Sahabat Purnama

Memaparkan catatan dengan label Krisis MCA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Krisis MCA. Papar semua catatan

Selasa, 3 November 2009

Liow-Chua berebut timb presiden

Datuk Seri Liow Tiong Lai mempertahankan kedudukannya sebagai timbalan presiden MCA walaupun Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini mengiktiraf Datuk Seri Chua Soi Lek kekal memegang jawatan tersebut.

Chua menerima surat dari ROS itu pagi ini sebelum jawatankuasa pusat MCA bermesyuarat untuk membincangkan pelan damai antara beliau dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pusat petang ini, Liow berkata, beliau ada hak untuk merayu terhadap keputusan ROS itu.

Chua dipecat dari jawatan timbalan pesiden pada 26 Ogos. Jawatankuasa pusat MCA kemudiannya membatalkan pemecatan Chua dan sebaliknya menggantung keahlian bekas menteri kesihatan itu selama empat tahun.

Manakala Liow yang dilantik memegang jawatan nombor dua tersebut pada 15 Oktober lalu, dianggap melawan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat selepas kumpulannya mendesak pemilihan baru parti diadakan.

Bercakap dalam satu lagi sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pusat, Tee Keat berkata, mesyuarat hari ini menerima keputusan ROS mengekalkan Chua sebagai timbalan presiden.

Liow memegang jawatan timbalan presiden selama 19 hari.

Berikutan perkembangan terbaru itu, maka usaha terkini untuk menyelesaikan krisis MCA melalui pelan damai, mungkin sekali lagi berdepan dengan jalan buntu.

Liow memberitahu sidang akhbar bahawa "saya masih lagi timbalan presiden".

Katanya, beliau mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan ROS itu atau membawanya ke mahkamah jika perlu.

Liow juga melahirkan rasa terkejutnya dengan tindakan Tee Keat memecat empat anggota CC yang dilantik, yang menyokong menteri kesihatan itu pagi tadi.

Beliau berkata, ia bukanlah satu cara untuk menjayakan pelan damai kerana "keempat-empat mereka menjadi mangsa sebelum pelan itu dapat dilaksanakan".

"Pelan itu mestilah inklusif dan bukannya tindakan drastik seperti pemecatan (mereka)," katanya.

Hadir sama dalam sidang akhbar Liow ialah penyokong kuatnya, termasuk Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong.

Hadir ialah sembilan orang lagi anggota CC yang menyokogn Liow.

Liow memberi tiga sebab mengapa pengekalan jawatan Chua sebagai timbalan presiden adalah tidak sah, iaitu.

1. Jawatankuasa pusat menggantung keahlian dan jawatan Chua sekaligus.

2. ROS tidak ada hak untuk campurtangan dalam keputusan CC.

3. Ia adalah tindakan disiplin dan bukan satu penyingkiran.

Sementara itu, bekas ahli Parlimen Melaka, Wong Nai Chee - salah seorang daripada tiga orang yang mengemukakan desakan diadakan mesyuarat luar biasa (EGM) MCA - berkata EGM itu pastikan akan diadakan.

Beliau yang juga seorang peguam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tee Keat yang menyatakan desakan untuk mengadakan EGM itu bercanggah dengan perlembagaan parti.

Sehubungan itu, Wong berkata, mereka akan menemui setiausaha agung MCA dan ketua biro undang-undang parti itu untuk menyesuaikan kandungan resolusi bagi mengadakan EGM tersebut.

Menurutnya, setiausaha agung MCA perlu mengeluarkan notis untuk mengadakan EGM itu Khamis ini. _ malaysiakini bm

ROS tolak pandangan Hishamudin

KUALA LUMPUR, 3 Nov: Tidak sampai seminggu yang lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein berkata, Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak akan campur tangan dalam hal ehwal MCA.

Bahkan, beliau berkata, RoS tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam hal ehwal kerabat Barisan Nasional (BN) itu.

Namun, hari ini RoS memutuskan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek adalah timbalan presiden MCA yang sah.

Pengumuman itu dibuat oleh ROS hari ini ketika jawatankuasa pusat MCA sedang mengadakan mesyuarat di ibu pejabatnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur tengah hari ini.

Surat ROS itu dihantar terus kepada kepemimpinan MCA.

Sebelum ini, Hishamudin berkata, pemecatan Dr Chua dibuat melalui EGM MCA.

"Pemecatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek daripada jawatan Timbalan Presiden MCA dan usul tidak percaya terhadap Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat dibuat menerusi EGM yang sah pada 10 Oktober lalu.

"Selepas EGM yang sah dan setelah merujuk Akta Pertubuhan 1966, kita dapati tiada peruntukan yang membenarkan ROS untuk campur tangan dan membuat keputusan dalam hal tersebut.

"Dalam hal ini kena bezakan kedudukan MCA dan PPP, ini kerana (isu) PPP adalah berkisar kepada kesahihan EGM yang dipanggil oleh Datuk T. Murugiah," katanya dalam sidang media di Parlimen 27 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Hishammuddin menasihatkan supaya MCA menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa membabitkan ROS.

"Tak perlu bawa ROS dalam hal ini kerana kalau betul-betul mereka ikhlas nak tengok barisan MCA dirapatkan, selesaikan sesama mereka di dalam MCA.

"Tak perlu pihak ketiga masuk dalam hal ini, ini banyak bergantung dengan mereka yang terlibat dalam parti MCA," katanya dalam sidang media itu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh ROS bagi membantu menyelesaikan krisis yang berlaku dalam MCA. _ harakahdaily.net