Sahabat Purnama

Memaparkan catatan dengan label PAS Selangor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PAS Selangor. Papar semua catatan

Selasa, 29 Disember 2009

Ahli Pas rasional: Roslan

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yakin ahli Pas negeri itu tidak akan melakukan tindakan sendiri jika Jawatankuasa Disiplin tetap menjatuhkan hukuman ke atas Pesuruhjaya Pas, � Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Menurut beliau, perkara itu akan diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti untuk menangani masalah tersebut.

“Kita yakin ahli Pas tidak akan buat tindakan sendiri dan bersikap rasional sekiranya hukuman dijatuhkan kepada Pesuruhjaya dan kita akan beri keyakinan penuh kepada pucuk pimpinan parti untuk tangani masalah ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Roslan berkata, rayuan akan dibuat kepada jawatankuasa terbabit jika ada kes kukuh terhadap Dr Hasan.

“Sehingga kini kita tidak berani hendak mendahului keputusan yang belum diputuskan lagi dan jika betul-betul (dijatuhkan hukuman) kita akan bincang dengan barisan tertinggi parti.

“Malah kita ada peluang untuk merayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai reaksi Pesuruhjaya Pas yang menyatakan apa pun keputusan Jawatankuasa Disiplin Pas ke atas beliau akan memberi kesan langsung kepada keutuhan parti.

Kenyataan itu menunjukkan Pas negeri lebih bersikap lembut dan bertoleransi serta tidak mahu isu yang melanda ketua mereka disensasikan demi kebaikan parti.

Ditanya mengenai perhimpunan yang dibuat oleh sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka Gerakan Kesedaran Penyokong dan Pengundi Pas Negeri Selangor (GKPPNS) bagi mendesak kepimpinan parti itu supaya keluar daripada Pakatan Rakyat (PR), semalam, beliau berkata perkara itu akan dibawa kepada Pas Pusat untuk diambil tindakan lanjut.

“Kita tidak pasti lagi sama ada mereka ahli Pas atau sebaliknya. Jika betul (ahli Pas) mereka boleh dikenakan tindakan disiplin,” katanya.

Kata Roslan, sehingga kini Pas tidak mempunyai apa-apa masalah untuk bekerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Pas akan kekal dalam PR dan dakwaan menyatakan kita sering terpinggir dan tersisih dalam PR tidak benar. Buktinya beberapa pemimpin kita dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri.

“Sehingga dua tahun PR memerintah, rakyat Selangor yakin dengan kedudukan dan peranan Pas dalam PR,” katanya._sinarharian

Ahad, 27 Disember 2009

Lembaga Disiplin Pas teliti surat respons


SHAH ALAM - Jawatankuasa Lembaga Disiplin Pas Pusat sudah meneliti respons kepada surat tunjuk sebab yang dikemukakan ke atas Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan Pas Selangor.

Surat tunjuk sebab itu dikemukakan berikutan Dr Hasan dan Pas Selangor dikatakan bertindak di luar perlembagaan parti sehingga menjejaskan imej parti itu.

Menurut sumber, dalam mesyuarat Jawatankuasa disiplin yang diadakan malam Khamis lalu, Pengerusinya, Tuan Ibrahim Tuan Man dan jawatankuasa yang terlibat telah meneliti surat respons yang dikemukakan.

Sinar Harian difahamkan, jika mempunyai keperluan, mereka yang terlibat akan dipanggil untuk memberikan penjelasan sebelum keputusan dikeluarkan pada awal 2010 nanti.

Terdahulu, Sinar Harian turut melaporkan, Dr Hasan menerima apa sahaja keputusan Lembaga Disiplin Pas Pusat yang dibuat ke atasnya dengan hati yang terbuka asalkan ia membawa kebaikan kepada parti. _sinarharian

Isnin, 7 Disember 2009

Siasatan perlukan bukti: Tuan Ibrahim

SHAH ALAM – Jawatankuasa Disiplin Pas Pusat membidas penulis blog Malaysia Waves yang mendakwa Pemuda Pas Selangor hidup mewah dan mampu memiliki kereta mewah.

Pengerusinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dakwaan itu tidak boleh diterima kecuali disertakan bukti.

Katanya, jawatankuasa itu tidak akan menyiasat dakwaan berunsur khabar angin seperti itu.

“Saya kesal dengan dakwaan tersebut. Pemuda Pas Selangor sama seperti yang wujud di negeri-negeri lain. Hidup mereka sederhana, Mana ada hidup dalam kemewahan seperti yang digembar-gemburkan?” katanya mengulas dakwaan penulis blog Abdul Rahman Talib, yang lebih dikenali sebagai Tulang Besi, mengenai perkara itu.

Abdul Rahman mendakwa beliau rasa pelik kenapa Pemuda (Pas) Selangor boleh hidup mewah sedangkan ada antara mereka tidak mempunyai kerja tetap sebaliknya melakukan kerja parti 100 peratus.

Mengulas dakwaan kononnya Timbalan Dewan Pemuda Pas Selangor, Ahmad Zaidy Abd Mutalib hidup mewah, Tuan Ibrahim berkata, perkara itu tidak harus dijadikan isu.

“Ramai tahu Ahmad Zaidy memang kaya sejak dahulu lagi. Lagipun, dia seorang ahli perniagaan yang berjaya. Jadi, apa isunya? Walaupun dia kaya, dia tetap hidup dalam kesederhanaan,” katanya.

Tuan Ibrahim, yang juga Naib Presiden Pas berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat aduan berhubung ahli-ahli Pas yang melakukan kesalahan bertentangan dengan dasar parti.

Jika benar ada yang hidup mewah daripada sumber yang boleh dipersoalkan, katanya, jawatankuasa itu akan siasat dan bertindak sewajarnya.

Mengenai dakwaan ada dalam kalangan ahli jawatankuasa Pas Pusat yang mampu hidup mewah, beliau berkata: "Memang ada yang hidup mewah. Ada yang terdiri daripada ahli perniagaan berjaya. Malah latar belakang pendidikan mereka juga membuktikan mereka mampu hidup mewah.

“Ada jadi doktor, peguam dan macam-macam lagi. Mereka mewah sebelum masuk Pas. Jadi mengapa kita nak buat isu?” katanya._sinarharian 

Khamis, 29 Oktober 2009

PAS S'gor: Siasat juga pembocor rahsia parti

Jimadie Shah Othman

PAS Selangor hari ini menggesa parti itu turut menyiasat pembocor "rahsia parti" kepada umum, selain isu kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan pesuruhjayanya Datuk Dr Hassan Ali.

Mesyuarat khas jawatankuasa pusat parti itu malam tadi memutuskan PAS Selangor dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin berhubung dakwaan Dr Hassan masih terlibat dengan isu tersebut.

Menyokong keputusan mesyuarat khas itu, setiausaha perhubungan PAS negeri Mohd Khairuddin Othman turut mendesak jawatankuasa disiplin menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat tuduhan terhadapnya jika didapati ia tidak benar.

"Seluruh kepimpinan dan ahli PAS negeri bersedia untuk disiasat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa disiplin parti.

"Kami menyeru agar siasatan ini dilakukan dengan serta-merta bagi mengembalikan integriti seluruh ahli-ahli PAS di Selangor," katanya dalam satu kenyataan.

"Bagi memulihkan imej parti, PAS Selangor menggesa agar jawatankuasa disiplin parti dapat membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang mengganggu-gugat parti seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui saluran media dan blog."

Dihubungi Malaysiakini bagi mendapatkan penjelasan lanjut, Mohd Khairuddin berkata perkara yang dikelaskan sebagai rahsia itu termasuklah "apa yang terjadi dalam mesyuarat parti."

"Ia melibatkah ahli yang membocorkan apa yang berlaku dalam mesyuarat parti. Saya maksudkan mesyuarat badan perhubungan negeri, sebab ia adalah rahsia," katanya.

Ditanya sama ada "penuduh" yang dimaksudkan itu merupakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri yang membangkitkan isu itu di blognya, Khairuddin berkata:

"Tidak. Kenyataan itu dibuat secara umum. Boleh jadi sesiapa sahaja yang membuat tuduhan."

Tindakan disiplin berhubung isu rundingan PAS-Umno, yang berlarutan lebih setahun sehingga mencetus konflik berpanjangan, dibuat susulan desakan tegas Nik Aziz untuk mengadakan muktamar khas.

Menulis seminggu lalu, tokoh besar PAS itu mendesak sedemikian untuk membincangkan "beberapa kerat pemimpin bermasalah", sehingga membawa kesan kemerosotan undi parti itu, seperti pada pilihan raya Bagan Pinang awal bulan ini.

Selain Dr Hassan, nama-nama yang disebut di Blog Tok Guru yang dianggap bermasalah itu termasuklah Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali.

Berikut kenyataan penuh PAS Selangor:

PAS Selangor ingin merujuk kepada keputusan mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS pusat pada 28 Oktober 2009 di Pejabat Agung PAS.

Pendirian PAS Selangor adalah seperti berikut:

PAS Selangor mengalu-alukan kesediaan PAS pusat untuk menangani kemelut yang berlaku dalam PAS sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS pusat pada 28 Oktober 2009.

PAS Selangor juga menyambut baik keputusan untuk menolak EGM (mesyuarat agung khas) dan seterusnya menyelesaikan masalah dalaman melalui siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti.

Seluruh kepimpinan dan ahli PAS negeri Selangor bersedia untuk disiasat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa disiplin parti. Kami menyeru agar siasatan ini dilakukan dengan serta-merta bagi mengembalikan integriti seluruh ahli-ahli PAS di negeri Selangor.

Bagi memulihkan imej parti, PAS Selangor menggesa agar jawatankuasa disiplin parti dapat membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang mengganggu-gugat PAS seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui saluran media dan blog.

Bagi meninggikan prinsip-prinsip al-'adalah yang ditetapkan oleh Islam, PAS Selangor ingin menekankan jawatankuasa disiplin parti hendaklah juga menyiasat orang yang membuat tuduhan dan mengambil tindakan yang tegas kepada mereka sekiranya tuduhan tersebut tidak benar kerana mencetuskan suasana yang tidak stabil dalam parti dan seterusnya merosakkan imej parti.

Merujuk kepada beberapa isu yang dibangkitkan, kami ingin menegaskan bahawa ahli-ahli PAS Selangor di semua peringkat telah menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pimpinan PAS negeri sebagaimana yang telah diputuskan melalui mesyuarat khas badan perhubungan PAS negeri Selangor yang bertarikh 27 September 2009.

PAS Selangor menyeru kepada semua ahli-ahli parti agar menghormati jawatankuasa disiplin parti di dalam menjalankan tugasnya dengan tidak membicarakan isu ini sehinggalah proses penyiasatan dan pendakwaan selesai.

PAS Selangor seterusnya menyeru kepada ahli-ahli PAS di Selangor agar bertenang dan membiarkan proses siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti selesai sepenuhnya. Semua ahli-ahli PAS di Selangor mestilah menyatakan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan YB Tuan Guru Presiden.

Mohd Khairuddin Othman
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor