Sahabat Purnama

Selasa, 29 Disember 2009

Ahli Pas rasional: Roslan

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yakin ahli Pas negeri itu tidak akan melakukan tindakan sendiri jika Jawatankuasa Disiplin tetap menjatuhkan hukuman ke atas Pesuruhjaya Pas, � Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Menurut beliau, perkara itu akan diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti untuk menangani masalah tersebut.

“Kita yakin ahli Pas tidak akan buat tindakan sendiri dan bersikap rasional sekiranya hukuman dijatuhkan kepada Pesuruhjaya dan kita akan beri keyakinan penuh kepada pucuk pimpinan parti untuk tangani masalah ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Roslan berkata, rayuan akan dibuat kepada jawatankuasa terbabit jika ada kes kukuh terhadap Dr Hasan.

“Sehingga kini kita tidak berani hendak mendahului keputusan yang belum diputuskan lagi dan jika betul-betul (dijatuhkan hukuman) kita akan bincang dengan barisan tertinggi parti.

“Malah kita ada peluang untuk merayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai reaksi Pesuruhjaya Pas yang menyatakan apa pun keputusan Jawatankuasa Disiplin Pas ke atas beliau akan memberi kesan langsung kepada keutuhan parti.

Kenyataan itu menunjukkan Pas negeri lebih bersikap lembut dan bertoleransi serta tidak mahu isu yang melanda ketua mereka disensasikan demi kebaikan parti.

Ditanya mengenai perhimpunan yang dibuat oleh sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka Gerakan Kesedaran Penyokong dan Pengundi Pas Negeri Selangor (GKPPNS) bagi mendesak kepimpinan parti itu supaya keluar daripada Pakatan Rakyat (PR), semalam, beliau berkata perkara itu akan dibawa kepada Pas Pusat untuk diambil tindakan lanjut.

“Kita tidak pasti lagi sama ada mereka ahli Pas atau sebaliknya. Jika betul (ahli Pas) mereka boleh dikenakan tindakan disiplin,” katanya.

Kata Roslan, sehingga kini Pas tidak mempunyai apa-apa masalah untuk bekerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Pas akan kekal dalam PR dan dakwaan menyatakan kita sering terpinggir dan tersisih dalam PR tidak benar. Buktinya beberapa pemimpin kita dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri.

“Sehingga dua tahun PR memerintah, rakyat Selangor yakin dengan kedudukan dan peranan Pas dalam PR,” katanya._sinarharian

Tiada ulasan: