Sahabat Purnama

Selasa, 22 Disember 2009

Budak nyaris maut, kereta rempuh rumah

Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tiga bulan nyaris maut selepas sebuah kereta merempuh rumah kayu milik datuknya yang terletak berhampiran selekoh tajam di Jalan Ubai, Kampung Ubai di Pekan hari ini.

Ahmad Rafae Mohd Nazri yang sedang bermain sendirian dalam bilik tidur, bagaimanapun menjerit dan sempat melarikan diri mendapatkan ibunya.

Ibunya Jarasidah Khadri, 31, berkata kejadian kira-kira 4 petang itu berlaku ketika dia sedang tidur di ruang tamu, manakala anak bongsunya itu sedang bermain dalam bilik tidur di bahagian hadapan rumah itu.

"Sebelum kejadian, saya ada terdengar bunyi brek yang sangat kuat datang dari arah luar rumah sebelum mendengar dentuman kuat dari arah bilik berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di Pekan hari ini.

Katanya, dia segera mendapatkan anaknya yang menjerit dan berlari ke arah bilik sebelum mendapati terdapat sebuah kereta jenis Proton Wira terperosok di bawah rumah.

Kejadian itu merupakan kali ketiga selepas kejadian sama turut berlaku pada tahun lepas dan Mei tahun ini, kata Jarasidah.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit Mohd Ali Mohd, 57, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Kuantan ke Pekan mahu mengelak dua ekor lembu yang berada di tepi jalan sebelum keretanya terbabas lalu merempuh bahagian hadapan rumah itu. BERNAMA_malaysiakini bm

Tiada ulasan: