuat bersempena Seminar Pemerkasaan Parti yang diadakan bermula pagi tadi bagi membincangkan serta menentukan hala tuju parti dalam mendepani cabaran masa depan.

Sewaktu pelancaran, Abdul Hadi sempat meneliti wajah baru laman web tersebut seta membaca isi kandungannya.

Laman web baru tersebut mula dirangka dua bulan yang lalu atas persetujuan Ahli Lembaga Pengarah Harakah setelah berlakunya pengasingan antara akhbar rasmi parti, Harakah dengan laman portal berita online, Harakahdaily.

Pengasingan ini dibuat bertujuan meringankan beban kerja kakitangan akhbar Harakah yang terpaksa menyediakan berita untuk akhbar dan laman web.

Dengan adanya kakitangan baru yang bertugas sepenuh masa untuk laman web, menjadikan laman web ini sentiasa dikemaskini dengan berita-berita terkini tentang Pakatan Rakyat khususnya PAS.

Wajah baru ini diharapkan dapat memuaskan hati semua pengunjung setia Harakahdaily yang sentiasa memberikan sokongan untuk Harakahdaily terus maju, setanding dengan laman portal berita yang lain.

Kakitangan Harakahdaily juga berharap agar pengunjung dan pembaca laman web ini terus memberikan kritikan membina dan sokongan kepada Harakahdaily dalam menyalurkan maklumat yang tepat kepada rakyat sesuai dengan slogannya, 'Tepat Dari Sumber'.

Seminar yang bermula jam 9.00 pagi tadi dihadiri lebih 1,000 peserta dari semua negeri.

Tiga ahli panel diundang untuk membentangkan kertas kerja iaitu pensyarah dan pakar perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, pensyarah Universiti Malaya Dr. Abu Hasan Hasbullah dan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man._harakahdaily.net

Isnin, 2 November 2009

Husam cadang pelan kemenangan dalam Konvensyen PR

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Exco Kelantan, Datuk Husam Musa mencadangkan suatu plan kemenangan Pakatan Rakyat dibentangkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat peringkat nasional pada 12 Disember depan.

Cadangan itu diperlukan demi memastikan Pakatan benar-benar bersedia menggantikan Umno dan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

"Konvensyen ini akan bermakna jika suatu plan khusus merangka kemenangan Pakatan (dan) PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13 kelak dibuat sekarang," jelas Husam ketika ditemuramah di luar Pejabat Agong PAS, di sini.

"Kita perlu buktikan yang kita bersedia...ada perancangan dan komitmen bersama (dalam) setiap parti (PAS, PKR dan DAP) agar rakyat lebih yakin dengan kemampuan kita...(untuk) menggantikan Umno BN kelak."

Beliau yang juga AJK PAS Pusat menjelaskan plan kemenangan itu perlu merangkumi soal persiapan jentera secara profesional dan soal pembangunan media baru.

"Kesungguhan PAS dan Pakatan mesti diterjemahkan...dengan wujudkan sekretariat di semua peringkat...untuk jelaskan plan ini dan latih jentera hingga profesional," jelasnya.

"Kalau perlu diwujudkan pasukan media baru seperti blog atau satu akhbar khusus untuk kemenangan Pakatan dalam PRU depan, maka konvensyen ini perlu meluluskan suatu bajet khusus (dan) secara serius."

Beliau yang juga AJK PAS Pusat dan Adun Salor, Kelantan mencadangkan suatu kajian lapangan dilancarkan untuk mengenal pasti mood sebenar rakyat.

"Kalau boleh, lancarkan suatu kajian lapangan khusus untuk lihat apa kemahuan rakyat dan apa yang perlu PAS dan Pakatan ubah supaya rakyat tertarik serta pastikan menyokong kita, (Pakatan)."

Beliau turut mencadangkan beberapa badan penyelidikan seperti Ilham Center, Pengajian Zentrum (Universiti Malaya) dan Merdeka Center untuk mendapatkan persepsi sebenar rakyat terhadap para wakil rakyat Pakatan.

"Banyak (badang penyidikan)...seperti Ilham, Zentrum, Merdeka Center...kerana mereka boleh bantu beri persepsi dan penilaian sebenar rakyat pada kita (Pakatan) (selama) sepenggal memerintah (kerajaan) negeri dan jadi wakil (rakyat) di Parlimen," katanya.

Tambahnya lagi, plan kemenangan itu adalah sesuatu yang selari dengan perintah Allah dalam al-Quran.

"(Plan kemenangan) ini disebut wa 'a'iddullahum (dan persiapkanlah)...Allah dalam Surah al-Anfal ayat 60 suruh kita siapkan segalanya," tegasnya lagi.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan persiapkanlah (diri kamu dalam) menghadapi mereka (dengan) apa (sahaja) yang kamu mampu dari (bentuk-bentuk) kekuatan, dan dari kuda yang disiap siaga. Dan dengan kekuatan itu, kamu menakutkan musuh Allah dan musuh kamu."

Ditanya tentang usaha mendaftarkan PR sebagai pertubuhan berdaftar, Husam menjelaskan bahawa kepimpinan PAS sekarang lebih layak menjawab soalan tersebut.

Pun begitu, beliau menyokong pendirian Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang, iaitu mahu PAS bersama-sama PKR dan DAP demi mengukuhkan PR.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS akan mengadakan Seminar Memperkasa PAS pada 7 November ini.

Seminar itu menurut Abdul Hadi, menggantikan Muktamar Luar Biasa (EGM) seperti yang dicadangkan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sebelum ini.

Menurut Hadi lagi, seminar itu juga bertujuan memperkukuh muafakat PAS bersama-sama PKR dan DAP dalam PR.

Usaha pengukuhan itu sekaligus menolak sebarang bentuk persefahan politik lagi antara PAS dan Umno, seperti sebelumnya.

Sekiranya perbentangan Plan Kemenangan Pakatan Rakyat yang dicadangkan itu dilaksanakan, PR bukan sahaja kian kukuh, malah rakyat kian yakin bahawa PR bersedia menggantikan kerajaan yang sedia ada kelak._ harakahadaily.net

Sabtu, 31 Oktober 2009

Kerjasama penuh kepada siasatan Lembaga Disiplin

SHAH ALAM, 31 Okt: Ketika Lembaga Disiplin PAS mula bermesyuarat hari ini, Pemuda PAS Selangor menyeru semua ahlinya agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada lembaga ini.

Dalam kenyataannya, Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hasbullah Ridzuan turut menyeru semua peringkat khasnya para blogger menulis untuk mencari titik penyelesaian dalam konflik yang ada.

"Kami menyeru agar semua ahli dan blogger yang cintakan PAS sebagai sebuah jemaah Islam serta harakah Islamiyyah yang sedang berjuang untuk mendaulatkan islam menulis dengan pendekatan mencari titik pertemuan, merapatkan jurang perbezaan bukan menjarakkan lagi jurang penyelesaian dan ukhwah," kata Hasbullah dalam kenyataannya itu.

Hasbullah dipercayai mengulas keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini yang mengarah Lembaga Disiplin PAS menyiasat PAS Selangor.

Ini ekoran dari beberapa dakwaan yang melibatkan aktiviti, kenyataan dan tindak tanduk kepimpinan PAS negeri itu yang dianggap merugikan PAS.

Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily semalam, Ketua Lembaga Disiplin PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, lembaga itu akan memulakan sidangnya jam 10.30 pagi hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebutkan di mana sidang itu akan berjalan dan menegaskan tidak akan ada sebarang kenyataan kepada media sehinggalah keputusan diserahkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat.

Menurut Hasbullah, Dewan Pemuda PAS Selangor menerima keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung di Pejabat Agung PAS pada 28 Oktober 2009 bagi menangani persoalan dan kemelut dalam PAS yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Dewan Pemuda PAS Selangor, katanya, juga meraikan keputusan menyelesaikan permasalahan dalaman melalui siasatan oleh Lembaga Disiplin parti. Dengan ini, tidak berbangkit lagi soal EGM (mesyuarat agung luarbiasa) kecuali jika ada keperluan dan menepati syarat yang ditetapkan.

"Kami juga berbangga dengan kepimpinan PAS Selangor kerana telah akur dengan keputusan mesyuarat khas itu dan telah menyatakan kesediaan untuk disiasat serta memberi jaminan kerjasama yang baik demi membersihkan parti dari segala salah faham dan fitnah yang berlaku," katanya.

Sehubungan dengan itu, Pemuda PAS Selangor berharap dan menggesa ahli pemuda semua peringkat agar turut mematuhi keputusan mesyuarat khas tersebut dengan tidak membuat sebarang spekulasi, kenyataan peribadi atau menyalakan kembali api fitnah menerusi apa jua media terbuka yang tidak sepatutnya seperti blog dan lain-lain.

"Kami berharap, jika ada sebarang kes yang difikirkan perlu ditangani, hendaklah didahului dengan kaedah yang terbaik mengikut adab-adab berjemaah serta ukhwah islamiyyah yang telah digarap sekian lama. Sekiranya perlu, kumpul bukti untuk dikemukakan aduan kepada Jawatankuasa Disiplin Parti, agar jelas adakah ianya tuduhan yang berasas atau sekadar sangkaan yang keliru.

"Kami juga bersetuju dengan gesaan PAS Selangor agar Jawatankuasa Disiplin Parti membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang membarahi PAS seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui ceramah, penulisan, saluran media dan blog mahupun ulasan dalam akhbar dan lain-lain.

"Jika ada sepuluh orang yang bermesyuarat, jangan ada orang kesebelas yang mengetahui isi kandungan mesyuarat yang bersifat rahsia tersebut," katanya.

Dewan Pemuda PAS Selangor menyeru kepada semua ahli parti agar menumpukan gerakerja dakwah dan pengukuhan dalaman serta tidak membicarakan isu ini bagi mengelak berlaku salah faham dan kekeliruan yang berpanjangan sehinggalah proses penyiasatan dan pendakwaan selesai. _ harakahdaily.net

Khamis, 29 Oktober 2009

Seminar hapus persepsi salah terhadap PAS

Hazayani zakaria

KUALA LUMPUR, 29 Okt: PAS yakin keputusan menggantikan muktamar khas (EGM) dengan seminar pemerkasaan parti akan memberikan kebaikan kepada parti sekaligus melenyapkan segala tuduhan jahat pihak-pihak tertentu terhadap parti itu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, matlamat seminar berkenaan adalah untuk menegaskan bahawa PAS akan memperkasakan kedudukan dan peranannya untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Apa yang hendak dicapai dalam seminar itu, untuk mempertegas bahawa PAS akan memperkasakan kedudukan dalam Pakatan Rakyat," katanya.

"Ini akan melenyapkan segala persepsi dan tuduhan yang dimainkan oleh pihak tertentu kononnya PAS tidak serius dan tidak begitu berminat untuk bersama Pakatan Rakyat," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di lobi Parlimen tengahari tadi.

Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian turut menyifatkan seminar berkenaan lebih efektif berbanding EGM kerana ia memberi peluang kepada orang luar berbanding EGM yang hanya terbuka kepada ahli sahaja.

Seminar itu juga kata Salahuddin membuktikan bahawa PAS sebuah parti yang terbuka dan sedia menerima segala kritikan orang luar untuk meningkatkan prestasi parti.

"Forum ni sangat sesuai supaya PAS dapat dengar dengan baik kritikan yang mungkin ikhlas dari orang luar dan boleh jadikannya pandangan kedua parti."

"Ini menunjukkan PAS parti terbuka, berlapang dada. Sebab itu kita adakan forum yang sesuai untuk orang luar datang dan memberikan pandangan," katanya.

Ditanya berhubung ketetapan mesyuarat malam tadi agar Lembaga Disiplin PAS menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor, beliau berkata perkara itu telah diserahkan kepada pengerusi Lembaga Disiplin Parti, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga naib presiden PAS.

"Mesyuarat malam tadi menyerahkan kepada Tuan Ibrahim untuk uruskan isu itu. Jadi bukan bidang kuasa saya untuk menjawabnya," ujarnya.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa mesyuarat malam tadi diadakan bagi membuat keputusan untuk membuang beberapa pimpinan parti yang bermasalah.

"Isu kononnya PAS akan membuang beberapa kerat pemimpin parti tidak berbangkit langsung malam tadi," tegasnya.

PAS juga tegasnya menutup rapat isu kerajaan perpaduan yang dimainkan media dan memberi jaminan isu itu tidak akan berbangkit lagi.

Seminar dijadualkan berlangsung pada 7 November ini di Dewan Datuk Fadzil Nor, Markaz Tarbiyah PAS, Taman Melewar, Gombak bermula jam 9 pagi.

_ harakahdaily.net