Sahabat Purnama

Isnin, 11 Januari 2010

Jumpa Speaker bincang isu berbangkit

ALOR SETAR - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail mengakui mengadakan perjumpaan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Yaakub Hussin, minggu lalu di pejabatnya, bagi membincangkan masalah dalaman parti, bukannya mengenai isu peletakan jawatan ADUN itu yang heboh diperkatakan.

Katanya, kunjungan Yaakub adalah untuk meminta pandangan beliau berhubung beberapa masalah yang dibangkitkan dalam parti, termasuk isu penamatan tempoh perkhidmatan Ahli Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB).

“Kita cuma membincangkan hal-hal berkaitan masalah dalaman parti sahaja, tiada apa yang serius pun. Namun langsung tidak menyentuh isu yang mengatakan beliau mahu meletak jawatan gara-gara tidak sependapat dengan pemimpin Pas lain,” katanya.

Dr Abdul Isa berkata, pergeseran pendapat dalam kalangan ahli sesebuah parti adalah lumrah dan pergeseran yang berlaku antara Yaakub dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidaklah serius sehingga beliau mahu melepaskan jawatan.

“Yaakub sekadar meminta pandangan saya bagaimana menyelesaikan masalah berhubung penamatan tempoh perkhidmatan Ahli Majlis Daerah Bandar Baharu. Ketika kunjungan itu, bukan saya sahaja yang ditemuinya, ramai lagi yang beliau jumpa untuk meminta pandangan,” katanya.

Menurutnya, isu yang dibangkitkan bukannya besar dan boleh diselesaikan di peringkat kawasan, tanpa perlu campur tangan Menteri Besar.

“Masalah kecil sahaja, boleh selesai di peringkat kawasan. Saya nasihatkan beliau supaya berbincang elok-elok dengan pihak terbabit, termasuk wakil daripada Kerajaan Tempatan,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kes Kota Siputeh yang masih di peringkat mahkamah, Dr Abdul Isa berkata, setakat ini, tiada perkembangan baru membabitkan kes dan pihaknya menyerahkan kepada panel peguam yang dilantik untuk tindakan lanjut.

“Biarpun kes masih berjalan, saya mengingatkan Abu Hasan Sarif supaya tidak menggunakan gelaran wakil rakyat lagi, bagaimana pun beliau boleh meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan dengan menggunakan tiket parti UMNO,” katanya.

Dr Abdul Isa berkata, Abu Hasan tidak lagi menerima elaun wakil rakyat sejak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan beliau bukan lagi ADUN Kota Siputeh, 16 November lalu.

“Abu Hasan tetap tidak diiktiraf sebagai wakil rakyat, malah lencana (crest) wakil rakyat yang diberikan kepadanya sebelum ini turut diarahkan supaya dipulangkan kepada pejabat Dewan,” katanya. _sinarharian

Tiada ulasan: