Sahabat Purnama

Memaparkan catatan dengan label Berita Negeri - Selangor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita Negeri - Selangor. Papar semua catatan

Isnin, 12 April 2010

Upacara telan air ludah ustaz?

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyiasat pendedahan mantan mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mendakwa terdapat seorang tokoh agama yang mengadakan ‘upacara’ orang ramai menelan air ludahnya untuk mendapatkan keberkatan.

Pegawai Perhubungan Awam, JAIS Nurhamizah Othman berkata ini adalah pertama kali pihaknya mendengar dakwaan tersebut.

“Kita hendak dapat maklumat lanjut daripada Dr Mohd Asri. Jabatan Akidah JAIS sebelum ini tidak ada (menerima) laporan mengenai upacara telan air ludah ini.

“Kalau beliau ada maklumat lanjut, sila tampil ke hadapan untuk memudahkan JAIS membuat siasatan sama benar ataupun tidak,” katanya mengulas pendedahan Dr Mohd Asri mengenai perkara itu dalam kolumnnya dalam Malaysiakini hari ini yang bertajuk ‘telan air ludah ustaz’.

Dalam kolumnya itu, pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) tersebut mendakwa “upacara itu pula dibuat di masjid” dan tokoh agama berkenaan “ada tauliah dan berjawatan di negeri berkenaan.

“Pengikutnya atau hadiran yang menghadiri kuliah disuruh berbaris dalam masjid lalu ‘menikmati’ seorang sedikit air liur tokoh agama aliran tarekat itu yang di masukkan ke dalam mulut mereka. Beliau mendakwa inilah ajaran Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Kononnya untuk mendapatkan keberkatan beliau!” tulis Dr Asri dalam kolumnya itu.

Mengulas lanjut, Nurhamizah menggesa orang ramai mengetahui mengenai perkara itu agar segera tampil memberi maklumat lanjut kepada JAIS, termasuk siapa tokoh agama terbabit dan di mana ucapacara itu berlangsung.

Nurhamizah berkata, pihaknya memerlukan maklumat tersebut, seperti nama masjid dan tempat upacara itu berlangsung akan memudahkan siasatan dijalankan.

Menurutnya lagi, susulan pendedahan Dr Mohd Asri itu, JAIS telah membuka fail dan telah memulakan siasatan berhubung perkara itu.

Sementara itu, Dr Mohd Asri ketika dihubungi Malaysiakini petang ini enggan mendedahkan tokoh agama yang didakwa mengadakan ‘upacara’ menelan air ludahnya’

Sebaliknya, mantan mufti Perlis itu berkata, beliau akan meminta orang ramai yang menghadiri upacara tersebut agar melaporkan kepada JAIS.

Ditanya sama ada beliau akan bekerjasama dengan JAIS, Dr Asri berkata: “Nanti dahulu, tengok perkembangan siasatan”._malaysiakini bm

Rabu, 6 Januari 2010

Didakwa cuba rogol inspektor

Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my

KLANG: Tindakan seorang kerani yang cuba merogol pegawai polis berpangkat inspektor pada Disember lalu mengundang padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Wan Abdul Hanif Wan Abdul Hisham, 30, dari Pelabuhan Klang di sini, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu selepas mendengar jurubahasa membaca pertuduhan terhadapnya.

Dia yang kelihatan tenang dalam kandang tertuduh didakwa dengan sengaja cuba merogol wanita yang juga kenalannya berumur 28 tahun di sebuah hotel di Jalan Meru di sini pada jam 10 malam, 12 Disember lalu.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa Seksyen 376 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat jika disabit kesalahan. Selain itu, Wan Abdul Hanif mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada pegawai polis terbabit yang baru berkhidmat enam bulan sebagai inspektor di tempat dan waktu sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syuhada Alwi menawarkan jaminan RM15,000 kepada Wan Abdul Hanif bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta jumlah jaminan itu dikurangkan kerana perlu menanggung ibu bapa dan adiknya yang masih bersekolah.

Dia juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa sudah lama mengenali mangsa.

Selepas mendengar rayuan itu, Hakim Datuk Anita Harun membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Februari untuk sebutan melantik peguam._hmetro

Jumaat, 4 Disember 2009

Pengawal nampak lembaga 'Teoh' di pejabat SPRM

Tiga individu mendakwa mereka ternampak satu lembaga yang menyerupai mendiang Teoh Beng Hock merayau-rayau di ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Plaza Masalam, Shah Alam.


Menurut laporan akhbar China Press, lembaga tersebut dilihat di tingkat lima bangunan tersebut - tempat Teoh ditemui mati dan di tingkat 14, iaitu pejabat SPRM Selangor.

Laporan itu menyebut seorang pengawal keselamatan dan dua pegawai SPRM terserempak dengan lembaga itu sekitar bulan Oktober lalu - lebih dua bulan selepas Teoh ditemui mati.

Pengawal keselamatan tersebut yang enggan namanya disebut berkata, dia tidak nampak muka lembaga itu, tetapi ia berpakaian sama seperti yang dipakai mendiang ketika datang ke pejabat SPRM dulu.

"Saya nampak mayatnya selepas jatuh. Saya pasti ianya Teoh walaupun saya hanya lihat bahagian belakangnya," katanya sambil menambah kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.30 petang.

Ketika mencerita semula kejadian itu, pengawal tersebut berkata dia pergi ke bilik air di tingkat lima di mana secara dia tiba-tiba terdengar bunyi orang berjalan. Pengawal keselamatan yang lain tidak bertugas ketika itu.

"Saya rasa pelik. Biasanya pada waktu itu tiada orang lain di situ. Lalu saya berjalan ke arah tandas... kemudian saya nampak seorang lelaki di depan lif, dia memakai kot hitam dan berseluar putih," katanya.


Pada masa itu, tidak terlintas di fikiran pengawal tersebut bahawa ia adalah lembaga yang menyerupai Teoh itu.

"Saya bertanya dia hendak ke mana kerana tiada orang di atas. Dia menjawab "saya nak naik ke atas", lalu masuk ke dalam lif.

"Ketika itulah saya terfikir yang dia nampak seperti Teoh, jadi saya bergegas ke bilik keselamatan untuk melihat CCTV, tetapi tiada seorang pun dalam lif tersebut._malaysiakini bm

Khamis, 3 Disember 2009

Umno risau SPIES didik rakyat tolak politik perkauman

Dzulfikar Mashoor   
SHAH ALAM, 3 Dis: Exco Selangor, Dr. Halimah Ali berpendapat kritikan keras terhadap keputusan Kerajaan Negeri Selangor mengharamkan BTN adalah disebabkan Umno takut ditolak rakyat.

Apatah lagi kerajaan negeri akan memperkenal program sendiri melalui program pembangunan modal insan kerajaan negeri Selangor iaitu SPIES.

SPIES atau penuhnya Spiritual, Physical, Intellectual, Emotional dan Social akan mengajar rakyat menolak politik perkauman sempit yang cuba didoktrin melalui BTN.

"Saya rasa Umno (dan) BN sangat risau kalau rakyatnya cerdik," jelasnya.

"Mereka sangat risau kalau SPIES mengajar rakyat tolak politik perkauman sempit BTN doktrinkan."

Beliau yang juga Adun Selat Klang berkata, program pembangunan modal Insan kelolaan kerajaan Selangor tersebut mampu mendorong rakyat pelbagai kaum menolak permusuhan sesama sendiri.

"SPIES jadikan rakyat cerdik dan bebas berfikir, mereka akan lihat keburukan politik perkauman, mereka akan lihat yang bangsa-bangsa bukan Melayu bukannya ancaman seperti BTN doktrinkan."

Beliau yang juga AJK Dewan Muslimat PAS Pusat turut mendedahkan tiga inti utama doktrin kebencian dalam program-program BTN.

"Dia (BTN) ada tiga perkara yang digambarkan, Pertama, DAP adalah agen Singapura-Yahudi, kedua, PKR (adalah) penderhaka (dan) PAS dikatakan Parti Ajaran Sesat (malah) Datuk Seri Anwar Ibrahim pun digambarkan sebagai agen Yahudi-Amerika."

"Setiap hari, BTN minta pesertanya menyanyi lagu 'Anak Kecil Main Api' supaya ditanam kebencian kepada bangsa yang bukan Melayu, khususnya orang Cina sebagai pendatang,' katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa dirinya turut menjadi sasaran pihak tertentu yang terpengaruh oleh doktrin kebencian itu.

"Bila saya umumkan keputusan kerajaan negeri melarang program BTN di Selangor, saya ini dituduh kurang Melayu, seolah-olah kuda tunggangan DAP."

Beliau turut mencadangkan kerajaan menafikan segala pendedahan yang dilakukannya jika ianya tidak benar.

"Kalau tak ada apa-apa (doktrin kebencian), kenapa kerajaan atau BTN rombak modul mereka, nafikanlah beberapa modul yang didedahkan ini."

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri Pulau Pinang turut sependapat dengan Selangor, mengharamkan aktiviti BTN di negerinya.

Kerajaan Pusat sendiri dilaporkan mengkaji dan merombak beberapa modul BTN agar tidak bersifat cauvenisme dan selari dengan konsep 1Malaysia.

Segala pendedahan berkaitan doktrin kebencian pada kaum selain Melayu sekaligus memperlihatkan wajah BTN seperti mahukan mesyarakat 1Umno sahaja._harakahdaily.net

Rabu, 2 Disember 2009

Tauliah: Jais didakwa bertindak atas pandangan sebelah pihak

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 2 Dis: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid samad mempersoal tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang bertindak menarik balik tauliahnya berdasarkan pandangan sebelah pihak sahaja.

Khalid dalam satu siang media di lobi parlimen tengahari tadi berkata, meskipun terdapat segelintir pihak yang menyokong tindakan penarikan tauliah itu, namun lebih ramai lagi yang tidak bersetuju dengan tindakan Jais itu.

"Mengapa dia (Pengarah Jais) hanya mendengar pandangan sebahagian dan tidak sebahagian yang lain.

"Hanya mendengar dan bertindak atas desakan orang-orang yang menyokong tindakannya ataupun tidak bersetuju saya memberi khutbah, tazkirah dan kuliah agama sedangkan lebih ramai lagi yang bersetuju saya diberikan kebenaran ataupun tauliah tuk memberikan khutbah," katanya.

Khalid yang juga Yang Dipertua Shah Alam merujuk kepada tindakan sekumpulan penduduk kawasan itu yang menghantar memorandum mengandungi kira-kira seribu tandatangan menyokong tindakan Jais itu.

Isnin lalu pula, memorandum bantahan dari 1013 ahli qariah masjid dan surau sekitar Shah Alam diserahkan kepada Jais membantah tindakan itu.

Khalid turut mendakwa Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin bertindak atas desakan politik Umno BN di Selangor dan menyalahgunakan kedudukannya untuk bertindak secara tidak adil kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

"Tindakan ini memberikan gambaran bahawa Pengarah Jais bertindak atas desakan kepentingan politik kerana kita tahu bahawa dia sebelum ini adalah pebantu kepada Tan Sri Muhammad Taib yang merupakan pimpinan Umno dan selepas itu dia telah dilantik pada zaman Khir Toyo sebagai Pengarah Jais.

"Ini menunjukkan hubungan yang begitu rapat dengan Umno dan dia menyalahgunakan kedudukannya untuk bertindak menyekat pemimpin masyarakat dari PAS untuk mengadakan program-program di dalam masjid," dakwanya.

Beliau juga tidak menolak tindakan Jais itu merupakan salah satu strategi Umno BN untuk merampas Selangor khususnya Shah Alam yang dilihat sangat berharga kepda mereka.

"Umno memang target nak ambil Shah Alam.Shah Alam bagi Selangor satu permata yang penting dan mereka sedang menyusun strategi untuk menentukan bahawa kedua-dua dun atau parlimen jatuh ke tangan mereka.

"Mereka risau pemimpin Pakatan Rakyat Selangor dapat mendekati orang Islam melalui program di masjid dan surau kerana mereka telah menanamkan ke dalam minda orang Islam bahawa Pakatan Selangor anti Islam," tegasnya lagi.

Khalid turut menegaskan bahawa beliau tidak membawa ajaran sesat dan tidak menyentuh soal politik dalam kuliahnya.

"Saya tidak memaksa masjid untuk memanggil saya tetapi mereka yang menjemput saya.Kalau kiranya didapati kuliah saya tidak mantap maka dengan sendirinya mereka tidak akan menjemput saya lagi.

"Biar qariah sendiri yang menilai sendiri mantap atau tidak takziah atau khutbah yang saya sampaikan," tegasnya.

Tauliah sementaranya yang diperoleh pada 10 Julai 2008 ditarik balik pada 8 Oktober 2008 atas alasan beliau mempunyai rekod jenayah tetapi kemudian JAIS mendakwa khutbah yang disampaikan tidak mantap.

Khalid dalam sidang media samaturut menyatakan sokongannya terhadap kaedah yang telah dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menghapuskan kezaliman dengan doa.

"Saya juga nak buat kenyataan menyokong tindakan Tok Guru Nik Aziz berhubung doanya," katanya.

Menurutnya kaedah itu sangat wajar memandangkan Kerajaan Pusat telah sekian lama melakukan kezaliman terhadap rakyat Kelantan.

Selain negeri itu sering di anak tiri dalam menyalurkan bantuan, hak rakyatnya untuk mendapat royalti petroleum turut dinafikan._harakahdaily.net

Penasihat Ekonomi Selangor: Anwar dapat gaji RM1 dan seorang kakitangan

Dzulfikar Mashoor   
SHAH ALAM, 2 Dis: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disahkan sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor dengan gaji RM1, dengan penuh rendah diri hari ini berkata, dia hanya ada sedikit pengalaman sahaja.

"Saya secara peribadi memang tiada pengalaman, kecuali sedikit di (peringkat) Persekutuan dan jadi juru kira-kira di Cheruk Tok Kun (kampung halangannya), tetapi saya akan membantu apa yang perlu," kata Anwar.

Anwar berkata demikian ketika memberikan ucapan alu-aluan selepas menandatangani surat perlantikan itu petang tadi.

Beliau dipercayai menjawab secara sinis tuduhan dan serangan yang dibuat terjadap beliau selepas perlantikannya diumumkan Khalid sebelum ini.
(Gambar: Anwar bercakap dengan Khalid semasa perisytiharan beliau sebagai Penasihat ekonomi Selangor hari ini)
Antaranya, Tun Dr Mahathir yang berkata, Anwar akan bangkrapkan Selangor dan itulah nilai Anwar...RM1 sebagaimana yang dinyatakan oleh seorang pemimpin Umno yang lain.

Perlantikan tersebut diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim ketika menyampaikan ucapan aluan dalam majlis Taklimat Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor.

Anwar yang berucap kemudiannya merakamkan penghargaan kepada Khalid, Pakatan Rakyat serta kerajaan Selangor atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

"Saya dengan rasa rendah diri terima...Saya terima (pelantikan) setelah dapat restu dengan pimpinan Pakatan Rakyat (iaitu) Ustaz Abdul Hadi Presiden PAS dan Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP," jelasnya.

"Kehadiran saya adalah untuk membantu...jadi saya pun kena tandatangan surat jawatan jadi Penasihat Ekonomi Selangor dengan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri."

Beliau turut berikrar untuk memastikan ekonomi Selangor kian kukuh, berdasarkan pengalamannya menjadi Menteri Kewangan era 1990an lalu.

Anwar turut memuji ketelitian dan kejujuran Khalid dalam menguruskan ekonomi negara dalam nada yang cukup mesra.

"Saya begitu akrab dengan Tan Sri Khalid, saya kenal dia sebagai seorang yang tegas walaupun dia adalah ahli parti saya." jenaka Anwar.

"Bila saya kata bagilah RM1 kalau nak sangat saya jadi Penasihat Ekonomi (Selangor), saya ingat beliau akan menolaknya, tapi, beliau kata terima kasih (bersetuju) dan terus lantik saya dengan gaji RM1."

Beliau yang juga Ketua Umum PKR turut mengumumkan kakitangan yang akan membantunya di peringkat kerajaan negeri - Rafizi Hafiz, seorang jurutera dan akauntan yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kanan di Petronas.

Jelasnya lagi, dengan pejabat yang sederhana dan seorang staff, beliau akan cuba meneruskan rundingan dengan beberapa syarikan konsesi air swasta agar agenda 'Merakyat Ekonomi Selangor' berjaya direalisasikan secepat mungkin.

"Dengan pejabat yang cukup sederhana, seorang atau dua staff mungkin kalau saya perlu, saya akan usahakan agar rundingan dengan syarikat konsesi air boleh diteruskan demi rakyat." jelasnya.

_harakahdaily.net

Isnin, 30 November 2009

1013 desak Jais beri tauliah semula kepada Khalid Samad

SHAH ALAM, 30 Nov: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini menerima memorandum bantahan dari 1013 ahli qariah masjid dan surau sekitar Shah Alam bagi membantah tindakan Jais menarik balik tauliah sementara kepada Ahli Parlimen mereka, Khalid Samad (gambar).

Memorandum itu menggesa Jais mempertimbangkan semula tindakan berkenaan.

Wakilnya, Ismahali Ismail berkata, tindakan itu dibuat kerana bagi mereka Khalid Samad merupakan seorang yang berkaliber dalam menyampaikan khutbah mahupun ceramah.

“Tujuan memorandum ini adalah untuk membantah apa yang telah dikatakan oleh Jais dan kami minta pada pihak Datuk Khusrin (Pengarah Jais) dan jugak Jais untuk mempertimbangkan semula tauliah yang berhormat kami.

"Kami berharap, jika ada kesilapan teknikal di mana-mana dapat diperbetulkan dan beliau mendapat semula pertauliahan dan biarlah pertauliahan itu pertauliahan tetap,” kata Ismaheli.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jais, Ahmad Zaki Arshad.

Ahmad Zaki enggan memberi sebarang komen berhubung penyerahan memorandum berkenaan.

Sebelum ini Jais telah menarik balik tauliah Khalid Samad dengan alasan ceramah yang disampaikan beliau tidak mantap.
Ismahali juga  meminta Jais menjelaskan secara profesional sebab-musabah Khalid dilarang menyampaikan khutbah jumaat,
kuliah dan tazkirah di kawasan Parlimennya sendiri.

"Kalau penarikan (tauliah) itu disebabkan penyampaian (khutbah) YB Khalid tak mantap, jelaskan secara profesional di mana kelemahannya
sebab YB Khalid membaca teks khutbah yang disediakan JAIS sendiri," jelasnya.

Beliau juga seorang usahawan korporat menjelaskan bahawa beberapa masjid utama dan surau di sekitar Parlimen Shah Alam masih memohon
Khalid menyampaikan khudbah dan ceramah agama belakangan ini, namun ada halangan dari pihak tertentu dalam Jais sendiri.

"Banyak surau dan masjid sendiri minta YB Khalid beri khutbah dan ceramah, tetapi dihalang pihak tertentu atas alasan tauliah
sementaranya ditarik," jelasnya lagi.

"Sebagai wakil rakyat kita, tentu kita nak dengar khutbah daripadanya...sekarang banyak masalah sosial, sudah tentulah kita
memerlukan seorang pemimpin masyarakat yang lantang dan profesional seperti beliau (Khalid)."

Beliau mendakwa Jais seolah-olah tidak jujur menjelaskan kedudukan isu penarikan tauliah tersebut.

"Setahun sejak tahun lepas, tidak ada masalah...tiba-tiba ditarik balik atas alasan keselamatan dan (Polis) Bukit Aman tak mahu
jelaskannya bila dihubungi.

"Baru-baru ini, Polis berkata, tidak ada apa-apa masalah lagi. Cuma, bila dirujuk kembali kepada Pengerusi Jais, Datuk (Mohammed) Khusrin (Hj. Munawi), dia terluah kata khutbah Khalid tak mantap."
(Gambar: Ismaheli menyerahkan memo membantah penarikan tauliah Khalid Samad)

Ismaheli berharap Jais menilai semula tindakannya menarik tauliah sementara untuk menyampaikan khutbah dan ceramah agama daripada Khalid demi kepentingan Islam dan umatnya.

Bercakap dalam suatu sidang media yang sama, Ketua Pemuda PAS Shah Alam, Ahmad Sayuti Basiron meminta Jais tidak menyalahgunakan kuasa mengeluarkan tauliah agama kepada para pendakwah Islam.
"Kita tak nafi tauliah itu perlu, cuma kita tidak mahu tauliah itu disalahgunakan seperti yang dikenakan ke atas Khalid tanpa suatu
sebab.

"(Jais perlu) jelaskanlah di mana Khalid salah dalam penyampaian khutbah dan dakwah di masjid-masjid serta surau-surau...kalau Jais
jujur kita sendiri boleh sokong keputusan ini."

Seramai 1013 ahli qaryah masjid dan surau seluruh Shah Alam telah menurunkan tandatangan dalam memorandum tersebut sebagai membantah
tindakan Jais ke atas Khalid Samad.

Tindakan ini menjadi salah satu lagi protes rakyat ke atas Jais, setelah kes penangkapan bekas Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainal Abidin sebelum ini disebabkan menyampaikan dakwah tanpa mempunyai tauliah._harakahdaily.net

Ahad, 29 November 2009

BTN: Sharizat dinasihat tumpu selesaikan isu feminisme

Oleh: Dzulfikar Mashoor   
KUALA LUMPUR, 29 Nov: Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh menasihatkan Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil agar segera menyelesaikan isu-isu feminisme berbangkit berkaitan kementeriannya sebelum ini. Baginya, Sharizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak perlu terlalu asyik memperkatakan isu keputusan kerajaan Selangor melarang Biro Tata Negara (BTN) dari mengakses mahasiswa, kakitangan awam dan pekerja sokongan kerajaan itu.
“Saya rasa banyak isu feminisme seperti kes rogol juvana kaum minoriti Penan dibangkitkan (oleh) MP-MP (Ahli-Ahli Parlimen) Wanita PAS (dan) Pakatan Rakyat, tetapi beliau (Shahrizat) tak selesaikan,” jelas Nuridah ketika dihubungi semalam.

Beliau juga menasihatkan Sharizat menangani beberapa isu kezaliman berkaitan pembantu rumah wanita Islam-Indonesia belakangan ini.

“Sebenarnya banyak lagi isu berkaitan wanita kalau nak sebut…(seperti) isu penderaan pembantu rumah Indonesia yang beragama Islam umpamanya, dinafikan hak beramal dengan agamanya,” jelasnya.

“Sampai sekarang saya lihat tidak ada suatu polisi yang jelas untuk lindungi hak-hak mereka (pembantu rumah Indonesia)…yang kita lihat ada saja kes-kes penderaan.”

Dalam isu berkaitan, beliau bersetuju dengan pendirian Dr. Halimah Ali mencadangkan Kerajaan Selangor menghentikan serta-merta kursus BTN ke atas penjawat awam negeri itu.

"Saya setuju dengan Dr. Halimah, Adun Selat Kelang (berhubung) BTN berperanan seolah-olah agensi propaganda perkauman Umno, memburuk-burukkan pembangkang khususnya PAS dengan dakyah perkauman Melayu yang ekstrem,” ujarnya.

“Ianya dikatakan lebih mengutamakan agenda sempit kepartian Umno…(Kerajaan) Selangor ada bukti berdasarkan respon dan keluhan peserta yang ikut serta kursus ketatanegaraan BTN.”

Semalam, Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno berkata, BTN menerapkan semangat patriotisme selari dengan konsep 1Malaysia, bukanlah seperti yang didakwa pembangkang.

Rabu lepas, kerajaan Selangor mengeluarkan arahan serta-merta menglarang BTN menganjurkan program di Selangor kerana mendakwa badan itu melaksanakan indoktrinisasi yang salah.

Ahad, 22 November 2009

Remaja dirogol teman lelaki warga Indonesia

SHAH ALAM - Seorang remaja yang terpedaya janji manis teman lelaki untuk berubat bagi 'membuang sial' dalam dirinya, dirogol dua kali di sebuah rumah kongsi di Ladang Yayasan, Pulau Carey, Banting dekat sini, Selasa lalu.

Mangsa yang berumur 13 tahun itu sanggup mengikut teman lelakinya, warga Indonesia berusia 31 tahun dari rumahnya di Melaka ke Banting dengan menaiki bas sehari sebelum kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Muhammad Radzi Ishak berkata, mangsa terpedaya dengan kata-kata suspek dan tanpa berfikir panjang mengikut pasangannya itu.

“Mangsa yang di bawah umur itu dibawa menginap di rumah suspek dengan alasan upacara perubatan itu akan dilakukan awal pagi di rumah tersebut.

“Bagaimanapun tiada sebarang rawatan membuang sial dilakukan tetapi sebaliknya mangsa dirogol dua kali oleh suspek,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian dekat sini, semalam.

_sinarharian

Khamis, 19 November 2009

651 anak kariah Shah Alam tandatangan memo bantah Jais


SHAH ALAM : Seramai 651 anak Kariah masjid dan surau Parlimen Shah Alam memberi sokongan bahawa khutbah yang telah disampaikan oleh ahli Parlimen mereka,  Khalid Samad adalah mantap.
Kesemua 651 anak kariah itu menandatangani satu memorandum bagi membantah tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menarik balik tauliah yang diberikan kepada Khalid sebelum ini.

Alasan yang diberikan Jais adalah kerana khutbah yang disampaikan Khalid tidak mantap.

Memorandum ini diserahkan wakil mereka Mohd Jamil bin Abd Rahim yang juga Pegawai  Khas Ahli Parlimen Shah kepada Haji Izham bin Hashim, ahli Majlis Bandaraya Shah Alam untuk diserahkan kepada Jais.

"Menurut pemerhatian kami yang pernah mengikuti ceramah, kuliah, seminar, tazkirah dan khutbah yang disampaikan oleh YB Hj Khalid Bin Abd Samad, kami dapati penyampaiannya amat mantap, jelas  dan bertepatan dengan nas-nas Al-Quran dan Hadis," tulis memorandum yang ditandatangani mereka itu.

Memorandum itu juga berbunyia, "Kami Ahli Kariah Masjid/Surau Parlimen Shah Alam dengan ini membantah tindakan Pengarah Jais menarik balik tauliah sementara ke atas YB Hj Khalid Bin Abd Samad dengan alasan  khutbahnya tidak mantap."

"Oleh itu kami berharap pihak Jais yang bertanggungjawab terhadap Institusi Agama di negeri  Selangor tidak menjadi batu penghalang kepada usaha dan kerja-kerja dakwah."

Sehubungan dengan itu, mereka meminta agar urusan memberi tauliah di negeri Selangor dipermudahkan dan tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak demi perkembangan dakwah Islam di negeri yang tercinta  ini.

Selasa, 17 November 2009

S'gor digesa boikot program BTN

Salhan K Ahmad

Selangor digesa supaya berhenti menghantar mahasiswa di pusat pengajian tinggi milik kerajaan negeri ke program anjuran Biro Tata Negara (BTN) kerana ia didakwa menyemai sentimen perkauman di kalangan pelajar.

Sekumpulan ADUN muda Pakatan Rakyat Selangor menggesa pemulauan program agensi bawah Jabatan Perdana Menteri itu melalui satu surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

ezam leave pkr pc 280607 amir sariADUN Batu Caves, Amirudin Shari berkata bantahan itu dibuat memandangkan sebahagian pengisian program berkenaan didapati tidak berkaitan dengan usaha pemupukan nilai-nilai kenegaraan atau penyebaran ilmu.

"Sebaliknya ia merupakan program politik kepartian Umno-BN dan perkauman semata-mata," kata wakil rakyat PKR itu sebagai jurucakap kumpulan ADUN tersebut kepada media selepas persidangan DUN hari ini.

Wakil-wakil yang turut hadir pada sidang media itu, Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang).

"Justeru kita berpandangan kerajaan negeri perlu bertindak untuk mengarahkan jemaah (senat) universiti untuk menghalang pelajar daripada menghadiri program BTN," kata Amirudin, yang juga naib ketua Angkatan Muda PKR, lagi.

Pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan Selangor termasuk Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Inpens.

Amirudin juga memberikan alasan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) juga tidak mewajibkan pelajar menghadiri program anjuran biro berkenaan.

"Tapi sepanjang pengalaman saya di universiti dan saya percaya perkara ini turut dipropagandakan kepada para pelajar, mereka perlu hadir program BTN.

"Jika tidak, mereka tidak akan lulus. (Dakwaan) ini sesuatu penipuan," tambahnya ketika membacaknya kenyataan bersama mereka.

"Peserta kursus didoktrinkan dengan propaganda tentang ketuanan Melayu dan ancaman (negara) luar dan tidak diberikan ruang untuk mencabar propaganda tersebut memandangkan programnya berjalan secara satu hala sahaja."

Seorang lagi wakil rakyat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata, sebagai seorang pelajar tajaan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), beliau sendiri - yang pernah mengikuti program BTN - mendapati ia tidak sepatutnya wujud apabila kerajaan sedang bercakap tentang 1Malaysia.

"Sepanjang program tersebut, apa yang ditekankan adalah (parti) Keadilan ini, Anwar adalah ejen Yahudi, DAP adalah parti ejen Singapura dan PAS adalah parti ajaran sesat," katanya.

"Itu saja yang disertakan dalam modul mereka yang bersifat politik kepartian yang sepatutnya tidak wujud sebagai satu program bawah JPM."

Tambahnya, peserta juga "dimomokkan" tentang tentang "ancaman orang Cina" dalam program yang disertainya itu.

"Ada beberapa mahasiswa (berbangsa) Cina yang hadir (dalam program tersebut).

"Saya boleh bayangkan betapa mereka rasakan diri mereka begitu takut dalam situasi tersebut kerana modulnya sendiri bersifat perkauman," katanya.
Menangi iPod Shuffles dan Hadiah Lumayan Lain! Sertailah Kaji Selidik Sekarang!

_malaysiakini bm

Isnin, 16 November 2009

Khalid: Umno puji kejayaan Pakatan tadbir S'gor

Abdul Rahim Sabri

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa Tan Sri Muhammad Muhd Taib - bekas menteri besar Umno - mengakui bahawa perubahan dan kepimpinannya yang membuat reformasi di Selangor, menyukarkan parti itu untuk menguasai semula negeri itu.

Khalid yang juga pengerusi PKR negeri mendakwa Mat Taib telah berjumpa dengannya beberapa hari sebelum konvenshyen ini berlangsung.

"Dua tiga hari yang lepas, Tan Sri Muhd Taib datang jumpa saya, dia kata 'Khalid kalau macam ini habis lah kita'.

"Kalau macam ini, bekas menteri besar itu kata, 'wah dalam masa 20 tahun kami memerintah, dalam masa 20 bulan kamu boleh tunjukkan keupayaan PKR. Ini satu penghormatan kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menggulung konvensyen PKR Selangor di Dewan Jubli Perak Shah Alam petang ini.

Muhammad Muhd Taib menjadi menteri besar Selangor selama 11 tahun mulai 1986.

Dalam pertemuan itu, beliau mendakwa Muhd Taib (kanan) mahu bekerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk membangunkan rakyat dan ekonomi rakyat luar bandar di negeri itu.

"Tapi kita kata nanti dulu. Saudara tahu tentang reformasi atau tidak. Kalau saudara tidak faham tentang reformasi, nanti saya susah. Kalau orang dalam tidak reti, tambah lagi orang luar," katanya sambil disambut gelak ketawa kira-kira 500 perwakilan.

Dalam ucapannya juga, Khalid juga turut menyentuh mengenai perletakkan ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah yang mengisytiharkan keluar daripada PKR dan menjadi 'mesra BN' akhir bulan lalu.

Katanya, tindakan Badrul Hisham itu tidak melemahkan parti itu untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Badrul bila lompat di Pelabuhan Klang, macam kita hilang satu parti. Ia tidak ada kena mengena. Dia hilang pun kita tak tahu. Kita pun tak kisah dia hilang.

"Hendak hilang, hilanglah tak jadi masalah. Itu kekuatan kita. Yang jadi masalah orang yang belah sana... Kalau (Datuk Seri Dr Mohd) Khir Toyo rasa Badrul adalah kawannya, tahap dia (pun) macam Badrullah," katanya mengundang gelak ketawa hadirin sekali lagi.

Khalid yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak turut menyentuh kejayaan Pakatan Rakyat mengurus dan mentadbir Selangor dalam usaha untuk merakyatkan ekonomi negeri itu.

Katanya, kejayaan membawa perubahan dalam negeri Selangor telah mendapat pujian rakan dan lawan bahawa PKR dan Pakatan Rakyat boleh mentadbir negeri ini, hasil usaha bekerja dalam satu pasukan.

"Sokongan menggembirakan daripada rakyat, dan mereka merasakan kita sebahagian daripada mereka.

"Sokongan daripada DAP dan PAS, walaupun ada soal-soal yang cuba melagakan kita, cuba menimbulkan keadaan yang tak tenteram, tetapi kita dapat bekerja dalam satu pasukan," katanya.

Khalid berkata, kejayaan PKR dalam melakukan reformasi di negeri itu akan lebih nyata sekiranya dapat bekerja dalam satu pasukan.

_malaysiakni bm

Ahad, 15 November 2009

Azmin dakwa orang dalam KSSB terlibat curi pasir

SHAH ALAM, 15 Nov: Ahli Parlimen Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali mendakwa beberapa pihak daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB:), syarikat diamanahkan Kerajaan Negeri menguruskan aktiviti melombong pasir dipercayai terlibat menjadi dalang kes curi pasir di negeri itu.

Mohamed Azmin sepeti dilapor akhbar Sinar Harian berkata berkata, laporan polis telah dilakukan berhubung perkara berkenaan dan kini beliau sedang mengumpul bukti bagi memastikan pihak yang terlibat dikenakan tindakan sewajarnya.

“Saya menerima aduan mengenai kecurian pasir yang menggunakan lori KSSB. Jadi saya nak tahu siapa yang terlibat dan apa tindakan yang akan dikenakan.

“Saya akan dapatkan salinan dan serahkan Kerajaan Negeri untuk teruskan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Dewan Negeri ditangguhkan, semalam.

Beliau berkata, perkara ini harus ditangani berikutan kegiatan curi pasir semakin berleluasa dan hanya menjejaskan pendapatan dan hak rakyat negeri ini.

“Sama ada orang dalam atau orang luar curi tetap curi dan tindakan mesti diambil,” katanya.

Sementara itu, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, beberapa wakil daripada KSSB telah dipanggil membuat penjelasan.

“Kita telah putuskan dan mengeluarkan notis bahawa mana-mana tanah persendirian yang didapati terlibat dalam kegiatan curi pasir akan dirampas.

“Notis 7A akan dikeluarkan supaya mereka menghentikan kegiatan berkenaan. Jika tiada sebarang tindakan, kita akan rampas tanah mereka,” katanya.

Yaakob berkata, setakat ini terdapat beberapa kes kecil kegiatan curi pasir telah dikenal pasti manakala terdapat empat tanah persendirian di kawasan Dengkil dirampas Kerajaan Negeri.

“Terdapat kes-kes kecil yang sudah dikawal tetapi tidak banyak.

“Setakat ini empat kawasan di Dengkil telah dirampas semula. Saya akan terus jalankan siasatan dan berharap supaya Azmin dapat bantu saya,” katanya._ Harakahdaily

Isnin, 9 November 2009

K'jaan S'gor beli hutang Talam Corporation

Salhan K Ahmad

Kerajaan Selangor "membeli" hutang daripada sebuah anak syarikatnya Talam Corporation untuk meningkatkan pendapatan negeri itu kepada RM392 juta melalui syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang baru dinaik taraf sebagai syarikat utama.

Langkah ini yang diluluskan melalui bajet tambahan kerajaan negeri dalam DUN Selangor hari ini, juga akan membolehkan MBI mengambil alih pengutipan hutang daripada syarikat berkenaan ke atas beberapa anak syarikat kerajaan negeri yang tertunggak sejak 10 tahun lalu.

DUN yang bersidang sebagai jawatankuasa hari ini bersetuju untuk memasukkan hutang tersebut sebagai satu peruntukan kerajaan negeri, kata menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam sidang media petang ini.

Katanya, bebanan hutang berkenaan kini telah dipindahkan kepada kerajaan negeri secara geran manakala MBI yang dahulunya berada di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), kini diberikan lebih kuasa untuk memungut hutang berkenaan.

Tambahnya, anak-anak syarikat kerajaan negeri itu, termasuk di bawah KDEB, dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), diberi masa selama tiga bulan untuk melangsaikan hutang tersebut kepada MBI.

Khalid menjelaskan, langkah penstrukturan itu tersebut perlu dilakukan untuk mengikut tatacara dan ini telah menyelesaikan isu ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam mentadbir perbendaharaan kerajaan negeri.

"Saya akan buktikan kita ada banyak sumber yang kita telah buka dan dapatkan kembali," kata Khalid yang turut menjelaskan persetujuan telah dicapai antara kerajaan negeri dan anak syarikat tersebut untuk memindah hutang itu dalam satu perjanjian.

"Hutang ini telah berlaku sejak 10 tahun lalu tapi tak pernah dikutip... Sebelum ini amaun hutang tersebut tidak pernah diiktiraf sepenuhnya atau direkod dengan teliti dalam kewangan anak-anak syarikat kerajaan negeri," katanya.

Katanya lagi, menteri besar BN sebelum ini juga "gagal mengatur keutamaannya" dalam mengurus kewangan negeri itu.

"Bukan sahaja tidak mengutip hutang anak-anak syarikat malah guna untuk perbelanjaan Balkis dan lawat-melawat," katanya lagi.

Tambahnya, kerajaan Selangor juga tidak akan membuang masa "membeli penyapu untuk memungut hutang yang hanya beberapa juta ringgit" di pejabat daerah dan PBT, seperti yang dilakukan bekas menteri besar Datuk Seri Khir Toyo sebelum ini.

"Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor bertekad untuk meneruskan usaha bagi memastikan semua urusan perniagaan dan perbelanjaan yang boleh memberi keuntungan maksimum kepada rakyat dan usaha ini termasuk pelunasan hutang," katanya. _malaysiakini bm

Selasa, 3 November 2009

Polis dakwa wakil PAS ada 'rekod jenayah'

Salhan K Ahmad

Ahli parlimen Shah Alam tersepit apabila didakwa mempunyai "rekod jenayah" tetapi sehingga kini gagal mendapatkan penjelasan polis berkenaan perbuatan jenayah yang telah dilakukannya.

Akibat "rekod jenayah" beliau itu, Khalid Samad tidak diberikan tauliah menyampaikan kuliah agama di Selangor walaupun beliau mendapat kelulusan awal daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dalam surat jabatan itu bertarikh 10 Julai 2008, pemimpin PAS itu diberikan tauliah mengikut kategori-kategori D1 (boleh mengajar atau berceramah) dan D2 (mengajar fardhu ain atau berkitab).

Kebenaran itu bagaimanapun dibatalkan olej Jais dalam suratnya 28 Oktober 2008 susulan tapisan keselamatan polis Selangor mendapati Khalid, adik kandung bekas menteri Datuk Shahrir Samad, mempunyai "rekod jenayah."

Setelah Khalid meminta penjelasan dalam suratnya hujung September lalu, polis Selangor berkata semakan polis Bukit Aman mendapati beliau mempunyai "rekod jenayah".

Jenis jenayah yang didakwa dilakukan oleh bekas ahli jawatankuasa pusat PAS itu tidak pula dinyatakan dalam surat ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Selangor bertarikh 27 Oktober 2009 kepada beliau - yang diterima semalam.

Bercakap dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Khalid menulis kepada IPK untuk mendapatkan butiran mengenai "jenayahnya" itu.

"Saya minta mereka jelaskan, apa rekod saya... Tetapi saya difahamkan mereka tidak dapat beri rekod untuk orang perseorangan, walaupun yang minta itu tuan punya badan sendiri," katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan Jais tidak meluluskan permohonannya untuk mendapatkan tauliah "terlalu berbau politik."

"Ini juga mengejutkan sebab (Jais) sebelum itu sudah akui kemampuan saya untuk mengajar agama," katanya lagi.

_malaysiakini bm

Isnin, 2 November 2009

Pendakwaan besar-besaran SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan pendakwaan besar-besaran terhadap ahli politik dan pembantu mereka di Selangor berhubung isu rasuah.

Lima orang termasuk seorang ahli parlimen, dipercayai BN, dan pembantu khas seorang exco Selangor, dikehendaki hadir jam 8.30 pagi esok di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Seorang bekas pegawai khas menteri besar Selangor Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, juga diseret berhubung dakwaan menyeleweng RM50,000.

Wong Chuan How - seorang pembantu khas Ronnie Liu, exco kerajaan Selangor di DUN Sungai Pelek - termasuk antara lima orang tersebut.

Beliau disiasat SPRM mulai 14 Ogos lalu berhubung salah guna wang peruntukan kerajaan negeri di kawasan DUN tersebut.

Kenyataan mengejut SPRM berhubung pendakwaan itu yang dikeluarkan awal malam ini tidak menyebut sebarang nama tertuduh kecuali Wong.

Seorang pengarah syarikat juga bakal dituduh di mahkamah sama berhubung tuntutan palsu di pejabat daerah Hulu Langat bagi program-program di DUN Teratai tahun lepas.

Kecuali Wong dan pengarah syarikat tersebut, ahli parlimen tersebut, pembantunya dan bekas pegawai khas menteri besar telah ditahan oleh SPRM.

Semuanya dituduh bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 kecuali bekas pegawai Abdul Khalid yang bakal didakwa bawah Kanun Keseksaan.

Wong juga akan dituduh atas dua kesalahan pecah jenayah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Berikut kenyataan penuh SPRM:

Bekas ADUN dan pembantu ditangkap SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menangkap seorang bekas ADUN dan pembantunya atas kesalahan di bawah Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997.

Bekas ADUN tersebut yang kini seorang Ahli Parlimen ditangkap atas kesalahan mengemukakan invois-invois yang mengandungi butiran matan palsu semasa beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi melaksanakan satu program yang tidak dijalankan. Manakala itu, pembantu beliau ditangkap atas kesalahan bersubahat dengan bekas ADUN berkenaan dalam membuat tuntutan bagi program yang sama.

Kedua-dua mereka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pagi 3 November 2009 (esok).

Bekas pegawai MB Selangor ditangkap SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menangkap seorang bekas Pegawai Menteri Besar Selangor pada 2 November 2009 atas kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Beliau ditangkap kerana disyaki menipu dan memperdayakan seorang presiden sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Negeri Selangor bagi tujuan pembiayaan sebuah majlis anjuran Kerajaan Negeri berkenaan. Nilai yang terlibat adalah sebanyak RM50,000.00.

Beliau akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pagi 3 November 2009 (esok).

Pembantu khas exco Selangor dituduh SPRM (Wong Chuan How)

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menuduh seorang pembantu khas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor di bawah Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997 dan Kanun Keseksaan.

Beliau akan dituduh atas kesalahan mengemukakan invois yang mengandungi butiran matan palsu kepada Pejabat Daerah Sepang bagi membekalkan barangan sempena program Hari Kemerdekaan tahun 2008 yang mana tidak dibekalkan. Beliau juga akan dituduh di atas dua (2) kesalahan pecah jenayah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan kes ini akan dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pagi 3 November 2009 (esok).

Pengarah syarikat dituduh membuat tuntutan palsu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor akan menuduh seorang pengarah syarikat atas kesalahan di bawah Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997.

Beliau akan dituduh atas kesalahan mengemukakan invois-invois yang mengandungi butiran matan palsu kepada Pejabat Daerah Hulu Langat bagi membekalkan barangan dan keperluan bagi program-program di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Selangor pada tahun lepas sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.

Pertuduhan kes ini akan dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pagi 3 November 2009 (esok).

_malaysiakini bm