Sahabat Purnama

Khamis, 22 Julai 2010

Usah ikut rentak media perdana


SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa meminta ahli-ahli parti itu agar tidak mengikut rentak media arus perdana berhubung isu kerjasama antara UMNO dan Pas sejak dua minggu lalu.


Dalam satu kenyataan medianya semalam, beliau berkata, isu-isu yang dipaparkan itu boleh merapuhkan kesatuan dalam parti itu sendiri.


“Kebelakangan ini mereka rancak memainkan isu berkenaan sehingga mengelirukan sebahagian daripada ahli Pas dan masyarakat Malaysia khususnya.


“Saya nasihatkan semua ahli dan pimpinan Pas supaya jangan terikut-ikut dengan rentak yang dimainkan oleh media arus perdana,” katanya.


:Sebuah akhbar perdana semalam menyiarkan di muka depannya laporan yang memetik ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan sebagai berkata, UMNO dan Pas perlu mempunyai satu pelan damai atas nama Islam supaya persengketaan yang panjang antara kedua-dua parti tersebut berjaya ditamatkan.


Kenyataan Nasruddin itu dipetik melalui laman blognya di bawah tajuk ‘Pelan Damai Untuk UMNO dan Pas’.

Nasharuddin berkata, Pas yang masih berpegang dengan muktamar-muktamar yang sedia ada akan terus memberi tumpuan kepada gerak kerja untuk pilihan raya umum yang ke-13 dalam membina sebuah Kerajaan Persekutuan yang baru.

“Kita percaya media-media ini akan menimbulkan persepsi baru sehingga boleh merapuhkan wehdah atau kesatuan dalaman Pas sendiri,” katanya.


Beliau juga menyeru kepada kesemua ahlinya agar lebih berusaha untuk memperkukuhkan parti terutama sekali di peringkat cawangan dan kawasan di samping menambah bilangan ahli baru.


Sementara itu, Nasrudin berkata, Pas tidak pernah menghantar mana-mana pemimpin tidak kira pemimpin peringkat rendah atau peringkat tertinggi bagi mengadakan perbincangan berkenaan isu perpaduan dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.


Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, sekiranya ada, terpulang kepada pemimpin berkenaan untuk tampil menjawab segala persoalan berhubung pertemuan yang diadakan itu.


“Kemungkinan perjumpaan yang diadakan adalah secara peribadi dan bukannya di atas arahan parti.


“Isu siapa berjumpa siapa bukan isu penting. Pertemuan itu mungkin hanya pertemuan biasa untuk bertanyakan pendapat,” katanya.


Menurutnya, jika pertemuan di antara pemimpin Pas dengan Mufti Perak membincangkan isu perpaduan, beliau (pemimpin Pas) tidak boleh membuat sebarang keputusan kerana segala keputusan ditentukan oleh parti.


Nasrudin berkata, Pas adalah parti yang bertunjangkan Islam dan UMNO hanya perlu menerima Islam serta menjadikan perundangan Islam sebagai asas perpaduan negara._sinarharian

Tiada ulasan: