Sahabat Purnama

Selasa, 1 Disember 2009

Isu Bala antara akan dilapor ke JSJK

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dilaporkan akan membuat suatu laporan rasmi kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM di Bukit Aman Khamis ini.

Laporan tersebut berhubung pengakuan Penyiasat Persendirian P. Balasubramaniam yang mendakwa menerima sejumlah sogokan wang daripada seseorang proksi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka turut akan melaporkan kes rasuah yang melibatkan Setiausaha Politik bagi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Shafie Abdullah dan kes penyeludupan wang negara yang didakwa melibatkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pengerusi SAMM Badrul Hisham Shaharin petang tadi melahirkan rasa yakin bahawa Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan akan mengambil tindakan positif dalam kes-kes yang tidak melibatkan ahli politik dalam kerajaan.

"Yang tidak ada kaitan dengan Umno BN, KPN sendiri menunjukkan minat komen kes tersebut dalam media,ini kami sambut dengan baik," jelas Badrul.

Beliau yang juga ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) PKR secara peribadi menganggap laporan terbabit sebagai medan menguji integriti PDRM sendiri.

"Apa yang lebih penting lagi, kita letak PDRM dan KPN sendiri di medan ujian kerana bagi kita tidak kira pemimpin Pakatan (Rakyat) atau sesiapa saja yang bersalah perlu disoal siasat dan didakwa," jelasnya.

"Kita akan hadir, bukan saja untuk membuat laporan, tapi ada beberapa bukti yang kita yakin cukup untuk Polis memulakan siasatan."

Beliau turut menjelaskan bahawa segala laporan itu tidak akan dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita telah bakar logo SPRM dan gambar Pesuruhjayanya Januari lalu, sijil kematian SPRM pun masih ada dengan saya...kerana kita anggap suruhanjaya itu sudah hilang peranan kepada masyarakat."

Beliau berkata, suatu penjelasan akan dibuat kepada media dan peserta sekitar jam 9 pagi, sebelum delegasi mereka masuk membuat laporan rasmi.

Tambahnya lagi, pihak Polis turut mengalu-alukan delegasi mereka demi kepentingan rakyat dan negara. _harakahdaily.net

Tiada ulasan: