Sahabat Purnama

Isnin, 19 Julai 2010

Kejayaan menggerakkan UPU

Program Cakna Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbongan atau di DUN lain yang rata-ratanya sambutan memberangsangkan daripada penduduk menggambarkan keberkesanan Kerajaan Negeri yang menerajui Kelantan selama 20 tahun.

ADUN Limbongan, Zainuddin Awang Hamat berkata, program anjuran Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO di Padang Majlis Dearah Pasir Puteh (MDPP) itu dilihat sebagai kayu pengukur bagi menilai keupayaan pimpinan di semua peringkat.

Menurutnya, kerajaan sendiri mahu melihat sejauh mana kejayaan pimpinan di peringkat Unit Peti Undi (UPU) atau mukim menggerakkan potensi yang terdapat di kawasan masing-masing.

“Gerai daripada 15 UPU dengan mempamerkan kelebihan yang tersendiri membuktikan komuniti itu digerakkan secara aktif daripada memartabatkan agama, kebudayaan sehingga kepada usaha menaikkan taraf ekonomi melalui Industri Kecil dan Sederhana.

“Semangat kerjasama yang ditunjukkan merupakan ‘tonik’ kepada kita yang sememangnya tidak jemu membangunkan komuniti dari pelbagai aspek,” katanya.

Bersempena dengan program itu juga, Zainuddin menyampaikan sumbangan kepada pesakit kronik dan cek kepada wasi untuk Skim Kifalah.

Pengarah Program, Mohd Judin Samat berkata, Selain 3,000 peserta terlibat dengan 30 acara sukaneka dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu, muslimat turut mempamerkan kebolehan masing-masing dalam pertandingan masakan.

Walaupun DUN Lim-bongan mempunyai misi bagi menyertai Cakna Rakyat peringkat negeri katanya, kejayaan Cakna Rakyat DUN Limbongan sudah cukup membanggakan.

“Semua ini terhasil hanya dengan semangat kerjasama tinggi masayarakat, memahami antara satu sama lain serta sedia menyumbangkan tenaga secara percuma untuk kesejahteraan dan kebaikan bersama,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada tetamu yang hadir seperti ADUN Gaal, Dr. Nik Mazian Nik Mohamed dan ADUN Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim.

Pengunjung katanya, turut mendapat manfaat daripada gerai agensi kerajaan yang menyediakan pameran dan perkhidmatan terus kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi dalam ucapannya, melahirkan rasa bangga dengan sambutan masyarakat daerah ini terhadap program tersebut.

Menurutnya, sambutan itu menjelaskan bahawa masayarakat terus memberi sokongan kepada program anjuran Kerajaan Negeri.

“Sambutan hebat rakyat terhadap program ini merupakan suntikan kepada kerajaan negeri untuk meneruskan dasar-dasar yang memberi kebaikan kepada semua,” katanya sebelum melawat gerai-gerai pada program itu.

Pada sebelah malamnya, orang ramai memenuhi padang MDPP untuk mengikuti ceramah Cakna yang disampaikan Ustaz Hamid Derani dan Pengerusi Jawatankuasa pembangunan Islam, pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah._sinarharian

Tiada ulasan: