KUALA KEDAH – Alangkah hibanya hati seorang isteri melihat suami yang diharap untuk menjadi teladan dalam keluarga, ditahan kerana disyaki menagih dadah. Rasa sabar yang dibendung, akhirnya tidak tertahan lalu tangan dihayun tepat ke muka suami. Itulah insiden yang berlaku di pekarangan Balai Polis Kuala Kedah, di sini susulan Ops Tapis, semalam. Lebih memilukan, kejadian turut disaksikan orang ramai. Lelaki itu antara 55 yang ditahan, termasuk empat yang masih di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Ops Tapis dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar khusus memerangi gejala dadah dalam kalangan nelayan di beberapa pelantar ikan di sini. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Deputi Superintendan Zainuddin Saad berkata, operasi bermula jam 6 pagi dan berakhir jam 11 pagi itu disertai empat pegawai dan 28 anggota, berjaya merampas dadah jenis heroin dan syabu. “Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas semua yang ditahan mendapati 30 daripadanya positif dadah termasuk empat yang masih di bawah pengawasan AADK. “Majoriti yang ditahan ini adalah nelayan berumur antara 25 hingga 50 tahun. Kami turut merampas sebuah motosikal Honda dipercayai dicuri dan siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya. Zainudin berkata, empat penagih di bawah pengawasan AADK yang berumur 25 hingga awal 40an cuba bertindak agresif ketika ditahan. Menurutnya, pihaknya juga menemui 27 keratan straw mengandungi heroin dan 12 keratan straw berisi syabu yang disyaki untuk bekalan nelayan yang akan turun ke laut. “Nilai keseluruhan dadah yang dirampas itu adalah kira-kira RM1,000 yang mana setiap tiub berisi syabu ini dijual dengan harga antara RM40 hingga RM50, manakala RM10 untuk setiap keratan straw heroin. “Pengedar dadah berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun ini juga turut ditahan, termasuk mereka yang pernah ditahan sebelum ini. Polis masih lagi menjalankan siasatan dari mana sumber bekalan dadah berkenaan diperoleh,” katanya. Zainudin berkata, operasi itu adalah kali kedua dijalankan selepas operasi pada penghujung Mac lalu dan dalam operasi semalam, kira-kira 15 hingga 20 orang terlepas ketika serbuan. Menurutnya, kesemua yang ditahan, akan disiasat mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki dadah dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983. _sinar harian |
Sahabat Purnama
Isnin, 3 Mei 2010
Tampar suami di khalayak ramai
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan