Sahabat Purnama

Memaparkan catatan dengan label Berita Negeri - Kedah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita Negeri - Kedah. Papar semua catatan

Isnin, 3 Mei 2010

Tampar suami di khalayak ramai

KUALA KEDAH – Alangkah hibanya hati seorang isteri melihat suami yang diharap untuk menjadi teladan dalam keluarga, ditahan kerana disyaki menagih dadah.

Rasa sabar yang dibendung, akhirnya tidak tertahan lalu tangan dihayun tepat ke muka suami.

Itulah insiden yang berlaku di pekarangan Balai Polis Kuala Kedah, di sini susulan Ops Tapis, semalam.

Lebih memilukan, kejadian turut disaksikan orang ramai.

Lelaki itu antara 55 yang ditahan, termasuk empat yang masih di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Ops Tapis dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar khusus memerangi gejala dadah dalam kalangan nelayan di beberapa pelantar ikan di sini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Deputi Superintendan Zainuddin Saad berkata, operasi bermula jam 6 pagi dan berakhir jam 11 pagi itu disertai empat pegawai dan 28 anggota, berjaya merampas dadah jenis heroin dan syabu.

“Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas semua yang ditahan mendapati 30 daripadanya positif dadah termasuk empat yang masih di bawah pengawasan AADK.

“Majoriti yang ditahan ini adalah nelayan berumur antara 25 hingga 50 tahun. Kami turut merampas sebuah motosikal Honda dipercayai dicuri dan siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya.

Zainudin berkata, empat penagih di bawah pengawasan AADK yang berumur 25 hingga awal 40an cuba bertindak agresif ketika ditahan.

Menurutnya, pihaknya juga menemui 27 keratan straw mengandungi heroin dan 12 keratan straw berisi syabu yang disyaki untuk bekalan nelayan yang akan turun ke laut.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas itu adalah kira-kira RM1,000 yang mana setiap tiub berisi syabu ini dijual dengan harga antara RM40 hingga RM50, manakala RM10 untuk setiap keratan straw heroin.

“Pengedar dadah berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun ini juga turut ditahan, termasuk mereka yang pernah ditahan sebelum ini. Polis masih lagi menjalankan siasatan dari mana sumber bekalan dadah berkenaan diperoleh,” katanya.

Zainudin berkata, operasi itu adalah kali kedua dijalankan selepas operasi pada penghujung Mac lalu dan dalam operasi semalam, kira-kira 15 hingga 20 orang terlepas ketika serbuan.

Menurutnya, kesemua yang ditahan, akan disiasat mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki dadah dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.
_sinar harian

Isnin, 11 Januari 2010

Jumpa Speaker bincang isu berbangkit

ALOR SETAR - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail mengakui mengadakan perjumpaan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Yaakub Hussin, minggu lalu di pejabatnya, bagi membincangkan masalah dalaman parti, bukannya mengenai isu peletakan jawatan ADUN itu yang heboh diperkatakan.

Katanya, kunjungan Yaakub adalah untuk meminta pandangan beliau berhubung beberapa masalah yang dibangkitkan dalam parti, termasuk isu penamatan tempoh perkhidmatan Ahli Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB).

“Kita cuma membincangkan hal-hal berkaitan masalah dalaman parti sahaja, tiada apa yang serius pun. Namun langsung tidak menyentuh isu yang mengatakan beliau mahu meletak jawatan gara-gara tidak sependapat dengan pemimpin Pas lain,” katanya.

Dr Abdul Isa berkata, pergeseran pendapat dalam kalangan ahli sesebuah parti adalah lumrah dan pergeseran yang berlaku antara Yaakub dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidaklah serius sehingga beliau mahu melepaskan jawatan.

“Yaakub sekadar meminta pandangan saya bagaimana menyelesaikan masalah berhubung penamatan tempoh perkhidmatan Ahli Majlis Daerah Bandar Baharu. Ketika kunjungan itu, bukan saya sahaja yang ditemuinya, ramai lagi yang beliau jumpa untuk meminta pandangan,” katanya.

Menurutnya, isu yang dibangkitkan bukannya besar dan boleh diselesaikan di peringkat kawasan, tanpa perlu campur tangan Menteri Besar.

“Masalah kecil sahaja, boleh selesai di peringkat kawasan. Saya nasihatkan beliau supaya berbincang elok-elok dengan pihak terbabit, termasuk wakil daripada Kerajaan Tempatan,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kes Kota Siputeh yang masih di peringkat mahkamah, Dr Abdul Isa berkata, setakat ini, tiada perkembangan baru membabitkan kes dan pihaknya menyerahkan kepada panel peguam yang dilantik untuk tindakan lanjut.

“Biarpun kes masih berjalan, saya mengingatkan Abu Hasan Sarif supaya tidak menggunakan gelaran wakil rakyat lagi, bagaimana pun beliau boleh meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan dengan menggunakan tiket parti UMNO,” katanya.

Dr Abdul Isa berkata, Abu Hasan tidak lagi menerima elaun wakil rakyat sejak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan beliau bukan lagi ADUN Kota Siputeh, 16 November lalu.

“Abu Hasan tetap tidak diiktiraf sebagai wakil rakyat, malah lencana (crest) wakil rakyat yang diberikan kepadanya sebelum ini turut diarahkan supaya dipulangkan kepada pejabat Dewan,” katanya. _sinarharian

Rabu, 6 Januari 2010

Mayat ditemui berulat

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

ALOR SETAR: “Bau busuk itu cukup kuat. Saya ingatkan bau sampah, tetapi tak sangka pula ia bau mayat manusia,” kata M Marimuthu, 57, mengenai penemuan mayat seorang lelaki warga emas yang ditemui orang ramai dalam sebuah van ditinggalkan di hadapan bengkel kereta di Jalan Gangsa di sini, semalam.
Warga emas terbabit, Abdul Halim Haris, 65, yang tinggal bersendirian dalam van buruk itu sejak dua tahun lalu dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung. Mangsa meninggal dunia lebih 24 jam lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah kembung, berbau dan berulat.

Harian Metro pada September tahun lalu melaporkan mengenai penderitaan bekas tentera, Abdul Halim, yang hidup serba kekurangan hingga terpaksa menjadikan van buruk berkenaan sebagai kediamannya sejak dua tahun lalu.

Mangsa yang juga dikenali sebagai Pak Awang pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 10 tahun dalam pasukan Peninjau tetapi berhenti pada 1971 akibat masalah kesihatan menyebabkan dia tidak sempat menyertai skim berpencen.

Mayat mangsa dalam keadaan terbaring di tempat duduk belakang van ditemui orang awam sebelum menghubungi adiknya, Abu Bakar, 63, untuk memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 12 tengah hari.

Marimuthu berkata, dia ada berjumpa dengan Abdul Halim, Ahad lalu yang meminta kebenarannya untuk menggunakan paip air di luar bengkel itu untuk mencuci baju.

“Dia kata dia hendak pakai baju itu hari ini (semalam), tetapi tak sangka dia sudah meninggal dunia. Waktu itu juga dia kelihatan sihat,” katanya. Marimuthu berkata, sejak dua tahun mangsa tinggal di situ, dia kerap menghantar makanan kepadanya kerana kasihan melihat keadaannya tidak terurus, tetapi sejak dia menerima bantuan dari pelbagai pihak, dia tidak lagi menghantar makanan lagi.

Katanya, Abdul Halim juga sempat membeli sebuah motosikal terpakai berharga RM200 hasil dari wang bantuan yang diterima untuk memudahkan dia berulang alik mencari kerja sampingan setiap hari demi mencari sesuap nasi.

Adik mangsa, Abu Bakar terkejut apabila ada orang datang ke rumah di Taman Wira kira-kira 70 meter dari tempat kejadian memberitahu abang ‘tidur’ dan dihurung lalat menyebabkan dia bergegas ke situ untuk melihat apa yang berlaku.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia mendapati abangnya sudah meninggal dunia dengan mayatnya sudah kembung dan berulat lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Star.

“Arwah menghidap sakit jantung serta gout dan mungkin itu yang menyebabkan dia meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Star, Deputi Superintendan Mohd Fiesal Libertus Abdullah berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh lebih dari 24 jam berikutan keadaan mayatnya yang sudah_hmetro

Kehilangan gadis jadi tanda tanya

ALOR SETAR- Kehilangan seorang gadis berusia 20 tahun pada 3 Januari lalu selepas tidak pulang semula ke tempat kerjanya pada jam 11 pagi menjadi tanda tanya kepada ahli keluarganya sehingga ke hari ini.

Michelle Lim Shiau Wei dari Tanjung Bendahara dilaporkan hilang pada Ahad lalu selepas keluar dari sebuah kedai perabot di Tandop iaitu tempat dia bekerja sebagai kerani sejak tujuh bulan yang lalu.

Wakil Khas Ahli Parlimen Alor Setar, Loh Eng Chong berkata, keluarga gadis tersebut memohon jasa baik beliau untuk menghebahkan kehilangan ini kepada media bagi membantu mencari anak mereka yang hilang.

Eng Chong berkata, keluarga gadis itu memberitahu, pada hari kehilangannya, Shiau Wei dihantar ke tempat kerja oleh ibunya seperti biasa pada jam 9 pagi.

Menurutnya, pada jam 12 tengah hari, isteri majikan Shiau Wei menghubungi keluarganya memberitahu anak mereka tidak pulang selepas keluar dari kedai itu kira-kira jam 11 pagi.

“Kebetulan pula pada hari yang sama Shiau Wei baru menerima gaji sebanyak RM700 daripada majikannya.

“Berdasarkan maklumat isteri majikan, semasa keluar dari kedai perabot itu, Shiau Wei hanya membawa sebuah beg galas berwarna hitam putih bersamanya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Shiau Wei yang hanya memakai seluar jeans dan kemeja T dengan rambut panjang melepasi bahu adalah anak sulung daripada empat beradik.

Eng Chong berkata, selepas dimaklumkan tentang kejadian itu, bapa Shiau Wei yang bekerja sebagai kontraktor di Jitra cuba mencari di sekitar bandar raya ini namun gagal.

Beliau berkata, selepas gagal menemui anak mereka di merata-rata tempat, akhirnya beliau mengambil keputusan membuat laporan polis tentang kehilangan anaknya itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira jam 8.30 malam.

“Bagaimanapun, sehingga kini keluarganya masih berharap Shiau Wei akan pulang ke pangkuan keluarga dan akan membantunya jika mempunyai sebarang masalah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menerima laporan kehilangan tersebut.

Menurutnya, polis telah pun menjalankan siasatan dan sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan mengenai kes tersebut._sinarharian

Selasa, 29 Disember 2009

Ulama keturunan Rasulullah disambut



PEKAN SIK - Lebih 6,000 orang membanjiri Madrasah Ar-Rahmaniah, (Pondok Tuan Guru Haji Salleh Musa), semata-mata menyambut kehadiran ulama keturunan Rasulullah, Sheikh Habib Yusuf Al-Hasani.

Beliau yang juga bekas mufti Kanada, berkata, kemuliaan seseorang adalah dinilai dari segi ketinggian ilmunya, bukan di sebabkan oleh nasib, walaupun dirinya dilahirkan dalam kalangan keturunan Rasulullah.

Menurutnya, masyarakat perlu sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa, dan perlu mempelajari dengan seikhlasnya, serta menjadikan dunia tempat menimba ilmu, bukannya ilmu untuk mencari dunia.

“Menjadi satu perkara tidak baik bagi orang yang mengaku dirinya beriman, namun tidak yakin dengan rezeki diterimanya.

“Perkara yang paling penting dan perlu disemat dalam diri setiap individu ialah sentiasa bertawakal kepada Allah, dalam memegang amanah dan mempertahankan agama,” katanya sewaktu berucap dalam Program Ziarah dan Dakwah, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, antara nikmat yang paling mahal dalam kalangan masyarakat setempat adalah mendapat pendidikan agama daripada Sheikh Salleh (Tuan Guru Haji Salleh Musa), kerana majlis ilmu ini adalah pusaka sebenar Rasulullah.

“Masyarakat juga perlu berpegang teguh dengan ahli Sunnah mengikut aliran Salaf, dan menghentam dengan tegas dengan menolak fahaman Wahabi yang mengatakan, mereka mengikut aliran Salaf tetapi pada hakikatnya ia hanya dakwaan semata-mata.

“Golongan Wahabi adalah golongan ekstrem agama yang menolak Mazhaf Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali, justeru masyarakat diminta tidak meninggalkan ulama yang berpegang teguh kepada aliran Salaf,” katanya.

Menurutnya, Imam Empat Mazhab lebih rapat pada zaman Salaf, sahabat Rasulullah, dan istilah Wahabi sebenarnya baru sahaja ditimbulkan, dalam kalangan masyarakat pada zaman ini.

“Golongan Syiah adalah golongan pelampau agama kerana amat biadab menghina sahabat, dan syukurlah masyarakat Islam di sini, sangat menghargai majlis-majlis ilmu yang dapat memberi mereka pelbagai maklumat yang bermanfaat,” katanya.

Sementara itu, Tuan Guru Haji Salleh Musa, berkata, beliau amat terharu menerima tetamu mulia iaitu Ulama Keturunan Rasulullah, mudah-mudahan mendapat keberkatan dunia dan akhirat.

“Jalinan kasih sayang antara kita dan ulama penting, kerana di akhirat kelak kita perlu menumpang syafaat mereka, dan program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang,” katanya.

Setiausaha Madrasah Ar-Rahmaniah, Muhammad Fazilul Helmi Raidzan, berkata, kerjasama daripada seluruh pihak, seperti Persatuan Ulama Kedah, Ahli Jawatankuasa Madrasah dan Ahli Parlimen Sik amat dihargai._sinarharian

Jumaat, 25 Disember 2009

Kutipan zakat Kedah meningkat RM11 juta

ALOR SETAR - Jumlah kutipan zakat di negeri ini meningkat sebanyak RM11 juta apabila mencatatkan kutipan RM68 juta tahun ini, berbanding RM57 juta pada tahun sebelumnya.

Setiausaha Jabatan Zakat Negeri Kedah, Datuk Sheikh Ghazali Yaacob berkata, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kutipan tahun ini adalah kerana ramai pembayar zakat memilih skim Zakat Pendapatan Potongan Gaji.

“Skim ini mendapat sambutan majikan dan pekerja kerana memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab membayar zakat. Sehingga kini, terdapat 37,000 pembayar zakat yang memilih skim ini, terutama kalangan kakitangan awam dan Kerajaan Negeri,” katanya pada majlis penyampaian bantuan zakat kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT), di sini, semalam.

Sheikh Ghazali berkata, zakat perniagaan antara penyumbang terbanyak tahun ini dan antara penyumbang terbesar ialah institusi perbankan, Lembaga Tabung Haji dan syarikat korporat.

“Begitu pun, masih banyak syarikat tidak menunaikan zakat perniagaan, kita sekadar boleh memberi nasihat kerana tiada peruntukan yang membolehkan kita mengambil tindakan perundangan,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Zakat Negeri Kedah memperuntukkan RM9.2 juta derma siswa melanjutkan pelajaran ke IPT tempatan kepada 12,811 pelajar tahun ini.

“Hari ini sahaja kita menyerahkan RM973,600 kepada 1,249 pelajar antaranya dari daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kulim, Pendang, Kubang Pasu dan Padang Terap. Setiap pelajar peringkat Ijazah menerima RM1,000 manakala Diploma RM600,” katanya.

Derma siswa melanjutkan pelajaran ke luar negara, iaitu Mesir, Jordan dan Syria pula berjumlah RM1.2 juta memanfaatkan 306 pelajar, dengan bantuan RM4,000 setahun.

“Memandangkan kutipan zakat meningkat, jabatan zakat membuka permohonan pembiayaan pelajaran ini sepanjang tahun, berbanding sebelum ini diadakan secara bermusim kerana terhad kepada kuota 7,000 penerima bantuan sahaja,” katanya._sinarharian

Rabu, 23 Disember 2009

Skim khairat kematian untuk semua kaum di Kedah

ALOR SETAR- Skim bantuan khairat kematian atau Kifalah kepada rakyat miskin semua kaum di Kedah akan diperkenalkan bermula Januari tahun depan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata, mereka yang layak akan menerima RM500 tetapi mereka perlu terlebih dahulu didaftar dalam senarai e-Sinar iaitu senarai rakyat miskin kerajaan negeri.

"Skim kifalah diperkenalkan untuk membantu meringankan beban golongan miskin terutama bagi menguruskan jenazah sekiranya terdapat anggota keluarga mereka seperti ibu, bapa atau anak mereka meninggal dunia.

"Bantuan akan diberikan berdasarkan laporan penghulu dan wakil rakyat serta senarai e-Sinar, sebab kalau tidak, semua orang akan mengaku dia susah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Azizan berkata, satu unit khas di bawah perbendaharaan negeri akan ditubuhkan bagi menguruskan pelaksanaan skim berkenaan.-Bernama_sinarharian

Jumaat, 18 Disember 2009

Lapan tahun tunggu kelahiran anak sulung



ALOR SETAR - Sepasang suami isteri dari Taman Bertam Perdana, Kepala Batas, Pulau Pinang menganggap kelahiran bayi sulung mereka melalui kaedah tabung uji di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada 6 Disember lalu sebagai hadiah paling bermakna sejak lapan tahun mendirikan rumahtangga.

Ibu bayi, Zunnurain @ Noraini Ramlan,35, berkata, dia begitu terharu dengan kelahiran bayi lelakinya itu dan menganggap ia adalah rezeki Allah SWT kepada mereka sekeluarga.

Menurutnya, setelah hampir lapan tahun mendirikan rumah tangga, mereka tidak pernah dikurniakan zuriat sehinggalah mengetahui kaedah bayi tabung uji yang dijalankan di HSB.

“Pada mulanya jiran ibu saya, Noriah Mustafa beritahu terdapat kaedah itu di sini dan setelah itu, saya dan suami terus mendapatkan rundingan di HSB mengenai kaedah berkenaan.

“Akhirnya kami berjaya mendapatkan rawatan dengan kaedah tersebut sehingga saya berjaya hamil dan melahirkan bayi setelah mencuba pelbagai rawatan di pusat perubatan swasta dan tradisional sebelum ini,”katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Bayi lelaki itu, Muhammad Afif Syahmi Md Sukri dilahirkan seberat 3.4 kilogram melalui pembedahan adalah bayi pertama yang berjaya dilahirkan dengan kaedah tabung uji di HSB.

Suaminya, Md Sukri Ramli,34, berkata, setelah hampir setahun lebih menjalani rawatan di HSB, isterinya disahkan positif hamil dan dia rasa sangat gembira serta tidak sabar menanti saat kelahiran bayi sulung mereka.

Menurutnya, kelahiran bayinya itu bagaikan mimpi menjadi kenyataan setelah mereka sabar menunggu walaupun hampir lapan tahun berumahtangga.

“Inilah hadiah paling berharga buat kami, tambahan pula ulang tahun perkahwinan saya yang kelapan jatuh pada tanggal 20 Disember ini dan kelahiran Muhammad Afif pada 6 Disember lalu begitu bermakna buat saya dan isteri.

“Tiada hadiah yang lebih berharga selain menimang cahaya mata yang diimpikan setiap suami isteri yang berumahtangga dan kami berasa cukup bertuah kerana masih diberikan zuriat walaupun terpaksa :mengharungi pelbagai :dugaan,” katanya.

Sementara itu, Noriah berkata, dia bersyukur dengan kelahiran cucu keempatnya itu setelah menantinya sejak lapan tahun lalu.

“Saya gembira kerana akhirnya, anak sulung saya (Zunnurain) hamil dan melahirkan cahaya mata dengan selamat setelah berikhtiar di merata tempat sebelum menemui kaedah ini,”katanya.


_sinarharian

Rabu, 16 Disember 2009

Masalah sampah di Kedah selesai - Exco

Ali Hashim   
ALOR SETAR, 16 Dis: Masalah sampah yang menjadi perbualan hangat di negeri Kedah sebelum ini akan diatasi setelah pengambilan kerja-kerja pembersihan di swastakan kepada syarikat pelupusan sisa pepejal Environment Idaman (E-Idaman).

Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar, Membasmi Kemiskinan, Jalan Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi. (gambar)

Katanya,  syarikat ini telah mengambil alih tugas pembersihan dua belas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ada dalam negeri ini kecuali Majlis Daerah Yan yang masih dalam proses perbincangan untuk pengambilalihan tugas-tugas tersebut.

"Adalah sesuatu yang tidak tepat apabila ada sesetengah pihak mendakwa tahap kebersihan yang ada di negeri ini tidak berbeza seperti dahulu sedangkan tugas-tugas pembersihan yang telah dilaksanakan oleh syarikat tersebut adalah pada tahap yang baik.

"Sekiranya masih terdapat beberapa kawasan yang didapati tahap kebersihannya tidak memuaskan maka masyarakat boleh membuat aduan supaya tindakan bagi mengatasi masalah tersebut dapat dilakukan dengan segera," katanya.

Menurut beliau lagi bagi membolehkan tugas pembersihan ini dilaksanakan dengan sempurna oleh E-Idaman maka  perjanjian antara PBT dan syarikat tersebut telah disempurnakan pada 25 November yang lalu.

Perjanjian fasa pertama yang telah dilakukan pada 27 Oktober yang lalu melibatkan PBT dan syarikat ini ialah Majlis Daerah Sik, Majlis Daerah Padang Terap, Majlis Bandaraya Alor Setar, Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Kulim-Hi Tech dan juga Majlis Daerah Kubang Pasu, katanya._harakahdaily.net

Selasa, 8 Disember 2009

Kedah jayakan Kem Bina Sahsiah bantu belia

GUAR CHEMPEDAK - Kerajaan negeri memperuntukkan RM250,000 bagi menjayakan Kem Bina Sahsiah (KBS) yang bermula pada 1 Disember lalu bertempat di Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena.

Program pembangunan insan yang dicetuskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah anjuran bersama Pusat Pendidikan Muassasah Darul Ulum dan Jawatankuasa Pembangunan Insan Negeri Kedah.

Menurut Setiausaha Sekretariat KBS, Rashidi Abdul Razak, program tahunan yang dikhaskan kepada peserta berumur 15 hingga 18 tahun itu telah memasuki siri keenamnya sejak mula diperkenalkan pada 2003 yang lalu.

“Tahun lepas seramai 252 peserta menyertainya dan pada tahun ini kami telah menerima lebih 700 permohonan dari seluruh negara.

“Berikutan terhadnya prasarana dan tempat, pihak kami hanya menerima 300 peserta sahaja untuk siri ini. Bakinya akan dimasukkan dalam senarai menunggu untuk siri berikutnya,” katanya.

Katanya modul program KBS ini dibahagikan kepada tiga fasa yang memenuhi semua aspek kehidupan seharian peserta.

“Fasa pertama memberi penekanan berkaitan pendidikan tauhid serta tunjuk ajar tentang kesempurnaan ibadat, akhlak dalam Islam dan mengenal diri.

“Fasa kedua dan ketiga pula, peserta didedahkan dengan aktiviti luar yang dijalankan secara berkumpulan manakala fasa ketiga pula, mereka diberi penekanan kepada institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan,” katanya.

Menurut Rashidi, pihaknya akan terus bekerja sama dengan Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan dalam usaha memperluaskan lagi program pembangunan insan di negeri ini selaras dengan hasrat murni yang diluahkan oleh Menteri Besar.

“Kita sedar generasi kini ramai yang sedang parah akibat wabak sosial. Budaya rempit, penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas yang mengundang keruntuhan akhlak dan berbagai lagi salah laku yang memeningkan banyak pihak.

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memperbanyakkan program pembangunan insan bagi membendung dan mengubatinya, kini kami menjalankan tanggungjawab tersebut” katanya.

Menurutnya selepas tamat program KBS ini, pihaknya akan anjurkan pula Kem Anak Soleh dari 23 hingga 26 Disember ini, yang khas untuk 150 orang anak-anak nelayan di Kedah,” katanya._sinarharian

Azizan minta rakyat tegur kesilapan kerajaan negeri

Nazri Abdullah   
ALOR SETAR, 8 Dis: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak meminta rakyat negeri itu menegur dan memberitahu tindakan silap dan boleh dianggap zalim yang dilakukan kerajaan negeri.

Berucap pada himpunan bulanan bersama kakitangan kerajaan negeri di Wisma Darul Aman semalam beliau memberitahu, kerjasama rakyat itu sangat perlu bagi memudahkan kerajaan negeri bertindak segera bagi membetulkan segala kesilapan demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

"Saya mintak semua rakyat tolong tunjuk di mana kerajaan sekarang buat zalim supaya kita dapat baiki.

"Kita mengaku tak semua kita buat adil, kita tak mahu nak jawab depan Tuhan," katanya ketika berucap dihadapan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri semalam.

Pada perhimpunan tersebut beliau turut mengingatkan kesemua kakitangan kerajaan negeri cermat dalam menunaikan tanggungjawab pentadbiran agar tidak menzalimi rakyat.

Beliau tidak menolak kemungkinan, kerajaan negeri tidak terlepas dari melakukan perkara tersebut dalam urusan pentadbiran.

"Kita ni pegawai kerajaan. Saya menteri besar, ni ketua jabatan dan exco, kadang-kadang kita buat perkara zalim kat orang, sengaja dan tidak sengaja.

"Saya tekan sangat jangan buat zalim pada orang," katanya .

Lebih lebih lagi katanya, doa orang dizalimi langsung tidak terhijab dan akan dimakbulkan Allah.

Sehubungan itu semua kakitangan di semua peringkat ujarnya perlu berhati-hati agar tidak terjerumus dalam melakukan tindakan yang boleh disifatkan sebagai zalim._harakahdaily.net

Ahad, 29 November 2009

Tumpu perkara lain lebih penting: MB


YAN - “Kita bukan ‘pak turut’ untuk buat keputusan tanpa mengkaji terlebih dahulu. Apa yang saya boleh katakan, kita akan kaji modul kursus Biro Tata Negara (BTN) sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Azizan ditanya sama ada Kedah akan mengikut jejak langkah Selangor yang melarang kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) negeri itu mengikuti kursus anjuran agensi latihan Kerajaan Pusat itu.

“Ini bukan sahaja penting bagi mengelak sebarang kekeliruan tetapi juga diharap keputusan yang bakal dibuat itu memberi impak yang baik kepada semua pihak,” kata Azizan lagi.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, pihaknya tidak mahu dilihat sebagai ‘pak turut’ dalam membuat sebarang keputusan tanpa terlebih dahulu menyelidik atau mengkaji secara mendalam.

“Kita juga tidak mahu mencampuri sebarang keputusan yang melibatkan dasar mana-mana Kerajaan Negeri sebelum mendapat penerangan atau maklumat sebenar daripada pihak yang berkelayakan.

“Ini penting bagi mengelak sebarang kekeliruan atau penerimaan salah di samping ingin menjaga hubungan baik sesama pemimpin dalam Pakatan Rakyat (PR),” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Surau Pak Su Mat, Kampung Tengah, Sungai Limau Dalam, di sini, semalam.

Azizan berkata, isu larangan BTN memberi kursus kepada kakitangan awam dan pelajar negeri Selangor hanya dilaporkan dalam media sahaja dan beliau selaku rakan karib kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan terlebih dahulu menghubungi rakan sejawatannya itu bagi mendapatkan gambaran jelas mengapa Kerajaan Negeri Selangor mengambil tindakan itu.

“Buat masa sekarang lebih baik kita tumpukan pada soal lain yang lebih mustahak daripada membahaskan perkara yang belum diketahui kesahihannya.

“Saya juga enggan memberi komen sama ada Kerajaan Kedah akan menuruti langkah Kerajaan Selangor atau sebaliknya. Tunggulah sampai masa nanti, kita akan tahu juga,” katanya.

Dalam masa yang sama, Azizan juga berkata, beliau belum sedia untuk mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad yang berkata parti itu bersetuju dan menyokong jika negeri-negeri lain di bawah PR mengikut jejak langkah Kerajaan Selangor.

Semalam, Idris dilaporkan berkata, Pas menyifatkan tindakan Kerajaan Selangor melarang kakitangan awam serta pelajarnya mengikuti kursus BTN sebagai tepat dan wajar.

Ini kerana dakwanya, selain kursus anjuran biro di bawah Jabatan Perdana Menteri itu tidak mendatangkan faedah dan hanya membazirkan wang rakyat, modul pengisiannya juga merupakan salah satu cara mendoktrinkan peserta agar membenci pembangkang. _sinarharian

Ahad, 22 November 2009

BN takut bertanding di Kota Seputeh, mengapa?


Sofi Wahab   

Jika BN benar-benar kuat mengapa Umno takut. Hari ini Timbalan Ketua Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanifah berkata Umno yakin mampu mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti lebih besar ekoran terdapat petanda pengundi akan kembali menyokong parti itu

Katanya lagi , berdasarkan maklumbalas, sekiranya 40 peratus pengundi menyokong pembangkang tahun lalu, kembali menyokong BN, maka kerusi Kota Siputeh akan dapat dikekalkan.

Namun mengapa Umno/BN beriya-iya merayu supaya keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini diketepikan,

Isnin lalu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, semasa membenarkan semakan kehakiman oleh Abdul Isa, memutuskan kerusi itu kosong berikutan kegagalan Abu Hassan menghadiri dua sidang dewan pada tahun ini.

Bagaimanapun sehari selepas itu, bekas ADUN Kota Siputeh itu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, calon BN Datuk Abu Hassan Syarif mendapat 8,160 undi, menewaskan calon PAS Ismail Wan Teh yang memperolehi 7,665 undi.

Secara jelas bahawa BN memang takut akan berlakunya Pilihanraya Kecil Kota Seputeh. Sebabnya memang BN gusar dan tidak yakin menang.

_harakahdaily.net

Jumaat, 20 November 2009

Pasangan kekasih bawah umur ditangkap khalwat


ULU PAIP - Sepasang kekasih berusia antara 13 hingga 14 tahun yang sedang bermadu kasih di sebuah pondok berhampiran air terjun Ulu Paip ditangkap kerana melakukan perlakuan sumbang kira-kira jam 11 pagi semalam.

Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) yang menerima aduan dari orang ramai bergegas ke tempat perkelahan itu dan mendapati hampir 10 pasangan berada di sekitar air terjun itu dengan pasangan masing-masing.

Pegawai Penguatkuasa PADK, Zainol Chin berkata, beberapa kawasan perkelahan sekitar Kulim dikenal pasti menjadi tempat persundalan dalam :kala�ngan pasangan remaja bawah umur dan operasi menangkap mereka yang terlibat akan dipergiatkan.

“Menyedari kehadiran kami, beberapa pasangan berjaya melarikan diri. Bagaimanapun sepasang kekasih berusia 13 hingga 14 tahun dan masih bersekolah sedang asyik berasmara di sebuah pondok di tepi air terjun dan tidak menyedari kehadiran PADK.

“Dari soal siasat dijalankan, PADK mendapati kedua-dua mereka tidak ada hubungan kekeluargaan dan perbuatan mereka salah di sisi undang-undang. PADK turut mengeluarkan notis saman terhadap pasangan tersebut,” katanya.

Menurutnya kedua-dua mereka akan didakwa di bawah Seksyen 5, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988, mereka boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, PADK mengarahkan kedua-dua ibu bapa pasangan terlibat untuk hadir ke pejabat PADK hari ini dan sekiranya gagal berbuat demikian, PADK tidak teragak-agak untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap pasangan tersebut.

Beliau turut kesal dengan sikap ibu bapa yang tidak memantau pergerakan anak-anak di bawah umur sehingga terlibat dalam kancah maksiat.

“Saya kesal dengan sikap lepas tangan ibu bapa dalam menangani masalah sosial remaja masa kini. Mereka harus peka terhadap gerak geri anak-anak dan tidak mempercayai mereka 100 peratus. Dalam beberapa kes tangkapan dibuat oleh PADK, selalunya pasangan lelaki tidak bersetuju untuk menikahi teman wanita mereka.

“Di sini saya menasihatkan golongan wanita khususnya mereka yang masih di bawah umur dan bersekolah agar tidak melibatkan diri dalam kegiatan maksiat kerana ini akan merugikan diri mereka sendiri,” katanya.
 
_sinarharian

Selasa, 3 November 2009

Hijau akan jadi konsep pelancongan Kedah

Ali Hashim

ALOR SETAR, 3 Nov: Kerajaan Negeri Kedah akan memastikan segala perancangan untuk menjadikan Kedah sebagai salah sebuah negeri pelancongan berkonsepkan hijau akan terlaksana dan menjadi satu realiti.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia dan Hal Ehwal Masyarakat India, S.Manikumar.

Menurut Manikumar lagi bermula pada tahun 2010 negeri Kedah akan menjadi pusat pelancongan yang berasaskan kehijauan apabila kesemua perancangan untuk merealisasikannya selesai.

"Kehijauan yang ada di negeri ini merupakan satu kekuatan bagi pelancongan yang ada di negeri ini.Kita akan mengkaji lokasi yang strategik untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan tersebut.Konsep ini juga tidak akan hanya ditumpukan kepada keindahan floranya sahaja malah ia akan turut memberi tumpuan kepada kawasan sungai yang ada dalam negeri ini.

"Kawasan rekreasi sepanjang Sungai Kedah akan diberi tumpuan kerana ia terletak di pusat bandar.Satu lagi konsep yang akan dibawa ialah dengan menarik pelancong yang masuk ke Langkawi untuk datang melihat sendiri konsep kehijauan yang akan dilaksanakan itu."

Manikumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau berkata, konsep kehijauan ini dipilih kerana sebagai satu daya tarikan negeri Kedah kerana ia bukan sahaja dikelilingi oleh kehijauan sawah padi malah kawasan seperti Gunung Keriang dan Gunung Jerai adalah amat menarik untuk dijadikan sebagai pusat pelancongan yang mampu membawa pendapatan kepada negeri ini. _ harakahdaily.net