Sahabat Purnama

Memaparkan catatan dengan label PAS Pahang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PAS Pahang. Papar semua catatan

Khamis, 3 Disember 2009

Petugas PAS diingat berusaha keras tarik golongan muda

Hashim Abdullah   
TEMERLOH, 3 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan petugas parti supaya berusaha keras menarik lebih ramai masyarakat khususnya anak muda menyokong dan menjadi ahli PAS.

Tumpuan juga harus diberikan kepada pendaftaran ahli dan penyokong ke dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan mereka layak mengundi dalam pilihanraya umum akan datang.

Beliau ketika berucap pada ceramah anjuran PAS Kawasan Temerloh baru-baru ini memberitahu, gerakan berterusan ke arah itu perlu diperkasakan sebagai persiapan awal berdepan pelbagai kemungkinan sebelum berlakunya pilihan raya.

“Kita ada pengalaman  bagaimana petugas dan penyokong parti yang kuat bekerja dalam program parti terutama di musim pilihanraya tetapi gagal menunaikan tanggung-jawab mengundi semata-mata kerana namanya tiada dalam senarai daftar pemilih. Ini merugikan,” katanya.

Menyentuh mengenai peranan rakyat sebagai hakim yang adil dalam menghadapi proses pilihanraya bagi menentukan pemimpin yang dipilih benar-benar jujur melaksanakan tanggung-jawab kepimpinan, Abdul Hadi mahukan rakyat di negara ini mencontohi negara yang maju dalam amalan demokrasi berpilihanraya bagi menjaga kepentingan rakyat dan negara.

“Rakyat di negara ini mestilah mencontohi negara yang maju dalam system demokrasi berpilihanraya. Di negara lain rakyat menggunakan kuasa mereka sebagai hakim bagi menjatuhkan parti yang melakukan kesilapan dalam pemerintahan.

“Kita tengok di Amerika dan di India juga di negara lain pemimpin bertukar ganti  kerana rakyat bertindak secara bijak dan adil. Di negara kita dah 50 tahun lebih tak tukar-tukar, walau pun pemerintah  rasuah, pemerintah menyeleweng. Ini tak betul, rakyat kena berlaku adil,” katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan pelancaran lot tanah wakaf  bagi pembangunan Markaz PAS Chempaka, di Lanchang._harakahdaily.net

Isnin, 23 November 2009

Kelab Penyokong Pas Pahang sasar 8,000 ahli

KUANTAN – Kelab Penyokong Pas (KPP) Pahang menyasarkan bilangan ahli seramai 8,000 orang menjelang tahun depan, terutama sebelum Muktamar Pas berlangsung.

Setiausaha KPP Pahang, B Balendran berkata, setakat kini jumlah ahli kelab itu adalah kira-kira 4,800 orang dan dijangka bertambah apabila KPP Bahagian ditubuhkan di seluruh negeri.

Menurutnya, buat masa ini hanya KPP Cawangan sahaja ditubuhkan dan penyertaan orang ramai, terutama masyarakat India amat memberangsangkan.

“Kita yakin sebelum Muktamar Pas yang berlangsung tahun depan, sasaran kita untuk mencapai 8,000 ahli akan terlaksana kerana Pas semakin diterima baik masyarakat India di negeri ini,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Beliau berkata, Pengerusi KPP Pahang N Balasubramaniam kini sedang merangka strategi untuk ke setiap daerah bagi memberi penerangan mengenai peranan KPP dan perjuangan Pas.

Menurutnya, sebagai sayap baru Pas, KPP mempunyai tanggungjawab yang cukup besar bagi membuktikan kepada masyarakat umum bagaimana orang bukan Islam boleh diterima baik dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

“Kita yakin apa yang dilakukan kini adalah semata-mata untuk menyedarkan orang ramai bahawa segala tanggapan negatif terhadap Pas tidak benar sama sekali, terutama mengenai kedudukan orang bukan Islam dalam pemerintahan Islam,” katanya.

Katanya, beliau yakin dengan penerangan secara berterusan yang dilaksanakan Jawatankuasa KPP Pahang, mereka mampu menarik lebih ramai ahli lagi ke dalam kelab itu._sinarharian