Sahabat Purnama

Memaparkan catatan dengan label Isu semasa - Royalti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu semasa - Royalti. Papar semua catatan

Selasa, 15 Disember 2009

Royalti: Cuti umum berbaju merah

Nazri Abdullah   
KUALA LUMPUR, 15 Dis: Gerakan Menuntut Royalti Petroleum Rakyat Kelantan (GMRPRK) menyeru penyokong mereka memakai baju berwarna merah setiap cuti umum sebagai membantah tindakan kerajaan pusat menafikan hak royalti rakyat Kelantan.

Mereka dalam satu kenyataan memberitahu, 'Hari Berbaju Merah' disarankan setiap hari Ahad bagi penduduk luar Kelantan dan hari Jumaat untuk rakyat di negeri itu.

"Pakai baju merah dan berkumpul ramai-ramai di kedai kopi, shopping kompleks dan sebagainya dan ambil photo untuk di letakkan di dalam laman group," kenyataan mereka dipetik.

Difahamkan mereka juga telah mengadakan perjumpaan sulung Sabtu lalu di sebuah tempat di Kota Bharu.
Selain baju, beberapa bahan cetak berkaitan maklumat tuntutan royalti juga telah disiapkan dan diedar khususnya melalui laman blog dan laman sosial facebook.

Sebelum ini, wakilnya Hasani Mohamed memberitahu, pihak mereka akan melancarkan satu laman web rasmi berkaitan tuntutan royalti Kelantan sebagai usaha menyalurkan maklumat kepada rakyat.

Laman web yang sudah siap dibangunkan itu akan memuatkan himpunan maklumat berkaitan fakta, kronologi dan langakah seterusnya yang akan di ambil kerajaan negeri dalam usaha mendapatkan bayaran royalti yang berjumlah 1 billion.

Ianya akan beroperasi sedikit masa lagi menggunakan alamat www.royaltikelantan.com dan akan memusatkan segala maklumat berkaitan tuntutan royalti Kelantan.

Menuruntnya GMRPRK juga sedang mengusahakan siri jelajah seluruh kelantan bagi memberi penerangan kepada rakyat berkaitan tuntutan hak royalti.

Sebelum ini mereka telah memulakan kempen mengumpul suara rakyat agar bersama menyokong usaha kerajaan Kelantan menuntut royalti.

Kempen yang dimulakan Ogos lalu melalui laman sosial Facebook itu telah berjaya mengumpul ribuan ahli dari seluruh negara.

Gerakan Menuntut Royalti Petroleum Rakyat Kelantan (GMRPRK) merupakan pakatan generasi anak muda yang membentuk solidariti untuk menyatakan sokongan terhadap tuntutan royalti petroleum Kelantan yang dinafikan oleh Kerajaan Pusat.

Selain itu mereka juga berperanan khusus sebagai pemasaran dan penggemblengan massa untuk rakyat kebanyakan menyatakan solidariti ke atas kempen royalti Kelantan._harakahdaily.net

Isnin, 30 November 2009

Royalti: Ku Li sedia hadir program penerangan di Kelantan

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 30 Nov: Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah akan memberikan penerangan kepada rakyat berhubung isu royalti Petroleum Kelantan yang menjadi perdebatan hangat ketika ini.

Bekas pengerusi Petronas itu berkata, beliau mungkin akan menghadiri ceramah umum yang akan diadakan satu kumpulan di Kelantan untuk memberikan penerangan berhubung isu itu.

Beliau bagaimanapun menegaskan hanya akan hadir ke program yang akan diadakan itu jika ianya tidak ada kaitan dengan politik sebaliknya menyentuh kepentingan rakyat.

"Suatu hari nanti kalau jadi saya akan beri penerangan yang jelas di Kelantan.Katanya kumpulan di Kelantan nak menganjurkan ceramah umum.Nanti saya beri penjelasan.

"Saya nak tengok supaya ini tiada kaitan dengan politik supaya ianya menyentuh kepentingan orang ramai.Kalaulah sepakat semua pihak nak adakan penjelasan secara umum, saya akan hadir," katanya ketika ditemui pemberita di lobi parlimen siang tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebelum itu ditanya berhubung keputusannya samaada akan mempengerusikan kaukus Pakatan Rakyat (PR) yang dibentuk bagi membincangkan pertikaian royalti minyak khususnya kepada Kelantan.

Menjawab pertanyaan itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau boleh membuat keputusan sendiri berhubung jemputan itu.

"Saya tak perlu terlalu banyak berfikir bekenaan jemputan ini. Saya sudah dewasa, saya boleh berfikir sendiri," katanya.

Beliau turut menegaskan, isu royalti petroleum tiada kaitan dengan mana-mana parti politik tetapi ianya melibatkan rakyat.

Minggu lalu, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa agar Tengku Razaleigh yang merupakan bekas Naib Presiden Umno, agar mempertimbangkan dengan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan berhubung jemputan itu.

Tengku Razaleigh juga berkata, kaukus itu perlu melibatkan semua ahli parlimen tanpa mengira parti.

Pada 18 November lalu pemimpin-pemimpin PR mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh bagi meminta beliau mempengerusikan satu kaukus mengenai pertikaian wang royalti minyak membabitkan kerajaan persekutuan dan Kelantan.

Malah pada minggu lalu, Tengku Razaleigh memberitahu wartawan bahawa beliau akan mempertimbangkan permintaan PR memandangkan pernah terlibat dalam "urusan minyak" sejak penubuhan Petronas dan penggubalan undang-undang yang berkaitan.

Sehubungan itu katanya, beliau akan memainkan peranan bagi menyelesaikan isu itu "jika ia benar-benar adalah satu masalah."

Tengku Razaleigh telah terlibat secara langsung dalam menggubal Akta Pembangunan Petroleum 1974 bersama Tun Salleh Abas._harakahdaily.net

Isnin, 9 November 2009

Royalti jadi ehsan satu perbuatan khianat dan jahat

KUALA TERENGGANU, 9 Nov: Perbuatan mengubah pembayaran royalti minyak kepada wang ehsan yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional kepada negeri Terengganu dan Kelantan adalah satu pengkhianatan yang jahat.

Penasihat Lajnah Guaman dan Undang-undang PAS Terengganu, Datuk Wan Mutalib Embong berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam yang dianjurkan oleh DUN Alor Limbat disebuah restoran dekat sini semalam.

"Sepertimana apa yang dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Najib di Parlimen dua hari lepas, dia (Najib) kata, kita dah buat keputusan supaya hasil minyak yang dapat di perairan Kelantan itu di beri kepada rakyat Kelantan, tetapi cara dia kata, seperti mana kita beri kepada Terengganu iaitulah melalui wang ehsan.

"Ini pengkhianatan dan jahat yang paling jahat!,"katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam yang dianjurkan oleh DUN Alor Limbat disebuah restoran dekat sini semalam lapor Buletinonline.

Menurutnya, Najib juga sehingga kini tidak mengotakan janjinya untuk memulangkan royalti minyak Terengganu, sewaktu berkempen dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Katanya, pemberian royalti bukan hak peribadi Najib, namun soal pemberian royalti adalah undang-undang menurut Akta Pembangunan Petroleum 1973.

"Bukan soal bagi (beri royalti), bukan soal hak 'tok' dia, bukannya hak 'bapak’' dia, ini undang-undang, dalam undang-undang Akta Pembangunan Petroleum 1973,"tegasnya.

Menurutnya, akta tersebut memperuntukkan setiap penyerahan hasil minyak kepada kerajaan pusat mestilah dibalas dengan pemberian royalti sebanyak 5% dan perkataan 'lima peratus' itu ditulis dengan terang dan jelas._harakahdaily

Royalti: Nik Aziz akan hantar surat kedua kepada Najib

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi akan menghantar satu surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar satu rundingan diadakan supaya kerajaan pusat menukar pemberian wang ehsan kepada royalti.

Sebelum ini, perkara sama dilakukan Nik Aziz sewaktu kali pertama menuntut bayaran royalti negeri itu.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa ketika memaklumkan perkara itu optimis Najib akan membayar royalti berkenaan setelah berunding dengan kerajaan negeri.

Beliau juga yakin keputusan Najib untuk memberikan wang ehsan kepada rakyat Kelantan adalah disebabkan tekanan daripada puak Barisan Nasional di negeri itu yang tidak mahu royalti diberikan kepada rakyatnya.

“Saya yakin Datuk Najib selepas berunding dengan kerajaan Kelantan akan tetap membayar royalti kepada negeri.

"Sekarang saya yakin Najib hanya lakukan satu step pertama (bagi) mengendurkan tekanan politik daripada orang-orang politik Kelantan yang menghendaki bayaran itu tidak dilakukan.

"Ini permainan politik semata-mata, ia bukan berasas kepada undang-undang,” tegasnya dalam sidang media di lobi parlimen siang tadi.

Beliau hadir parlimen hari ini bagi mendengar sendiri penggulungan perbahasan pada peringkat Jabatan Perdana Menteri oleh Menterinya, Tan Sri Nor Ya’kub mengenai perkara ini.

Beliau berkata, isu tiga batu nautika untuk melayakkan negeri pengeluar mendapat royalti adalah satu hujah yang tidak berasas kerana syarat itu tidak termaktub dalam Akta Petroleum 1974.

“Beliau akan sentuh semula mengenai royalti dan satu hujah yang digunakan (ialah ) ialah tiga batu nautika yagn tidak ada dalam mana-mana undang-undang. Kalau kita tengok undang-undang negara kita, yang ada hanyalah dua belas batu nautika. Tapi akta petroleum mengatasi segala undang-undang,” katanya.

Beliau meminta perbahasan akta petroleum di Dewan Rakyat pada November 1975 oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu Tun Rahman Yaakob dirujuk kembali.

Tun Rahman ketika itu menekankan dua unsur penting dalam akta petroleum 1974.

“Bahawa beliau menekankan akta itu mempunyai dua unsur penting.Yang pertama kuasa petroleum sebelum akta ini adalah terletak di bidang kuasa negeri-negeri, sejak sebelum kita menyertai Malaysia dan Persekutuan Tanah Melayu.

"Negeri Kelantan sama seperti Sarawak, (iaitu) negeri berdaulat dan mempunyai kuasa di atas petroleum dan kuasa ini hanya boleh diserahkan melalui satu perjanjian, dan perjanjian adalah mengikut akta 1974,” jelasnya.

Unsur yang kedua pula jelasnya adalah selepas negeri meyerahkan hak ini, adalah menjadi tanggungjawab petronas membayar pampasan dalam bentuk wang tunai.

“Adalah menjadi tanguungjawab petronas dalam bentuk ‘cash payment’, bukan royalti, bukan wang ehsan.ia mesti dalam bentuk tunai dan dibayar kepada negeri pengeluar.

Beliau turut menyebut mengenai jawapan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak kepada soalan ahli parlimen Lim Kit Siang iaitu:

“Tuan Yang di Pertua, Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh PETRONAS ataupun ejensi-ejensi ataupun kontrektor-kontrektornya.

Tegasnya, kerajaan negeri bukan sekadar ingin menuntut wang yang sememangnya menjadi hak rakyatnya namun apa yang lebih penting adalah ketelusan kerajaan persekutuan dalam membela kebajikan rakyat.

Beliau turut mempersoal mengenai laporan tahunan petronas yang tidak pernah dibentangkan di parlimen.

“Kenapa petronas tidak boleh membentangkan di parlimen penyata petroleum di seluruh negara.Berapa pengeluaran setiap telaga pada setiap tahun dan berapa nilai pengeluaran tersebut. dan kedudukan tiap-tiap telaga termasuk bumi selatan yang disebut perdana menteri akan dibayar kepada Kelantan dalam bentuk wang ehsan,” soalnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, kerajaan negeri akan terus memperjuangkan tuntutan ke atas royalty demi keadilan rakyat Malaysia.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan memperhebat kempen mengenai isu ini bagi memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai hak mereka. _harakahdaily.net