Sahabat Purnama

Jumaat, 4 Disember 2009

Hizbut Tahrir: Kursus BTN 'program maksiat'

Abdul Rahim Sabri

Kemaskini 5.50pm Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) membantah program Biro Tatanegara (BTN) dengan mendakwa ia satu bentuk "maksiat" kepada Allah apabila kursusnya menjurus kepada unsur mendewa-dewakan pemimpin negara secara "membabi buta".

"Daripada pengakuan dan penjelasan yang diberikan oleh kerajaan sendiri, apatah lagi oleh mereka yang pernah mengikuti program ini, ia jelas menjurus kepada maksiat kerana program ini menyemai rasa cinta kepada bangsa dan negara," satu risalah kumpulan itu dipetik.

"Dengan kata lain menyemai perasaan 'assabiyyah (perkauman) dan wathaniyah (kebangsaan) yang jelas diharamkan oleh Islam.

"Indoktrinasi agar mentaati pemimpin secara membabi buta juga jelas merupakan satu bentuk kemaksiatan kepada Allah, kerana para pemimpin yang ada (kini) memerintah dengan sistem sekular dengan menerapkan undang-undang kufur ke atas kita semua."

Risalah dua halaman bertajuk 'Indoktrinasi Yang Menyimpang Wajib Dibetulkan' diedarkan di beberapa masjid di ibu kota ketika solat Jumaat hari ini, antaranya Masjid Negara, masjid Bangsar dan masjid Kampung Baru.

Malaysiakini menyaksikan kira-kira 20 aktivis perkumpulan Islam antarabangsa itu, yang ditubuhkan pada 1950-an untuk menegakkan sistem khalifah Islam, mengedarkan risalah sehelai itu sebelum dan selepas solat di Masjid Negara.

Memetik tulisan risalah tersebut, HTM berkata kursus BTN sering menaikkan sentimen Melayu dan mendedahkan ancaman terhadap bangsa Melayu, lalu menyeru orang-orang Melayu "memberi ketaatan penuh kepada pemimpin walaupun korup agar tanahair tidak tergadai."

"Pendek kata, dalam (kursus) BTN, semua peserta akan dijelaskan bahawa semua dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah betul dan benar belaka, maka semuanya harus taat dan patuh, jangan mengkritik atau melawan! Itulah matlamat agung BTN," risalah itu dipetik.

Dengan menyifatkan BTN "satu senjata perang saraf kerajaan", Hizbut Tahrir berkata perdana menteri sendiri "tidak senang duduk dengan pendedahan (keburukan) ini."

"Siapa tidak tahu tentang propaganda Umno menerusi BTN, apatah lagi para peserta yang pernah mengikuti kursus tersebut?

"Selama ini kerajaan berjaya menutup kebusukan BTN, bukan kerana tidak ada pihak yang bersuara, namun suara mereka tidaklah sebesar suara kerajaan negeri Selangor," kata organisasi itu dalam risalah tersebut.

HTM juga menggesa umat Islam menegur dan membetulkan pemimpin daripada terus melakukan perkara maksiat itu.

"Haram dan berdosa bagi setiap Muslim yang berdiam diri atas kemaksiatan yang dilakukan oleh pemimpin.

"Penguasa wajib dimuhasabah apabila mereka menyeru kepada maksiat, merampas hak rakyat, mengabai kewajiban rakyat, melalaikan salah satu urusan rakyat, menyimpang daripada hukum-hukum Islam, atau memerintah dengan hukum selain yang diturunkan oleh Allah".

Risalah Suara Kebangkitan (atau Shoutul Nahdhah), yang mendapat permit penerbitan mingguan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), turut memetik maksud al-Quran dan hadis untuk menguatkan hujah mereka berhubung biro kontroversi bawah Jabatan Perdana Menteri itu.

Sementara itu, Ketua Cawangan HTM Kuala Lumpur Ahmad Kori Shafie, ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, mengesahkan risalah tersebut memang diterbitkan oleh kumpulannya Ikatan Intelektual Nusantara (IKIN).

Sebelum ini, tambahnya, HTM juga sering menerbit dan mengedarkan risalah yang menjelaskan pendirian mereka di masjid-masjid sekitar Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan umat Islam ketika hari Jumaat.

Setiap edisi termasuk edisi terbaru ini, kumpulannya sebagai mewakili HTM mengedarkan 10,000 keping risalah, tambahnya

Ahmad Kori, sebagai pengurus IKIN, berkata tiada masalah bagi orang ramai untuk membuat salinan risalah tersebut. "Kita tak akan saman orang yang hendak buat kerja baik," katanya.
 
_malaysiakini bm

Tiada ulasan: