Sahabat Purnama

Rabu, 28 Oktober 2009

Pas tutup pintu rundingan

KUALA LUMPUR - Pas memutuskan untuk menutup semua pintu rundingan dan perbincangan dengan UMNO berhubung cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, isu Kerajaan Perpaduan tidak timbul lagi kerana perkara tersebut hanya dibangkitkan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

“Sudah tutup buku, Kerajaan Perpaduan :tak ada lagi. Perdana Menteri zaman itu (Abdullah) pun sudah berhenti...Tak timbul lagi, sekarang Perdana Menteri baru. Itu konsep yang kita timbulkan masa zaman (Tun) Abdullah,” katanya kepada media di Lobi Parlimen di sini, semalam.

Ditanya mengapa Pas menghentikan hasrat pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO, Abdul Hadi berkata, keadaan sekarang sudah berubah kerana pemimpin baru dalam UMNO kini masih tidak diketahui sikap dan kedudukan mereka berkenaan konsep tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, UMNO juga tidak lagi membangkitkan isu Kerajaan Perpaduan :sebaliknya UMNO dan Barisan Nasional (BN) buat masa ini sedang menguruskan krisis yang dihadapi oleh parti komponen mereka.

“Tak ada tawaran dan BN pun sedang mengurus rumahtangganya. MCA belum selesai, MIC belum selesai. Macam mana kita nak naik rumah dia kalau rumah dia kelam kabut,” katanya.

Berhubung soalan sama ada Pas sedia untuk membincangkan kembali mengenai Kerajaan Perpaduan dengan UMNO, beliau berkata: “Masa depan kita tak tahu.”

Diminta mengulas sama ada beliau menghadapi krisis dalaman dalam Pas berhubung idea pembentukan Kerajaan Perpaduan tersebut, beliau menafikan mengenai perkara itu kerana apa yang berlaku hanyalah perbezaan pandangan.

“Kita ada demokrasi dalam Pas, semua pihak boleh meluahkan pandangan masing-masing dan saya yakin kita dapat selesaikannya dengan baik,” katanya.

Hadi turut membidas pandangan sesetengah pihak yang mendakwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu untuk mendesak diadakan Muktamar Khas untuk membincangkan beberapa ‘pemimpin bermasalah’.

“Saya tidak percaya dengan pandangan ini, kita ada hubungan baik antara satu sama lain, saya juga ingin menjelaskan bahawa isu Kerajaan Perpaduan muncul tiada kena mengena dengan tawaran dari Barisan Nasional (BN),” katanya.

Ditanya sama ada Muktamar Khas yang dicadangkan Nik Aziz perlu diadakan atau tidak, Hadi menjelaskan Mesyuarat Pusat Pas akan menentukannya.

Ditanya sama ada Nik Abdul Aziz patut hadir ke mesyuarat khas Pas, Abdul Hadi berkata: “Itu terpulang kepada kesihatan beliau. Kita memahami kesihatan beliau kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan juga sedang bersidang ketika ini.”_sinarharian

Tiada ulasan: