Sahabat Purnama

Isnin, 23 November 2009

Jawi kenal pasti kawasan panas hotel satu jam

KUALA LUMPUR - Selepas tinjauan dan penyamaran di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur terhadap perkhidmatan hotel satu jam mendapati pelanggan tetap mereka adalah dari kalangan remaja belasan tahun sehinggalah orang dewasa untuk melepaskan nafsu, Sinar Harian kemudian menghubungi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi meminta pandangan berhubung isu berkenaan.

Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali berkata, Jawi sering membuat operasi berterusan terutama di rumah kediaman dan di kawasan hotel-hotel yang dikenal pasti pada setiap malam berdasarkan maklumat orang ramai.

“Di Kuala Lumpur sahaja terdapat banyak hotel panas yang menyediakan perkhidmatan satu jam ini, antaranya di Setiawangsa dan Maluri.

“Majoriti remaja dan orang dewasa sering menjadikan tempat ini sebagai destinasi melepaskan nafsu berikutan harga sewa yang murah sehingga mencecah RM20 bagi satu jam,” katanya.

Katanya, Jawi akan terus menjalankan operasi berterusan bagi menguatkuasakan undang-undang bagi mengurangkan gejala-gejala tidak bermoral di kalangan remaja masa kini.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diberi orang awam, Jawi sering berhadapan dengan masalah ketika berurusan dengan pihak pengurusan hotel terutamanya hotel bertaraf lima bintang berikutan maklumat tidak tepat menyebabkan kegagalan membuat tangkapan.

Namun begitu, bagi hotel-hotel seperti rumah tumpangan dan hotel bajet tidak menjadi masalah kerana mereka sering memberi kerjasama penuh.

Che Ali berkata, pasangan yang ditangkap akan ditahan dibawa Seksyen 27 Enakmen kesalahan Jenayah Syariah 1997 dan sekiranya disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama dalam tempoh tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali.

- Dapatkan berita penuh dalam ruangan "BONGKAR" di Sinar Harian hari ini._sinarharian

Tiada ulasan: