Sahabat Purnama

Ahad, 6 Disember 2009

K'jaan digesa ampun pekerja asing

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini memohon kerajaan untuk mengisytiharkan pengampunan bagi membolehkan sejumlah 2.1 pekerja asing tanpa izin meninggalkan negara ini.

Naib Presidennya A. Balasubramaniam berkata langkah ini merupakan kaedah terbaik bagi mengurangkan bilangan pekerja asing di negara ini.

Beliau berkata program pengampunan terakhir pada 1 Julai 2004 hingga Februari 2005 amat berjaya dengan 230,000 pekerja tanpa izin pulang ke negara masing-masing secara sukarela.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata MTUC menerima ratusan permohonan daripada pekerja seumpamanya terutamanya mereka yang tempoh visa telah tamat dan berhasrat pulang ke negara asal mereka.

Menurut beliau, kos untuk mendapatkan dokumen berkenaan agak tinggi dan pekerja berkenaan tidak mampu.

Katanya pekerja perlu membayar sejumlah RM2,000 untuk mendapat dokumen berkenaan, meliputi denda RM300 kerana tinggal melebihi tempoh, RM600 untuk tiket penerbangan dan RM1,100 bagi pemprosesan permohonan menerusi agen-agen khusus.

Di bawah program pengampunan, pekerja tidak perlu membayar apa-apa kerana kos penghantaran balik akan ditanggung oleh kerajaan negara asal mereka.

Balasubramaniam berkata program pengampunan akan memberi manfaat kepada negara kerana ia dapat memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan, mengurangkan jumlah depoh tahanan, penempatan semula pegawai penguatkuasa, risiko lebih rendah penularan penyakit berjangkit dan membantu pekerja asing daripada dieksploitasi majikan tidak bertanggungjawab.

Selain itu, Malaysia juga memperoleh jalinan hubungan muhibbah persatuan pekerja di kedua-dua negara ini dan negara asal pekerja, katanya. - Bernama_malaysiakini bm

Tiada ulasan: