Sahabat Purnama

Memaparkan catatan dengan label Sejarah PAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah PAS. Papar semua catatan

Khamis, 24 Disember 2009

Demi Islam, orang Kelantan rela undi calon luar

Subky Abdul Latif  
Dalam pilihan raya umum yang pertama pada 1959, sama seperti pilihan raya umum sebelumnya pada 1955, pilihan raya peringkat Parlimen tidak dijalankan serentak dengan pilihan raya di negeri-negeri.

Malah pilihan raya negeri-negeri pula tidak serentak. Ia dimulakan di Perlis, kemudian di Kedah dan dari satu negeri ke satu negeri hinggalah yang terakhirnya di Kelantan. Selepas semuanya selesai, barulah diadakan pilihan raya Parlimen.

Hasil daripada pilihan raya-pilihan raya negeri itu, PAS kalah di semua negeri kecuali Terengganu dan Kelantan.

Keputusan itu menyebabkan PAS membuat strategi meletakkan sebahagian daripada barisan pemimpin nasionalnya bertanding di Kelantan dan Terengganu supaya pemimpin-pemimpin pentingnya dapat dihantar ke Parlimen.

Jika tidak dibuat demikian, sukar untuk menempatkan pemimpin-pemimpin penting itu ke Parlimen dan institusi penting itu mempunyai anggota-anggota berkaliber.

Maka keputusan itu dirundingkan dengan PAS di negeri-negeri berkenaan; Kelantan dan Terengganu bersetuju untuk menerima calon dari luar. PAS menghantar empat tokoh bertanding di Kelantan dan tiga di Terengganu.

Mereka yang bertanding di Kelantan termasuklah profesor Zulkifli Mohamad, Datuk Raja Hanifah, Othman Abdullah dan Haji Ahmad Perai. Di Terengganu pula, Dr Burhanuddin al-Hilmi, Hasan Adli dan Khadijah Sidik.

Bukan PAS saja yang membuat strategi demikian. Parti Negara kalah di semua negeri kecuali beberapa orang berjaya di DUN Terengganu telah mengadakan perundingan dengan PAS, maka PAS memberi laluan kepada Datuk Onn Jaafar bertanding di Terengganu.

Onn, sebagai yang dipertua agung Parti Negara, kalah di Batu Pahat dalam pilihan raya umum tahun 1955 dan beliau juga kalah dalam satu pilihan raya kecil di Johor selepas itu.

Dengan beberapa kerusi DUN yang dimenangi oleh Parti Negara belum memungkinkan Onn menang kerana kawasan yang dimenangi partinya itu tidak dalam satu kawasan parlimen.

Oleh sebab kawasan-kawasan sekitarnya dimenangi oleh calon-calon PAS, maka dengan laluan yang diberi oleh PAS itu memungkinkan Onn diterima oleh pengundi di Terengganu.

Onn seorang wira dan putera handal dari Johor tetapi rakyat negeri asalnya tidak menilai ketokohannya; yang menilainya pengundi-pengundi Terengganu. Beliau menang di kerusi Kuala Terengganu.

Semua calon luar yang dikemukakan oleh PAS di Kelantan dan di Terengganu dalam pilihan raya umum 1959 berjaya memasuki Dewan Rakyat.

Penggal pertama persidangan selepas merdeka mencatat sejarah mengumpulkan lapan orang pemimpin PAS sebagai anggota Dewan Rakyat. Tujuh daripadanya calon luar dan seorang lagi pemimpin nasional dari Kelantan sendiri, Datuk Asri Muda.

Selepas itu, belum pernah tercatat rekod seramai itu pemimpin utama PAS menjadi anggota Parlimen pada satu-satu penggal.

Dalam pilihan raya umum 1964, hanya Zulkifli Mohamad saja yang kekal bertanding di Kelantan, sementara kerusi-kerusi lain ditandingi oleh calon anak tempatan sendiri.

Haji Ahmad Perai menemui kemalangan jalan raya dan meninggal dunia. Pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut digantikan oleh calon tempatan, tidak lagi dari luar Kelantan iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Ustaz Othman Abdullah menyertai Umno menjelang pilihan raya umum 1964; jadi tidak berbangkit lagi baginya untuk bertanding di Kelantan. Sebaliknya beliau menjadi calon Perikatan di Hilir Perak. Manakala Datuk Raja Haniafah tidak dapat menumpukan masa di Kelantan, maka beliau tidak lagi menjadi calon di negeri itu.

Manakala di Terengganu, Dr Burhanuddin al-Hilmi menghadapi kes mahkamah dan beliau hilang kelayakan bertanding. Hasan Adli dan Kadijah Sidik juga tidak lagi bertanding di Terengganu.

Zulkifli Mohamad satu-satunya calon dari luar bertanding di Pantai Timur pada 1964 dalam gelora isu konfrontasi Indonesia-Malaysia. Beliau berjaya mendapat peratusan undi dan majoriti yang tinggi. PAS dalam pilihan raya tu agak terpukul kerana menentang pembentukan Malaysia. Pendirian PAS itu sama pula dengan sikap Indonesia.

Zulkifli Mohamad pula, kemudian, menemui kecelakaan jalan raya sehari selepas memenangi pilihan raya umum 1964. Dalam pilihan raya kecil bagi mengisi kerusi yang dikosongkannya, PAS terus meletakkan calon dari luar iaitu Abu Bakar Hamzah. Pengundi tempatan terus memberi sokongan kepadanya untuk beberapa penggal.

Selepas PAS menyertai kerajaan campuran PAS-Perikatan pada 1973 dan setahun kemudian ikut membentuk Barisan Nasional bersama Perikatan, maka tidak lagi timbul orang luar bertandingi di Kelantan.

Cuma dalam tahun 1986, ketika parti itu dalam keadaan kalah di Kelantan, PAS Kelantan menerima Khalid Samad bertanding di Kuala Krai. Pilihan raya umum itu antara sejarah hitam bagi PAS, bukan sekadar penyertaan Khalid tidak membawa kejayaan.

Bukan sekadar calon dari luar tidak dibawa ke Kelantan, calon dari Kelantan sendiri kalah, hanya satu kerusi parlimen saja dimenangi oleh PAS di seluruh negara iaitu di Pengkalan Chepa dengan calonnya Nik Abdullah Arshad.

Kalau Kelantan, sebagai kubu PAS, parti itu hanya memenangi satu kerusi, maka tidak berbangkit isu pengundi luar ditolak oleh pengundi Kelantan.

Tetapi dalam kebangkitan semula PAS pada pilihan raya umum 1990, PAS Kelantan membawa dua calon dari luar iaitu Dr Daeng Sanusi Mariok dan Mohamad Sabu. Kedua-duanya telah diterima oleh pengundi masing-masing di Rantau Panjang dan Nilam Puri.

Dalam pilihan raya itu, PAS mengadakan muafakat Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dengan Parti Melayu Semangat 46. Ia bukan sekadar memberikan kemenangan semula kepada PAS di Kelantan, malah APU memenangi semua kerusi Parlimen dan DUN. Kedua-dua parti itu mengulangi kemenangan dalam pilihan raya Umum 1995.

Dalam dua pilihan raya umum selepas itu, iaitu 1999, tiada calon luar bertanding sebagai calon PAS di Kelantan.

Tiadanya calon luar itu bukan disebabkan oleh kebimbangan ia tidak disokong oleh para pengundi tetapi disebabkan keputusan PAS sendiri dan perkembangan menggalakkan PAS secara menyeluruh di seluruh negara.

Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004, PAS membuka semula laluan kepada calon-calon luar. Salahuddin Ayub, kini naib presiden PAS, dari Johor tentunya sukar untuk memenangai pilihan raya di negeri asalnya. Sebagai ketua Pemuda PAS waktu itu, beliau sendiri mempunyai wibawa untuk diketengahkan.

Maka PAS Kelantan bersetuju memberi laluan kepadanya untuk bertanding di Kubang Kerian, kerusi yang pernah diwakili oleh Muhamad Sabu dan selepas itu disandang oleh Datu Husam Musa.

Ternyata pengundi Kelantan terus memberi sokongan kepada calon luar untuk berhadapan dengan calon BN yang terdiri daripada orang Kelantan sendiri dan antaranya orang tempatan.

Tetapi dalam pilihan raya umum ke-12, PAS Kelantan menambah calon dari luar daripada jumlah seorang kepada tiga orang.

Selain Salahuddin yang mempertahankan kerusinya, PAS membawa masuk Nasharuddin Mat Isa, timbalan presidennya bagi menentang calon menteri besar BN, Dr Awang Adek Hussein bertanding di Bachok. Seorang lagi, bendahari PAS Dr Hatta Ramli di Kuala Krai.

Pada pilihan raya umum 2004, Bachok dan Kuala Krai jatuh ke tangan BN. Bachok kubu kuat PAS yang tidak pernah dapat dirampas oleh Umno kecuali dalam 1986 apabila bekas wakil rakyat PAS beberapa penggal sebelum itu Zain Abdullah menjadi calon BN menewaskan calon PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Selepas itu Bachok jatuh semula ke tangan PAS. Tetapi pada 2004, calon PAS ditewaskan oleh BN yang meletakkan Dr Awang Adek.

Dr Awang Adek dilihat sebagai tokoh baru menggantikan Datuk Annuar Musa dan Datuk Mustapa Mohamad, maka dia dicalonkan bagi menjadi menteri besar.

Pada ketika yang sama, dia juga bertanding untuk kerusi parlimen. Nasharuddin dibawa untuk mencabar calon MB dan orang tempatan pula.

Kuala Krai yang dikuasai oleh PAS sejak 1990 jatuh ke tangan BN pada 2004. Kawasan ini diserahkan kepada Dr Hatta untuk merampas semula kawasan itu daripada BN.

Semua calon PAS dari luar telah membuktikan bahawa mereka diterima oleh pengundi Kelantan walaupun mereka berdepan dengan calon BN yang terdiri dari orang tempatan.

Bukan isu calon dari luar Kelantan itu tidak dibangkit oleh BN daalam kempen pilihan raya itu tetapi pengundi Kelantan telah berjaya melepasi kefahaman daerah dan kenegerian.

Orang Kelantan terkenal tebal perasaan kekelantanannya. Di mana mereka berada, mereka berkumpul sebagai satu komuniti sesama mereka.

Tetapi dalam kefahaman politik Islam, pengundi Kelantan mengutamakan perjuangan Islam, menerima calon luar dan menolak calon lawan walaupun mereka orang tempatan dan di kalangan keluarga terdekat.

Subky Abdul Latif, seorang wartawan veteran yang dikenali ramai dan juga pemimpin PAS, menulis analisis ini di blognya Setapak ke Selangkah (26 Mac 2008). Artikel ini diterbitkan sepenuhnya, selepas suntingan, dengan keizinan penulisnya.

_malaysiakini bm

Selasa, 15 Disember 2009

PAS Batu dalam melahirkan Markas Tarbiyah PAS

Subky Latif   
PADA 05 Desember lalu PAS Kawasan Batu menyambut genap 25 tahun penubuhannya secara sederhana dengan menganjurkan ceramah bertema PAS For All – atau PAS untuk semua.

Sambutan itu disempurnakan oleh Mursyidul Amnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Ketua Kelab Penyokong PAS kaum India, Balasubramaniam ikut berucap.

Tidak sedar rupanya kawasan PAS yang saya asaskan itu sudah berusia 25 tahun. Rasanya baru saja, masih segar dalam ingatan saya, rupanya sudah menelan masa 25 tahun.

Masa itu saya adalah Ketua PAS Kawasan Setapak. Kawasan yang dipanggil PAS Kawasan Batu sekarang ini adalah sebahagian dari PAS Kawasan Setapak.

Memang strategi Umno bagi mempertahankan kuasanya ia mengadakan persempadanan baru kawasan pilihan raya setiap sepuluh tahun sekali. Dengan tindakan itu ia memastikan kawasan kuat pembangkang dapat dilemahkan dan kawasannya yang terancam dapat diperkuatkan.

Kawasan Parlimen Setapak terlibat dalam persempadanan baru itu. Ia dipecah menjadi dua kawasan Parlimen baru iaitu Batu dan Titiwangsa. Kawasan Setapak dimansuhkan.

Dalam persempadanan baru itu beberapa kampung dari kawasan-kawasan Parlimen yang bersempadan dengannya terlibat sama, ada dimasukkan dalam kawasan baru itu atau kampung yang dulunya dalam kawasan Setapak dipindahkan ke kawasan lain seperti Kepung dan Segambut.

Tetapi kebanyakan lokaliti di kawasan Setapak itu terbahagi kepada dua kawasan Batu dan Titiwangsa.

Apabila Parlimen meluluskan persempadanan baru itu saya mengambil langkah menyelaraskan PAS Kawasan Setapak mengikut perubahan yang berlaku itu.

Sebelum ada arahan dari Pejabat Agung PAS tentang persempadan baru itu saya mengambil langkah membentuk dua jawatankuasa penaja bagi menubuhkan PAS Kawasan Batu dan PAS Kawasan Titiwangsa. Mana-mana cawangan PAS Kawasan Setapak yang masuk ke dalam kawasan Batu dimasukkan dalam penajaan PAS Kawasan Batu dan yang terletak dalam kawasan Titiwangsa menjadi penaja PAS Kawasan Titiwangsa.

Saya sendiri yang tinggal di Taman Melawar termasuk dalam kawasan Batu menjadi pengerusi penaja penubuhan PAS Kawasan Batu dan Ustaz Othman Razak yang tinggal di Datuk Keramat menjadi pengerusi penaja PAS Kawasan Titiwangsa.

Pada 5 Desember 1984 itu saya memanggil Mesyurat Agung Khas PAS  Kewasan Setapak membubarkan PAS Kawasan Setapak dan serentak mencadangkan penajaan dua kawasan baru – Batu dan Titiwangsa – berikutan dengan pembubaran itu.

Selepas dipersetujui kami pun berpecah. Cawangan yang termasuk dalam penajaan PAS Kawasan Batu mengadakan perjumpaan menubuhkan kawasan baru itu dan manakala cawangan-cawangan yang termasuk dalam kawasan Titiwangsa pula mengadakan perjumpaan yang berasingan di bangunan yang sama bagi membentuk PAS kawasannya.

Saya menjadi  Ketua PAS   Kawasan Batu yang pertama dan Ustaz Othman Razak dipilih menjadi Ketua PAS Kawasan Titiwangsa.

Kedua-dua kawasan itu ditubuhkan pada hari yang sama. Saya tidak tahu apakah PAS Kawasan Titiwangsa ada mengadakan majlis memperingati 25 tahun penubuhannya.

Dalam masa 25 tahun telah berlaku lagi pesempadan baru yang melibatkan kedua-dua kawasan PAS itu apabila satu kawasan baru ditambah iaitu Wangsa Maju. Lepas itu Wangsa Maju dan Titiwangsa menjadi tiga dengan menambah Setiawangsa. Yang satu sebelum 25 tahun dulu menjadi empat sekarang.

Titiwangsa menjadi kawasan majoriti Melayu tetapi Batu menjadi kawasan campuran. Sekalipun yang terbesarnya pengundi Melayu tetapi ia hanya membentuk sekitar 40 peratus saja. Lebih 50 peratus terdiri dari pengundi Cina dan India.

Dalam keadaan itu sukar bagi PAS menguasai kawasan itu semasa politik bersendirian dulu. Dalam masa 25 tahun itu sekali saja PAS bertanding. Dalam persefahaman dengan lain-lain parti PAS memberi laluan kepada sekutunya.

Dalam semua masa PAS di situ menjadi kumpulan yang penting. Cuma baru dalam pilihan raya 2008 pakatan pembangkang menguasai kawasan Batu.

Langkah penting yang diambil oleh PAS Batu ialah menjadi tenaga penggerak dari belakang membina Markaz Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar.

Aktivis PAS kawasan ini diketuai oleh beberapa orang profesional. Setiap petang mereka memulakan pembinaannya tanpa sebarang peruntukan di atas sebidang tanah milik PAS Terengganu yang terbiar.

Sebelumnya PAS menghadapi masalah tempat untuk mengadakan perjumpaan. Penyokong PAS berpakat dengan Ustaz Hassan Shukri, Setiausaha Agung masa itu bagaimana tanah kosong itu dimanfaatkan. Ustaz Hasan mendapatkan restu PAS Terengganu.

Setiap petang aktivis PAS menggali lubang untuk didirikan tiang. Apabila beberapa tiang mula terdiri, maka mencurah-curah bantuan dari para penyokong dari semua tempat. Ada yang memberi pasir, ada yang menghantar simen, ada yang sanggup memberi peruntukan pintu dan tingkap, demikian juga kayu kayan yang diperlukan oleh bangunan itu.

Duit tidak dikira lagi. Ada saja orang yang tidak teragak-agak mengeluarkan wang dari sakunya.

Terbina satu bangunan dua tingkat. Tingkat atas untuk Ustaz Hasan dengan PAS pusat tetapi tingkat bawah untuk aktivis PAS Batu mengadakan ceramah. Asal ada pemimpin pusat datang ke      Kuala Lumpur di situlah ceramah diadakan  tanpa memikirkan soal permit.

Kerana ia terletak di luar Wilayah Persekutuan, polis Sentul tidak dapat bertindak apabila ada aduan Umno tentang ceramah tanpa permit oleh PAS. Polis Sentul menghubungi Polis Rawang. Bila Polis Rawang datang majlis sudah selesai.

Kemudian Pejabat Agung PAS dipindahkan ke bangunan itu dan Taman Melawar jadi pusat perkembangan PAS baru yang dikenali serata dunia. Yang menggerakkan terbentuknya Markaz Tarbiyah yang terkenal itu dimulakan orang PAS kawasan Batu yang memanfaatkan tanah terbiar milik PAS Terengganu itu._harakahdaily.net