Sahabat Purnama

Sabtu, 7 November 2009

1,000 sertai seminar hala tuju PAS

Kira-kira 1,000 pemimpin atasan dan akar umbi PAS berkumpul sejak pagi ini bagi membincangkan arah tuju parti itu termasuk kedudukannya dalam Pakatan Rakyat susulan pergeseran isu kerajaan perpaduan.

Pemimpin kanan yang diundang termasuklah ahli Majlis Syura Ulama, anggota jawatankuasa pusat PAS, pemimpin di peringkat tiga dewan utama, dan anggota perhubungan negeri-negeri.

Pemimpin peringkat kawasan seperti yang dipertua, setiausaha, ketua penerangan, pemimpin tiga sayap PAS dan ketua urusan ulama turut hadir.

Kumpulan anggota Dewan Rakyat dan ADUN parti itu tidak ketinggalan menyertai seminar bersejarah ini.

Seminar politik yang tergesa-gesa dianjurkan itu, selepas desakan keras Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bulan lalu, dirasmikan oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau akan memberikan ucapan utama bertajuk 'Memperkasakan Peranan PAS Dalam Pengukuhan Pakatan Rakyat Mendepani Pilihan Raya ke-13' sebelum sesi perbahasan dengan dua ahli akademik, Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangasa (UIA) dan Dr Abu Hassan Hasbullah (Universiti Malaya).

Sesi perbahasan itu turut disertai Naib Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga ketua jawatankuasa disiplin parti.

Selain seminar hari ini, jawatankuasa disiplin turut terlibat dalam proses pengukuhan parti ini susulan kenyataan Nik Aziz di blognya Blog Tok Guru yang mahu membahaskan "beberapa pemimpin bermasalah."

Dalam sesi perbahasan ini, wawancara pensyarah undang-undang UIA itu dengan Malaysiakini semalam turut diberikan perhatian oleh peserta seminar.

Dalam temubual itu, Dr Abdul Aziz menjelaskan beberapa alasan ke arah pengukuhan PAS, termasuk desakan agar Abdul Hadi melepaskan jawatannya sebagai presiden.

Nik Abdul Aziz dijadualkan menutup seminar sehari suntuk di Markaz Tarbiyyah PAS di Gombak ini yang bermula kira-kira 9.30 pagi.

Beliau, yang kelihatan lemah selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara, meninggalkan seminar sebaik sahaja ucapan utama Abdul Hadi berakhir.

Pada sebelah petang, seminar ini membuka ruang pemimpin setiap peringkat parti itu membahaskan ucapan presiden parti.

Walaupun seminar ini mendebatkan isu-isu dalaman parti, termasuk beberapa aspek konflik yang berlarutan sejak setahun lalu khususnya isu muzakarah PAS-Umno dan kerajaan perpaduan, ia tetap dibuka kepada semua media untuk liputan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menyifatkan langkah membuka ruang liputan media itu sebagai lambang keterbukaan parti berpengaruh besar itu.

Dalam ucapannya, menurut Bernama, Abdul Hadi mengulangi kesediaan PAS untuk terus bersama-sama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, tambahnya, PAS akan memainkan peranan lebih aktif bagi memperkukuhkan penyertaannya dalam gabungan parti berkenaan.

"Dalam membicarakan hubungan PAS dengan parti-parti dalam pakatan ini, ingin saya pertegaskan untuk kesekian kalinya, bahawa kita akan terus bersama dalam Pakatan untuk memimpin rakyat ke arah perubahan yang hakiki.

"Kita akan memainkan peranan yang lebih aktif, sebagaimana yang telah sama-sama kita bahaskan dalam dua muktamar PAS yang lalu," beliau dipetik berkata.

Abdul Hadi menambah, hubungan parti-parti dalam Pakatan bertitik tolak daripada asas persamaan untuk memerangi ketidakadilan, penyelewengan, rasuah dan segala bentuk kezaliman yang berlaku di negara ini.

"Semua ini berlaku tanpa kita mengorbankan dasar dan matlamat PAS yang sama-sama kita pegang iaitu PAS bergerak di atas sifatnya sebagai sebuah organisasi siasah, dakwah dan tarbiyah," katanya.

Beliau berkata setakat ini, kerjasama politik itu telah berjaya "merombak kesombongan" yang wujud dalam BN sehingga menyebabkan parti itu sehingga kini terus berdepan dengan keretakan.

Abdul Hadi berkata bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti, PAS perlu membina dan memperkukuhkan lagi kekuatannya di kalangan pengundi Islam dan, pada masa yang sama, mampu meraih undi golongan bukan Islam sebanyak mungkin.

"Inilah realiti politik dalam negara bermasyarakat majmuk, dan inilah juga pendekatan politik Islam dengan syarat memelihara batas-batas muhallaf siasi (kerjasama politik) yang diizinkan oleh akidah, syariah dan akhlak dengan menjaga sempadan yang memelihara walak (setia) kepada perjuangan Islam," katanya.

Beliau juga dipetik berkata PAS perlu mengamalkan keterbukaan dalam mengadakan hubungan dengan semua pihak bagi membawa penyertaan yang memberi kemenangan kepada Islam, mengikut konsep dakwah dan siasah syariah. _malaysiakini bm

Tiada ulasan: