Sahabat Purnama

Khamis, 22 Julai 2010

Pemandu rogol pelajar dalam bas sekolah

MELAKA - Akibat merogol pelajar Tingkatan Satu di dalam bas sekolah, tiga tahun lalu, seorang lelaki yang juga pemandu bas berkenaan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, semalam.

Ibrahim Sali @ Ali, 25, dari Taman Harmoni, Merlimau pada hari akhir pembelaan kes didapati bersalah dan dijatuhi hukuman oleh Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, Ibrahim didakwa merogol seorang pelajar sekolah berumur 13 tahun 9 bulan di dalam sebuah bas sekolah di hadapan Taman Muhibbah, Merlimau, kira-kira 3 petang, pada April 2007.

Tertuduh yang diwakili peguambelanya, Shaari Nor memohon mahkamah memberi hukuman ringan terhadap tertuduh berikutan kesalahan itu adalah pertama kali serta hubungan seks yang dilakukan atas dasar suka sama suka.

Timbalan Pendawa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin dalam pendakwaannya pula berkata, tertuduh perlu dikenakan hukuman berat atas faktor kepentingan awam dan istilah 'suka sama suka' tidak boleh dijadikan alasan kerana mangsa di bawah umur haruslah dilindungi.

Elesabet yang mendengar hujah dan meneliti fakta kes menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara dan tiga sebatan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Tertuduh dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan._sinarharian

Tiada ulasan: