Sahabat Purnama

Selasa, 22 Disember 2009

K'jaan T'ganu ditegur buat projek 'ad hoc'

Kerajaan negeri Terengganu diminta menyediakan pelan yang lebih tersusun bagi setiap projek pembangunan yang ingin dilaksanakan di negeri itu berbanding mengambil pendekatan secara 'ad hoc'.

Alias Abdullah (BN-Alor Limbat) berkata kebanyakan projek dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Ahmad Said, dibuat tanpa perancangan atau 'blue print' khusus.

Mengambil contoh peruntukan RM100 juta dalam bajet 2009 untuk projek penanaman kelapa sawit di keliling rumah dalam usaha memberi pendapatan tambahan kepada rakyat yang sehingga kini masih belum terlaksana, beliau berkata perkara itu tentu sekali memberi kesan negatif kepada imej kerajaan negeri.

"Kalau setakat menguar-uarkan saja, tanpa pelaksanaan, ia akan menyebabkan rakyat mempunyai tanggapan buruk kepada kerajaan. Saya sendiri selalu kena perli dengan penduduk kawasan saya.

"Bila jalan-jalan di kampung ada penduduk tanya 'susah tak YB jumpa rumah saya, maklumlah rumah saya ni dikelilingi pokok kelapa sawit," katanya ketika sesi perbahasan pembentangan bajet 2010 DUN Terengganu hari ini.

Katanya, berdasarkan perancangan berkenaan, penduduk miskin akan diberi 15 hingga 20 benih kelapa sawit untuk ditanam di kawasan keliling rumah, namun setakat ini status projek itu seolah-olah tergantung tanpa sebarang pelaksanaan.

Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) juga menegur sikap terlalu bergantung Terengganu kepada Dana Khas Kerajaan Persekutuan atau turut dikenali sebagai royalti minyak sebagai hasil utama kerajaan negeri.

Katanya, berdasarkan bajet yang diumumkan semalam, dana berkenaan berjumlah RM1.731 bilion atau 92 peratus, sebahagian besar peruntukan yang disediakan oleh kerajaan Terengganu untuk Bajet 2010 yang berjumlah RM1.881 bilion.

"Bakinya RM163 juta atau lapan peratus yang datang dari sumber kerajaan negeri sendiri menunjukkan ketidakupayaan kerajaan negeri menjana pendapatan sendiri.

"Sikap kebergantungan kerajaan negeri terhadap royalti ini tidak selamat, menteri besar sendiri akui sumber minyak tidak akan kekal selamanya dan ia juga tertakluk kepada harga pasaran dunia," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak kerajaan perlu bijak mencari sumber lain yang mampu meningkatkan hasil tanpa terlalu mengharapkan dana daripada kerajaan pusat. BERNAMA_malaysiakini bm

Tiada ulasan: