Sahabat Purnama

Memaparkan catatan dengan label Berita Negeri - Pahang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita Negeri - Pahang. Papar semua catatan

Rabu, 6 Januari 2010

Juruteknik maut terkena kipas pendingin hawa


KUANTAN: Seorang juruteknik pendingin hawa di sebuah kilang simen di Bukit Sagu di sini maut selepas terkena kipas alat itu ketika sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan, semalam.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang semasa Mohammad Jakir Hossain, 34, bersama lima lagi rakannya ditugaskan menyelenggara pendingin hawa kilang itu.

"Tiba-tiba rakan Mohammad Jakir terdengar satu bunyi dentuman kuat dari arah juruteknik itu, lalu mereka bergegas ke kawasan kejadian dan mendapati Mohammad Jakir terbaring di lantai dalam keadaan lemah selain mendapati tangga yang digunakan untuk memanjat menuju ke penghawa dingin itu terpelanting jauh," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata Mohammad Jakir yang merupakan pekerja mahir dan bekerja di kilang itu sejak enam tahun lepas, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan telinga, dipercayai akibat terkena kipas pendigin hawa itu.

Noor Asyikin berkata Mohammad Jakir disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Klinik Desa Bukit Goh untuk mendapatkan rawatan, dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat. - Bernama_hmetro

Selasa, 22 Disember 2009

Budak nyaris maut, kereta rempuh rumah

Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tiga bulan nyaris maut selepas sebuah kereta merempuh rumah kayu milik datuknya yang terletak berhampiran selekoh tajam di Jalan Ubai, Kampung Ubai di Pekan hari ini.

Ahmad Rafae Mohd Nazri yang sedang bermain sendirian dalam bilik tidur, bagaimanapun menjerit dan sempat melarikan diri mendapatkan ibunya.

Ibunya Jarasidah Khadri, 31, berkata kejadian kira-kira 4 petang itu berlaku ketika dia sedang tidur di ruang tamu, manakala anak bongsunya itu sedang bermain dalam bilik tidur di bahagian hadapan rumah itu.

"Sebelum kejadian, saya ada terdengar bunyi brek yang sangat kuat datang dari arah luar rumah sebelum mendengar dentuman kuat dari arah bilik berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di Pekan hari ini.

Katanya, dia segera mendapatkan anaknya yang menjerit dan berlari ke arah bilik sebelum mendapati terdapat sebuah kereta jenis Proton Wira terperosok di bawah rumah.

Kejadian itu merupakan kali ketiga selepas kejadian sama turut berlaku pada tahun lepas dan Mei tahun ini, kata Jarasidah.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit Mohd Ali Mohd, 57, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Kuantan ke Pekan mahu mengelak dua ekor lembu yang berada di tepi jalan sebelum keretanya terbabas lalu merempuh bahagian hadapan rumah itu. BERNAMA_malaysiakini bm

Jumaat, 4 Disember 2009

Gempa bumi lagi di Janda Baik, selepas K. Pilah

Tidak lama selepas gegaran 3.3 pada skala Richter di Kuala Pilah, Negeri Sembilan hujung minggu lalu, satu lagi kejadian gempa bumi lemah direkodkan dekat Janda Baik pagi ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), gempa 2.2 pada skala Richter berjadi 9.41 pagi ini yang berpusat 9km tenggara Janda Baik, Pahang.

Gegaran terakhir dirasai di kawasan tersebut berlaku pada 8 Oktober lalu jam 5.50 pagi, berukuran 2.8 pada skala Richter, di kawasan 25km dari pusat gempa pagi ini.

Empat kejadian gempa yang berpusat di 22km timur Seremban mula dikesan jam 2.30 petang Ahad, manakala tiga gegaran berikutnya berlaku dalam tempoh 24 jam seterusnya.

Menurut kenyataan JMM, kejadian 12.15 awal pagi Isnin berukuran 3.3 pada skala Richter, sementara terakhir pada 2.30 petang pula pada bacaan 3.0 skala Richter.

Sebelum dua kejadian terbaru ini, sejak penghujung 2007, Malaysia mencatatkan 40 gempa bumi lemah, tetapi yang ketara 37 daripadanya berlaku di sekitar garisan gempa bumi di Bentong, Pahang.

Tiga lagi gempa bumi itu di Manjung (Perak) dan Jerantut (Pahang).

JMM dilaporkan berkata sejak November 2007 sehingga Mei tahun lepas, sebanyak 29 gempa bumi dicatatkan di kawasan Bentong.

Kes terbaru pada 8 Okt lepas bagaimanapun mencatat gempa bumi paling kerap, sebanyak lapan kali dari pukul 4.45 pagi hingga 12.05 tengah hari, bermagnitud antara 1.1 hingga 2.8 skala Richter.

Kesemua gempa bumi itu dikesan di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik yang mempunyai garis sesar berukuran 15 kilometer lebar dan 70 kilometer panjang.

JMM mempunyai 17 stesen pengesan gempa di seluruh negara._malaysiakini bm