Sahabat Purnama

Jumaat, 18 Disember 2009

Lapan tahun tunggu kelahiran anak sulung



ALOR SETAR - Sepasang suami isteri dari Taman Bertam Perdana, Kepala Batas, Pulau Pinang menganggap kelahiran bayi sulung mereka melalui kaedah tabung uji di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada 6 Disember lalu sebagai hadiah paling bermakna sejak lapan tahun mendirikan rumahtangga.

Ibu bayi, Zunnurain @ Noraini Ramlan,35, berkata, dia begitu terharu dengan kelahiran bayi lelakinya itu dan menganggap ia adalah rezeki Allah SWT kepada mereka sekeluarga.

Menurutnya, setelah hampir lapan tahun mendirikan rumah tangga, mereka tidak pernah dikurniakan zuriat sehinggalah mengetahui kaedah bayi tabung uji yang dijalankan di HSB.

“Pada mulanya jiran ibu saya, Noriah Mustafa beritahu terdapat kaedah itu di sini dan setelah itu, saya dan suami terus mendapatkan rundingan di HSB mengenai kaedah berkenaan.

“Akhirnya kami berjaya mendapatkan rawatan dengan kaedah tersebut sehingga saya berjaya hamil dan melahirkan bayi setelah mencuba pelbagai rawatan di pusat perubatan swasta dan tradisional sebelum ini,”katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Bayi lelaki itu, Muhammad Afif Syahmi Md Sukri dilahirkan seberat 3.4 kilogram melalui pembedahan adalah bayi pertama yang berjaya dilahirkan dengan kaedah tabung uji di HSB.

Suaminya, Md Sukri Ramli,34, berkata, setelah hampir setahun lebih menjalani rawatan di HSB, isterinya disahkan positif hamil dan dia rasa sangat gembira serta tidak sabar menanti saat kelahiran bayi sulung mereka.

Menurutnya, kelahiran bayinya itu bagaikan mimpi menjadi kenyataan setelah mereka sabar menunggu walaupun hampir lapan tahun berumahtangga.

“Inilah hadiah paling berharga buat kami, tambahan pula ulang tahun perkahwinan saya yang kelapan jatuh pada tanggal 20 Disember ini dan kelahiran Muhammad Afif pada 6 Disember lalu begitu bermakna buat saya dan isteri.

“Tiada hadiah yang lebih berharga selain menimang cahaya mata yang diimpikan setiap suami isteri yang berumahtangga dan kami berasa cukup bertuah kerana masih diberikan zuriat walaupun terpaksa :mengharungi pelbagai :dugaan,” katanya.

Sementara itu, Noriah berkata, dia bersyukur dengan kelahiran cucu keempatnya itu setelah menantinya sejak lapan tahun lalu.

“Saya gembira kerana akhirnya, anak sulung saya (Zunnurain) hamil dan melahirkan cahaya mata dengan selamat setelah berikhtiar di merata tempat sebelum menemui kaedah ini,”katanya.


_sinarharian

Tiada ulasan: