Sahabat Purnama

Isnin, 23 November 2009

Kelab Penyokong Pas Pahang sasar 8,000 ahli

KUANTAN – Kelab Penyokong Pas (KPP) Pahang menyasarkan bilangan ahli seramai 8,000 orang menjelang tahun depan, terutama sebelum Muktamar Pas berlangsung.

Setiausaha KPP Pahang, B Balendran berkata, setakat kini jumlah ahli kelab itu adalah kira-kira 4,800 orang dan dijangka bertambah apabila KPP Bahagian ditubuhkan di seluruh negeri.

Menurutnya, buat masa ini hanya KPP Cawangan sahaja ditubuhkan dan penyertaan orang ramai, terutama masyarakat India amat memberangsangkan.

“Kita yakin sebelum Muktamar Pas yang berlangsung tahun depan, sasaran kita untuk mencapai 8,000 ahli akan terlaksana kerana Pas semakin diterima baik masyarakat India di negeri ini,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Beliau berkata, Pengerusi KPP Pahang N Balasubramaniam kini sedang merangka strategi untuk ke setiap daerah bagi memberi penerangan mengenai peranan KPP dan perjuangan Pas.

Menurutnya, sebagai sayap baru Pas, KPP mempunyai tanggungjawab yang cukup besar bagi membuktikan kepada masyarakat umum bagaimana orang bukan Islam boleh diterima baik dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

“Kita yakin apa yang dilakukan kini adalah semata-mata untuk menyedarkan orang ramai bahawa segala tanggapan negatif terhadap Pas tidak benar sama sekali, terutama mengenai kedudukan orang bukan Islam dalam pemerintahan Islam,” katanya.

Katanya, beliau yakin dengan penerangan secara berterusan yang dilaksanakan Jawatankuasa KPP Pahang, mereka mampu menarik lebih ramai ahli lagi ke dalam kelab itu._sinarharian

Tiada ulasan: