Sahabat Purnama

Rabu, 4 November 2009

Ketua Hakim Negara Akan DiSoal Siasat?

Walaupun Zaki Azmi kini menyandang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara, malah mungkin telah memutuskan hubungannya dengan Emrail Sdn Bhd, namun seandainya dilihat dari tempoh proses pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh,

Zaki Azmi bagaimanapun tidak boleh mengelakkan diri daripada memikul tanggungjawab tertentu.

Menurut Laporan Kewangan Kumpulan Fima Berhad tahun 2006, Zaki Azmi dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Emrail Sdn Bhd pada 22 Ogos 2002 (Zaki Azmi adalah Pengerusi Kumpulan Fima Berhad pada tahun 2006). Tempoh ini kebetulan dalam proses pembangunan Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh (Julai 2000 hingga Jun 2003). Emrail adalah salah satu kontraktor yang bertanggungjawab dalam projek pembinaan landasan keretapi.

Latar belakang Emrail

Syarikat Emrail Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 1973, menumpukan kepada pembinaan landasan untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad. Sebelumnya ditukar nama kepada Emrail Sdn Bhd, syarikat ini bergelar Time Salam Engineering, iaitu anak syarikat kepada UEM Engineering Bhd.

UEM Engineering Bhd ialah syarikat GLC (Government Linked Company) yang berhubungan rapat dengan UMNO. UEM Engineering Bhd namanya Renong Group sebelum ini. Semasa krisis ekonomi tahun 1997, Perdana Menteri ketika itu Mahathir Mohamad mengerah sumber negara untuk bail out syarikat yang hutangnya menggunung, tetapi dilihat sebagai lambang maruah orang Melayu ini.

Menurut laporan New Straits Times pada 26 Mei 2000, Emrail telah menjalankan satu penstrukturan semula yang penting pada Mei 2000, iaitu membeli syarikat Noblemax Resources Sdn Bhd. Melalui pembelian ini, Pengerusi Noblemax Resources, Hari Narayanan menjadi pemegang saham terbesar merangkap Naib Pengerusi Emrail, sementara Ahmad Kamil Jaafar pula menjawat Pengerusi Eksekutif.

Kemudian, Zaki Azmi (gambar kiri) secara rasminya menyertai Emrail, menggantikan Ahmad Kamil Jaafar sebagai Pengerusi, dan menguasai syarikat ini bersama Hari Narayanan.

Jika dilihat dari sudut tempoh, pembelian syarikat ini oleh Zaki Azmi, selain membolehkan dirinya menikmati "durian yang runtuh", memperolehi Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh ini tanpa perlu melakukan apa-apa, malah beliau juga menyedari hubungan Emrail dengan Keretapi Tanah Melayu Bhd, dan kelebihan Emrail untuk mendapatkan projek Landasan Berkembar Elektrik Utara-Selatan.

Menurut laporan Bernama pada 21 April 2007, Emrail Sdn Bhd berniat untuk mendapatkan Projek Landasan Berkembar Utara-Selatan (Northern And Southern Double-tracking Projects). Pemegang saham terbesar (58%) merangkap Pengerusi Emrail ketika itu, Zaki Azmi berkata kepada wartawan, "Bos kami ialah kerajaan, tiada orang akan membina landasan kecuali kerajaan." 【Baca Laporan Bernama: Emrail Aims For Northern And Southern Double-tracking Projects】

"Kami telah menyiapkan Projek Landasan Berkembar Rawang-Ipoh untuk kerajaan. Perlu diingatkan bahawa Emrail adalah satu-satunya syarikat bumiputera yang membina landasan di Malaysia. Kami berharap kerajaan mempertimbangkan untuk menyerahkan projek landasan Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Gemas kepada kami," tambah Zaki Azmi.

Punca peningkatan kos mendadak

Di samping itu, menurut satu tulisan berjudul "Plugging that leak in public sector spending" yang disiarkan pada 16 Mac 2009, di laman web rasmi Ketua Setiausaha Negara, kelewatan projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh disiapkan mengakibatkan projek ini tertunda lebih setahun daripada jangkaan, dan peningkatan kos yang mendadak.

Seterusnya, berlaku pula perselisihan antara kerajaan dengan kontraktor (termasuk DRB-Hicom Berhad), menjurus kepada keengganan Kementerian Kewangan membayar pampasan selebihnya setelah projek disiapkan.

Selain itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, punca utama peningkatan kos adalah pemohonan kontraktor untuk dapatkan wang daripada kerajaan secara berterusan. Misalnya, DRB-Hicom Berhad menuntut kos lebihan sebanyak RM808.68 juta daripada kerajaan berikutan daripada pengubahsuaian projek landasan (yang dikendalikan Emrail Sdn Bhd). Namun, pemohonan ini tidak diluluskan Kementerian Kewangan.

Walau bagaimanapun, DRB-Hicom Berhad merayu kepada Perdana Menteri pada Julai 2005 untuk mendapatkan RM425.17 juta, akhirnya diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada April 2006 dengan RM425.00 juta, sebagai pampasan kepada penamatan kontrak. Sehingga akhir tahun 2008, kerajaan telah memperuntukkan lebihan sebanyak RM371.78 juta kepada DRB-Hicom Berhad.

Menurut laporan Bernama pada 22 November 2004, Menteri Pengangkutan ketika itu, Chan Kong Choy dipetik berkata, kerajaan telah membayar RM20 juta secara terus kepada sub-kontraktor termasuk Emrail, untuk mempercepatkan perkembangan projek tersebut.
Sementara itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, sehingga Mei 2005, kerajaan telah membayar secara terus RM 453.16 juta kepada sub-kontraktor, untuk mempercepatkan kelajuan proses agar Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh disiapkan. Kesemua "pembayaran terus" ini di luar perhitungan kos asal. Dengan kata lain, lebihan pembayaran inilah menyebabkan peningkatan kos secara mendadak.Menurut satu projek "Rawang-Ipoh Double Tracking recovery work" yang disediakan oleh syarikat Australia, MVM Rail Pty Ltd untuk DRB-Hicom Sdn Bhd, Emrail Sdn Bhd akan berganding dengan MVM Rail Pty Ltd dan Leighton Internati Onal sebagai konglomerat untuk menjalankan projek pemulihan ini antara Januari 2004 hingga Januari 2007.

Projek ini merangkumi kerja pemulihan, charge eletrik dan mempertingkatkan taraf landasan. Kedudukan dominan Emrail Sdn Bhd terserlah memandangkan syarikat ini memiliki 55% saham, selain 15% dimiliki MVM Rail dan 30% dimiliki Leighton Internati Onal dalam konglomarat ini.

Asasnya, bukti-bukti tersebut dengan jelas menyatakan hubungan antara Zaki Azmi dengan Emrail Sdn Bhd, dan peranan Zaki Azmi dalam isu peningkatan kos Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh. Dari tahun 2002 hingga 2007, pada ketika kos projek ini melonjak, Zaki Azmi ialah peneraju Emrail Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara yang kontroversial

Zaki Azmi dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada September 2007, sebelum menjadi Presiden Mahkamah Rayuan pada Disember 2007. Beliau "mencipta sejarah" apabila dinaikkan pangkat menjadi Ketua Hakim Negara pada Oktober 2008, dalam tempoh setahun.

Namun demikian, adalah tidak adil sekiranya dikatakan bahawa Zaki Azmi tidak perlu bertanggungjawab ke atas peningkatan kos sejumlah RM1.43 bilion ini.

Pada hakikatnya, Zaki Azmi (gambar kiri) merupakan seorang yang kontroversial, dengan hubungannya yang rapat dengan UMNO. Sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada September 2007, Zaki Azmi pernah menjawat Pengerusi Lembaga Disiplin (Teknikal) UMNO, Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan UMNO, dan seterusnya Panel Rayuan Disiplin UMNO.

Selain hubungannya yang rapat dengan UMNO, Zaki Azmi juga aktif dalam bidang perniagaan. Antaranya, nama Zaki Azmi muncul di senarai Lembaga Pengarah dalam Laporan Kewangan Tahunan 2000 Berjaya Land. Berjaya Land adalah syarikat di bawah Berjaya Group yang dimiliki Vincent Tan Chee Yioun.

Vincent Tan, Pengerusi merangkap CEO Berjaya Group ini pula terbabit dalam skandal "Lingam Tape", dituduh terlibat bersama peguamnya, VK Lingam untuk melobi Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad untuk melantik Ahmad Fairuz sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Di samping itu, Zaki Azmi pernah menjawat non-executive director syarikat tersenarai, Bina Darulaman Berhad di bawah Kedah State Economic Development Corporation. Antara tahun 2004 hingga 2007, beliau ialah Pengerusi Kumpulan Fima Berhad. Pada masa yang sama, beliau ialah Pengarah untuk banyak syarikat, termasuk HLG Capital, Petronas, Panasonic, Narra Industries Berhad dan sebagainya.

Beranikah PAC menyiasat Ketua Hakim Negara?

Jikalah dilihat hubungan terus Zaki Zami, Emrail Sdn Bhd dalam Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh, nama Zaki Azmi seharusnya muncul dalam senarai pihak yang perlu dipanggil untuk disoal siasat Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).

Persoalannya, adakah PAC berani untuk memanggil Ketua Hakim Negara supaya hadir ke prosiding? Malah, biarpun Zaki Azmi dipanggil, sama ada beliau akan disabitkan kesalahan, masih kekal sebagai tanda soal.

Seandainya dirujuk kepada laporan siasatan PAC terhadap kes skandal Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), kesudahannya mungkin dapat diramalkan. Sebelum ini, sumber dalaman dipetik memaklumkan bahawa bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang, O.C Phang mungkin perlu memikul sebahagian besar tanggungjawab ke atas PKFZ, sementara seorang bekas Menteri pula mungkin disabit kesalahan.

Namun, salah seorang watak utama dalam skandal PKFZ, Tiong King Sing pula tidak dimasukkan dalam senarai pihak yang perlu bertanggungjawab. Menurut sumber tersebut, alasannya berbunyi "pihak yang bertanggungjawab ialah Kuala Dimensi Sdn Bhd, dan bukannya Tiong King Sing secara individu."

Seandainya digunakan logik ini, alasan yang sama juga boleh digunakan ke atas Zaki Azmi. Jangan terperanjat sekiranya laporan PAC berbunyi, "Pihak yang perlu bertanggungjawab ke atas peningkatan kos Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh ialah syarikat Emrail Sdn Bhd, dan bukannya Zaki Azmi secara individu".

Maklumlah, dalam politik Malaysia, selagi kuasa berada dalam genggaman, seseorang itu tetap kebal dari sebarang kesalahan.

Bacaan sebelum ini Peningkatan kos RM1.43 bilion Ketua Hakim Negara terlibat

-buletin online

Tiada ulasan: