Sahabat Purnama

Memaparkan catatan dengan label Isu SPRM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu SPRM. Papar semua catatan

Ahad, 22 November 2009

Kes Teoh Beng Hock

Bedah siasat kedua Teoh selesai

Bedah siasat kedua ke atas mayat mendiang Teoh Beng Hock di Hospital Sungai Buloh, mengambil masa kira-kira dua jam dan selesai dijalankan pada kira-kira jam 3.30 petang tadi.


Keluarga mendiang Teoh dan dua adik beradiknya kelihatan ceria ketika ditemui petugas media, yang tidak dibenarkan menghampiri jabatan forensik di situ.

Saudara perempuan mendiang, Lee Lan berkata bedah siasat itu berjaya dilakukan dan keluarganya telah diberi taklimat mengenainya oleh pakar patologi Thai, Dr Porntip Rojanasunand.

Bagaimanapun, Lee enggan memberi sebarang butiran sama ada terdapat bukti baru yang ditemui mengenai kemungkinan wujud unsur-unsur jenayah.

"Tungu bila inkues (Teoh) disambung 9 Disember," katanya sambil berkata beliau tidak pasti sama ada laporan bedah siasat akan diumumkan.

Manakala saudara lelaki mendiang, Beng Kee berkata keluarganya tidak memahami aspek-aspek tentu taklimat Dr Porntip kerana ia banyak membabitkan istilah perubatan.


Ketika ditemui wartawan ketika hendak beredar dari hospital tersebut, Dr Porntip (kanan sekali) hanya berkata: "Tiada komen".

Mendiang Teoh ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Musalam di Shah Alam pada 17 Ogos lalu, sehari selepas dia disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Malaysia (SPRM).

Kerajaan kemudiannya mengarahkan diadakan inkues berhubung kematian mendiang Teoh dan keterangan Dr Porntip telah mendorong keluarganya meminta bedah siasat kedua dijalankan.

Dr Porntip memberitahu inkues tersebut bahawa berdasarkan foto dan laporan bedah siasat pertama, beliau mengesyaki 80 peratus kemungkinan kematian mendiang Teoh adalah homisid.

Pakar patologi terkemuka Thai itu yang bertugas dengan Jabatan Kehakiman negara itu, hadir memantau bedah siasat hari ini bagi pihak kerajaan Selangor.


Manakala SPRM pula mendapatkan khidmat pakar patologi Britain, Dr Peter Venezis (kanan) yang terkenal dengan siasatannya terhadap kematian Puteri Diana.

Mayat mendiang Teoh digali semula dari tanah perkuburan di Semenyih semalam dan saudara perempuannya berkata keluarga merancang untuk mengkebumi semula mayat mendiang esok.

Bedah siasat tersebut dilakukan oleh Dr Khairul Aznam dan Dr Prashant Samberker yang memberitahu inkues kematian Teoh bahawa mendiang membunuh diri.

Seorang lagi pakar patologi, K Saravanan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, ditugaskan merakamkan gambar bedah siasat tersebut.


Sementera itu, peguam keluarga mendiang Teoh, Gobind Singh Deo mendakwa sekumpulan individu yang tidak dikenali mengekori Dr Porntip sejak semalam dan menggesa mereka supaya tampil ke hadapan.

"Sejak petang Jumaat, beberapa buah kereta mengekori beliau balik ke hotel dan kemudiannya ke tanah perkuburan di Semenyih semalam (tempat mayat Teoh digali semula)," katanya.

Menurutnya lagi, sejak itu, pihak polis telah menugaskan beberapa anggotanya memantaunya sejak dimaklumkan mengenainya semalam.

_malaysiakini bm

Sabtu, 21 November 2009

Mayat Teoh digali semula hari ini

Mayat Teoh Beng Hock digali semula hari ini dalam satu upacara yang diadakan di Taman Peringatan Nirvana di Semenyih, Selangor.

Selepas upacara itu dijalankan, pekerja berhati-hati menggali kubur Teoh selama kira-kira sejam sebelum keranda dibawa naik pada kira-kira jam 9.40 pagi.


Keranda tersebut kemudiannya dibawa keluar dari tanah perkubuhan itu pada kira-kira jam 11.15 pagi selepas selesai upacara sembahyang dan proses disinfeksi.dilakukan.

Kesemua itu dilakukan di sebalik kain pengadang besar di sekeliling kubur Teoh.

Sebelum itu, polis menutup kawasan sekitar 30 meter dari situ dengan memasang pita kuning.

Hanya segelintir sahaja yang dibenar menyaksikan keranda Teoh digali semula, termasuk dua adik beradik Teoh dan peguam keluarga tersebut, Gobind Singh.

Turut hadir ialah pakar patologi Thai, Dr Porntip Rajanasunand yang mana keterangannya di inkues kematian Teoh telah membawa kepada kubur Teoh digali semula untuk dilakukan bedah siasat kedua.

Dr Porntip, yang dibawa oleh kerajaan negeri Selangor, mendakwa dalam keterangannya itu bahawa berdasarkan foto dan laporan bedah siasat pertama, beliau mendapati ada kemungkinan 80 peratus punca kematian Teoh adalah homisid, dan 20 peratus bunuh diri.


Gobind berkata mayat Teoh 'dalam keadaan baik' dan mengucap terima kasih kepada Taman Peringatan Nirvana dan polis kerana bantuan mereka.

Bagaimanapun, beliau hairan mengapa tiada seorang wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir pagi ini.

"Mereka sepatutnya menghantar wakil. Saya tidak nampak seorang pun, tetapi ia terpulang kepada budi bicara mereka," tambahnya.

Mayat Teoh dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dilakukan bedah siasat kedua.

Keluarganya tidak menghadiri upacara mayat Teoh digali semula tetapi menunggu ketibaan manyatnya di Hospital Sungai Buloh.


Isterinya, Soh Cher Wei juga tidak hadir kerana pantang larang disebabkan dia sedang mengandung.

Bekas majikan Teoh - exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah - berkata dia merasa tenang mengenai kerja-kerja menggali semula mayat Teoh.

"Saya tenang kerana sebahagian besar rakyat Malaysia percaya bahawa Teoh adalah mangsa homisid dan dia tidak membunuh diri," katanya.

Bagaimanapun, beliau membidas SPRM kerana menggunakan khidmat pakar patologi dari Britain untuk meneliti bedah siasat kedua itu.
"Saya ingin tahu berapa banyak mereka bayar kepada pakar patologi British itu. It menunjukkan SPRM tidak yakin dengan pakar patologi tempatan," tambahnya.

SPRM sebelum ini mengumumkan bahawa suruhanjaya itu akan mendapatkan khidmat pakar patologi Britain, Dr Peter Vanezis, yang memberi kesimpulan yang berbeza dan kontroversi berhubung keputusan Puteri Diana.

Seperti juga Dr Porntip, Vanezis hanya boleh memerhati bedah siasat kedua dilakukan kerana undang-undang Malaysia hanya membenarkan doktor tempatan melakukannya.

Bedah siasat kedua itu akan dilakukan oleh Dr Shahidan Md Noor dari Hospital Sungai Buloh. Beliau turut hadir ketika mayat Teoh digali semula, begitu juga dengan Dr Khairul Aznam dan Dr Prashant Samberker yang melakukan bedah siasat pertama dan membuat kesimpulan bahawa Teoh membunuh diri.

Perkhidmatan Dr Porntip adalah percuma kerana beliau merupakan kakitangan awam dan berada di sini atas urusan kerajaan dengan kerajaan.

Beliau adalah ketua pengarah Institusi Forensik Sains Pusat, yang terletak di bawah bidangkuasa Kementerian Kehakiman Thailand.

Kira-kira 50 petugas media, ramai daripada berpakaian hitam sebagai tanda menghormat upacara hari ini, hadir membuat liputan. Kira-kira 30 anggota polis turut berada di tempat itu. _malaysiakini bm