Sahabat Purnama

Isnin, 19 Julai 2010

Dadah: Penganggur ke mahkamah

KOTA BHARU - Seorang penganggur berusia 33 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar dan memiliki dadah.

Penganggur berkenaan, Hilmy Ab Hamid dari Kampung Kedai Melor dekat sini, bagaimanapun mengaku faham atas dua pertuduhan yang dihadapi di hadapan Majistret Azrol Abdullah selepas pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan pertama yang dihadapi, Hilmy didakwa mengedar dadah berbahaya jenis heroin dengan anggaran berat kasar 18.0 gram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tandas bahagian kecemasan, Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, kira-kira jam 3.30 pagi 6 Julai lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.

Menurut pertuduhan kedua pula, Hilmy didakwa memiliki heroin dengan anggaran berat kasar 1.3 gram ketika ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Pangkal Kalong, Kok Lanas dekat sini, kira-kira jam 4 petang 5 Julai lalu.

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh diden-da tidak lebih RM100,000 atau di penjara tidak lebih lima tahun.

Dalam prosiding semalam, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali kemudiannya memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baru untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia tertuduh.

Azrol seterusnya bersetuju dengan permohonan itu dan menetapkan 22 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Sinar Harian 8 Julai lalu melaporkan polis Kelantan berjaya menahan seorang lelaki kerana disyaki menyembunyikan enam botol heroin di dalam dubur dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kok Lanas, dekat sini.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan terpaksa dihantar ke HRPZ II untuk mengeluarkan lima botol dadah yang berada di dalam duburnya manakala satu botol lagi dikeluarkan suspek sendiri ketika ditahan di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Lelaki terbabit turut menjalani pemeriksaan X-ray untuk mengesan dadah yang masih ada lagi dalam badannya dan hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati masih terdapat satu objek kehitaman yang dipercayai botol plastik yang mengandungi dadah dalam badannya.

Keseluruhan dadah yang dirampas ialah tujuh botol dan dianggarkan bernilai RM3,000._sinarharian

Tiada ulasan: