Sahabat Purnama

Memaparkan catatan dengan label Berita Negeri - N.Sembilan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita Negeri - N.Sembilan. Papar semua catatan

Jumaat, 4 Disember 2009

MPS: Kami tidak ikut telunjuk DAP

Abdul Rahim Sabri


Kemaskini 3.31pm Majlis Perbandaran Seremban (MPS) tidak mengeluarkan notis berpindah rumah seorang ibu tunggal selepas desakan DAP didakwa wanita tersebut, kata Yang Dipertuanya Datuk Abd Halim Abd Latif.

"Saya bertindak atas dasar peraturan dan undang-undang, bukan kerana pembangkang. Saya tidak benarkan unsur-unsur dan pengaruh politik masuk dalam pentadbiran saya.

"Saya ikut peraturan, tidak ada kena mengena dengan parti politik. Penduduk sekeliling marah dan tidak berpuas hati.

"Rumah itu menghalang pintu masuk dan jejaskan laluan ke rumah mereka," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas kebimbangan Zarina Bee Mohd Ibrahim kerana rumah yang sudah didiami oleh keluarganya lebih 130 tahun sejak 1876 di Kampung Temiang akan diroboh oleh MPS.

Zarina Bee, 65, yang kini menetap di rumah kayu itu bersama-sama seorang anak lelakinya, mendakwa tindakan MPS tersebut dibuat ekoran desakan parti pembangkang.

Wakil rakyat DAP bagi Temiang, Ng Chin Tsai semalam mengakui pernah menulis surat kepada MPS memohon memindahkan rumah tersebut atas alasan menghalang pembinaan jalan.

Bagaimanapun ADUN itu mendakwa beliau tidak pernah meminta pihak berkuasa tempatan itu merobohkan rumah Zarina Bee yang terletak di belakang pejabatnya.

Dihubungi pagi ini, Abd Halim berkata MPS bersedia menimbang melanjutkan tempoh untuk ibu tunggal itu berpindah dari rumahnya dan sedia berbincang dengan wanita itu.

Beliau bagaimanapun berkata tidak timbul isu bayaran pampasan kerana rumah itu dibina di atas tanah rizab jalan milik kerajaan negeri.

Abd Halim juga menjelaskan, isu pemindahan rumah Zarina Bee bukanlah satu perkara baru kerana arahan supaya beliau berpindah, telah dikeluarkan sejak 2005 lagi.

Bagaimanapun, katanya, wanita itu enggan berpindah dari itu dan isu tersebut berlanjutan hingga sekarang, tetapi beliau tidak pasti sebab mengapa enggan berbuat demikian.

Beliau menambah, MPS dan pejabat tanah pernah berbincang dengan Zarina Bee mengenai perkara itu dan ibu tunggal tersebut berjanji untuk untuk berpindah.

Bagaimanapun katanya, sehingga hari ini, Zarina Bee masih belum berbuat demikian.

Menurut Abd Halim lagi, MPS sedia berbincang dengannya kerana tidak mahu memaksa ibu tunggal itu tergesa-gesa berpindah.

Beliau juga berkata, difahamkan ibu tunggal tersebut mempunyai sebuah rumah yang lain.

"Kalau dia perlukan tiga bulan untuk berpindah (ke rumah baru), kita beri. Kita bukan zalim. Saya tunggu, tidak ada masalah," katanya._malaysiakini bm

Isnin, 30 November 2009

Penduduk tertanya-tanya gempa di Kuala Pilah

Salhan K Ahmad


Kemaskini 8.49pm Penduduk tempatan Kuala Pilah, Negeri Sembilan masih tertanya-tanya sama ada gempa bumi lemah yang dilaporkan berlaku di daerah itu benar-benar terjadi.

Seorang penduduk Abd Karim Manan berkata, beliau tidak merasai apa-apa gegaran kesan daripada kejadian tersebut.

"Saya pada masa itu pun belum tidur lagi," katanya kepada Malaysiakini ketika diminta menceritakan laporan gempa berukuran 3.3 pada skala Richter yang dilaporkan di daerah tersebut awal pagi ini.

Laporan Bernama, yang memetik kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia itu menyebut, gempa bumi berkenaan berlaku pada jam 12.15 pagi, berpusat di 22km timur Seremban.

Abd Karim, yang berada di Kuala Pilah malam tadi, menjelaskan beliau juga tidak mendengar apa-apa laporan berita berkaitan kejadian itu.

Seorang pemimpin parti politik tempatan juga tidak dapat mengesahkan kejadian tersebut, malah tidak mengetahui langsung kejadian tersebut hinggalah dihubungi wartawan petang ini.

"Kalau ada, inilah kejadian pertama yang berlaku di Kuala Pilah, tapi kita tidak boleh pastikan ada atau tidak ada," katanya.

Beliau, yang enggan namanya disebut, bagaimanapun mengakui kejadian gempa bumi itu diperkatakan oleh masyarakat apabila beliau melakukan tinjauan rambang.

"Saya sudah tanya ramai ketua kampung dari Seremban sampai Kuala Pilah, tapi semuanya kata tidak ada (berlaku)," katanya.

"Tapi ada yang kata (berlaku) di Senawang, kita pun tidak boleh pastikan perkara sebenar. Ini semua khabar-khabar angin sahaja."

Gegaran akibat gempa bumi itu dapat dirasai oleh penduduk di kawasan berkenaan, bagaimanapun, orang ramai tidak perlu berasa bimbang kerana gegaran itu adalah lemah, menurut kenyataan terbaru Jabatan Meteorologi Malaysia.

Empat gempa bumi itu berlaku di lokasi sama sejak kejadian pertama 2.30 petang semalam.

Hari ini, sebanyak tiga kejadian gempa bumi direkodkan oleh Jabatan Meteorologi yang berlaku pada pukul 12.15 tengah malam tadi, 9.10 pagi dan 2.30 petang ini.

Sejak penghujung 2007, Malaysia mencatatkan 40 gempa bumi lemah, tetapi yang ketara 37 daripadanya berlaku di sekitar garisan gempa bumi di Bentong di Pahang.

Tiga lagi gempa bumi itu di Manjung (Perak) dan Jerantut (Pahang).

Pengarah jabatan itu Dr Rosaidi Che Abas dilaporkan berkata sejak November 2007 sehingga Mei tahun lepas, sebanyak 29 gempa bumi dicatatkan di kawasan Bentong.

Kes terbaru pada 8 Okt lepas bagaimanapun mencatat gempa bumi paling kerap, sebanyak lapan kali dari pukul 4.45 pagi hingga 12.05 tengah hari, bermagnitud antara 1.1 hingga 2.8 skala Richter.

Kesemua gempa bumi itu dikesan di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik yang mempunyai garis sesar berukuran 15 kilometer lebar dan 70 kilometer panjang._malaysiakini bm