Sahabat Purnama

Memaparkan catatan dengan label Politik - PKR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik - PKR. Papar semua catatan

Ahad, 13 Disember 2009

Siapa sentuh Tok Guru Nik Aziz akan dapat tentangan - Anwar

Ali Hashim   
KULIM, 13 Dis: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang cuba menyentuh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mendapat tentangan hebat daripada ratusan ribu rakyat yang menyokong beliau.

Menurut Anwar lagi dalam isu yang menyentuh kedudukan Nik Aziz sebagai Menteri Besar dan keupayaan beliau mentadbir negeri Kelantan tidak harus dipertikaikan oleh Umno dan Barisan Nasional.

"Saya ingatkan kepada semua sekiranya Tuan Guru, Datuk Nik Aziz disentuh oleh mereka kita tidak akan teragak-agak untuk bangun bukan saja daripada Kelantan malah Kedah dan seluruh negara akan turut sama mempertahankan Tuan Guru kita.

"Jika isu royalti minyak yang sememangnya perlu diberikan kepada Kelantan mereka nafikan. Kemudian isu untuk mengerjakan haji ke Baitullah untuk beribadat pun mereka pertikaikan terhadap Menteri Besar Kelantan. "Apakah kita mahu biarkan lagi mereka yang tidak tahu menilai dan membezakan antara rasuah dan ibadah ini berterusan mencelarukan masyarakat.
"Sudah pasti tidak. Oleh kerana itu kita tunjukkan sokongan kita dengan memberi pengajaran kepada Umno dan Barisan Nasional dengan menolak kepimpinan mereka," katanya.

Kenyataan Anwar itu disambut dengan tepukan gemuruh daripada ribuan hadirin yang membanjiri Stadium Mini Keladi tersebut.

Dalam ucapan tersebut Anwar juga  membidas tindakan media arus perdana yang sengaja memutarbelitkan fakta dengan tidak menceritakan keadaan sebenar yang berlaku.

"Apa yang berlaku tidak dinyatakan dengan benar oleh media mereka.Bagi mereka berita yang sememangnya benar tetapi tidak menyebelahi mereka tidak akan menjadi laporan utama.
"Tetapi sekiranya berita tersebut walaupun kecil tetapi dapat mereka sensasikan maka itu akan menjadi tajuk utama mereka."

Anwar berkata demikian semasa melancarkan ceramah tanpa henti selama 40 hari seluruh negara anjuran PKR yang telah diadakan di Stadium Mini Keladi, Klang Lama, Kulim.

Turut hadir ialah Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Tian Chua, Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan, Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Amiruddin Shaari. Ahli Parlimen Kulim- Bandar Bharu, Zulkifly Noordin dan kepimpinan Pakatan Rakyat Kedah dan Pulau Pinang.  -harakahdaily.net

Isnin, 23 November 2009

Polis tarik balik permit ceramah Anwar kerana bantahan Pemuda Umno

KULAI,23 Nov: Ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kulai malam tadi terpaksa dibatalkan selepas hanya 10 minit berucap berikutan tindakan polis menarik balik permit di saat akhir.

Punca permit ditarik adalah kerana bantahan dari kira-kira 30 pemuda Umno, kata Anwar dalam satu kenyataannya.

Hanya Tian Chua dan Dr Boo Cheng Hau sempat berceramah dalam majlis itu.

"Alasan yang diberikan OCPD ternyata tidak masuk akal. Apakah selepas ini jika rakyat beramai-ramai membantah sebarang majlis anjuran Umno maka ianya akan dibatalkan?" kata beliau dalam kenyataannya.

Bagi beliau, adalah tidak wajar polis mengikut telunjuk Umno dan akur kepada sebilangan ahli yang bersikap biadap.

Anwar sepatutnya memberikan ceramah bersama Datuk Chua Jui Meng malam tadi namun terpaksa menghentikan program itu di pertengahan majlis.

"Saya hanya berkesempatan menyampaikan amanat untuk sekitar 10 minit kepada hadirin sebelum mereka bersurai," katanya._harakahdaily.net

Isnin, 16 November 2009

Umno guna media, SPRM intai kesalahan pemimpin Pakatan - Anwar

M Faqih

KOTA BHARU, 15 Nov: Umno dan Barisan Nasional (BN) menggunakan setiap ruang yang ada pada media dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencari kesalahan pemimpin Pakatan Rakyat.

Terbaru mereka cuba mengenakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan isu tajaan untuk menunaikan ibadat haji.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin Umno menggunakan setiap peluang untuk memperhodohkan wajah pemimpin Pakatan Rakyat.

“Sampai Tok Guru Nik Abdul Aziz hendak menunaikan haji pun cuba disekat dengan menggunakan media dan SPRM.

“Kerja khianat pemimpin Umno juga berterusan dilakukan dengan menggunakan sepenuhnya media massa yang mereka kuasai,” katanya pada perasmian penutup konvensyen KeADIlan Kelantan di KTC di sini, petang ini.

Hadir sama Setiausaha Agung PKR, Datuk Salahuddin Hashim, Ketua PKR Kelantan, Saifuddin Nasution Ismail, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Zaid Ibrahim dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Mohd Zaki Ibrahim.

Jumaat lalu Nik Abdul Aziz mengumumkan membatalkan hasrat menunaikan haji tahun ini disebabkan media sengaja membesarkan isu penajaan untuk ke Mekah.

Malah SPRM dilaporkan membuka fail siasatan berhubung isu terbabit.

Anwar berkata, biar pun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menguar-uarkan konsep 1Malaysia, namun sebenarnya undang-undang yang dipakai ada dua di negara ini.

“Pemimpin Pakatan Rakyat cuba dianiayai dengan pelbagai tindakan melalui undang-undang, sedangkan pemimpin Umno dan BN terselamat.

“Tidakkah ini dinamakan sebagai dua undang-undang dan bukan 1Malaysia yang disibukkan perdana menteri,” ujarnya.

Beliau yang juga ketua pembangkang di parlimen berkata, sebab itulah pemimpin KeADILan yang tidak ada daya tahan mudah mengambil langkah mengkhianati parti sendiri.

Katanya apa yang berlaku kepada dua bekas Adun KeADIlan di Perak, seorang di Selangor dan seorang lagi di Kedah kerana tidak mempunyai daya tahan yang tinggi dalam perjuangan.

“Kalau beri RM5,000 mereka masih lagi tahan, kalau diberi RM50,000 mereka mulai goyah dan kalau diumpan ratusan ribu mereka sanggup meninggalkan perjuangan.

“Seperti juga berlaku kepada Adun Pelabuhan Klang yang sudah tujuh bulan didapati bermasalah. Ketika saya panggil dia datang dan memberitahu jangan ganggu dia,” katanya.

Lebih 1,000 perwakilan dari Cabang KeADILan di Kelantan hadir pada program separuh hari itu. Dua kertas kerja dibentang termasuk oleh Saifuddin dan Setiausaha Badan Perhubungan Terengganu, Rosli Abdullah.

Pada majlis itu juga Saifuddin menyerah 1,685 borang menyertai KeADIlan kepada Anwar.

_harakahdaily.net

Ahad, 15 November 2009

Dakwaan miliki saham: Anwar pertahan Azmin

Nov 15. Ketua Umum PKR,Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan naib presiden parti Azmin Ali yang didakwa terlibat dalam pembelian saham mencecah RM8 juta dengan dua individu lain, yang dibangkitkan oleh pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia S A Vickneswaran.

Anwar berkata siasatan berkenaan dakwaan itu telah dibuat pada 1998 di mana Azmin telah ditahan dan kemudian dibebaskan.

"Azmin pun sudah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan itu dan akan ambil tindakan. Kita kena bezakan antara fakta atau fitnah, saya tidak tengok dokumen itu tapi saya tahu sebab siasatan telah dibuat sejak awal dan tidak ada tindakan, bahkan dilepaskan," katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama di konvensyen PKR Selangor yang dirasmikan oleh isterinya dan juga presiden parti Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail di Shah Alam hari ini.

Kelmarin Vigneswaran mendakwa Azmin dan isterinya, Shamshida Taharin memiliki saham berjumlah lebih RM9 juta pada awal 1990-an.

Bercakap dalam satu sidang akhbar, Vigneswaran menggesa Azmin menjelaskan sama ada beliau telah membeli saham tersebut pada awal 1990-an ketika menjadi setiausaha sulit Anwar yang menjadi menteri kewangan ketika itu.

Azmin yang juga ahli parlimen Gombak menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkanya sebagai serangan fitnah yang jahat untuk mengganggu keamanan dan ketenteramannya dan keluarganya.

malaysiakini bm

Anwar isytihar perang pertahan S'gor

Abdul Rahim Sabri

Nov 15, 09. Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengisytiharkan perang terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bercita-cita untuk merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat.

"Serangan daripada pusat, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kata nak rampas, walau tidak secara langsung tapi maksudnya begitu. Najib bukan saingan kepada menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim..

"Sekarang silakan Najib. Masuk sahaja dan sentuh Selangor, kita bertempur habis habis-n," katanya.

Najib juga merupakan pengerusi perhubungan Umno Selangor dan pengerusi BN.

Anwar berkata demikian dalam ucapatama dalam konvesyen PKR Selangor di Dewan Jubli Perak Shah Alam pagi ini.

Kira-kira 1,500 perwakilan daripada 22 cabang PKR di negeri ini memberi tepukan gemuruh ekoran pengisytiharan perang itu.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata serangan untuk merampas Selangor, dapat dilihat daripada beberapa isu yang cuba ditimbulkan untuk melemahkan kepimpinan Khalid yang juga pengerusi PKR negeri.

"Hari-hari serang Tan Sri Khalid. Tak habis dengan isu lembu untuk hari raya korban, dia serang dengan isu kepala lembu. Kita jangan ingat (serangan) selesai. Kalau kita rasa selesai, kita silap.

"Bila PM (perdana menteri) nak serang dan rampas, dia akan guna segala jentera. Mungkin dia gunakan kata-kata yang lunak, ia manis bagaikan madu tetapi ia umpama racun bisa bagaikan hempedu," katanya.

Katanya, perkara itu juga menjadi antara sebab utama beliau menerima tawaran Khalid yang juga pengerusi PKR Selangor untuk menjadi penasihat ekonomi negeri itu.

"Saya datang untuk bantu kerajaan negeri dan rakyat dan tidak mahu menimbulkan ketegangan politik. Saya mahu (tugas) menteri besar menjadi lebih kukuh.

"Jangan ada anak-anak kecil yang nak bermain-main di sini, saya datang kerana ada pengalaman. Kalau ada anak kecil main-main, kita tangkap dan lempar keluar," katanya

Anwar juga berjanji untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan mempertahankan ekonomi negeri itu.

Beliau berkata, ini kerana laporan ketua audit negara menjelaskan bahawa prestasi dan rekod baik telah ditunjukkan oleh Khalid dan ia tidak pernah dicatatkan oleh menteri besar sebelum ini.

Dalam ucapan itu juga Anwar optimis bahawa kerajaan Selengor di bawah Pakatan Rakyat dapat dipertahankan dalam pilihanraya akan datang dan prestasinya juga akan jauh lebih baik daripada pilihanraya Mac tahun lalu.

"Ini markas kita, ini kubu kita. Dia datang sentuh, kita lesing dia," katanya yang sekali lagi mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Dalam sidang media selepas itu, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh menjelaskan bahawa pengisytiharan perang itu adalah tindak balas terhadap pengisytiharan Umno untuk merampas kembali Selangor.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang melibatkan pembangunan dan kepentingan rakyat.

"Kita tentunya akan bertahan dan serang balas (jika ada serangan). Dan pendekatan kita dari awal, dari segi kerajaan adalah kerjasama, bukan lawan. Dan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan.

"Kalau urusan pembangunan ikut lunas yang baik dan lunas demokrasi, kita ikut dan bukan bermaksud untuk melawan," katanya.

_malaysiakini bm

Amaran pada MP, ADUN PKR tidak berprestasi

Abdul Rahim Sabri

Nov 15, 09. Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada pemimpin dan wakil rakyat PKR yang berhasrat untuk menjadi calon dalam pilihanraya umum akan datang supaya menunjukkan prestasi yang baik untuk membela rakyat.

Jika tidak, kata Anwar, mereka tidak berpeluang untuk dipilih semula untuk menjadi calon di kawasan yang akan ditandingi.

"Saya tekankan kepada ahli-ahli yang dipilih, kalau prestasinya baik, alhamdulillah. (Tapi) kalau belum baik, jangan harap dapat bertanding semula.

"Sementara ada waktu, baiki. Baik jawatan menteri besar atau exco kerajaan negeri tidak ada jaminan. Minggu lalu saya beri amaran cukup keras di Pulau Pinang. Jangan uji kesabaran saya," katanya.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata demikian sewaktu memberi ucapan di konvensyen PKR Selangor yang dihadiri kira-kira 1,500 perwakilan daripada 22 cabang di Selangor.

Beliau mengulas tindakan kontroversi ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah yang mengisytihar keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas yang 'Mesra BN' hujung bulan lalu.

Anwar berkata Badrul memang mempunyai masalah dan pimpinan PKR yang lain juga cuba menyelesaikannya sebelum ADUN Pelabuhan Klang itu mengisytiharkan keluar daripada parti itu.

"Saya tengok dia lima minit, saya tahu dia memang ada masalah... tapi pada masa itu, kita ambil sikap prikemanusiaan....(Badrul ada) rekod lemah, kerja tak jalan, sidang DUN tak hadir, menteri besar (Khalid Ibrahim) turun kawasan (Pelabuhan Klang), dia tidak ada, saya pergi (dia) tidak ada.

"Sepatutnya kita perlu lebih tegas, kita bagi surat tunjuk sebab dua minggu dan pecat terus," katanya

Menurut Anwar, beliau mengakui "banyak bertanggungjawab" untuk meletakkan calon PKR di peringkat parlimen dalam pilihanraya umum yang lalu.

"Tapi negeri (ADUN) saya tak tahu, saya serah pada negeri...tapi bila ada masalah, orang kata 'Itulah Anwar, kenapa pilih orang-orang yang dungu ini'," katanya

Sehubungan itu beliau mengingatkan badan perhubungan PKR negeri supaya memastikan calon dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang mempunyai kelayakan dan boleh berkhidmat kepada rakyat._malaysiakini bm

Isnin, 2 November 2009

PKR lancar kempen Keadilan untuk Tian Chua

KEPONG: Bagi mendapatkan sokongan moral dan menyelamatkan anggota Parlimennya, Angkatan Muda PKR melancarkan kempen Keadilan Untuk Tian Chua hari ini. Sebanyak 400 tandatangan berjaya dikumpul pada hari pertama kempen itu.

Kempen yang bermula jam 8.30 berjalan lancar tanpa sebarang gangguan kecuali dari pihak polis.

Kira-kira lapan anggota polis dari Balai Polis Jinjang menghalang penggunaan pembesar suara dan memeriksa kad pengenalan mereka yang hadir, lapor Selangor kini.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Lee khai Loon berkata, kempen ini sebagai tanda sokongan kepada Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang kini berdepan dengan hukuman penjara berikutan dakwaan mencederakan seorang anggota polis dalam satu perhimpunan di Bangunan Parlimen, dua tahun lalu.

"Hari ini adalah pelancaran untuk kita mengadakan kempen secara besar-besaran di seluruh Kuala Lumpur dan negeri Selangor,"katanya.

Turut hadir menyatakan sokongan untuk kempen ini adalah Ahli Parlimen Kelana Jaya, Low Gwo Burne dan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Timbalan Ketua PKR cabang Batu, Md Noor Kamil Abd Samad.

Gwo Burne berharap kempen ini dapat membantu menegakkan keadilan untuk Ahli Parlimen tersebut.

"Saya harap kita akan dapat kumpulkan tandatangan sebanyak yang mungkin bagi menunjukkan sokongan kepada YB Tian Chua," katanya.

Selain kempen tandatangan pagi tadi, orang ramai turut digalakkan menyertai kelab penyokong Tian chua di http://wwww.justice4tian.co.cc/, memakai lencana 'Keadilan Untuk Tian Chua' serta menyebarkan video kejadian tersebut.

Tian Chua pada 22 Oktober lalu dihukum penjara enam bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah mencederakan seorang anggota polis dengan cara menggigit lengannya, dua tahun lalu.

Hukuman itu menyebabkan Tian Chua berdepan dengan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen kerusi tersebut mengikut peruntukan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Tian Chua mungkin kehilangan jawatan sebagai ahli Parlimen memandangkan dalam Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seorang ahli Parlimen yang dikenakan hukuman penjara lebih dari setahun atau denda melebihi RM2,000 akan digugurkan dari jawatannya.

Peguam bela yang mewakili Tian Chua, Ranjit Singh dan Amer Hamzah Arshad bagaimanapun memohon penangguhan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi. _ harakahdaily.net